Lagenda Budak Setan (drama)
Lagenda Budak Setan | |
---|---|
Genre | Drama |
Ditulis oleh | Ahadiat Akashah |
Pengarah | Along Kamaludin |
Pengarah kreatif | Renu Sharan |
Dibintangi oleh | Farid Kamil Maslina Nasir Jue Aziz Nas T |
Lagu pembukaan | Bila Cinta, Gio (versi lelaki) Bila Cinta, Filianti Vlee (versi wanita) |
Lagu penutup | Bila Cinta, Gio Bila Cinta, Filianti Vlee |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Melayu |
Bilangan musim | 1 |
Bilangan episod | 26 |
Penerbitan | |
Lokasi | Kuala Lumpur, Lembah Klang |
Tempoh siaran | 60 minit |
Syarikat penerbitan | Tarantella Pictures |
Penyiaran | |
Saluran asal | Astro Ria |
Siaran asal | 10 Ogos 2010 – 1 Februari 2011 |
Lagenda Budak Setan ialah sebuah siri drama adaptasi daripada filem dan novel dengan judul sama yang disiarkan di Astro Ria pada 10 Ogos 2010 dan berakhir pada 1 Februari 2011. Ia dibintangi oleh Farid Kamil, Maslina Nasir dan Jue Aziz.[1][2]
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Selepas filem Lagenda Budak Setan mendapat sambutan, kini filem ini dipindahkan pula ke siri televisyen yang masih mengekalkan Farid Kamil sebagai pelakon utama untuk watak Kasyah, manakala watak Ayu dilakonkan oleh pendatang baru, Maslina Nasir bagi menggantikan Lisa Surihani yang menarik diri kerana komitmen lain.[1]
Drama ini diarahkan oleh Along Kamarudin dan mengekalkan Ahadiat Akashah sebagai penulis skrip dan cerita asal. Cinta merupakan tema pokok di dalam kisah yang menyayat hati ini.[2]
Plot
[sunting | sunting sumber]Titipan kasih cinta agung yang bermula dari zaman remaja sehinggalah menyusuri alam dewasa. Kisah tentang bagaimana seorang lelaki yang tidak kenal erti kasih sayang dan kononnya anti perempuan boleh berubah menjadi seorang pencita agung, tabah hadapi segala dugaan yang mendatang dan tetap setia pada cinta yang satu walaupun diduga dengan pelbagai halangan yang penuh cabaran. Kisah cinta ini telah pun dibawa ke layar perak sebelum ini dan kini diterjemahkan pula dalam bentuk drama bersiri. Persoalannya, adakah wujud lelaki seumpama ini di alam realiti atau cuma sekadar terjemahan fantasi untuk dihayati.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Kisah bermula dengan kenakalan Kasyah (Farid Kamil), seorang pelajar nakal yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain bersama beberapa rakannya. Mereka sering dikenakan tindakan disiplin dan turut melabelkan kumpulan mereka sebagai anti perempuan. Namun, sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kemunculan pelajar baru bernama Ayu (Maslina Nasir). Kehadiran Ayu di sekolah itu telah berjaya menambat hati dan perasaan Kasyah lalu membuatkan lelaki yang sebelum ini tidak pernah kenal erti kasih sayang jatuh cinta. Ayu mencabar Kasyah untuk berubah dan sebagai syarat untuk dia menerima Kasyah. Episod baru hidup Kasyah pun bermula. Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dan perasaan sayang mulai bercambah. Walau bagaimanapun, bekas kekasih Ayu bernama Azmi (Nas T) tiba-tiba muncul menagih semula cintanya. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha (lakonan Arifah Damanhuri) untuk menambat hati Ayu semula. Ayu terpaksa menerima Azmi semula walaupun sebenarnya dia semakin menyayangi Kasyah.
Selepas menamatkan persekolahan, Kasyah membawa hatinya yang luka ke luar negara setelah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di sana. Tidak lama kemudian, Ayu juga ditakdirkan mendapat tawaran di universiti yang sama. Di sini mereka bertemu semula dan Ayu yang sebenarnya memang berniat mencari Kasyah untuk menebus kesilapannya, berjanji untuk setia setelah mengecewakan Kasyah dan menerima Azmi dahulu. Di sinilah bibit cinta mereka bermula dan perasaan sayang kembali mekar. Namun segalanya berubah apabila Azmi yang merupakan seorang kaki perempuan sedar yang dia tidak boleh hidup tanpa Ayu. Sekali lagi dia menggunakan Mak Leha untuk memenangi semula hati Ayu. Ayu dijemput pulang oleh Azmi dengan alasan ibunya sakit kuat tapi setibanya di Malaysia, segalanya sudah diatur untuk Ayu bernikah dengan Azmi, dengan izin dari ibunya yang sebenarnya sihat walafiat. Dalam dilema dan kepedihan, jiwa Ayu tewas dengan rayuan emaknya. Tanpa kerelaan, Ayu terpaksa memenuhi permintaan itu walaupun di sudut hatinya dia terluka dan kecewa kerana dia tahu yang dia telah melukakan hati Kasyah untuk kali kedua. Hati Kasyah sekali lagi hancur berkecai sewaktu mendapat tahu berita itu dan kini dia tidak lagi seceria seperti sebelumnya. Dia menjadi tidak terurus dan jiwanya tiada lagi cahaya dan harapan untuk menjalani kehidupan mendatang membuatkan dia lebih gemar bersendirian.
Masa berlalu, rumah tangga Ayu dan Azmi semakin berantakan lantaran sikap Azmi yang panas baran dan perangai “kaki perempuan”nya yang masih tidak berubah. Ayu sering dipukul dan disakiti. Pada satu malam setelah teruk dibelasah Azmi, Ayu telah melarikan diri dan di dalam kekalutan itu kereta yang dipandunya terbabas melanggar pokok. Mujur nyawanya masih panjang tetapi seluruh wajahnya telah hancur, sehancur hati dan jiwanya. Azmi yang melihat wajah Ayu yang tidak lagi sempurna terus membawa Ayu ke Amerika untuk menjalani pembedahan kosmetik dengan seorang pakar yang terkenal dan Ayu hanya bersetuju jika wajahnya ditukar sama sekali. Ayu kemudiannya menuntut cerai kerana tidak mahu lagi kembali ke pangkuan suaminya dan Azmi terpaksa akur.
Dengan wang pampasan perceraian yang diterimanya dan wajah serta identiti yang baru, Ayu memulakan hidup baru dengan wajah baru serta nama barunya Emilia (Jue Aziz). Di sinilah satu episod baru bermula dan Ayu, yang kini dikenali dengan nama Emilia mencari semula Kasyah. Ayu yang cuba mendekati Kasyah dengan identiti baru sebagai Emilia tetapi akhirnya Kasyah dapat juga mengesan identiti sebenar Emilia dan cinta Kasyah yang satu waktu dulu pernah dikongsi bersama Ayu masih tak berubah, malah sanggup menerima Ayu seadanya. Cinta mereka yang masih utuh membenarkan mereka kembali bersama.
Di sinilah keindahan hakiki mula berputik dan sesungguhnya cinta yang suci itu dicampakkan ke api menjadi seri, dicampak ke laut menjadi ikan. Bagaikan tiada apa yang berlaku sebelumnya, mereka meraih cinta sebagaimana pasangan bahagia yang lainnya. Sehinggalah satu hari, Azmi sekali lagi muncul membawa petaka sehingga menyebabkan suatu kejadian. Kejadian yang membawa kisah cinta ini ke satu sisi yang lain dan menemukan Katerina (Melissa Maureen Rizal) dengan Kasyah.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]- Farid Kamil sebagai Kasyah
- Maslina Nasir sebagai Ayu
- Jue Aziz sebagai Emilia / Ayu
- Nas-T sebagai Azmi
- Anne Ngasri sebagai Suzana
- Melissa Maureen sebagai Katerina
- Louisa Chong
- Mandy Chong sebagai ibu kepada Katerina
- Roger A. Childs sebagai ayah kepada Katerina
- Haeriyanto Hassan sebagai abang kepada Kasyah
- Aripah Damanhuri sebagai ibu kepada Ayu / Emilia
- Fadilah Mansor sebagai ibu kepada Kasyah
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Budiey (5 Ogos 2010). Farid Kamil & Maslina Ramli Drama Lagenda Budak Setan Sensasi Selebriti. Diperoleh pada 6 Ogos 2010.
- ^ a b Siti Azira Abduil Aziz (4 Ogos 2010). 'Legenda Budak Setan' Siri Drama Diperkenal mStar. Diperoleh pada 5 Ogos 2010.