Pergi ke kandungan

Nunuk Ragang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Nunuk Ragang

Nunuk Ragang merupakan tapak yang secara tradisinya dianggap sebagai lokasi rumah asal nenek moyang orang Kadazan-Dusun, yang mendiami sebahagian besar Borneo utara. Tapak itu terletak berhampiran sebuah kampung bernama Tampias, terletak di persimpangan kiri (Liwagu Kogibangan) dan kanan (Liwagu Kowananan) cawangan Sungai Liwagu di timur Ranau dan Tambunan di Sabah. Kedua-dua cabang sungai itu bergabung mengalir ke Sungai Labuk dan mengalir keluar ke Laut Sulu. Diasaskan di bawah pokok beringin gergasi, dikatakan mampu memberi teduhan kepada sebuah rumah panjang yang mempunyai 10 keluarga di dalamnya. Legenda tentang Nunuk Ragang telah diturunkan melalui tradisi lisan kepada generasi muda. Tiada penggalian arkeologi telah dijalankan untuk membuktikan kebenaran legenda itu.

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Istilah Nunuk Ragang yang bererti "pohon ara merah" telah tertanam sangat dalam pada ingatan setiap orang kaum Kadazan-Dusun. Dikatakan bahawa pada dahulukala, nenek moyang orang Kadazan-Dusun mendiami sebuah rumah panjang yang letaknya di pertemuan Sungai Liwagu Kogibanagan (cabang kiri), Liwagu Kawananan (cabang kanan) dan Sungai Labuk. Terdapat sepuluh pintu keluarga pada Rumah panjang tersebut yang letaknya di bawah sepohon ara besar berkulit kemerah-merahan.[1]

Setakat ini tidak ada kajian arkeologi dilakukan di kawasan Nunuk Ragang dan belum juga ada laporan penemuan sebarang relik arkeologi untuk membuktikan kewujudan masyarakat kuno Nunuk Ragang. Apa yang ada sebagai warisan ialah tangon doh guluh guluh (cerita dahulukala dari nenek moyang) ditanam dalam minda mereka dan "sagiaan fisikal" (harta milik bersama) yang telah dibagi-bagikan sesama mereka dan harus disimpan oleh setiap suku sampai ke hari ini.

Pekerjaan seharian masyarakat kuno Nunuk Ragang ialah memburu binatang dan mengumpul hasil hutan serta menangkap ikan dan siput sungai. Mereka juga bercucuk tanam sayaur-sayuran, iaitu penanaman keledek, keladi dan ubi kayu. Amalan penanaman padi sawah belum wujud.

Masyarakat awal Kadazan-Dusun menunjukkan kesepakatan mitoluod dan kerjasama mitatabang dalam melakukan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Sebelum mereka menetapkan tugas dan tanggungjawab masing-masing mereka selalu adakan pitimburungakkan iaitu mesyuarat untuk menentukan kaum keluarga atau penghuni rumah mana yang akan bertanggunjawab dalam sesuatu bidang tugas. Tahun yang tepat nenek moyang orang Kadazan-Dusun mula mendiami Nunuk Ragang tidak diketahui. Walau bagaimanapun dengan membuat suatu projeksi berdasarkan anggaran bahawa setiap pintu rumah dalam penempatan awal di Nunuk Ragang didiami oleh 5 orang, kemudian mengunakan kadar pertumbuhan purata 1.7 peratus setiap tahun, maka dalam jangka masa kurang lebih 600 tahun jumlah penduduk Kadazan-Dusun di Sabah boleh mencecah lebih 500,000 orang. Ini membawa kita kembali ke tahun antara 1590 – 1610 bagi penempatan awal Nunuk Ragang. Banci kependudukan 2010 menunjukkan bahawa wujud 555,647 orang Kadazan-Dusun di Sabah.[1]

Asal usul suku-suku

[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Nunuk Ragang berkembang dan melalui suatu evolusi sosial.[2] Sepuluh pintu keluarga rumah panjang menjadi asas bagi pertumbuhan dan perkembangan bagi suku-suku di kalangan kaum Kadazan-Dusun yang kini melebihi 30 etnik. Dua faktor utama memainkan peranan dalam pertumbuhan populasi dan variasi suku-suku etnik;

  • Pembahagian bidang tumpuan untuk melaksanakan tugas dan tanggunjawab
  • Pembahagian kawasan tanah yang dipilih untuk penempatan baru.

Setelah rumah panjang di Nunuk Ragang tidak lagi mampu menempatkan semua keturunan maka mereka mengadakan pitimburungakan dan suatu keputusan dicapai untuk membahagi-bagikan kawasan tanah di sekitar Nunuk Ragang. kaum keluarga masing-masing memilih kawasan tanah penempatan dan pembinaan rumah sesuai dengan bidang pekerjaan yang lakukan. Mereka yang tidak mendapat kawasan tengah Nunuk Ragang memilih kawasan penempatan di bahagian luar atau dalam bahasa Kadazan-Dusun id saliwan. Kini keluarga yang membuat penempatan id saliwan menjadi etnik yang dikenali sebagai Liwan. Mereka yang biasanya terlibat dalam pekerjaan pemungutan dan pembekal rotan atau dalam bahasa Kadazan-Dusun "tuai" memilih untuk mendiami tempat yang dekat dengan sumber rotan atau kituaion. Keluarga tersebut berkembang menjadi etnik Tuaion atau Tuawon. Keluarga yang mendiami kawasan tanah di Nunuk Ragang yang banyak terdapat pokok mangga jenis "bundu" mendapat gelaran orang Bundu. Kaum keluarga yang mempunyai sifat kuat, agresif dan memiliki sifat kepahlawanan, mendapat nama sebutan Tagahas yang bererti kuat.[2]

Demikianlah kemunculan puak-puak yang pada zaman ini berjumlah lebih 30 subetnik Kadazan-Dusun. Sebagai contoh ada mereka ditugaskan sebagai penjaga keamanan untuk melindungi penempatan awal di Nunuk Ragang.

Istilah Dusun, dan kemudian Kadazan-Dusun hanya dipakai pada zaman kemunculan politik, selari dengan kemunculan kesultanan Brunei, pemerintahan British dan kemudian kemerdekaan dalam Malaysia. Kaum Kadazan-Dusun menikmati zaman keamanan dan kelimpahan untuk jangka masa yang agak panjang di Nunuk Ragang.[2]

Secara geografi, Kedudukan Nunuk Ragang adalah di Daerah Ranau, pada pertemuan dua buah sungai yang iaitu Liwagu Kogibangan (cabang Kiri Liwagu) dan Liwagu Kowananan (cabang Kanan Liwagu). Perkataan "Liwagu" ialah singkatan frasa "muli wagu" yang bererti "akan pulang semula". Kedua-dua sungai ini seterusnya bertemu dan menghilir masuk ke sebuah sungai yang lebih besar ia itu Labuk Sugut sehingga bermuara ke Lautan Sulu di bahagian Pantai Timur Sabah.

Dari Nunuk Ragang nenek moyang semua suku-suku Kadazan-Dusun keluar dalam migrasi besar-besaran pada zaman lampau, sehingga keturunan mereka terpencar luas sampai ke Tarakan, Kalimantan, dan Tutong, Brunei.

Penyebab bagi migrasi tersebut adalah apa yang disebut oleh nenek moyang sebagai gangguan dari Minorit.[2]

Pada waktu nenek moyang Kadazan-Dusun mendiami sebuah rumah panjang dengan 10 pintu keluarga di Nunuk Ragang mereka menganuti hanya satu agama iaitu Momolianism. Agama ini berkait rapat dengan alam semula jadi di sekeliling mereka.[3] Sebelum mereka masuk ke ladang mereka memohon pertolongan roh untuk memberi perlindungan. Sebelum mereka menjamah makanan yang diburu mereka akan memotong secebis dan meyerahkannya dengan hormat kepada roh yang dipercayai memberikannya. Sebelum mereka menebang pokok atau membersihkan hutan mereka akan adakan acara memohon izin dari roh yang menghuni di hutan.[4]

Tekanan Minorit

[sunting | sunting sumber]

Legenda mengenai Nunuk Ragang sebagai penempatan awal kaum Kadazan-Dusun tidak lengkap tanpa menyentuh peranan yang dimainkan oleh apa yang disebut sebagai Minorit.[5] Minorit ialah sejenis mahkluk atau roh-roh yang kecil yang mempunyai bentuk tubuh seperti manusia.

Sebelum abad ke-19, istilah Minorit ini, tidak tercatat dalam mana-mana rekod. Ini disebabkan suku kaum Kadazan-Dusun tidak memiliki sebarang sistem penulisan. Segala maklumat diperturunkan oleh kaum-kaum tua kepada generasi muda hanya melalui cerita. Cerita-cerita tersebut sering kali merupakan sebuah metafora untuk menggambarkan keadaan atau kejadian yang benar, namun perlu disampaikan dalam bentuk metafora untuk menyembunyikan sesuatu keadaan atau melindungi seseorang. Sehingga ke tahun 50-an dan 60-an, semasa generasi muda Kadazan-dusun masih sangat fasih berbahasa ibunda mereka, frasa “Minorit ialoh” (engkau seorang Minorit), “minorit!!” selalu kedengaran dipakai sebagai frasa pernyataan sifat-sifat atau kata luahan kekecewaan. Kini frasa atau perkataan tersebut tidak lagi digunakan mungkin kerana pengunaannya dianggap sebagai ketinggalan zaman oleh generasi siber. Memang benar bahawa frasa atau perkataan tersebut tergolong pada zaman kuno.

Seorang pengkaji etnografi juga arkeologi[5] telah membuat rekod bertulis mengenai istilah ini. Menurut kajiannya perkataan Minorit dipakai oleh suku Dusun Tindal di Tempasuk dan juga oleh suku Dusun Rungus di Matunggong bagi merujuk kepada keadaan atau sifat yang membosankan kerana “terus ada persamaan”. Sebagai contoh frasa “minorit o paka” (semua rumput lalang) dipakai untuk merujuk kepada keadaan tanah yang telah diliputi keseluruhannya oleh tumbuhan yang tidak disukai ia itu rumput lalang, seperti yang kini terjadi meluas dalam daerah Matunggong, Sabah. Usaha pembangunan pertanian pun sangat sukar. Kebakaran liar terjadi setiap musim kemarau dan kawasan tanah hilang kesuburan. Keadaan kemiskinan di kalangan penduduk pula berleluasa.

Suku Kimarangan dan Sonsogon pula mengunakan istilah “minorit o lasu” untuk merujuk kepada keadaan kulit yang telah dijangkiti ruam panas. Pada kulit penghidap ruam panas terdapat banyak bintil-bintil kecil dan sama dari segi saiznya. Ia mengandungi air dan kulit terasa sangat gatal serta pedih.

Akibat krisis Minorit itu, masyarakat Kadazan-dusun gagal menuju dan mencapai ke tahap ketamadunan besar berciri tersendiri dan unik. Namun demikian kaum Kadazan-Dusun tetap memiliki budaya yang unik.  

Pemilihan arah tuju

[sunting | sunting sumber]

Pemencaran dari Nunuk Ragang diawali dengan suatu pitimburungakan. Keputusan dari kaum pendeta wanita pagan atau bobolian memberi penjelasan bahawa andai kata semua suku kaum Kadazan-Dusun tidak berpindah maka seluruh bangsa akan punah akibat serangan dari Minorit. Pemimpin-pemimpin suku-suku mencapai kesepakatan bahawa suku kaum Tagahas (yang kuat) ditugaskan untuk pertahanan belakang (rear guard) sementara suku-suku yang lain secepat mungkin mulai berangkat dari tengah Nunuk Ragang.

Arah tuju perjalanan setiap suku kaum berpandukan pada aliran sungai Liwagu. Suku kaum Rungus, dan suku kaum Tangara mendiami kawasan pirungusan iaitu perkampungan mereka di antara dua anak sungai yang menghilir ke sungai Liwagu. Sampai ke hari ini loghat suku Tangara dan suku Rungus tidak jauh beza walaupun mereka mendiami kawasan yang berjauhan. Kemudian kedua-dua suku ini melencong naik ke utara. Setelah sampai ke Tempasuk melalui lembah Marak-Parak, mereka mengambil keputusan untuk berpecah, satu kumpulan menuju ke Matunggong, dan yang satu lagi ke kawasan pantai Barat, khasnya di Papar dan Penampang.

Suku kaum Tuhawon berangkat keluar dari Nunuk Ragang dalam dua kumpulan. Kumpulan pertama masuk ke suatu lembah kecil yang di ambang masuknya terdapat pusat persinggahan pemburuan dan pengumpulan rotan bernama Tubau-Pudan. Kumpulan suku Tuhawon ini dipimpin oleh seorang ketua suku bernama Tamadon. Lembah Tubau-Pudan ini ialah suatu lembah yang belum pernah dihuni atau diketahui isi dan keluasannya. Setelah sampai ke penghujung lembah tanpa menemui sungai yang baik, kumpulan Tamadon, naik ke pergunungan Trus Madi dan turun ke lembah Tambunan serta mendirikan penempatan baru di Tebilong.[2]

Suku kaum Liwan, yang memang berada di saliwan (luar) Nunuk Ragang telah lebih awal secara beransur-ansur mendiami hampir semua pesisir sungai Liwagu Kogibangan. Pada kurun ke-17 keluarga Bungkar bin Butog, seorang pahlawan suku Liwan sudah mendiami pergunungan di sekitar kampung Pahu. Hanya lebih kurang 20 kilometer memisahkan mereka dari lembah Tambunan.

Pemilihan Tanda Pertalian Persaudaraan

[sunting | sunting sumber]

Sebagai tanda pertalian persaudaraan antara semua suku-suku Kadazan-Dusun, tiga jenis barang-barang yang sangat bernilai dibagi-bagikan kepada setiap suku sebelum berangkat iaitu:

  • sagiaan
  • tangon
  • susuzan

Tangon memain peranan penting dalam masyarakat Kadazan-Dusun. Pengalaman terkumpul yang disampaikan melalui tangon dari generasi yang mendahului kita menjadi pedoman bagi kita untuk kekal selamat dan kemudian pengalaman tersebut perlu diwariskan kepada generasi muda bagi keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka. Berdasarkan tangon maka ada pemilihan atau penapisan terpilih bagi minda-minda yang memiliki kebolehan untuk mengikut prinsip; percaya tanpa soal apa yang diberitahu oleh orang-orang tua.[6]

Metafora Minorit

[sunting | sunting sumber]

Minorit ialah metafora mengenai kemunculan usaha monokulturalisme dalam masyarakat Kadazan-Dusun dan juga kemerosotan sumber alam di Nunuk Ragang. Kedua-dua ini berkait rapat dengan agama nenek moyang kaum Kadazan-Dusun yang pada zaman itu menganuti agama animisme dan menyembah Kinorohingan sebagai Tuhan (bersama Huminodun) dan Bambarayon (roh sumber makanan) sebagai penyelamat mereka. Setelah penanaman padi diperkenalkan dalam masyarakat Kadazan-Dusun, Bambarayon dikait rapat dengan roh padi. Di kemudian hari nanti, di mana pun kaum Kadazan-Dusun membuat penempatan baru, tema monokulturalisme dan perayaan penyelamatan atau penuaian sering mengiringi kehidupan mereka.

Dalam tangon Minorit, dikatakan bahawa pada waktu nenek moyang Kadazan-Dusun tinggal dalam penempatan awal di Nunuk Ragang, ada serangan yang muncul dari tanah dalam bentuk mahkluk-mahluk kecil. Tidak diberitahu apa bentuk senjata yang digunakan oleh puak Minorit. Pakar pengkaji antropologi merekodkan temu bual dengan beberapa orang yang mengatakan bahawa puak Minorit memaksa masyarakat awal Nunuk Ragang untuk mengikut amalan mereka iaitu menghapus kanak-kanak yang baru lahir jika sekiranya kanak-kanak tersebut menunjukkan ciri-ciri akan membesar normal. Puak Minorit hanya memilih anak mereka yang kecil-kecil dengan tujuan mengurangkan pengunaan makanan dan tubuh mereka "semua sama" dari segi saiz. Cerita ini bersifat metafora kerana merujuk kepada sejenis mahluk yang tidak terbukti wujud sampai hari ini namun memberi kesan yang bersifat revolutionaris iaitu melancarkan keluaran besar-besaran dari Nunuk Ragang.

  1. ^ a b Dexton, Bexter (1 Januari 2015). "Asal usul masyarakat kadazandusun". Scribd. Dicapai pada 12 Januari 2019.
  2. ^ a b c d Sabah, Edu (1 Mei 2010). "Agama dan Kepercayaan-Nunuk Ragang". Berita Harian. Dicapai pada 22 Januari 2019.
  3. ^ S. Gottlieb, Roger (1 Januari 2004). "This Sacred Earth Religion, Nature, Environment (Patrick Segundad-P180)". Psychology Press. Dicapai pada 1 Januari 2019.
  4. ^ Unnip Abdullah, Mohd Izham (27 Mei 2015). "Pesta Kaamatan Tingkat Hasil Padi". Berita Harian. Dicapai pada 12 Januari 2019.
  5. ^ a b Ivon Hughs, Norman Evans (1 Januari 1953). "The Religion of the Tempasuk Dusuns of North Borneo(P.30)". University Press. Dicapai pada 20 Januari 2019.
  6. ^ Dawkins, Richard (16 Januari 2008). "The God Delusion (P.203)". Psychology Press. Dicapai pada 20 Januari 2019.