Oliver Twist
Umum | |||
---|---|---|---|
Pengarang | Charles Dickens ("Boz") | ||
Tajuk asal | Oliver Twist; or, The Parish Boy's Progress | ||
Negara | England | ||
Bahasa | Inggeris | ||
Siri | Bulanan: February 1837 - April 1839 | ||
Genre | Cereka Kritikan sosial | ||
Penerbitan | |||
Pengilustrasi | George Cruikshank | ||
Penerbit | Siri: Bentley's Miscellany Buku: Richard Bentley | ||
Tarikh penerbitan | 1838 (in three volumes) | ||
Jenis media | Print (Serial, Hardcover and Paperback) | ||
Kawalan kewibawaan | |||
ISBN | ISBN 9119372019 | ||
Kronologi | |||
|
Oliver Twist; or, The Parish Boy's Progress (1838) ialah karya novel Charles Dickens yang kedua, dan juga novel berbahasa Inggeris pertama yang mengetengahkan watak utama kanak-kanak[1], di samping juga terkenal kerana menggambarkan kehidupan penjenayah yang menjijikkan dan tidak romantik.[2] Tajuk kecilnya, The Parish Boy's Progress (Kemajuan Si Budak Kariah) menyentuh The Pilgrim's Progress karya John Bunyan serta dua siri lukisan karikatur abad ke-18 oleh William Hogarth, iaitu "A Rake's Progress" (Kemajuan Si Hidung Belang) dan "A Harlot's Progress" (Kemajuan Si Pelacur).[3]
Novel bertema sosial ini menyedarkan orang ramai mengenai pelbagai gejala yang timbul pada masa itu, termasuk Undang-undang Fakir Inggeris (Poor Law) yang mewajibkan golongan miskin bekerja dalam bengkel atau rumah orang miskin, buruh kanak-kanak dan penjenayah bawah umur. Dickens mengecam ketidakadilan yang timbul pada zamannya dengan menyerikan tema-tema serius yang disampaikan oleh novel ini dengan sindiran dan humor yang menggerunkan. Novel ini mungkin diilhamkan dari kisah keperitan buruh kanak-kanak bernama Robert Blincoe yang mendapat perhatian ramai pada 1830-an. Di samping juga, zaman muda Dickens sebagai buruh kanak-kanak nyata menjadi ilham juga.
Oliver Twist telah diadaptasikan ke berbilang karya filem dan televisyen, dan juga pementasan muzikal Oliver! yang tersohor. Novel ini digemari ramai di seluruh dunia melalui terjemahan ke25 bahasa.
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Cereka ini mula-mulanya disirikan secara bulanan dalam majalah Bentley's Miscellany mulai Februari 1837 hingga April 1839. Asalnya, cerita ini hendak disertakan dalam siri The Mudfog Papers oleh Dickens sendiri.[4][5][6] Cereka ini akhirnya muncul dalam siri sendiri pada tahun 1846. George Cruikshank menyumbangkan satu goresan keluli untuk menambahkan gambar untuk setiap jilid.[7] Bentuk novel pertama muncul enam bulan selepas kesudahan bentuk sirinya, diterbitkan dalam tiga jilid oleh Richard Bentley, pemilik Bentley's Miscellany, atas nama samaran "Boz" dan merangkumi 24 gambar goresan Cruikshank.
Ringkasan plot
[sunting | sunting sumber]Kerja pertama
[sunting | sunting sumber]Oliver Twist lahir dalam suasana yang serba kekurangan dan penuh musibah, dalam sebuah bengkel di sebuah pekan yang tidak bernama (meskipun pekan ini diberi nama Mudfog dan dikatakan terletak 75 batu di utara London, sewaktu diterbitkan dalam Bentley's Miscellany pada tahun 1837). Oliver yang kehilangan ibunya dari hembusan pertama tanpa diketahui bapanya di mana, mendapat perlindungan tak seberapa oleh Undang-undang Fakir, dan menghabiskan lapan tahun pertama hayatnya di bawah jagaan Puan Mann di pusat penjagaan kanak-kanak. Bersama kanak-kanak lain yang tertakluk pada undang-undang fakir, Oliver dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan.
Ketika mencecah usia sembilan tahun, Oliver dibawa keluar oleh pusat penjagaan oleh seorang mata-mata kariah bernama Encik Bumble untuk kerja mengutip tali pakal di bengkel sama di mana mendiang ibunya pernah bertugas sebelum meninggal dunia. Oliver terpaksa menahan kekurangan makanan di bengkel selama enam bulan, sehingga budak-budak yang makin kebulur di tempatnya hendak membuat cabutan, yang mana yang kalah mesti meminta lagi bubur. Oliver dicabar untuk melakukan demikian, maka dengan rasa gementar kata-kata berikut keluar dari mulutnya: "Please, sir, I want some more." (Minta lagi, tuan.)
Maka gemparlah satu bengkel. Lembaga pentadbiran bengkel yang cukup makan kerana menjamu selera sehebat raja, menawarkan ganjaran lima paun kepada sesiapa yang hendak menerima Oliver sebagai anak didik. Seorang pencuci serombong yang bengis tampil untuk menuntut Oliver, tetapi Oliver merayu agar tidak dibawa oleh "si teruk itu", maka seorang majistret tua yang baik hati enggan menandatangani indenturnya. Tak lama kemudian, pengurus mayat lantikan kariah bernama Encik Sowerberry mengambil Oliver dalam jagaannya. Bukan sahaja begitu bagus layanan Sowerberry terhadap Oliver, bahkan juga dijadikan peratap upahan di upacara pengebumian kanak-kanak kerana air mukanya yang muram. Sayangnya, perkahwinan Encik Sowerberry tidak begitu erat, apatah lagi isterinya tidak suka akan Oliver, kerana suaminya seolah-olah lebih menyayangi Oliver, tetapi terlepas juga peluang untuk menderanya. Dia juga menderita dari penindasan Noah Claypole, seorang lagi anak didik yang mencemburui pencapaian Oliver, dan juga Charlotte, suri rumah Sowerberry yang bercinta dengan Noah.
Pada satu hari, dalam cubaan mengumpan Oliver, Noah mencela mendiang ibu Oliver. Oliver naik berang lalu membelasah Noah yang lebih besar badannya. Puan Sowerberry menyebelahi Noah dan membantunya menumpaskan Oliver, plemudian memaksa suaminya dan Encik Bumble yang datang berikutan pergaduhan itu, agar menumbuk Oliver lagi. Sebaik sahaja dikurungkan dalam biliknya pada waktu malam, Oliver sebak dan menangis, tak pernah dilakukannya sejak bayi lagi. Maka itulah, Oliver akhirnya melarikan diri entah ke mana, sehingga sebuah batu penanda mengarahkan kaki-kakinya ke kota London.
Artful Dodger dan Fagin
[sunting | sunting sumber]Dalam perjalanan ke London, Oliver menemui Jack Dawkins, atau gelarannya "Artful Dodger". Dodger memberikan makanan percuma kepada Oliver serta menceritakan adanya seorang lelaki tua di London yang sanggup "menyediakan penginapan tanpa bayaran" kepadanya. Sebagai tanda bersyukur, Oliver mengikut Dodger ke rumah lelaki tua itu, yang rupa-rupanya merupakan seorang penjenayah Yahudi paling digeruni yang bernama Fagin. Oliver terpaksa bermalam bersama Fagin dan gerombolan penyeluk saku kanak-kanak jagaannya di Saffron Hill buat seketika, tanpa menyedari kegiatan mungkar mereka, sebaliknya percaya mereka membuat dompet dan sapu tangan.
Lambat-laun, Oliver keluar "membuat sapu tangan" kerana tiada wang, bersama Artful Dodger dan seorang budak lucu bernama Charley Bates yang juga suruhan Fagin. Akhirnya Oliver menyedari tujuan sebenar mereka adalah menyeluk saku. Dodger dan Charley mencuri sapu tangan milik orang tua bernama Encik Brownlow, dan terus cabut. Sebaik sahaja menyedari kehilangan sapu tangan, Encik Brownlow menoleh ke belakang, melihat Oliver, lalu mengejarnya. Dengan bantuan orang lain, Oliver ditangkap lalu dibawa menghadap majistret. Entah mengapa, Encik Brownlow tiba-tiba meragui Oliver ialah penyeluk sakunya. Akhirnya nama Oliver dibersihkan oleh seorang penjaga gerai buku yang menyaksikan jenayah yang dilakukan oleh Dodger, tetapi Oliver rebah di bilik mahkamah sebaik sahaja mendengar berita baik tadi. Encik Brownlow membawa Oliver pulang dan menjaganya bersama suri rumahnya Puan Bedwin.
Nasib Oliver akihirnya bertambah baik di bawah jagaan Encik Brownlow. Walaupun begitu, Fagin masih hendak memaksa Oliver kembali ke pangkuannya. Sewaktu Encik Brownlow memesan Oliver membayar untuk buku yang dibelinya, munculnya seorang gadis bernama Nancy, seorang ahli gerombolan penyeluk saku yang pernah ditemui oleh Oliver di rumah Fagin dahulu. Nancy dengan bantuan kawannya, seorang perompak kejam bernama Bill Sikes, mengheret Oliver balik ke markas Fagin. Para penjenayah cilik itu merampas duit lima paun yang diamanahkan oleh Brownlow, menanggalkan semua pakaian kemas yang dipakainya. Oliver sempat melarikan diri dan cuba mencari bantuan polis, tetapi diheret kembali oleh Dodger, Charley dan Fagin. Sungguhpun demikian, Nancy bersimpati terhadap Oliver dan menyelamatkannya dari dibelasah oleh Fagin dan Sikes.
Dalam cubaan terbaru menjebakkan Oliver dalam kancah jenayah, Fagin memaksanya menyertai kegiatan pecah rumah. Nancy dengan rasa berat hati membantu menyertakan Oliver dalam kegiatan tersebut, sambil meyakinkan Oliver bahawa dia berusaha sedaya upaya untuk membantunya. Sikes mengugut akan membunuh Oliver sekiranya tidak memberi kerjasama, dan memasukkan Oliver melalui tingkap kecil dan mengarahkannya membuka kunci pintu hadapan. Malangnya, cubaan pecah rumah tidak menjadi apabila Oliver ditembak. Setelah ditinggalkan oleh Sikes, Oliver yang cedera dijaga oleh penetap rumah yang dipecahnya itu, iaitu Rose Maylie, penjaganya Puan Maylie (ibu saudara angkat Rose), dan Harry Maylie (anak Puan Maylie yang mencintai Rose). Dengan rasa yakin akan kesucian hati Oliver, Rose menjaga budak itu hingga pulih pada tahun 1837.
Misteri
[sunting | sunting sumber]Sementara itu, seorang lelaki misteri bernama Monks bersuhabat dengan Fagin untuk mencemar maruah Oliver sekali lagi. Nancy yang ketika ini serba salah kerana kehilangan Oliver sambil khuatir akan keselamatan budak itu, lekas berjumpa dengan Rose Maylie dan Encik Brownlow untuk mengingatkan mereka akan bahaya yang bakal menimpa Oliver. Nancy mengetahui cubaan Monks dan Fagin merampas kebali Oliver dan mengadakan perjumpaan rahsia bersama kenalan-kenalan Oliver yang baik belaka untuk membincangkan apa yang harus dilakukan untuk menyelamatkan budak malang itu.
Pada masa yang sama, Noah Claypole sudah merenggangkan hubungan dengan pengurus mayat bernama Encik Sowerberry itu, mencuri duitnya dan berpindah ke London bersama kekasihnya Charlotte. Dengan menyamar sebagai "Morris Bolter", Noah menyertai kumpulan Fagin untuk mendapatkan perlindungan. Ketika bermalam bersama Fagin, Artful Dodger ditangkap setelah mencuri kotak tembakau perak, dihukum dalam perbicaraan (yang agak mencuit hati) lalu dihantar ke Australia. Kemudian, Noah dihantar oleh Fagin untuk mengintip Nancy, lalu mengetahui rahsianya. Fagin naik angin lalu memutar-belitkan maklumat tersebut seolah-olah Nancy yang memberitahunya sendiri untuk disampaikan kepada Sikes (sebenarnya, Nancy sedang melindungi Sikes yang tercinta walaupun bengis). Sikes percaya Nancy menderhakai kumpulan Fagin lalu membunuhnya dengan rasa penuh kemarahan, tetapi tergantung diri hingga mati apabila melarikan diri di atas bumbung rumah sambil dikejar perusuh.
Peleraian
[sunting | sunting sumber]Monks dipaksa oleh Encik Brownlow (kawan lama bapa Oliver) untuk mendedahkan rahsianya: nama sebenarnya ialah Edward Leeford, iaitu abang tiri Oliver yang berkongsi bapa, biarpun lahir dalam nikah, namun dia juga lahir kepada pasangan suami isteri yang saling tidak mencintai. Ibu Oliver, iaitu Agnes, ialah kekasih sebenar bapa Oliver dan Monkes. Encik Brownlow yang memiliki gambar Agnes, mula tertanya-tanya setelah mendapati adanya persamaan antara paras rupa Agnes dan Oliver. Sudah bertahun-tahun Monks mencari seorang lagi anak kepada bapanya, bukan untuk berbaik tetapi hendak menghancurkannya. Brownlow meminta Oliver agar menyerahkan separuh warisannya (yang tidak seberapa) kepada Monks kerana hendak memberinya peluang kedua; Oliver patuh kerana hendak mentaati Brownlow. Monks berpindah ke Amerika, di mana dia memboroskan duitnya, kembali ke kancah jenayah, lalu mati dalam penjara. Fagin ditahan lalu dihukum gantung hingga mati. Oliver mengunjungi Newgate Gaol untuk menjenguk Fagin buat kali terakhir pada hari sebelum penggantungannya (ketika ketakutan Fagin menyebabkan dirinya dijangkiti demam).
Rupa-rupanya Rose Maylie adalah adik kepada ibu Oliver; maka dia adalah ibu saudara kepada Oliver. Rose mengahwini kekasihnya Harry, sementara Oliver berbahagia bersama penyelamatnya, Encik Brownlow. Noah menjadi seorang pemberi maklumat separa profesional berbayar untuk pihak polis. Keluarga Bumble kehilangan pekerjaan mereka lalu jatuh papa kedana, lambat-laun terpaksa berpeluh dalam bengkel sama yang mereka pernah memperhambakan Oliver dan kanak-kanak lain; dan Charley Bates yang terperanjat oleh pembunuhan Nancy of Sikes, menjadi seorang warga yang berguna, berpindah ke luar bandar, dan berusaha hingga mengecapi kemakmuran.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Ackroyd, Peter; Dickens. New York: HarperCollins, 1990, pp. 216-7
- ^ Donovan, Frank. The Children of Charles Dickens. London: Leslie Frewin, 1968, pp. 61-62
- ^ Dunn, Richard J.. Oliver Twist: Whole Heart and Soul (Twayne's Masterwork Series No. 118). New York: Macmillan, p. 37.
- ^ Oliver Twist, Or, The Parish Boy's Progress By Charles Dickens, Contributor Philip Horne Published by Penguin Classics, 2003 pg 486 ISBN 0141439742
- ^ Ackroyd, Peter 'Dickens' London, Sinclair-Stevenson, (1990) pg 216 ISBN 1856190005
- ^ 'Bentley's Miscellany', 1837
- ^ Oxford Reader's Companion to Dickens (Paul Schlicke, Editor). Oxford: Oxford University Press, 1999, p. 141.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
Wikipetik mempunyai koleksi petikan mengenai: Oliver Twist |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Oliver Twist |
Teks dalam talian
[sunting | sunting sumber]- Oliver Twist at Internet Archive.
- Oliver Twist, sebuah buku elektronik bebas di Projek Gutenberg
- Oliver Twist - easy to read HTML version
- Oliver Twist Diarkibkan 2007-03-10 di Wayback Machine - searchable HTML version
- Oliver Twist audiobook (english language)
- Oliver Twist - free user friendly PDF Diarkibkan 2010-05-21 di Wayback Machine