Krisis kerabat diraja Kelantan 2010
Krisis kerabat diraja Kelantan 2010 tercetus ketika Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Beberapa pihak mengeluarkan kenyataan kesihatan Sultan Kelantan selepas Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Kesihatan Sultan Kelantan
[sunting | sunting sumber]Kerajaan negeri Kelantan melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan. Panel pakar memutuskan baginda Sultan Kelantan masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas memerintah negeri.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri adalah terpakai dan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan. Pengerusi Majlis Perajaan Negeri bertegas menyatakan Sultan Kelantan masih gering dan Pemangku Raja kekal memangku tugas sebagai pemerintah negeri Kelantan.[1]
Pelantikan dan dakwaan pelucutan pemangku
[sunting | sunting sumber]Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua. Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.
Kerajaan negeri Kelantan berpegang kepada Perlembagaan Negeri Kelantan. Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan.
Pada 23 Mac 2010, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja. Titah itu diberitakan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Hamzah. Titah itu dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota.
Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Hamzah telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru. Tengku Abdul Aziz Hamzah merupakan abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.
Pada hari Khamis, 23 Mac 2010, Datuk Wan Hashim Wan Daud, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kanan Istana ditahan polis di rumahnya di Taman Sri Aman, Kubang Kerian. Jam 8.40 malam, beliau dibawa dengan kenderaan polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.[2] Ia ada kaitan dengan penglibatannya sebagai `Setiausaha Sulit’ Sultan Kelantan yang telah membuat pengumuman rasmi pagi ini dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan pemecatan pemangku raja.
Beliau disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan - dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja. [3]
Pada 25 Mac 2010, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra tenang menghadapi kemelut cubaan "merampas kuasa" melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan. Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub dan lain-lain Exco negeri Kelantan menyambut baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang pulang dari Singapura.
Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias, menjelaskan bahawa Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut 2/3 daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei 2009. Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan apa-apa keputusan.
Pendirian kerajaan negeri Kelantan
[sunting | sunting sumber]Kerajaan negeri Kelantan dibawah pentadbiran Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Menteri Besar Kelantan tetap mematuhi Perlembagaan Negeri Kelantan. Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias menjelaskan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut 2/3 daripada 17 ahli majlis MPN pada 29 Mei 2009.[4]
Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar tidak perlu diadakan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim berhubung mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja.
Sokongan
[sunting | sunting sumber]Pada 25 Mac 2010, Pengerusi Penaja Kerabat Nik Kelantan (KNK), Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf dan Pertubuhan Kerabat Long Ghafar Kelantan serta Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan mengisytiharkan taat setia kepada Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Sultan Kelantan. Sidang media di Telipot itu turut disertai oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kerabat Long Ghafar, Profesor Madya Engku Ibrahim Tengku Ismail dan Yang Dipertua Pertubuhan Raja Jembal, Nik Yusof Nik Muhammad.
Kemelut ini hendak dihentikan bagi membolehkan Pemangku Raja menjalankan tugas kepada negeri, agama dan rakyat.[5]
Abdullah Yaacob selaku Adun Air Lanas dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan mencadangkan sidang khas DUN Kelantan diadakan bagi menyelesaikan kemelut istana Kelantan itu.
Pengawal keselamatan istana ditembak
[sunting | sunting sumber]Pada 1 Mei 2010, pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad (50) cedera parah di dada akibat ditembak empat das oleh suspek yang tidak dikenali. Berikutan itu, Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad memaklumkan bahawa Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra meminta Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi meningkatkan keselamatan Sultan Kelantan mulai 4 Mei 2010.[6]
Tengku Temenggong Kelantan ditangkap, Raja Perempuan Kelantan diawasi
[sunting | sunting sumber]Pada 5 Mei 2010, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) bertopeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu. Akhbar tabloid Kosmo melaporkan turut ditahan ialah dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra. Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dibawa Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung. Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid turut ke hospital. [7][8]
Hanya lima individu dibenarkan ziarah Sultan
[sunting | sunting sumber]Pada 6 Mei 2010, hanya lima orang sahaja yang dibenarkan menziarahi Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Bagaimanapun nama anakanda Sultan yang ketiga iaitu Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak terdapat dalam senarai tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah berkata, lima individu yang dibenarkan menziarahi Sultan ialah Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; anakanda baginda, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Putri serta dua ahli keluarga terdekat.
Amir Hamzah berkata, dakwaan yang mengatakan Sultan Kelantan sedang ditahan di dalam wad adalah tidak benar sama sekali sebaliknya kawalan keselamatan yang ketat dikenakan berikutan insiden seorang pengawal Istana ditembak.
Polis katanya sekadar melaksanakan titah perintah Pemangku Raja.
Pada masa yang sama, ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah yang juga merupakan abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenapakah keluarga diraja negeri tidak dibenarkan menziarahi baginda.
Bagaimanapun berdasarkan titah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mereka yang ingin melawat Sultan perlulah mendapatkan kebenaran daripada baginda terlebih dahulu.[9]
Habeas corpus mohon bawa Sultan Kelantan
[sunting | sunting sumber]Pada 7 Mei 2010, Peguam Sultan Kelantan, Mohamed Haaziq Pillay dan Gobind Singh Deo mengemukakan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membebaskan baginda dari hospital HUSM. Writ habeas corpus itu bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.
Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan. Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon dan ini pertama kali berlaku dalam sejarah dunia. Responden ialah Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.
Mahkamah khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda. Peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy menyatakan kes ini kes pertama di dunia apabila writ habeas corpus difailkan bagi memohon pembebasan seorang pemerintah negeri.[10]
Dakwaan kecuaian
[sunting | sunting sumber]Pada 9 Mei 2010, Dua kakanda Sultan Kelantan mendakwa kegeringan adinda mereka, Sultan Ismail Petra adalah berpunca daripada kecuaian pihak tertentu.
Datuk Tengku Rozan Sultan Yahya Petra dan Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra menegaskan, mereka kesal dengan sikap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang menghalang mereka daripada melawat baginda sejak dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Tengku Rozan berkata, turut dilarang menziarahi baginda termasuk beberapa kerabat, kenamaan dan ulama.
"Hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan Kelantan sahaja dibenarkan melawat.
"Persoalannya mengapa mengapa panel doktor dan alim ulama dihalang dari melawat baginda? Adakah pihak-pihak yang cuba melindungi tahap kesihatan tuanku," katanya pada sidang akhbar khas di Rumah Kelantan.
Hadir sama ialah Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.
Pada hari yang sama 9 Mei 2010, Sultan Ismail dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian selepas lima hari ditempatkan di HUSM.
Baginda dibawa menaiki kenderaan rasmi Istana Kelantan meninggalkan HUSM kira-kira pukul 5 petang.
Turut mengiringi baginda ialah Tengku Anis.
Dalam pada itu, Tengku Rozan menyeru semua pihak memberi kepercayaan kepada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra melaksanakan tanggungjawab baginda.
"Apa yang dilakukan baginda adalah apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan," tegasnya.
Sementara itu Tengku Salwani ketika mengulas insiden Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan isterinya, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang dikatakan dihalang daripada menziarahi baginda, beliau menjelaskan, mereka sebenarnya tidak dihalang sebaliknya pada ketika itu Tengku Muhammad Faris berada dalam Wad Diraja itu.
"Sebelum itu saya nak perbetulkan bahawa Tengku Abdul Aziz adalah ayahanda saudara Tengku Anis bukan ayahanda saudara baginda sultan.
"Pada masa itu Pemangku Raja menitahkan supaya polis tidak membenarkan sesiapapun masuk sepanjang baginda bersama ayahandanya," tambahnya. [11]
Pelucutan Tengku Temenggong Kelantan
[sunting | sunting sumber]Pada 30 September 2010, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra telah menerima surat pelucutan daripada majlis perajaan negeri Kelantan. Surat pelucutan itu dilakukan oleh Sultan Muhammad V, selaku Sultan Kelantan baharu yang juga kekandanya susulan kegeringan yang dihadapi Sultan Ismail Petra yang dirawat di Singapura.[12]
Pada 18 Disember 2010, Tengku Muhammad Fakhry Petra memfailkan saman terhadap kekandanya itu, Setiausaha kerajaan negeri Kelantan, Mufti Kelantan, kerajaan Kelantan dan empat lagi kerabat diraja. Alasannya ialah Tengku Fakhry dilantik sebagai Tengku Temenggong Kelantan oleh ayahandanya. Menurut Perlembagaan Negeri Kelantan, hanya Sultan Kelantan berhak melucutkan jawatan kerabat diraja dan mengubah kedudukan ahli di dalam majlis perajaan negeri Kelantan. Ayahandanya melantik Tengku Muhammad Fakhry Petra pada 2001.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Isu Istana: BBC Cadang Sidang Khas Selesai Kemelut Istana
- ^ Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri ditahan
- ^ Pegawai Kanan Istana Bergelar Datuk Ditahan Polis
- ^ Tengku Muhammad Faris Tenang Biarpun Ada Cubaan merampas Kuasa Keluarga Diraja
- ^ Kerabat Nik Kelantan Sokong Tengku Mahkota Sebagai Pemangku Raja
- ^ Polis Pertingkat Kawalan Keselamatan Sultan Kelantan
- ^ Tengku Fakhry ditangkap, Tengku Anis diawasi
- ^ Raja Perempuan kata diheret seperti 'lembu'
- ^ Krisis Istana Kelantan hanya lima individu dibenarkan ziarah Sultan
- ^ Peguam Fail Writ Habeas Corpus Mohon Sultan Kelantan Dibawa Keluar Dari HUSM
- ^ Dua Kakanda Dakwa Sultan Kelantan Gering Kerana Kecuaian Pihak Tertentu
- ^ "Pelucutan Tengku Fakhry". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-12. Dicapai pada 2018-04-12.