Masjid Diraja Sultan Suleiman
Masjid Diraja Sultan Suleiman | |
---|---|
Masjid Suleiman مسجد دراج سلطان سليمان | |
Info asas | |
Lokasi | Klang, Selangor, Malaysia |
Koordinat geografi | 3°02′05″N 101°27′01″E / 3.03472°N 101.45028°EKoordinat: 3°02′05″N 101°27′01″E / 3.03472°N 101.45028°E |
Negara | Malaysia |
Penerangan seni bina | |
Arkitek | Leofric Kesteven |
Jenis seni bina | - |
Pecah tanah pada | 1932 |
Disiapkan pada | 1933 |
Kos pembinaan | - |
Spesifikasi | |
Kapasiti | 1000 |
Bil. menara masjid | 1 |
Tinggi menara masjid | 136 kaki |
Masjid Diraja Sultan Sulaiman telah dibina pada tahun 1932, sempena pemasyhuran Kelang sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Selangor. Ia adalah satu pemberian dari kerajaan Inggeris kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima. Perasmian masjid ini telah di sempurnakan oleh baginda di 1934 dikenali dengan nama Masjid Sulaiman Jamaar Rahmah.
Masjid ini pernah dijadikan Masjid Besar Selangor sehinggalah terbina Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Bandar Shah Alam. Sekarang dirasmi sebagai Masjid Diraja Sultan Sulaiman, Kelang.
Masjid ini terletak bersebelahan dengan Istana Besar Selangor, Istana Alam Shah dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), yang dahulunya termasuk dalam perkarangan istana. Didalam masjid ini juga terdapat satu daripada tiga kubur diraja iaitu Makam Diraja Sultan Sulaiman, kelang.
Seni bina
[sunting | sunting sumber]Konsep rekabentuk Masjid Diraja Sultan Suleiman di Bandar Diraja Klang agak berlainan dari mana-mana masjid yang ada di negeri Selangor mahupun di Malaysia. Daripada hasil bacaan buku-buku sejarah Malaysia, ada yang mengatakan Masjid Sultan Suleiman mempunyai pengaruh campuran senibina Islam Moorish dan senibina Inggeris. Ada pula yang mengatakan Masjid Sultan Suleiman berkonsepkan Art Deco kerana elemen dekoratif yang minima digunapakai di sini. Penggunaan geometri yang mudah pada pelan masjid juga menjurus kepada Art Deco.
Masih terdapat unsur-unsur klasikal terutama pada tiang, namun ianya agak minimal. Kubah masjid berbentuk separuh bulatan (separa hemisfera) berwarna kuning telur (tidak keemasan). Kubah besar ruang solat utama dikelilingi oleh beberapa kubah yang lebih kecil.
Terdapat 8 menara kecil disekeliling masjid dan satu menara besar lagi tinggi dibahagian tengah laluan masuk dari anjung utama. Menara ini juga dihiasi dengan kubah kuning di puncaknya. Arkitek yang mereka-bentuk masjid ini ialah L.Keste Vend. Masjid ini boleh menampung lebih kurang 1000 jemaah dalam satu masa. Masjid Sultan Suleiman yang ada sekarang ini telah pun melalui beberapa proses pengubahsuaian dalaman dan di kawasan 'courtyard' bangunan asal. Rekabentuk asalnya bagaikan sebuah palang salib jika dilihat dari atas, seperti yang selalu digunapakai dalam pelan-pelan gereja di Eropah. Namun sekarang bentuk Masjid Sultan Suleiman sudah kelihatan seperti segi empat hasil pengubahsuaian oleh Jabatan Agama Islam Selangor.
Ruang solat utama Masjid Diraja Sultan Suleiman berbentuk oktagon (segi lapan) di bahagian bawah dan mula bertukar ke bentuk bulat pada aras 10 meter. Sebelah dalam kubah utama boleh dinaiki kerana ianya mempunyai dua aras seperti balkoni. Aras keduanya boleh diakses dengan 'catladder'. Ada satu lapisan kerangka besi dekoratif dibawah kubah digunakan untuk menyokong 'gelas warna' yang disusun ber'pattern'.
Trivia
[sunting | sunting sumber]Tempat wuduknya adalah yang asal, tetapi kolah wuduk telahpun diubahsuai. Kolah yang asal berada pada aras tanah. Kolah sekarang telah dinaikkan ke paras 600mm dan disediakan pili air. Pintu pagar besi dekoratif di setiap laluan masuk ber'arch' adalah yang asal.
Lantai asal Masjid Diraja Sultan Suleiman disudahi dengan marmar putih dengan kambi (skirting) marmar setinggi 400mm. Sayang sekali ianya telah ditutupi dengan jubin baru.
Mihrab Masjid Sultan Suleiman telah diubahsuai. Mihrab asal berlantaikan marmar dan mempunyai pancaran cahaya lampu dari lantai tersebut. Sekarang ini, seperti semua masjid-masjid di Malaysia, ruang solat utama Masjid Sultan Suleiman sehingga ke mihrab disudahi dengan permaidani. Dinding mihrab disaluti dengan plaster gypsum dekoratif .
Mimbar kayu keras dengan susur tembaga asli dekoratif adalah yang asal. Unsur-unsur gereja Eropah masih jelas terlihat didalam masjid ini. Antara pengaruh gaya seni bina Barat yang dapat dilihat pada masjid ini ialah ukiran di mimbar yang nampak seolah-olah seperti salib sekiranya diperhatikan dengan teliti. Namun, ukiran tersebut tidak boleh dibuang kerana ia akan merosakkan keasliannya. Untuk itu, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan menutup ukiran tersebut dengan ayat Kursi[1].
Info menarik untuk diketahui, ditepi masjid terdapat tangga yang digelar tangga diraja iaitu tangga yang menghubungkan Istana Alam Shah dan Makam Diraja Klang. Unsur-unsur lama yang masih dikekalkan ialah cermin berwarna-warni yang boleh dilihat di bahagian atas kubah masjid.
Walaupun, sudah berusia lebih separuh abad, bangunan masjid ini masih kukuh dan teguh. Misalnya, pintu besi yang terdapat di sekitar masjid tidak pernah ditukar melainkan ditukar dengan cat baru. Begitu juga dengan mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal dan chandeliar masih bertahan sehingga ke hari ini. Batu-bata dan marmar yang diimport dari negara-negara Islam seperti Turki menjadikan suasana pengudaraan dalam masjid nyaman dan menenangkan.
Kegunaan
[sunting | sunting sumber]Masjid ini pernah menjadi masjid negeri Selangor. Maka majlis-majlis rasmi berkaitan dengan Islam seperti sambutan Maulidur Rasul dan Aidil Fitri peringkat negeri pernah diadakan disini. Masjid ini juga memberi sumbangan yang amat besar bagi pelajar pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, atau nama lamanya Kolej Islam Malaya dan Kolej Islam Kelang.