Kitaran Epik
Kitaran Epik (Bahasa Yunani Kuno: Ἐπικὸς Κύκλος, Epikòs Kýklos) ialah koleksi puisi epik Yunani Kuno, yang dikarang dalam satmatra daktil dan menceritakan kisah Perang Troia, termasuk Cypria, Aethiopis, Iliad Kecil, Iliupersis, Nostoi dan Telegony. Ahli sarjana kadangkala mengira sekali dua buah epik Homeros—Iliad dan Odysseia—dalam puisi-puisi Kitaran Epik. Akan tetapi, frasa ini lebih kerap digunakan untuk membezakan puisi bukan gaya Homeros dengan puisi Homeros.
Berbeza daripada Iliad dan Odysseia, epik kitaran hanya tinggal sebahagian dan dalam bentuk ringkasan sahaja dari Zaman Baharian Lewat dan zaman Byzantium.
Kitaran Epik ialah cerita-cerita yang ditulis daripada tradisi lisan yang berkembang pada Zaman Kegelapan Yunani, yang sebahagiannya berdasarkan pemujaan wira-wira rakyat. Kisah-kisah epik ini diilhamkan oleh budaya Mykenai dari Zaman Gangsa tetapi ditulis dari sudut pandangan Zaman Besi dalam sejarah Yunani.
Kitaran Epik yang lebih panjang, seperti yang diterangkan oleh sarjana abad ke-9 SM dan pendeta Photius dalam kodeks 239 Bibliotheca beliau, juga memasukkan Titanomaki (abad ke-8 SM) dan Kitaran Thebai (antara 750 dan 500 SM), yang mengandungi Oedipodea, Thebaid, Epigoni, dan Alcmeonis; walau bagaimanapun, pasti tiada satu pun epik kitaran (selain oleh Homeros) yang masih wujud ke zaman Photius, dan kemungkinan Photius bukannya merujuk kepada koleksi yang asal. Sarjana moden biasanya tidak memasukkan Kitaran Thebai dalam Kitaran Epik.
Kandungan
[sunting | sunting sumber]Tajuk | Panjang (buku) | Paling biasa dianggap oleh | Kandungan |
---|---|---|---|
Cypria | 11 | Stasinus | Peristiwa yang membawa kepada Perang Troia dan sembilan tahun pertama konflik, terutamanya Penghakiman Paris |
Iliad | 24 | Homeros | Kemarahan Akhilleus terhadap raja yang pertama Agamemnon kemudian putera Troia Hector, berakhir dengan Akhilleus membunuh Hector sebagai membalas dendam atas kematian Patroclus dan Priam datang ke Akhilleus untuk menebus mayat Hector |
Aethiopis | 5 | Arctinus | Sekutu-sekutu Troia tiba, Penthesileia dari Amazon dan Memnon; kematian mereka di tangan Akhilleus sebagai balas dendam atas kematian Antilochus; serta kematian Akhilleus |
Iliad Kecil | 4 | Lesches | Peristiwa selepas kematian Akhilleus, termasuk pembinaan Kuda Troia dan Penganugerahan Senjata kepada Odysseus |
Iliou persis ("Penjarahan Troia") | 2 | Arctinus | Pemusnahan Troia oleh orang Yunani |
Nostoi ("kembali") | 5 | Agias atau Eumelus | Kepulangan tentera Yunani dan perkara-perkara yang berlaku setibanya mereka, diakhiri dengan kepulangan Agamemnon dan Menelaus |
Odysseia | 24 | Homeros | Berakhirnya pelayaran pulang Odysseus dan dendamnya terhadap para pelamar isterinya Penelope, yang telah memakan hartanya semasa dia tiada |
Telegoni | 2 | Eugammon | Pelayaran Odysseus ke Thesprotia dan kembali ke Ithaca, dan mati di tangan anak tidak sah tarafnya, Telegonus |
Bukti
[sunting | sunting sumber]Herodotus tahu tentang Cypria dan Epigoni sewaktu beliau menulis buku Sejarahnya pada pertengahan abad ke-5 SM. Beliau menolak penulisannya oleh Homeros untuk Cypria dan meragukannya untuk Epigoni.[1]
Kitaran Epik, yang merangkumi Kitaran Thebai, tidak diperkatakan sebagai satu mahakarya sehinggalah sekitar abad ke-2 TM. Walau bagaimanapun, orang ramai kenal kisah-kisah yang berkaitan dengan Perang Troia (Kitaran Troia) seawal abad ke-4 SM, seperti yang disebut oleh Aristoxenus yang menyebutkan pembuka yang berbeza kepada Iliad.[2]
Aristoteles, dalam Poetics beliau, mengkritik Cypria dan Iliad Kecil kerana jalan ceritanya sepotong-sepotong:
Tetapi penyair-penyair lain mengarang plot berkisarkan satu orang, satu masa, dan satu plot dengan beberapa bahagian; seperti penggubah Cypria dan Iliad Kecil. Akibatnya, hanya satu tragedi dibuat daripada Iliad dan Odysseia tetapi banyak daripada Cypria, dan daripada Iliad Kecil lebih daripada lapan…[3]
Perpustakaan, dikatakan ditulis oleh Apollodorus, dan Genealogia, buku Latin dari abad ke-2 SM yang dikatakan ditulis oleh Hyginus, juga menggunakan kisah-kisah ini. Selain itu, terdapat inskripsi pada Tabula iliaca yang menceritakan mitos-mitos yang sama.[4]
Kebanyakan yang diketahui tentang epik Kitaran berasal daripada ringkasan yang sudah rosak yang merupakan sebahagian daripada mukadimah manuskrip Iliad abad ke-10 yang terkenal, dinamakan Venetus A. Walau bagaimanapun, mukadimah ini rosak dan kehilangan Cypria, jadi sumber lain perlu ditambahkan sekali. Ringkasannya pula diambil daripada karya yang lebih panjang, Khrestomatheia, yang ditulis oleh seseorang bernama "Proclus". Ini diketahui berasaskan bukti daripada Photius, sarjana yang disebutkan di atas tadi. Photius memberikan cukup maklumat tentang Khrestomatheia Patroclus untuk menunjukkan bahawa petikan Venetus A diperoleh daripada karya yang sama.[5] Tidak banyak yang diketahui tentang Proclus, dan tidak pastilah jika beliau orang yang sama dengan ahli falsafah Proclus Diadochus atau ahli tatabahasa Eutychius Proclus, yang hidup pada abad ke-2 TM.[6] Akan tetapi, ada juga kemungkinan beliau tokoh lain yang tidak dikenali.
Pada zaman baharian, dua epik Homerik dianggap sebagai karya terbesar dalam Kitaran. Bagi sarjana Helenistik, penyair Kitaran—penyair yang menulis puisi-puisi lain—adalah νεώτεροι (neōteroi "penyair baru") dan κυκλικός (kyklikos "berkitaran") iaitu bermaksud kurang kreatif kerana mengikut formula.[perlu rujukan] Idea ini juga ada dalam kajian moden, yang mana puisi yang lebih baru kadang-kadang dianggap lebih rendah kualitinya.[perlu rujukan]
Kisah-kisah yang diceritakan dalam Kitaran diceritakan oleh sumber-sumber kuno lain,[7] terutamanya Aeneid Virgil (buku 2), yang menceritakan penjarahan Troy dari perspektif Troia, dan Metamorphoses Ovidius (buku 13–14), yang mengisahkan pendaratan orang Yunani di Troia (dalam Cypria) dan keputusan senjata Akhilleus (Iliad Kecil). Posthomerica oleh Quintus dari Smyrna juga satu sumber, menceritakan peristiwa selepas kematian Hector sehingga tamat perang. Kematian Agamemnon dan dendam yang dirasa oleh anaknya Orestes (Nostoi) merupakan subjek tragedi Yunani yang terkemudian, terutamanya trilogi Oresteia oleh Aiskhilos.
Penyusunan
[sunting | sunting sumber]Epik-epik bukan dalam gaya Homeros biasanya dianggap datang selepas Iliad dan Odysseia.[perlu rujukan] Walau bagaimanapun, tiada bukti yang boleh dipercayai bagi ini, dan beberapa sarjana Neoanalisis mengikut premis bahawa epik Homeros lebih baru daripada epik-epik Kitaran dan banyak diilhamkan olehnya.[perlu rujukan] Ahli Neoanalisis lain turut mendakwa bahawa epik-epik Homeros banyak bergantung pada bahan legenda yang kemudian termaktub dalam Kitaran Epik.[perlu rujukan]
Sifat hubungan antara epik-epik Kitaran dan Homeros juga dipersoalkan. Seperti yang dinyatakan oleh Proclus, plot keenam-enam epik bukan Homeros nampak sangat seperti direka untuk disepadukan dengan Homeros, tanpa bertindih dengan satu sama lain.[7]
Contohnya, petikan yang terpelihara menunjukkan bahawa Iliad Kecil menceritakan bagaimana Neoptolemus mengambil Andromache sebagai tawanan selepas kejatuhan Troia; namun, dalam Proclus, Iliad Kecil berhenti sebelum pengepungan Troy bermula. Sesetengah sarjana telah menganggarkan bahawa Cypria seperti asalnya dirancang untuk lebih fokus pada Perang Troia daripada yang ringkasan Proclus cadangkan;[8] sebaliknya, sarjana lain berhujah bahawa ia direka untuk membawa kepada Iliad, dan penceritaan Proclus mencerminkan Cypria seperti yang direka asalnya.[9]
Ada kemungkinan setidaknya sedikit suntingan dibuat untuk menggabungkan kesemua epik. Bagi baris terakhir Iliad,
ὣς οἵ γ᾽ ἀμφίεπον τάφον Ἕκτορος ἱπποδάμοιο.
Dengan cara ini mereka melakukan pengebumian Hector, penjinak kuda.
satu bacaan alternatif terpelihara dan direka untuk bersambung terus dengan Aethiopis:
ὣς οἵ γ' ἀμφίεπον τάφον Ἕκτορος· ἦλθε δ' Ἀμαζών, Ἄρηος θυγάτηρ μεγαλήτορος ἀνδροφόνοιο.
Dengan cara ini mereka melakukan pengebumian Hector; kemudian datanglah Sang Amazon, Penthesileia, anak kepada Ares yang berjiwa besar pembunuh manusia. ...
Terdapat percanggahan antara epik-epik dalam Kitaran. Contohnya, pahlawan Yunani yang membunuh anak lelaki Hector Astyanax semasa kejatuhan Troia ialah Neoptolemus menurut Iliad Kecil; menurut Iliou persis, ia Odysseus.[7]
Bagaimana dan bila kelapan-lapan epik dalam Kitaran digabungkan ke dalam satu koleksi dan dirujuk sebagai "kitaran" masih diperdebatkan. Pada akhir abad ke-19, David Binning Monro berpendapat bahawa penggunaan klasikal perkataan κυκλικός bukannya bermaksud harfiah tetapi bermaksud "konvensional", dan bahawa Kitaran tersebut disusun pada zaman Helenistik (mungkin selewatnya abad ke-1 SM). Para sarjana yang lebih baru lebih suka menolak tarikhnya lebih kebelakang tetapi menerima teras umum hujah tersebut.[perlu rujukan]
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]Edisi
[sunting | sunting sumber]- Edisi dalam talian (terjemahan bahasa Inggeris):
- Teks Perpustakaan Zaman Pertengahan dan Klasik (diterjemah oleh H. G. Evelyn-White, 1914; domain awam)
- Teks Projek Gutenberg (diterjemah oleh H. G. Evelyn-White, 1914)
- Ringkasan Proklos tentang Kitaran Epik, mengetepikan Telegony (diterjemahkan oleh Gregory Nagy)
- Edisi cetak (bahasa Yunani):
- Bernabé, A. (1987). Poetarum epicorum Graecorum testimonia et fragmenta. Bhg. 1. LeipziISBN 3-322-00352-3g.
- Davies, M. (1988). Epicorum Graecorum fragmenta. Göttingen. ISBN 3-525-25747-3
- Edisi cetak (Yunani dengan terjemahan Inggeris):
- Hesiod & Evelyn-White, H. G. (1914). Hesiod: The Homeric Hymns and Homerica. Loeb Classical Library. ISBN 0-674-99063-3.
- West, M. L. (2003). Greek Epic Fragments. Cambridge. ISBN 0-674-99605-4.
- Abrantes, Miguel Carvalho (2016). Themes of the Trojan Cycle: Contribution to the study of the greek mythological tradition. CreateSpace Independent Publishing Platform. ISBN 978-1530337118.
- Burgess, J.S. 2001, The Tradition of the Trojan War in Homer and the Epic Cycle (Baltimore). ISBN 0-8018-7890-X (pbk)
- Davies, M. 1989, The Greek Epic Cycle (Bristol). ISBN 1-85399-039-6 (pbk)
- Kullmann, W. 1960, Die Quellen der Ilias (troischer Sagenkreis) (Wiesbaden). ISBN 3-515-00235-9 (1998 cetakan semula)
- Michalopoulos, Dimitris, Homer's Odyssey beyond the myths, Piraeus: Institute of Hellenic Maritime History, 2016. ISBN 9786188059931.
- Monro, D.B. 1883, "On the Fragment of Proclus' Abstract of the Epic Cycle Contained in the Codex Venetus of the Iliad", Journal of Hellenic Studies 4: 305-334.
- Monro, D.B. 1901, Homer's Odyssey, books XIII-XXIV (Oxford), hlm. 340–84. (Habis cetakan)
- Severyns, A. 1928, Le cycle épique dans l'école d'Aristarque (Liège, Paris). (Habis cetakan)
- Severyns, A. 1938, 1938, 1953, 1963, Recherches sur la "Chrestomathie" de Proclos, 4 jil. (Bibliothèque de la faculté de philosophie et lettres de l'université de Liège fascc. 78, 79, 132, 170; Paris). (Jil. 1 dan 2 adalah pada Photius, 3 dan 4 pada MSS lain.)
- Severyns, A. 1962, Texte et apparat, histoire critique d'une tradition imprimée (Brussels).
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ West, M. L. (1999). "Epic Cycle". Oxford Classical Dictionary. Eds ke-3. Oxford; Oxford University Press. m/s 707.
- ^ OCD3 m/s 531.
- ^ Poetics Aristoteles 1459a–b.
- ^ OCD3 p. 531
- ^ Monro (1883); Severyns (1928), (1938a), (1938b), (1953), (1962) dan (1963); dan Abrantes (2016).
- ^ Cth. Monro. (1883).
- ^ a b c Abrantes 2016.
- ^ Contoh: J. Marks 2002, "The Junction between the Kypria and the Iliad", Phoenix 56: 1–24; dan Burgess 2001 berhujah bahawa Cypria asalnya menceritakan seluruh perang tersebut.
- ^ Contoh: J. Latacz 1996, Homer, His Art and His World tr. J. Holoka (Ann Arbor); R. Scaife 1995, "The Kypria and its early reception", Classical Antiquity 14: 164–97.