Pergi ke kandungan

Lenggok jalan kuda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Turutan animasi kuda bergerak oleh Eadweard Muybridge

Terdapat pelbagai lenggok atau gaya berjalan yang boleh dilakukan oleh kuda, sama ada secara semula jadi ataupun sebagai hasil daripada latihan khusus oleh manusia.[1]

Pengelasan

[sunting | sunting sumber]

Setidak-tidaknya terdapat dua golongan lenggok kuda, iaitu gaya "semula jadi" yang digunakan oleh hampir setiap kuda tanpa latihan khusus, dan gaya "gontai" iaitu corak langkahan kaki lancar yang mungkin terdapat pada sesetengah individu tetapi hanya terdapat pada sesetengah baka, malah sering memerlukan latihan khusus terhadap kuda sebelum dapat diperintah oleh penunggang.[1]

Lenggok "semula jadi", dari perlahan ke pantas, ialah jalan, trot, kanter, dan derap (atau congklang).[2] Sesetengah orang mengira tiga jenis kerana menganggap kanter itu sebagai kelainan derapan, walaupun kanter berbeza dengan berdepak tiga sedangkan derapan berdepak empat. Keempat-empat gaya ini terdapat dalam kalangan kuda liar. Biarpun lenggok sederhana yang lain juga azali dalam sesetengah kuda, namun empat gaya asas ini terdapat di hampir semua baka kuda.[1] Sesetengah kuda menggantikan trot dengan ligasan atau gontaian.[2] Lazimnya sekali, kuda yang boleh bergontai juga boleh bertrot.

Lenggok "semula jadi"

[sunting | sunting sumber]
Jalan empat depak

Dalam ilmu perkudaan, bidang berjalan (bahasa Inggeris: walking) berdepak empat dan purata kelajuannya sekitar 4 miles per jam (6.4 km/j). Apabila berjalan, kuda-kuda kaki menurut turutan berikut: kiri belakang, kiri hadapan, kanan belakang, kanan hadapan, secara rentak nalar 1-2-3-4. Kuda berjalan dengan sentiasa mengangkat sebatang kaki sambil memijakkan tiga kaki yang lain, kecuali untuk seketika apabila berat badan dipindahkan dari sebatang ke sebatang kaki. Kuda mengangguk-anggukkan kepala dan lehernya sedikit-sedikit demi menjaga imbangan.[3]

Gaya trot berdepak dua menggunakan pasangan kaki pepenjuru. Perhatikan kuda ini mengangkat kaki kiri hadapan dan kaki kanan belakang sekaligus.

Trot adalah gaya berdepak dua yang banyak variasi dalam julat kelajuan yang mungkin dalam purata 8 miles per jam (13 km/j). Trot yang amat perlahan juga dipanggil jog atau larian anak. Trot yang teramat cepat tiada nama khususnya, tetapi dalam lumba kuda abah-abah, trot Standardbred lebih cepat daripada derapan kuda bukan lumba yang biasa.[4]

Dalam lenggok ini, si kuda menggerakkan kakinya serentak secara pasangan pepenjuru. Dari sudut pandangan imbangan kuda, lenggok ini amat stabil, maka kuda tidak memerlukan sebarang gerakan imbangan yang ketara pada kepala dan leher.[4]

The Fairman Rogers Four-in-Hand (1879–80) oleh Thomas Eakins, lukisan cat pertama dalam sejarah yang menunjukkan secara persis cara pergerakan kuda berasaskan analisa fotograf yang sistematik. Eakins mendasarkannya atas gambar-gambar foto oleh Eadweard Muybridge (1878) terhadap kuda trotter "Abe Edgington".

Bergantung pada si kuda dan kelajuannya, trot mungkin sukar untuk diduduki oleh penunggang kerana tubuh kuda sebenarnya menurun sedikit pada selang depak, lalu mengenjut kembali apabila sepasang kaki selanjutnya memijak tanah. Setiap kali sepasang lagi pepenjuru kaki memijak tanah, penunggang mungkin terenjut dari pelana lalu kembali menyentuh kudanya dengan sedikit daya. Oleh itu, pada kebanyakan kelajuan yang melebihi jog, kebanyakan penunggang melakukan posting dengan membangun duduk seiring dengan kuda untuk mengelakkan enjutan. Posting meringankan beban belakang kuda, malah setelah dikuasai juga menyenangkan penunggang.[4]

Untuk mengelak daripada terenjut dari pelana serta tidak menyakiti kuda dengan jatuh di atas belakangnya, penunggang mesti mempelajari kemahiran tertentu untuk menduduki trot. Kebanyakan penunggang boleh senang belajar menduduki jog yang perlahan tanpa terenjut-enjut. Penunggang yang mahir boleh menaiki trot yang kencang tanpa terenjut, tetapi itu memerlukan belakang dan otot abdomen yang terjaga rapi, malah penunggang boleh kepenatan setelah melakukan trot kencang terlalu lama. Larian trot yang laju dan tidak terkawal seperti kuda lumba abah-abah hampir mustahil untuk diduduki.

Seekor kuda Andalusia melakukan kanter. Kaki kiri belakang dan kaki kanan hadapan memijak serentak sambil menghasilkan depak tiga. Kuda ini berpimpinkan kaki kiri kerana kaki kiri belakang dan kanan depan bergerak serentak sementara kaki kiri belakang memimpin kaki kanan belakang. Apabila kaki kiri hadapan memijak, ia akan berada di hadapan kaki kanan hadapan.

Kanter (bahasa Inggeris: canter) adalah lenggok berdepak tiga terkawal yang biasanya lebih pantas sedikit daripada trot yang biasa, tetapi lebih perlahan daripada derapan. Purata kelajuan kanter adalah 16–27 km/h (10–17 mph), bergantung pada kepanjangan langkah kuda. Dalam mendengar kanter kuda, anda seharusnya dapat terdengar serantai tiga depakan seakan-akan dram yang dipalu tiga kali berturut-turut. Kemudian disusulinya oleh jeda, sejurus selepas itu berulangnya depak tiga. Makin cepat kuda berlari, makin lama masa ampaian antara tiga depaknya.[5] Istilah kanter disangkakan sebagai singkatan bagi "Canterbury gallop."[6]

Dalam lenggok kanter, salah sebatang kaki belakang kuda – contohnya, kaki kanan belakang – memacu si kuda ke hadapan. Pada depakan ini, si kuda berdiri dengan sebatang kaki itu sahaja sementara tiga kaki lain maju ke hadapan. Pada depakan seterusnya, si kuda memijakkan kaki kiri belakang dan kaki kanan hadapan sementara kaki belakang yang satu lagi masih memijak tanah. Pada depakan ketiga, kuda memijakkan kaki kiri hadapan sementara pasangan pepenjuru masih memijak tanah buat seketika.[5]

Kaki hadapan yang lebih lanjut dipadankan oleh kaki belakang yang lebih lanjut sedikit di sisi yang sama. Inilah yang dipanggil "pimpinan". Lazimnya, adalah lebih baik bagi kuda untuk memimpin dengan kaki yang dalam apabila berjalan mengitar. Oleh yang demikian, kuda yang mula berkanter dengan kaki kanan belakang seperti contoh tadi akan melanjutkan lagi kaki kiri depan dan belakangnya sekali. Inilah yang dikatakan "pimpinan kiri".[5]

Fasa amapaian seperti pada kanter dan derapan
Gerakan kuda menderap
Le derby d'Epsom, dilukis oleh Théodore Géricault, 1821

Lenggok menderap, mencongklang atau melejang (bahasa Inggeris: gallop) amat serupa dengan kanter, cuma lebih laju, lebih memijak tanah, malah berdepak empat. Inilah lenggok kuda yang paling pantas dengan purata sekitar 25 hingga 30 miles per jam (40 hingga 48 km/j). Kuda menderap di alam liar untuk melarikan diri daripada pemangsa ataupun sekadar pantas melalui jarak dekat. Kuda jarang-jarang menderap melebihi 1–2 batu sebelum perlu rehat, tetapi kuda boleh menanggung derapan yang sederhana laju untuk jarak yang lebih jauh sebelum kepenatan dan perlu perlahan.[7]

Derapan juga merupakan lenggok resmi kuda lumba. Lumba kuda belima moden jarang melewati 1.5 batu (2.4 km), namun di sesetengah negara, kuda Arab diperlumbakan sejauh 2.5 batu (4.0 km). Kelajuan derapan terpantas tercapai oleh seekor American Quarter dalam lumba pintas suku batu (0.25 batu (0.40 km)) ke bawah telah dicatatkan selaju dekat 55 miles per jam (89 km/j)[8]

Seperti kanter, si kuda memulakan derapan dengan kaki belakang yang tak pimpin; tetapi langkah kedua kanter menjadi langkah kedua dan ketiga dalam derapan kerana kaki belakang yang dalam memijak tanah dalam sekelip mata sebelum kaki hadapan yang luar. Kemudian, kedua-dua lenggok ini berakhir dengan maranya kaki pemimpin, diikuti oleh sebentar ampaian apabila keempat-empat kaki tidak memijak tanah. Pemerhatian atau pendengaran yang teliti dapat membezakan kanter lanjutan daripada derapan dengan adanya depakan keempat.[7]

Ligasan

Ligasan (bahasa Inggeris: pacing) merupakan lenggok berdepak dua sisian, yang mana kuda berlari dengan mengangkat kedua-dua belah kaki kanan dan kemudian kedua-dua belah kaki kiri (atau sebaliknya)[9], berbeza dengan trot yang mengangkat kaki secara pepenjuru. Dalam lenggok ligas dan trot, sentiasa diangkatnya dua batang kaki. Trot lebih umum didapati, tetapi sesetengah kuda, khususnya dalam baka yang dibiakkan untuk lumba kuda abah-abah, lebih cenderung untuk meligas. Kuda yang meligas juga pada puratanya lebih pantas daripada yang bertrot, meskipun kuda diperlumbakan pada kedua-dua lenggok. Dalam kalangan kuda baka baku, bapa trotter menurunkan anak peligas lebih daripada baka peligas menurunkan anak trotter.[10]

Ligasan yang perlahan agak menyenangkan kerana penunggang hanya terhinggut perlahan-perlahan dari sisi ke sisi. Terdapat satu bentuk ;igasan yang sedikit tak sekata, antara ligasan biasa dan gontaian, adalah sobreandando oleh baka Paso Peru. Sebaliknya, ligasan perlahan kurang disenangi untuk kuda Iceland, yang mana ianya bergelar lull atau piggy-pace.

Lazimnya, ligasan yang pantas kurang menyenangkan kerana penunggang digoyahkan dari kiri ke kanan, seolah-olah menunggang unta, sejenis lagi haiwan yang boleh meligas secara semula jadi. Namun begitu, unta lebih tinggi daripada kuda, maka penunggang unta senang dihinggut-hinggutkan oleh kelajuan yang cukup pantas. Kuda meligas yang lebih kecil dan lebih pantas langkahnya berhayun dari kiri ke kanan hingga sukar diduduki oleh penunggang, maka sekalipun lenggok ini lebih pantas dan sesuai untuk lumba abah-abah, namun ianya kurang sesuai untuk berlumba laju pada jarak jauh. Bagaimanapun, bagi kuda Iceland yang mana ligasan dikenali sebagai skeið, "ligasan terbang" atau flugskeið, ligasan itu lancar dan amat ternilai, ditunggangi dalam pecutan singkat pada kelajuan tinggi.

Menurut kajian terhadap kuda Iceland, adalah mungkin bahawa lenggok ligas itu adalah warisan dan berkaitan dengan suatu mutasi genetik pada DMRT3 seperti mana lenggok gontaian sisian.[11]

Kuda Iceland melakukan tölt
Kuda Jalan Tennessee berjalan lari
Saddlebred melakukan rack

Terdapat banyak nama bagi pelbagai lenggok jalan berdepak empat ini. Walaupun berbeza dari segi corak langkahan kaki dan kelajuan, namun kesemuanya digolongkan sebagai "gontaian". Lazimnya, ciri utama lenggok gontai adalah tiga batang kaki memijak tanah pada satu-satu masa.

Kesemua lenggok gontai lebih pantas daripada berjalan tetapi lazimnya lebih perlahan daripada kanter, malah lebih lancar bagi penumpang daripada trot atau ligasan. Kebanyakan gontaian boleh dijaga untuk jangka masa yang agak lama, oleh itu sesuai untuk perjalanan di denai dan lain-lain perbuatan yang mengharuskan penunggang duduk lama-lama di atas pelana.[12]

Bukan semua kuda boleh menggontai. Bagaimanapun, kebanyakan baka boleh dilatih untuk menggontai. Pada kebanyakan baka gontai, kebolehan itu adalah warisan. Pada tahun 2012, sebuah kajian DNA terhadap pergerakan kuda Iceland dan tikus telah mendapati bahawa suatu mutasi pada gen DMRT3 yang berkenaan pergerakan kaki menyebabkan suatu "'kodon henti' yang pramatang" pada kuda yang berlenggok gontaian sisian.[13][11]

  1. ^ a b c Ensminger, M. E. Horses and Horsemanship 6th edition USA: Interstate Publishers 1990 ISBN 0-8134-2883-1 p. 65-66
  2. ^ a b Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 p.32
  3. ^ Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 pp. 32–33
  4. ^ a b c Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 pp. 35–37
  5. ^ a b c Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 pp. 42–44
  6. ^ Etymonline.com
  7. ^ a b Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 pp. 47–49
  8. ^ Iowa Quarter Horse Racing Association. "Iowa Quarter Horse Racing Association 1976–2008". IQHRA Website. Iowa Quarter Horse Racing Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-06-07. Dicapai pada 2008-06-11. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  9. ^ Definisi "ligas", Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka. Capaian 8 Nov 2013.
  10. ^ Harris, Susan E. Horse Gaits, Balance and Movement New York: Howell Book House 1993 ISBN 0-87605-955-8 p. 50
  11. ^ a b Andersson, Lisa S (30 August 2012). "Mutations in DMRT3 affect locomotion in horses and spinal circuit function in mice". Nature. 488: 642–646. Dicapai pada 19 September 2012. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  12. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Harris51
  13. ^ "'Gaited' Gene Mutation and Related Motion Examined". The Horse. Blood-Horse Publications. 5 September 2012. Dicapai pada 6 September 2012. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Templat:Locomotion