Kontroversi majalah al Islam 2009
Kontroversi majalah al-Islam 2009 timbul apabila wartawan majalah Al-Islam terbitan Utusan Melayu masuk ke dalam dua gereja untuk menyiasat gadis Melayu yang dikatakan murtad. Sebagai wartawan, mereka sanggup menanggung risiko terbabas iman dengan mengikuti upacara agama Kristian di dua buah gereja berhampiran Puduraya pada hari Ahad.[1]
Hasil tinjauan itu diterbitkan dalam majalah edisi Mei 2009 dengan tajuk “Tinjauan Al-Islam dalam gereja: Mencari kesahihan Melayu murtad.” Di gereja, mereka diberi makan roti putih oleh paderi. Mereka membawa roti itu ke pejabat dan kemudian memuntahkannya. Mereka juga tidak tahu mengenai implikasi roti berkenaan. Kehadiran wartawan itu tidak disedari sesiapa dan tidak menyangka mereka itu wartawan Melayu. Tujuan Muhd Ridwan Abdul Jalil ialah meninjau kebenaran gadis Melayu yang murtad dan sejauh mana kalimah Allah digunakan oleh agama lain.
Kebanyakan masyarakat Melayu di Malaysia tidak pernah masuk ke dalam gereja kerana bimbang iman mereka terjejas. Biasa tersebar iman akan luntur jika minum air suci daripada paderi. Jadi laporan di halaman 28-30 al Islam dengan tajuk "Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad" berjaya memberi gambaran ritual / upacara sembahyang yang berlaku dalam gereja.
Mereka tidak menemui gadis Melayu bertudung yang dikatakan murtad. Memang ada penganut Kristian dari Sabah yang berwajah Melayu. Secara keseluruhannya wartawan ini pemuji akhlak penganut Kristian semasa di dalam gereja. Kelihatannya mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra. Jemaah gereja berjabat tangan dan senyuman manis sesama mereka.[2]
Bantahan dan laporan polis
[sunting | sunting sumber]Pada 8 Julai 2009, Aktivis Kristian K Sudhagaran Stanley dan Joachim Francis Xavier membuat laporan di Balai Polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Mereka berdua tidak puas hati dengan laporan majalah tersebut. Tindakan memuntahkan roti suci itu dianggap menghina Kristian dan menimbulkan provokasi agama. Roti suci itu hendaklah dikembalikan kepada paderi di gereja. Penyamaran atau mengintip itu dianggap sebagai "pencerobohan" satu majlis keagamaan di gereja dan boleh dianggap mempermain-mainkan ajaran Kristian.
Persatuan Peguam Katholik (CLA) menunda hasrat menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri kerana bimbang ia bertukar menjadi demonstrasi. K Sudhagaran Stanley menyatakan memo itu sepatutnya dihantar pada Ogos 2009 di Putrajaya. Dikatakan, beberapa gereja termasuk dari Pulau Pinang telah mencetak kain rentang dan poster untuk diarak ke Putrajaya. Strategi baru menuntut keadilan akan dibuat [3]
Paderi Besar Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam kecewa apabila Peguam Negara gagal bertindak. Tindakan itu seolah-olah dihalalkan. Sepatutnya wartawan dan kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad memohon maaf.[4]
Tiada tindakan
[sunting | sunting sumber]Balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang dikatakan telah selesai menyiasat kes ini.[5]
Pada 5 Mac 2010, Peguam Negara Malaysia Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tidak akan mendakawa dua wartawan yang menyamar sebagai penganut Katolik. Mereka tidak berniat jahat dan tiada kerosakan berlaku.[6]
Permintaan maaf
[sunting | sunting sumber]Majalah Muslim Malaysia Al Islam kemudiannya mengeluarkan permintaan maaf setelah dua wartawannya mengikuti komuni di Gereja Katolik di Malaysia.[7]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Roti suci seret Al-Islam ke balai malaysiakini
- ^ Memo ke KDN isu Al Islam hina Katholik Memo ke KDN isu Al Islam hina Katholik malaysiakini
- ^ Batal ke KDN isu Al Islam hina Katholik malaysiakini
- ^ AG ulangi, wartawan Al-Islam tak didakwa AG ulangi, wartawan Al-Islam tak didakwa malaysiakini
- ^ Memo ke KDN isu Al Islam hina Katholik malaysiakini
- ^ AG ulangi, wartawan Al-Islam tak didakwa malaysiakini
- ^ Al Islam minta maaf atas komuni Katolik