Krisis politik Thailand 2008
Krisis politik Thailand 2008 ialah konflik di antara Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) dengan parti kerajaan Parti Kuasa Rakyat (PPP) di bawah pimpinan Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat. Ia merupakan sambungan kepada krisis politik Thai 2005-2006, di mana PAD memprotes parti kerajaan Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin Shinawatra.[1] Protes ini dilakukan akibat amalan yang dilihat sebagai kronisme, salah guna kuasa dan penyelewengan oleh ketiga-tiga Perdana Menteri tersebut.
Dasar krisis 2008 ini ialah PAD mendakwa Samak dan Somchai sebagai proksi Thaksin. Pada 2006, perjuangan PAD membawa kepada rampasan kuasa di Thailand 2006. Satu jawatankuasa yang dilantik junta tentera menulis kembali Perlembagaan Thailand manakala satu mahkamah yang dilantik junta membubarkan Thai Rak Thai dan melarang Thaksin dari politik selama lima tahun. Ramai ahli TRT menyertai PPP, yang kemudian memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan oleh junta. PAD yang telah membubarkan dirinya secara sukarela selepas rampasan kuasa tersebut, membentuk semula dirinya dan meneruskan demonstrasi menentang kerajaan baru PPP.
Semasa krisis ini, Tentera Darat Diraja Thai enggan mengikut arahan kerajaan untuk menguatkuasakan Dekri Darurat selepas PAD mengepung Rumah Kerajaan. Tentera sekali lagi enggan mengikut arahan untuk mengusir PAD selepas mereka mengepung Lapangan Terbang Suvarnabhumi. Sebaliknya tentera mencadangkan PAD meninggalkan lapangan terbang dan kerajaan meletak jawatan, namun ditolak. PAD disokong dan diketuai beberapa tokoh dari parti pembangkang Parti Demokrat termasuklah Somkiat Pongpaiboon dan Kasit Piromya.[2] PAD turut disokong oleh kesatuan sekerja sektor awam Thailand yang diketuai Sawit Kaewvan. Kesatuan ini mewakili 200,000 pekerja dari 43 agensi kerajaan.[3]
Pada Disember 2008, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa PPP dan dua lagi parti dalam kerajaan campuran bersalah atas tuduhan penipuan semasa pilihan raya lepas. Parti-parti ini diarahkan dibubarkan dan para pemimpinnya dilarang mememgang jawatan politik selama lima tahun. Perdana Menteri Somchai Wongsawat lalu meletak jawatan dan para pembantah PAD bersetuju beredar dari lapangan terbang.[4][5]
Ahli PAD yang berpakaian serba kuning, warna diraja, mendakwa mereka mempertahankan Raja Bhumibol Adulyadej dan pemerintahan diraja daripada kononnya ketidaksetiaan Thaksin. Bhumibol bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan umum terhadap krisis tersebut dan PAD.
Protes anti kerajaan Samak
[sunting | sunting sumber]PAD mendakwa Samak Sundaravej sebagai proksi Thaksin. Bekas Perdana Menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra lebih sukakan Samak menjadi Perdana Menteri Thailand kerana dapat menjaga kepentingan harta bendanya di Thailand. Kumpulan dari utara Thailand diketuai bekas Speaker Parlimen, Yongyuth Tiyapairat mahukan Somchai yang kini menjadi pemangku Perdana Menteri menjadi perdana menteri baru.
Pada 9 September 2008, panel sembilan anggota Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan sebulat suara untuk melucutkan jawatan Samak selepas mereka mendapatinya bersalah melanggari Artikel 267 Perlembagaan 2007 itu dengan menjadi hos rancangan memasak semasa masih memegang jawatan Perdana Menteri. Samak Sundaravej terpaksa meletak jawatan pada 17 September 2008 selepas Mahkamah Perlembagaan mendapati beliau bersalah menerima bayaran untuk kemunculan pada program masakan “Tasting and Grumbling” dan “All Set at 6a.m”
Samak menjadi perdana menteri selama 7 bulan sahaja dan berdepan hukuman penjara 24 bulan dalam satu kes fitnah. Mahkamah Jenayah mendapati Samak bersalah memfitnah bekas Timbalan Gabenor Bangkok, Samart Ratchapolsitte.
Protes anti kerajaan Somchai
[sunting | sunting sumber]Pada 20 September 2008, pemimpin PAD, Pipob Dhongchai menuntut Somchai membawa Thaksin pulang bagi menghadapi pendakwaan di mahkamah. Somchai jangan pula menggugurkan pendakwaan ke atas abang iparnya, Thaksin Shinawatra. Thaksin mendapat suaka di Britain dan masih berpengaruh di utara Thailand. [6]
Pemimpin PAD menolak barisan kabinet yang dilantik Somchai kerana dipenuhi anggota keluarga dan proksi Thaksin. Menteri Kesihatan baru, Charlerm Yoobumrung dianggap tidak memiliki pengalaman yang sesuai. Menteri Luar Thailand , Sompong Amornviwat tidak berkebolehan dan merupakan penasihat kepada Thaksin sebelum digulingkan pada September 2006.
Pada 18 September 2008, Menteri Kewangan Thailand , Surapong Suebwonglee menarik diri daripada kerajaan campuran baru untuk memberi tumpuan kepada kes rasuahnya di mahkamah. Surapong ialah Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP) . Mahkamah Agung pada Julai 2008 bersetuju untuk mendengar dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan para menterinya termasuk Surapong melanggar undang- undang loteri pada 2003. [7]
Bekas Menteri Kewangan, Thanong Bidaya, tokoh perbankan Thailand pernah dua kali menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap penurunan nilai baht yang membawa kepada krisis kewangan Asia 1997.
Pada 29 September 2008,Senator Ruangkrai Leekijwatana mendakwa Somchai Wongsawat melanggar perlembagaan kerana memiliki saham syarikat Internet, CS Loxinfo CSL.BK yang mendapat kontrak jangka panjang dengan firma telefon kerajaan, CAT Telecom untuk membekalkan perkhidmatan Internet menerusi satelit. Kes ini bertentangan dengan Perlembagaan Thailand 2007 yang melarang menteri kabinet memiliki saham sebegitu.
Pada 17 Oktober 2008, Somchai didapati bersalah atas kesalahan 8 tahun lalu ketika Somchai bekerja di jabatan keadilan. Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan mendapati Somchai menghalang Chamnan Rawiwanpong menjalankan siasatan terhadap jualan tanah di wilayah Phatum Thani pada tahun 2000. Somchai mencadangkan Chamnan Rawiwanpong dipecat.
Menguasai Rumah Kerajaan
[sunting | sunting sumber]PAD meneruskan protes dengan menguasai Rumah Kerajaan di Bangkok. Badan penyelidik Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) menganggap protes anti kerajaan yang berterusan mengancam keamanan dan demokrasi di Thailand. Industri pelancongan dan ekonomi Thailand merosot 25 peratus pasaran saham . Rampasan kuasa tentera sekali lagi mungkin akan berlaku atau melalui demonstrasi jalan raya.
Polis Thailand menahan pemimpin PAD, Chaiwat Sinsuwongse pada Oktober 2008 menyebabkan protes akti kerajaan lebih agresif. Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang mengepung bangunan Parlimen bagi menghalang ucapan sulung Perdana Menteri Somchai Wongsawat. Perlembagaan Thailand menetapkan perdana menteri baru mesti menyampaikan ucapan dasar di Parlimen sebelum kerajaan baru boleh memulakan dasar pentadbiran negara.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chavalit Yongchaiyudh dilihat menyebelahi PAD dan menyalahkan polis kerana menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Ekoran itu Chavalit meletak jawatan bagi memikul tanggung jawab terhadap kecederaan yang dialami oleh penunjuk perasaan.
Protes PAD melalui demonstrasi jalanan secara berterusan terhadap kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya umum sudah cukup untuk membuktikan bahawa tindakan mereka tidak berlandaskan konsep demokrasi. Sepatutnya kerajaan baru yang dipilih diberi ruang dan masa untuk memperbaiki kesilapan. Pilihan raya berikutnya wajar diadakan untuk menentukan masa depan seseorang perdana menteri. Demonstrasi jalanan mudah berubah menjadi medan pertempuran.
Kumpulan penunjuk perasaan ini mampu menggenggam senjata di tangan secara tiba-tiba dan siapa dan bila ia disediakan jhika tidak dirancang lebih awal.Dengan sedikit provokasi mampu mencetuskan pergaduhan kaum yang besar.
Mengepung Lapangan Terbang Suvarnabhumi
[sunting | sunting sumber]Pada 21 November 2008, pemimpin PAD, Sondhi Limthongkul menyeru rakyat Thailand supaya menyertai protes besar-besaran pada Ahad, 23 November 2008, bagi menjatuhkan kerajaan "yang mabuk darah"[8]. Maka sejak itu penunjuk perasaan yang dipimpin Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) mengepung Lapangan Terbang Suvarnabhumi bagi menghalang Perdana Menteri Somchai Wongsawat pulang dari sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima , Peru. Somchai selamat mendarat di Lapangan Terbang Chiang Mai bagi menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN yang dipindahkan ke Chiang Mai. Tetapi Sidang Kemuncak itu juga terpaksa dibatalkan.
Seorang aktivis anti-kerajaan mati ditembak di Chiang Mai, utara Thailand oleh sekumpulan penyokong kerajaan. Pada 26 November 2008, seorang lelaki penunjuk perasaan antikerajaan cedera terkena letupan bom yang dilontar ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumit.[9] Leftenan Kolonel Atipol Thongdaeng menyatakan seorang lelaki 50-an ditarik keluar dari keretanya, lalu ditembak dengan senjata api oleh sekumpulan yang dipercayai penyokong kerajaan kerana anaknya mengendalikan sebuah stesen radio antikerajaan.
Mengepung Lapangan Terbang Don Mueang
[sunting | sunting sumber]Pada 27 November 2008, penyokong PAD juga mengepung Lapangan Terbang Don Mueang yang menjadi pejabat sementara Perdana Menteri. Tiga cedera setelah dua bom tangan meletup ketika penyokong antikerajaan sedang berarak di jalan masuk lapangan terbang Don Mueang. Pada 2 Disember 2008, serangan bom tangan ke atas Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) di Lapangan Terbang Don Muang menyebabkan Ronnachai Chaisri terbunuh dan 22 cedera. Jalan 12.05 pagi seorang lelaki berdiri di pintu Tol Don Muang melempar bom tangan M79 yang jatuh di terminal ketibaan lapangan terbang domestik Don Muang.
Penutupan lapangan terbang mengakibatkan lebih 300,000 rakyat asing terkandas di Thailand, dan antara 40,000 hingga 50,000 warga Thai di seberang laut tidak dapat pulang.[10] Pelancong asing terpaksa menggunakan lapangan terbang U Tapao , 140 km dari Bangkok.
Tentera desak bubar parlimen
[sunting | sunting sumber]Pada 21 Oktober 2008, Somchai menolak cadangan Ketua Tentera Thailand Jeneral Anupong Paochinda membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru kerana Somchai dilantik secara demokrasi. Penganalisis bimbang tentera mungkin melancarkan satu lagi rampasan kuasa dalam tempoh dua tahun.
PAD menggelar Somchai sebagai "pembunuh" kerana beberapa penunjuk perasaan terbunuh. Sepanduk besar di atas sebuah trak pembesar suara menggambarkan kekerasan polis ke atas penunjuk perasaan sebagai "Pembunuhan di Parlimen Thai."[11]
Keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand
[sunting | sunting sumber]Pada 2 Disember 2008, penyokong PPP menyekat jalan-jalan menuju ke mahkamah dalam usaha mereka untuk menghalang hakim-hakim daripada menyampaikan keputusan. Mahkamah yang bersidang memutuskan Parti Kuasa Rakyat (PPP) bersalah atas tuduhan penipuan undi sewaktu pilihan raya Disember 2007 dan sekali gus mengharamkan Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat daripada aktif dalam politik untuk tempoh lima tahun. Sembilan hakim yang diketuai Chat Chonlaworn turut mengharamkan dua lagi parti dalam kerajaan campuran, Chart Thai dan Matchima Thippatai.
Penyokong PAD gembira kerana tunjuk perasaan mereka berjaya dan pemimpinnya mengadakan sidang media mengumumkan penamatan semua protes mereka pada 10 pagi waktu tempatan (UTC+7) 3 Disember 2008.
PPP memanggil keputusan ini sebagai "rampasan kuasa kehakiman". Perdana Menteri Somchai Wongsawat yang terbatal kelayakannya dengan keputusan itu meletakkan jawatan dan digantikan oleh Timbalannya Chaovarat Chanweerakul sebagai pemangku sementara.
Pada 15 Disember 2008, Abhisit Vejjajiva dari Parti Demokrat dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand yang baru.[12]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ 'Thaksin tentukan siapa PM' - Samak jadi pilihan utama namun pihak berpengaruh dalam PPP sukakan Somchai Diarkibkan 2008-10-14 di Wayback Machine, Utusan Malaysia, 11 September 2008
- ^ Conflicts of interest abound in dubious Democrat-PAD roles, The Nation, 29 Oktober 2008
- ^ Lagi ugutan untuk Somchai[pautan mati kekal], Utusan Online, 22 November 2008
- ^ "Ousting the prime minister". The Economist. 2 Disember 2008. Dicapai pada 2 Disember 2008. Unknown parameter
|curly=
ignored (bantuan) - ^ "Thai airport protests called off". BBC News. 2 Disember 2008. Dicapai pada 2 Disember 2008. Unknown parameter
|curly=
ignored (bantuan) - ^ PM Thailand, pemimpin tunjuk perasaan berdialog dengan penunjuk perasaan, Utusan Malaysia
- ^ Somchai angkat sumpah PM Thai, Menteri Kewangan pula letak jawatan, Utusan Malaysia
- ^ Polis, tentera Thai bersiap sedia, Utusan Malaysia
- ^ Krisis di Thailand makin meruncing, Utusan Malaysia
- ^ Seorang terbunuh, 22 cedera letupan di Bangkok, Utusan Malaysia
- ^ PM Thai dituntut letak jawatan, Utusan Malaysia
- ^ "New Thai prime minister elected". BBC News. Isnin 15 Disember 2008. Dicapai pada 2008-12-15. Check date values in:
|date=
(bantuan)