Kehilangan Nora Anne Quoirin
Nora Anne Quoirin | |
---|---|
Kelahiran | April 2004 |
Hilang pada | 4 Ogos 2019 |
Status | Dijumpai mati pada 11 Ogos 2019 |
Meninggal dunia | 11 Ogos 2019 | (umur 15)
Sebab kematian | Kebuluran |
Nora Anne Quoirin (April 2004 – 11 Ogos 2019) ialah seorang gadis remaja Ireland berketurunan Perancis yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019 semasa dalam perjalanan di Gunung Berembun, terletak di Dusun Resort di Pantai, Negeri Sembilan.
Latar belakang dan kehilangan
[sunting | sunting sumber]Nora Anne ialah seorang gadis remaja warga Ireland yang mengalami masalah pembelajaran.[1] Beliau tiba di Malaysia bersama keluarganya yang terdiri daripada ibu bapanya, Maebh Jaseprine Quorin dan Sebastian Marie Philipe serta dua adiknya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah penginapan di Pantai, Seremban. Beliau disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad. Beliau dipercayai meninggalkan bilik penginapan dengan hanya memakai pakaian dalam. Penduduk yang dikenali sebagai Tan dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ahli keluarga mangsa bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dan turut terbabit dalam operasi itu sejak hari pertama kehilangan remaja itu.[2] Kehilangan Nora Anne terus menjadi tanda tanya dan misteri dalam kalangan penduduk setempat. Pelbagai persoalan membelenggu dan ramai yang hairan dengan kemampuan remaja berusia 15 tahun, yang juga anak istimewa, untuk berada jauh daripada penginapan itu selain menyifatkan ia merupakan pertama kali berlaku di kawasan penginapan berkenaan.[3] Pihak berkuasa Malaysia melancarkan operasi mencari dan penyelamat (SAR) yang secara keseluruhannya melibatkan 353 anggota daripada PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pasukan elit PDRM Komando VAT69, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta sukarelawan.[4]
Liputan media
[sunting | sunting sumber]Kehilangan Nora Anne telah mengejutkan pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi tajuk utama kebanyakan media antarabangsa antaranya CNN, AFP, AsiaOne, The Straits Times, South China Morning Post, The Guardian, The Sun UK, BBC, NZ Herald dan Al Jazeera.[4] Agensi berita CNN melaporkan kejadian itu dengan tajuk ‘Body of missing teenager Nora Quoirin found in Malaysia’[5] manakala portal Al Jazeera melaporkan dengan tajuk ‘Malaysian police find body of French-Irish teen who went missing’.[4][6]
Kronologi
[sunting | sunting sumber]Berikut ialah kronologi kehilangan Nora Anne:[7]
- 3 Ogos 2019[7]
- Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.
- 4 Ogos 2019[7]
- Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.
- Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.
- Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
- 5 Ogos 2019[7]
- Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.
- Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.
- Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.
- Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.
- 6 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- 7 Ogos 2019[7]
- Polis merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.
- Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- 8 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.
- Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.
- 9 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.
- Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.
- Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.
- 10 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.
- Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.
- Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.
- 11 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.
- Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.
- 12 Ogos 2019[7]
- Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.
- Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.
- Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.
- Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.
- 13 Ogos 2019[7]
- 1.57 tengah hari: Operasi SAR masuk hari ke-10, polis menemui mayat wanita berkulit putih, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.
- 8.55 malam: Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.
Kematian dan siasatan
[sunting | sunting sumber]Punca kematian gadis Nora Anne Quoirin yang hilang pada 4 Ogos berpunca dari kebocoran pada usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.[8][9][10] Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, pakar patologi juga telah mengesahkan Nora Anne telah meninggal antara dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada hari ke 10 di 2.5 Kilometer dari penginapannya di The Dusun Pantai Hill di sini. Beliau berkata dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan: "Tidak ada kesan atau tanda dirogol hanya calar-calar kecil dan luka pada kaki tetapi tidak menjurus menyebabkan kematian. Punca kematian sebenar adalah disebabkan kebocoran usus mungkin disebabkan tidak ada makanan dalam tempoh yang panjang,". Mohamad turut mengesahkan tiada unsur jenayah termasuk culik dan rogol dalam kes ini dan beberapa sampel pada tubuh Nora Anne telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mengetahui lebih lanjut autopsi tersebut.[11]
Pada 15 Ogos 2019, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang dikenali dengan nama Zikri Armstrong di laman sosial Twitter dipercayai mempunyai kaitan dengan komen yang dimuat naik di laman sosialnya, mendakwa Nora Anne telah dirogol orang asli. Suspek telah ditahan pada jam 7 malam tadi di IPD Seremban dan kes ini diserah kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan.[12][13]
Proses bedah siasat mayat Nora Anne dilakukan bermula jam 11.45 pagi pada 14 Ogos dan selesai 9.25 malam. Bedah siasat dikendalikan Pakar Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari HTJS selain dibantu pakar dari Jabatan Kimia.[14][15] Mayat beliau bagaimanapun, masih belum dituntut keluarga.[16]
Keluarga Nora Anne Quoirin telah menuntut mayatnya dari Hospital Tuanku Ja'afar pada 17 Ogos. Ia dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik pada 12.42 pagi Sabtu selepas dokumentasi selesai.[17]
Inkues
[sunting | sunting sumber]Prosiding inkues telah diadakan bagi menentukan sebab kematian Nora Anne.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Nora Anne Quoirin: Malaysia rules out murder in French-Irish teen death Deutsche Welle. 4 Januari 2021. Dicapai pada 11 Januari 2021.
- ^ Raja Noraina Raja Rahim (6 Ogos 2019). Nora Anne berpakaian dalam ketika hilang Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Kehilangan remaja Ireland cetus misteri, kata Tok Batin Sinar Harian (5 Ogos 2019). Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ a b c Kematian tragik Nora Anne tajuk berita utama media antarabangsa Sinar Harian (14 Ogos 2019). Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Bianca Britton (13 Ogos 2019). Body of missing teenager Nora Quoirin found in Malaysia CNN. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Malaysian police find body of French-Irish teen who went missing Al Jazeera (14 Ogos 2019). Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ a b c d e f g h i j k l Kronologi kehilangan Nora Anne Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Terlerai persoalan, lapar, stres punca Nora Anne maut Sinar Harian. Dicapai pada 15 Ogos 2019.
- ^ Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek (15 Ogos 2019). Nora Anne mati akibat kebocoran usus Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Nora Anne Quoirin autopsy reveals London teen suffered from hunger and 'prolonged stress' in Malaysian jungle ABC News (15 Ogos 2019). Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Norafidah Assan dan Syamilah Zulkifli (15 Ogos 2016). Nora Anne tidak dirogol, diculik Sinar Harian. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Sarinah Mat Kasim (16 Ogos 2019). Lelaki dakwa Nora Anne dirogol orang asli ditahan polis Sinar Harian. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Sarban Singh (16 Ogos 2019). Man held to help investigation over tweet claiming Nora Anne killed by Orang Asli The Star Online. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek (14 Ogos 2019). Bedah siasat Nora selesai malam ini Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek (14 Ogos 2019).Keputusan bedah siasat dijangka hari ini Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek (15 Ogos 2019). Keluarga belum tuntut mayat Nora Anne Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2019.
- ^ Nora Anne's body claimed by family The Star Online. Dicapai pada 18 Ogos 2019.