Nyepi
Nyepi هاري راي ڽڤي | |
---|---|
Observed by | Penganut agama Hindu di Bali, Indonesia |
Observances | Berdiam diri dalam rumah, menjauhi kegiatan pekerjaan atau hiburan |
Date | sekitar bulan Mac dan April |
Nyepi ialah perayaan Hindu yang diraikan pada setiap hari tahun baru di Bali dalam takwim Saka. Nyepi berasal daripada perkataan "sepi" (sunyi, senyap). Nyepi sebenarnya merupakan perayaan Tahun Baru Hindu berdasarkan takwim Saka yang bermula sejak tahun 78 Masihi. Tidak seperti perayaan tahun baru Masihi, Tahun Baru Saka di Bali dimulakan dengan menyepi. Oleh itu, kegiatan seharian adalah dilarang sama sekali pada hari ini termasuk perkhidmatan awam termasuk sekali penerbangan, tetapi khidmat perubatan seperti hospital dikecualikan.
Tujuan utama sambutan Nyepi ialah memohon kepada tuhan agar menyucikan Buwana Alit (alam manusia) dan Buwana Agung/macrocosmos (alam semesta). Sebelum Hari Raya Nyepi, terdapat beberapa upacara yang diadakan oleh penganut Hindu khususnya di pulau Bali.
Sambutan
[sunting | sunting sumber]Melasti dan Buta Yadnya
[sunting | sunting sumber]Dua hingga empat hari sebelum Nyepi, upacara Melasti dianjurkan oleh pihak pura (kuil) dengan membawa segala kelengkapan suci dari kuil ke pantai atau danau kerana air laut atau danau merupakan sumber air suci (tirta amerta) yang dipercayai boleh membersihkan segala pencemaran dalam diri manusia dan alam.
Pada sehari sebelum Nyepi, diadakan upacara Buta Yadnya yang terdiri daripada dua bahagian iaitu mecaru dan ngrupuk. Penganut agama Hindu di Bali memulakan upacara ini dengan menyediakan sesajian caru atau tawur sebagai sembahan kepada puaka Buta Kala dengan memohon agar ia tidak mengganggu para penganut. Caru ini biasanya terdiri daripada nasi manca warna (lima warna) dalam sembilan tanding (bungkus), beserta lauk-pauk seperti ayam brumbun (berwarna-warni) disertai tetabuhan (arak atau tuak). Disusulinya pula oleh ngrupuk yang dilaksanakan dengan menyebarkan nasi tawur di merata perkampungan, memasang obor dan menyembur garam mesiu di keliling rumah serta membuat suasana riuh-rendah untuk menjauhkan gangguan Buta Kala. Di Bali, acara ngrupuk dikenali dengan patung ogoh-ogoh yang berwajah serba mengerikan, iaitu lambang puaka dan kejahatan, yang diarakkan di seluruh kampung lalu akhirnya dibakar.
Hari Nyepi
[sunting | sunting sumber]Hari Nyepi disambut dari pukul enam pagi hingga enam pagi hari berikutnya untuk tujuan refleksi kendiri sahaja. Kebanyakan kegiatan seharian serta segala bentuk riadah dan hiburan adalah dilarang sama sekali pada hari kebesaran ini berpandukan Catur Brata Penyepian (Empat Rukun Penyepian) yang membimbing para penganut Hindu untuk menghindari kegiatan duniawi untuk seketika. Empat rukun tersebut adalah seperti berikut:
- Amati Geni: Dilarang menyalakan api atau apa-apa sumber cahaya termasuk membuka api dapur. Oleh itu, penganut Hindu berpuasa pada hari ini.[1]
- Amati Karya: Dilarang bekerja. Pekerjaan ini merangkumi semua bentuk perniagaan swasta dan kebanyakan besar perkhidmatan awam termasuk penerbangan (sehingga lapangan terbangnya terpaksa ditutup pada hari ini). Hanya sektor perubatan, keselamatan dan kecemasan dibenarkan beroperasi pada hari ini.
- Amati Lelungan: Dilarang keluar rumah dan bersiar-siar, apatah lagi memandu kenderaan.
- Amati Lelanguan: Dilarang melibatkan diri dalam kegiatan hiburan atau riadah. Oleh itu, penganut Hindu di Bali tidak boleh sesekali memasang radio atau TV atau benda-benda seumpamanya yang meriuhkan suasana dan menghiburkan di rumah, apatah lagi beriadah di kawasan hiburan.
Peraturan Catur Brata Penyepian ini dikuat kuasa oleh pegawai seakan-akan polis agama yang dikenali sebagai pecalang yang meronda di sekitar kawasan penempatan penganut untuk memastikan agar peraturan ini dipatuhi dan dihormati oleh semua termasuk penduduk bukan Hindu dan pelancong asing. Segala penghindaran diri ini ialah tanda membuka lembaran baru yang serba kosong, suci dan bersih daripada segala pencemaran diri sempena tahun baru. Untuk mengisi masa, penganut Hindu yang warak melakukan kegiatan pertapaan atau yoga.
Pada hari kedua tahun baru Bali, setelah selesainya kewajipan menyepi, perayaan Nyepi diakhiri oleh kegiatan Ngembak Geni yang mana kaum keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga bermaaf-maafan sesama sendiri atas kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan oleh mereka sepanjang tahun yang lalu.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Nyepi: the balinese silence, eSsortment, 2002. Dicapai pada 18 Mac 2010.