Pergi ke kandungan

Ketinggian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ketinggian ialah ukuran jarak menegak yang lazimnya dibahagikan kepada dua kegunaan, iaitu ketinggian benda dari atas ke bawah, atau paras benda dari darat. Contohnya, boleh dikatakan "Tingginya bangunan tu" atau "Tingginya kapal terbang tu"; kedua-duanya memaksudkan ketinggian benda, iaitu "Ketinggian bangunan itu adalah 50 m" atau "Ketinggian kapal terbang itu adalah 10,000 m (dari darat)". Untuk menghuraikan betapa tingginya benda seperti kapal terbang atau puncak gunung dari paras laut, ketinggian ini juga dipanggil altitud. Ketinggian diukur sepanjang paksi menegak (y) dari satu titik ke satu titik.

Matematik

[sunting | sunting sumber]

Model dimensi menentukan ketinggian sebagai dimensi ketiga, selain kepanjangan dan lebar. Apabila membentuk satah mengikut panjang dan lebarnya, kemudian membubuh garis yang bersilang dengan satah tersebut pada sudut 90 darjah, maka ketinggiannya diukur melalui garis itu.

Ketinggian juga memaksudkan:

  1. Altitud segi tiga, iaitu kepanjangan dari puncak segi tiga ke garis yang terbentuk oleh sisi bertentangan
  2. Ukuran dalam tembereng bulat kepanjangan dari titik tembereng bulat yang paling jauh dari pusat, hingga ke garis yang terbentuk oleh titik hujung arka tembereng (lihat diagram dalam tembereng bulat).

Walaupun ketinggian adalah nisbi kepada satah, kebanyakan ukuran ketinggian dalam dunia fizikal adalah berasaskan permukaan sifar yang dikenali sebagai paras laut. Altitud dan dongakan sama ertinya dengan ketinggian, biasanya mentakrifkan kedudukan suatu titik di atas paras laut min. Secara amali, paras laut di bawah daratan benua perlu dihitung mengikut ukuran graviti; terdapat beberapa kaedah penghitungan yang agak berlainan.

Daripada menggunakan paras laut, ahli geodesi lebih memilih untuk menentukan ketinggian dari permukaan elipsoid rujukan. Penentuan ketinggian mercu tanda geografi menjadi persoalan rujukan. Misalnya, gunung tertinggi dari segi dongakan dari paras laut ialah Gunung Everest yang terletak di sempadan Nepal dan Tibet; tetapi gunung tertinggi mengikut ukuran dari puncak ke tapak ialah Mauna Kea di Hawaii.

Penerbangan

[sunting | sunting sumber]

Dalam bidang penerbangan, istilah ketinggian, altitud, dan dongakan tidak sama ertinya. Biasanya, altitud pesawat diukur dari paras laut, manakala ketinggiannya diukur dari paras daratan. Dongakannya juga diukur dari paras laut, tetapi selalunya dianggap sebagai sifat daratan. Oleh itu, boleh diterima bahawa dongakan tambah ketinggian bersamaan altitud, tetapi istilah altitud ada berbagai-bagai maksudnya dalam bidang penerbangan.

Budaya manusia

[sunting | sunting sumber]

Ketinggian manusia tergolong sebagai bidang dalam ilmu antropometri. Variasi ketinggian dalam sesebuah kependudukan biasanya dipengaruhi oleh faktor genetik, manakala kelainan antara kependudukan pula selalunya terpengaruh oleh alam sekeliling.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggunakan ketinggian (antara statistik lain) untuk memerhati piawaian nutrisi di negara membangun. Dalam kependudukan manusia, ketinggian purata boleh menyarikan data rumit mengenai kelahiran, pembesaran, darjat sosial, pemakanan dan sistem penjagaan kesihatan dalam sesebuah kelompok. Namn begitu, ketinggian manusia tidak semestinya ada hubung kait langsung dengan khasiat, darjat sosial, dsb.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]