Pergi ke kandungan

Lucifer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kejatuhan Iblis/Lucifer, ilustrasi Gustave Doré untuk Paradise Lost oleh John Milton

Lucifer adalah nama yang seringkali diberikan kepada syaitan (Iblis) dalam kepercayaan Kristian berdasarkan penafsiran dari sebuah ayat dalam Kitab Yesaya, Bible. Penggunaannya berasal daripada pelbagai tafsiran, sebagai rujukan kepada iblis yang jatuh (dari syurga) kepada nama syaitan sebelum ia diusir dari syurga.

Dalam bahasa Latin, kata "Lucifer" yang bererti "Pembawa Cahaya" (dari lūcis, "cahaya", dan ferro, "membawa"), ialah nama untuk "Bintang Fajar" (planet Zuhrah) ketika muncul pada dini hari). Versi Vulgata Kitab Bible dalam bahasa Latin menggunakan kata ini dua kali untuk merujuk kepada Bintang Fajar: sekali dalam 2 Petrus 1:19 untuk menterjemahkan kata bahasa Yunani "Φωσφόρος" (Fosforos), yang mempunyai erti harfiah yang persis sama dengan "Pembawa Cahaya" yang dimiliki "Lucifer" dalam bahasa Latin; dan sekali dalam Yesaya 14:12 untuk menerjemahkan "הילל" (Hîlēl), yang juga bererti "Bintang Fajar". Dalam ayat yang kemudian nama "Bintang Fajar" diberikan kepada Raja Babylon yang zalim, yang dikatakan oleh nabi akan jatuh. Ayat ini kemudiannya diberikan kepada raja iblis, dan dengan demikian nama "Lucifer" kemudian digunakan untuk syaitan, dan dipopularkan dalam karya-karya seperti "Inferno" oleh Dante dan "Paradise Lost" oleh Milton, tetapi bagi para pengguna bahasa Inggeris, pengaruhnya yang terbesar disebabkan kerana nama ini digunakan dalam Kitab Bible Versi Raja James, sementara versi-versi bahasa Inggeris lainnya menterjemahkannya dengan "Bintang Fajar" atau "Bintang Siang".

Sepotong nas serupa dalam Kitab Yehezkiel 28:11-19 mengenai Raja Tirus juga diberikan kepada syaitan, sehingga menambahkan gambaran lain kepada gambaran syaitan dan kejatuhannya yang tradisional.