Muhammad Rivai Batubara
Latarbelakang
[sunting | sunting sumber]Dato' Haji Muhammad Rivai Batubara telah dilahirkan pada hari Jumaat, 5 Disember, 1936 di Desa Hutapungkut, Kotanopan, Sumatera Utara, Indonesia. Beliau berkahwin dengan Khalilah binti Syeikh Junid Thala pada tahun 1969 dan dikurniakan 8 orang anak iaitu Ahmad Akhyar, Dr. Aisyah, Ahmad Ansor, Adibah, Ahmad Abror, Ahmad Akhdhor, Afifah dan Atikah.
Beliau telah berhijrah ke Malaysia pada tahun 1973 dan menetap di Malaysia seterusnya dan mendapat taraf kewarganegaran Malaysia sejak tahun 1986.
Keturunan Asal
[sunting | sunting sumber]Beliau berasal daripada keturunan Mandailing daripada marga Batubara. Bapanya bernama Hasyim gelar Sakti Raja Batubara dan ibunya bernama Sarianun Lubis. Menurut ibunya nama beliau diberikan oleh abang sepupunya iaitu Muhammad Nur Lubis. Bapa beliau berasal daripada keturunan si Juangga dan beliau adalah generasi keenam dari keturunan si Juangga.
Sejarah Tempat Kelahiran
[sunting | sunting sumber]Desa kelahirannya ialah Hutapungkut di Kotanopan. Ianya adalah sebuah desa genit yang terselit di celah-celah bukit antara Padang Rahat dengan Tor Sijangggut. Desa ini kelihatan tersangkut dan bergayut-gayut di tepi Batang Pungkut dan menyimpan cerita unik yang berpindah dari mulut ke mulut. Hutapungkut, nama asalnya ialah Huta Gordang. Ianya dibuka dan dibina oleh si Juangga gelar Ja Gordang anak si Bahara.
Asal Usul Marga
[sunting | sunting sumber]Asal ususl marga Batubara adalah daripada Si Bahara. Abang si Bahara bernama si Daulat – asal marga Daulay. Dan adiknya bernama si Pitu Tondang – asal marga Matondang. Mereka bertiga anak Datu Porkas yang tinggal di Lumban Joring. Datu Porkas anak Daulat Parmato Sapiak yang tinggal di Lumban Torop Padang Bolak.[perlu rujukan] Daulat Parmato Sapiak anak Mangaraja Rindang Sabolaon yang tinggal di Kuala Bila. Mangaraja Rindang Sabolaon anak Mangaraja Pidondang yang tinggal di Silampuyang. Mangaraja Pidondang anak Muhammad Rasyad gelar Tuanku Nangkodo Rajo tinggal di negeri Aceh. Beliau datang dan berhijrah dari negeri Hindustan ke negeri Aceh.
Pendidikan
[sunting | sunting sumber]Awal
[sunting | sunting sumber]Di awal kehidupan, beliau masih sempat melalui zaman penjajahan Belanda sehinggalah Jepun sehingga tahun 1942.
Pada tahun kedua Jepun menduduki Sumatera (1943), beliau memulakan pembelajaran di Sekolah Rendah. Bangunan sekolahnya amat sederhana. Beliau pergi ke sekolah setiap hari hanya membawa batu tulis iaitu batu pipis hitam yang mempunyai bingkai dan saiznya lebih besar sedikit dari buku tulis biasa. Beliau dipaksakan belajar tulisan Jepun, bahasa Jepun dan lagu-lagu Jepun. Sebelum masuk kelas setiap hari disuruh berhimpun di hadapan kelas membuat senaman ringkas dan diakhiri dengan perintah keree iaitu membungkukkan badan untuk menghormati Maharaja Jepun Tenno Heika dan menyanyikan lagu kebangsaan Jepun Kimigayo. [perlu rujukan]
Kemerdekaan Indonesia dari penjajah Belanda dan Jepun diisytiharkan pada tanggal 17 Ogos 1945. Ketika perisytiharan kemerdekaan ini, beliau berada pada tahun 3 Sekolah Rendah di Hutapungkut. Suasana kemerdekaan telah membawa perubahan dalam pembelajaran. Buku-buku teks mula diperkenalkan samada yang ditulis dalam Bahasa Mandailing atau Bahasa Indonesia. Pada sebelah petang pula, beliau juga berpeluang belajar tulisan Jawi dan asas pelajaran Arabiah di madrasah Ihsaniah di Hutapungkut. Pembelajaran beliau di peringkat Rendah berakhir pada tahun 1949.
Si Bulus Bulus Si Rumbuk Rumbuk
[sunting | sunting sumber]Di antara buku teks dalam bahasa ibundanya yang diminati olehnya[perlu rujukan] ialah buku "Si Bulus Bulus Si Rumbuk Rumbuk". Ianya ditulis dalam bahasa Mandailing yang amat puitis, indah, halus dan mempesonakan. Beliau tertawan dengan nasihat nasihat yang dalam yang diselitkan dicelah-celah rangkap syairnya yang menawan dan juga sindiran dan kritikan tajam kepada penguasa Belanda yang disusun dengan gaya personafikasi dan bahasa perlambangan yang cukup menarik. Begitu besarnya pengaruh buku ini kepadanya. Penulis buku ini ialah Willem Iskander atau nama asalnya Sati Nasution.
Menengah
[sunting | sunting sumber]Pada awal tahun 1950, beliau memasuki Madrasah Musthafawiyyah di Purba Baru. Beliau diterima masuk di kelas 2 (tahun 2) kerana beliau memiliki asas pelajaran Arabiah iaitu ketika belajar di Madrasah Ihsaniah di Hutapungkut. Buku buku teks yang dipelajari adalah kitab-kitab Arab yang tidak berbaris. Beliau mengalami pengalaman belajar secara "pendekatan pondok" dan hidup berdikari dengan mengurus sendiri kehidupan remajanya iaitu masak dan mencuci kain sendiri. [nyatakan menurut siapa?]
Pada pertengahan tahun 1953 di tahun 5, beliau menyambung pengajiannya di Madrasah Sumatera Thawalib di Parabek, Bukittinggi, Sumatera Barat di dalam Kulliah Diyanah. Pada ketika ini Madrasah Sumatera Thawalib dipimpin oleh Abdul Muis Sutan Batungkek Ameh (menantu Syeikh Ibrahim Musa) iaitu seorang intelek dan pengarang buku-buku teks terkenal di Indonesia. Sistem pembelajaran di Sumatera Thawalib mengalami perubahan iaitu dibahagi kepada dua peringkat. Dari tahun 1 hingga tahun 4 dinamakan Sumatera Thawalib. Manakala dari tahun 5 hingga tahun 7 sistem pembelajarannya dinamakan sebagai Kulliah Diyanah. Sementara pelajaran akademik yang disebut vak-vak umum mula dimasukkan lebih intensif untuk menyesuaikan dengan perkembangan pendidikan di Indonesia selepas Indonesia mencapai kemerdekaan.
Pada pertengahan tahun 1956, beliau menamatkan pelajaran di Kulliah Diyanah dan menduduki tempat teratas. Beliau mendapat perhatian cukup besar daripada guru-guru dan pemimpin madrasah Sumatera Thawalib Parabek. Direktur (Guru Besar) waktu itu ialah Abdul Muis Sutan Batungkek Ameh yang menyarankan kepadanya supaya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Ekonomi Atas (S.M.E.A.) di Padang, Sumatera Barat. Dalam peperiksaan sekolah menengah kerajaan sebelumnya, beliau mendapat keputusan yang baik juga dan melayakkannya untuk menyambung pelajaran ke sekolah tersebut. Bagaimanapun beliau tidak berminta kerana cita-citanya adalah untuk menyambung pelajaran ke Perguruan Tinggi Islam.[perlu rujukan]
Pengajian Tinggi
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1961, beliau menyambung pengajiannnya di Universiti Islam Sumatera Utara di Medan dan menamatkan penjaiannya pada tahun 1964 di dalam Fakulti Agama dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah. Pada tahun 1965, beliau menyambung pengajiannnya di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1969 di dalam Fakulti Syariah dan mendapat Ijazah "Licence" Syari'ah (bertaraf Sarjana Muda Syari'ah).
Penglibatan Da'wah
[sunting | sunting sumber]Beliau kini adalah seorang Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk)[1] dan juga Ahli Jawatankuasa Syariah MAIAMPk.
Sumbangan Penulisan
[sunting | sunting sumber]Di antara sumbangan karya beliau di dalam bentuk sumbangan ilmu dan idea, penterjemahan dan karyanya ialah:-
- Syeikh Junid Thala ulama terkenal di Mandailing dan Perak[2]
- Mendekati Al Qur'an (karangan bersama anaknya, Haji Ahmad Akhyar)[3]
- Prinsip-prinsip Dakwah Salafiyyah karangan Abdul Rahman Abdul Khaliq, sebagai penterjemah[4]
Penghargaan
[sunting | sunting sumber]- Tokoh Ma'al Hijarh Peringkat Negri Perak (1430H) pada tahun 2008[5]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Ahli-Ahli Majlis". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-25. Dicapai pada 2012-12-26.
- ^ Syeikh Junid Thala ulama terkenal di Mandailing dan Perak
- ^ http://webopac.pnm.gov.my/lib/item;jsessionid=34DBB34011F8C43C638B981E3F2E419F?id=chamo:663157[pautan mati kekal]
- ^ http://webopac.pnm.gov.my/search/query;jsessionid=102B6D562CA2040B76732C4AF6B3A22E?match_1=PHRASE&field_1=a&term_1=Muhammad+Rivai+Batubara,+Haji[pautan mati kekal]
- ^ Sambutan Ma'al Hijrah 1430H Di Seluruh Negara Sederhana Tetapi Meriah