Kassandra
Kassandra (Yunani Purba: Κασσάνδρα, juga Κασάνδρα ), (kadangkala dipanggil Alexandra), ialah seorang wanita dalam mitos Yunani yang disumpah untuk mengungkap ramalan yang nyata namun tiada siapa akan percayanya. Dari segi bahasa dan kiasan, nama beliau digunakan sebagai sarana retoris (rhetorical device) untuk melabelkan seseorang yang mengungkapkan ramalan atau tanggapan yang akan berlaku tetapi tidak dipercayai sesiapa pun.
Kassandra dikatakan ialah seorang anak perempuan kepada Raja Priam dan Ratu Hecuba dari Troy. Versi cerita yang lebih tua dan sering dijumpai mengatakan bahawa beliau telah menawan hati dewa Apollo, yang menganugerahkannya kurniaan untuk melihat masa depan sebagai hadiah. Kassandra berjanji akan tunaikan asmara yang Apollo ingini, tetapi setelah mendapat kurniaan tersebut Kassandra mungkir janji dan menolak lamaran sang dewa. Dewa Apollo pun murka namun tidak dapat menarik kuasa tersebut, jadi dia menyumpah supaya tiada sesiapa pun akan percaya ramalan yang diungkapkan Kassandra.
Versi-versi yang lebih lewat mengatakan bahawa Kassandra tertidur di sebuah kuil, dan seekor ular menjilat (atau berbisik) telinganya supaya dia dapat pandangan masa depan.[a]
Kassandra menjadi seorang tokoh dalam siklus epik dan tragedi.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Hjalmar Frisk (Griechisches Etymologisches Wörterbuch, Heidelberg, 1960–1970) menyatakan "etimologi tanpa penjelasan", dan menukilan "berbagai hipotesis" dalam Wilhelm Schulze,[1] Edgar Howard Sturtevant,[2] J. Davreux,[3] dan Albert Carnoy.[4] R. S. P. Beekes[5] menukil terbitan nama Kassandra oleh García Ramón yang berasalkan kata dasar dari Bahasa Proto-Indo-Eropah *(s)kend- "naik".
Mitos
[sunting | sunting sumber]Biografi
[sunting | sunting sumber]Kassandra ialah seorang puteri negeri Troy, anak perempuan kepada Raja Priam dan Ratu Hecuba dan merupakan kakak kembar fraternal kepada Helenus. Menurut legenda, Kassandra mempunyai rambut ikal coklat kemerah-merahan dan mata berwarna perang berangan, walaupun beliau cantik dan pintar Kassandra dianggap gila oleh orang ramai.[6]
Anugerah ramalan
[sunting | sunting sumber]Kassandra dikurniakan anugerah meramal, tetapi juga disumpah dewa Apollo supaya tiada siapa percayakan ramalannya. Pelbagai versi mitos ini mengatakan Kassandra menjelmakan kemurkaan Apollo kerana enggan bersanggama dengannya, walaupun berjanji akan lakukannya setelah dapat kuasa ramalan. Dalam Agamemnon Aeschylus, Kassandra meratapi hubungannya dengan Apollo:
Apollo, Apollo!
Dewa segala tuju, namun hanya Maut padaku,
Sekali dan lagi, wahai dikau, dinamaimu Pembinasa,
Dikau telah membinasaku, dikau, buah hatiku yang lama!
Dan beliau memahami salahnya
"Telah perizinkan [cinta] daku kepada Loxias [Apollo], tetapi mungkir daku janjinya. Sejak kesalahan (daku) itu, tiada dapat meyakinkan daku sesiapa pun."[7]
Penulis Romawi Hyginus menyatakan dalam Fabulae:[8]
Kassandra, anak perempuan (raja) Priam dan (ratu) Hecuba, di kuil Apollo, jerih daripada bermain diperkatakan terlena; hatta kalakian damba Apollo mendakap dia, dia tidak memperuntukkan tubuhnya. Oleh demikian, apabila dia bertakwilkan perkara yang benar, percayanya akan dia tiada.
Dalam beberapa versi, Apollo menyumpah Kassandra dengan meludah ke dalam mulutnya.
Kassandra berkhidmat sebagai seorang paderi dara kepada Apollo dan bersumpah akan kekal dara seumur hidup.[9]
Sumpahan Apollo menjadi kepayahan padanya. Kassandra dikutuk seorang penipu dan gila oleh keluarganya dan rakyat Troy. Dalam sesetengah cerita, Kassandra dikurung di dalam sebuah binaan berbentuk limas di kubu kota, atas perintah ayahandanya, Raja Priam. Beliau dijaga oleh seorang wadarwati yang ditugaskan untuk sampaikan kepada raja apa "ramalan" yang diungkapkan anaknya.[10]
Menurut legenda, Kassandra telah mengajar saudara kembarnya Helenus ilmu nujum. Sama sepertinya, Helenus sentiasa ramalkan dengan betul namun orang percayai Helenus dan bukannya Kassandra.
Kassandra ungkapkan berbagai ramalan namun semua orang tidak mempercayainya kecuali seorang, apabila Kassandra ketahui identiti sebenar Paris dan mengatakan bahawa Paris itu saudaranya sendiri yang diusir dahulu.[11] Kassandra ramalkan yang Paris akan menculik Ratu Helene dari Sparta untuk jadikan baginda isterinya dan akan cetuskan Perang Troy dan memberi amaran kepada Paris untuk tidak pergi ke sana. Helenus menguar-uarkan ramalan beliau, tetapi amarannya diabaikan. Kassandra nampak Helene datang ke Troy apabila Paris pulang dari Sparta. Walaupun orang ramai sukacita, Kassandra meragut layah emas Helene dan mencarik rambutnya, kerana beliau dapat lihat bahawa kedatangan Helene hanya akan membinasakan kota tersebut dalam Perang Troy.
Fall of Troy and aftermath
[sunting | sunting sumber]Kassandra dapat lihat kejatuhan Troy. Dalam pelbagai riwayat perang tersebut, Kassandra mengamarankan kepada rakyat Troy tentang tentera Yunani sedang bersembunyi di dalam Kuda Troy, kemangkatan Agamemnon, kematian beliau sendiri angkara Aigisthos dan Klytaimnestra, nasib bondanya Hecuba, pertualangan sepuluh tahun Odysseus sebelum pulang, dan pembunuhan Aigisthos dan Klytaimnestra oleh anak baginda Elektra dan Orestes. Kassandra meramalkan yang sepupunya Aeneas akan dapat lari semasa Troy jatuh dan mengasaskan negeri baru di Rom.[12] Tetapi, kesemua amarannya tidak diendahkan.[13]
Koroibos dan Othrioneus datang untuk menolong kota Troy dalam peperangan kerana kasih akan Kassandra namun mereka berdua terbunuh. Menurut satu laporan, Priam menawarkan Kassandra kepada Euripilos anak Telefos, supaya Euripilos akan berlawan bagi pihak Troy.[14] Kassandra juga merupakan individu pertama untuk lihat mayat abangnya Hektor di bawa balik ke kota.
Dalam The Fall of Troy, diceritakan oleh Quintus Smyrnaeus, Kassandra telah cuba mengamarankan rakyat Troy bahawa tentera Yunani sembunyi di dalam Kuda Troy semasa mereka sedang menjamu dan menyambut kemenangan mereka ke atas negeri Yunani. Mereka tidak percayakan beliau, dan mengutuknya dan menghinanya.[15] Beliau mengambil sebilah kapak dan sebatang obor untuk menghancurkan Kuda Troy dan membunuh tentera Yunani, tetapi rakyat Troy menghalangnya. Tentera Yunani yang berada di dalam kuda itu lega, tetapi terkejut dengan betapa benarnya Kassandra hampir membongkarkan rancangan mereka.
Semasa kejatuhan kota Troy, Kassandra berlindung di kuil Athena. Beliau memeluk patung kayu Athena dan berdoa supaya dia selamat, tetapi kemudian diculik dan diperkosakan oleh Ajax si Kecil. Kassandra memegang patung Athena dengan sungguh kuat sehingga Ajax harus tumbangkan ia dari pelantar dan mengherot Kassandra lari. Ada suatu pengisahan berkata bahawa Athena pun, yang telah membantu pihak Yunani untuk tawan Troy, tidak dapat menahan air matanya dan wajahnya menjadi merah dengan murka. Dalam pengisahan lain, pemerkosaan Kassandra menyebabkan roman Athena mengeluarkan bunyi yang sungguh dahsyat sehingga mengegarkan lantar kuil, sementara mata Athena berpaling daripada melihat Kassandra dicabul, namun ada yang mengatakan pengisahan ini hanyalah sekadar imaginasi. Kelakuan Ajax merupakan suatu pencabulan kerana Kassandra ialah perayu tempat suci tersebut, dan berada di bawah perlindungan sang dewi. Ajax kemudian lagi mencemari kuil tersebut dengan pemerkosaan Kassandra.[16]
Odysseus bertegas kepada pembesar Yunani bahawa Ajax sepatutnya direjam sampai mati atas jenayahnya, yang telah menimbulkan kemurkaan Athena dan para dewa lain. Ajax selamatkan diri beliau, selepas beliau merayu perlindungan kepada haikal Athena, dan menyatakan sumpah bahawa beliau tidak bersalah. Athena akhirnya palak dan amarah dengan kegagalan Yunani untuk menghukum Ajax, dan membalas dendam sendiri dengan bantuan Poseidon dan Zeus. Poseidon menyeru ribut dan badai yang menhancurkan kapa-kapa Yunani yang pulang dari Troy. Athena sendiri menyumpah Ajax dengan kematian yang dahsyat. Orang negeri Lokri terpaksa meminta ampun atas jenayah Ajax dengan mengutuskan dua perawan ke Troy setiap tahun selama satu alaf sebagai hamba di kuil Athena. Tetapi, jika mereka tertangkap oleh penduduk sana sebelum tiba ke kuil, mereka akan dibunuh.
Dalam beberapa versi, Kassandra dengan sengaja meninggalkan sebuah peti di Troy, dengan sumpahan yang akan berpaut pada orang Yunani pertama yang membukanya. Di dalam peti tersebut ialah sebuah gambaran Dionysus, dibuat oleh Hefaistos dan dipersembahkan kepada pihak Troy oleh Zeus. Ia kemudiannya diberikan kepada pemimpin Yunani Eurypylus sebagai sebahagian daripada harta rampasan perang. Apabila beliau membuka peti itu dan melihat gambar dewa, beliau hilang akal.
Penangkapan dan kematian
[sunting | sunting sumber]Kassandra kemudiannya dijadikan seorang pallake (gundik) kepada Raja Agamemnon dari Mykenai. Tanpa pengetahuan Agamemnon semasa baginda berperang, permaisuri Klytaimnestra, telah khianatinya dengan curang bersama Aigisthos. Klytaimnestra dan Aigisthos kemudian membunuh kedua-dua Agamemnon dan Kassandra. Beberapa sumber mengatakan bahawa Kassandra dna Agamemnon mempunyai dua anak kembar, Teledamus dan Pelops, yang juga dibunuh oleh Aigisthos.
Selepas kematiannya, Kassandra tiba di Padang Elysion, dan rohnya yang selalu berpegang teguh kepada tuhan dihitung murni dan layak untuk masuk ke kayangan para dewa.[17]
Kassandra dikebumikan di Amyclae atau Mykenai. Dua bandar ini berbalah atas siapa yang benar-benar mempunyai kuburnya. Heinrich Schliemann amat yakin beliau telah menemui makam Kassandra semasa beliau menggali di Mykenai, kerana beliau terjumpa rangka seorang wanita dan dua orang bayi di dalam salah sebuah kubur di Mykenai.
Agamemnon oleh Aeschylus
[sunting | sunting sumber]Pementasan Agamemnon daripada trilogi Aeschylus Oresteia menggambarkan raja tersebut mengikut kain merah saga yang dibentangkan baginya, dan mati di luar pentas.[18]:baris 972 Selepas oda koir menandakan firasat buruk, masa terpegun dalam "babak edan" Kassandra.[19]:h. 11–16 Beliau telah pun ada di atas pentas namun diam dan diabaikan. Kegilaannya yang dilepaskan bukannya seperti penderitaan fizikal watak-watak lain dalam tragedi Yunani, seperti dalam Heracles Euripides atau Ajax Sophocles.
Menurut Seth Schein, seorang penulis, dua lagi pemerihalan kegilaan ialah seperti Heracles dalam The Women of Trachis atau Io dalam Prometheus Bound.[19]:h. 11 Beliau bercakap, secara terangan-angan dan aneh, di bawah pengaruh sumpahan Apollo,[18]:baris 1140 dan menyaksikan peristiwa silam dan yang akan datang. Schein mengatakan, "Dia (Kassandra) menimbulkan rasa kagum, gerun dan kasihan yang sama seperti penghidap skizofrenia".:h. 12 Kassandra adalah salah seorang seperti mereka "yang biasa menggabungkan wawasan benar dan mendalam dengan perasaan tidak berdaya, dan melarikan diri ke kegilaan."
Eduard Fraenkel menumpukan[19]:h. 11, nota 6[20] pada kontras syahdu antara dialog yang dideklamasikan dan dinyanyikan dalam babak ini. Barisan koir yang ketakutan tidak dapat memahaminya. Kassandra beredar ke luar pentas di mana beliau akan dibunuh Klytaimnestra walaupun dia tahu apa akan berlaku padanya.[21]:hh. 42–55 [full citation needed][22]:pp. 52–58
Adaptasi moden
[sunting | sunting sumber]Kassandra ialah tipa induk tabah. Penggunaan moden nama Kassandra biasanya merupakan sejenis komplex Kassandra, keadaan di mana orang lain tidak percaya apa yang seorang individu itu kata walaupun ia benar. Untuk menekankan situasi begini, nama Kassandra biasa digunakan dalam penulisan cereka apabila suatu ramalan menjelma, lebih-lebih lagi apabila ramalan tersebut tidak dipercayai. Ia boleh memasukkan nama manusia, objek atau tempat.
Kassandra telah digunakan sebagai alegori dan metafora dalam bidang psykologi dan falsafah. Contohnya, buku Florence Nightingale berjudul Suggestions for Thought to Searchers after Religious Truth mempunyai bahagian yang dinamakan Kassandra, yang menggunakan nama beliau sebagai metafora kepada ketidakberdayaan wanita yang Florence mengaitkan dengan pengeterwanitaan.
Mitos Kassandra itu sendiri telah diceritakan semula berulang kali oleh berbagai pengarang dalam bentuk novel dan drama, seperti karya oleh Eric Shanower, Lindsay Clarke, Christa Wolf, Lesya Ukrainka, Woody Allen, Marion Zimmer Bradley, David Gemmell, dan Hector Berlioz. Ada juga lagu-lagu yang merujuk namanya, seperti "Cassandra" (1982), oleh kugiran pop Sweden ABBA.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Tipa induk Apollo
- Prinsip ketekalan diri Novikov
- Pengembala dan Biri-biri
- Tiresias
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ Ular biasa digunakan dalam mitos Yunani sebagai sumber pengetahuan, tetapi juga kadangkala membawa ilmu pemahaman bahasa haiwan daripada memberi kuasa melihat masa depan. Demikian, tukang tilik tanpa maruah di negeri mereka merupakan majas (trope) pengisahan yang biasa digunakan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Schulze, W. (1966). Kleine Schriften. 698. J. B. Hoffmann, Glotta 28, 52
- ^ Edgar Howard Sturtevant, Class. Phil. 21, 248ff.
- ^ J. Davreux, La légende de la prophétesse Cassandre (Paris, 1942) 90ff.
- ^ Albert Carnoy, Les ét. class. 22, 344.
- ^ R. S. P. Beekes, Etymological Dictionary of Greek, Brill, 2009, h. 654.
- ^ Schein, Seth L. (1982). "The Cassandra Scene in Aeschylus' Agamemnon". Greece & Rome. 29 (1): 11–16. doi:10.1017/S0017383500028278. ISSN 1477-4550.
- ^ "Aeschylus, Agamemmon 2". The Theoi Project. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-15. Dicapai pada 5 November 2019.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "Cassandra". Mortal Women of the Trojan War. Stanford University. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-25. Dicapai pada 5 November 2019.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "The Trojan women of Euripides". Dicapai pada 5 November 2019.
- ^ "Cassandra in the Classical World". English.illinois.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-05-11. Dicapai pada 5 November 2019.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "Cassandra – Greek Mythology Link". Maicar.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-04-23. Dicapai pada 5 November 2019.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "The Internet Classics Archive | The Aeneid by Virgil". Classics.mit.edu. Dicapai pada 5 November 2019.
- ^ "Full text of "The Trojan women of Euripides"". Archive.org. 16 November 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-06-14. Dicapai pada 5 November 2019.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ Dictys Cretensis 4.14 (Frazer, h. 95).
- ^ "Classical E-Text: Quintus Smyrnaeus, Fall of Troy 12". Theoi.com. Dicapai pada 5 November 2019.
- ^ "Cassandra, Ancient Princess of Troy, Priestess and Prophetess". The Role of Women in the Art of Ancient Greece (Rwaag). Dicapai pada 5 November 2019.
- ^ Westmoreland, Perry L. (2007). Ancient Greek Beliefs. San Ysidro, CA: Lee & Vance Publishing Company. m/s. 179. ISBN 9780979324819.
- ^ a b Agamemnon (skrip pementasan) (dalam bahasa Yunani).
Barisan koir mendapatinya "tidak waras di akal dan dialihkan oleh suatu tuhan"
CS1 maint: unrecognized language (link) - ^ a b c Schein, Seth L. (1982). "The Cassandra Scene in Aeschylus' 'Agamemnon'". Greece & Rome. Siri Kedua. 29 (1): 11. doi:10.1017/S0017383500028278.
- ^ Fraenkel, Eduard (1964). Kleine Beiträge zur klassische Philologie (buku). Storia e letteratura (dalam bahasa Jerman). Jilid I. Rom. OCLC 644504522.
- ^ Analysis babak Kassandra ada dalam Word and Action: Essays on the Ancient theatre oleh Bernard Knox (Baltimore and London: Penguin) 1979
- ^ Anne Lebeck, The Oresteia: A study in language and structure (Washington) 1971
Rujukan utama
[sunting | sunting sumber]- Homer. Iliad XXIV, 697–706; Odyssey XI, 405–434;
- Aeschylus. Agamemnon
- Euripides. The Trojan Women; Electra
- Bibliotheca III, xii, 5; Epitome V, 17–22; VI, 23
- Virgil. Aeneid II, 246–247, 341–346, 403–408
- Lycophron. Alexandra
- Triphiodorus: The Sack of Troy
- Quintus Smyrnaeus: Posthomerica
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Clarke, Lindsay. The Return from Troy. HarperCollins (2005). ISBN 0-00-715027-X.
- Marion Zimmer Bradley. The Firebrand. ISBN 0-451-45924-5
- Patacsil, Par. Cassandra. Dalam The Likhaan Book of Plays 1997-2003. Villanueva and Nadera, eds. University of the Philippines Press (2006). ISBN 971-542-507-0
- Ukrainka, Lesya. "Cassandra". Terbitan Asal: Lesya Ukrainka. Life and work by Constantine Bida. Selected works, diterjemahkan oleh Vera Rich. Toronto: Published for the Women's Council of the Ukrainian Canadian Committee by University of Toronto Press (1968). Hh. 181–239 ← pautan terputus, November 2016.
- Schapira, Laurie L. The Cassandra Complex: Living with Disbelief: A Modern Perspective on Hysteria. Toronto: Inner City Books Diarkibkan 2011-08-18 di Wayback Machine (1988). ISBN 0-919123-35-X.