Pergi ke kandungan

Kampung Sungai Nibung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Sungai Nibung ini terletak di kampung Sungai Besar, Mukim Kota Setia, Kampung Gajah, (dulunya teluk Intan) Perak.

Pada masa yang lalu, kira kira pada tahun 1970an kaedah pengangkutan di sini adalah bot dan basikal serta motosikal. Pada tahun 1976, sebuat jeti di kampung ini di Sungai Perak telah dirasmikan oleh Menteri Besar ketika itu, Datok Razali Jawi. Di kampung ini terdapat sebuah surau yang dulunya dibina di tanah milik seorang imam dan guru mengaji Al Quran, Allahyarham Tuan Haji Saleh Sidam. Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1982, surau ini di pindahkan di hadapan rumah Encik Holil bin Samplo.

Di kampung ini tidak terdapat dewan orang ramai, masjid, dan sekolah. Kebanyakan penduduk di sini bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar, dan sekolah menengah di Sekolah Menengah Khir Johari Sungai Sumun, Bagan Datoh, Sekolah Menengah Sungai Ranggam, Kota Setia, Sekolah Agama Irshadiah, Batu 26, Bagan Datuk, Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Horley Methodist Secondary School, Teluk Intan, Sekolah Agama Al Ulum Batu 20, Bagan Datuk, dan Sekolah Menengah Teknik, Ipoh.

Penduduk di sini bersolat jumaat di masjid kampung Sungai Besar, menjalankan aktiviti di dewan orang ramai kampung Sungai Besar, dan ketua kampung mereka adalah ketua kampung Sungai Besar, dan begitu juga sekolah tadika di kampung Sungai Besar.

Pada tahun 1980an, jalan masuk ke kampung ini telah diturap dengan tar tetapi kelebarannya masih muat untuk sebuah kereta untuk lalu dan pada tahun 1990an, penduduk di situ ada yang mula memakai kereta. Sumber elektrik mula dipasang pada tahun 1992. 

Sumber pendapatan penduduk kampung Sungai Nibung adalah dulunya menanam dan mengusahakan hasil pokok kelapa (menebas rumput, mengait buah, mengumpul buah, mengopek iaitu memisahkan sabut dari biji menggunakan alat pengopek kelapa, membelah biji, mengangkut ke salai, menyusun kelapa di atas salai, menyusun tempurung di bawah salai dan membakar tempurung semalam malaman bagi membenarkan isi kelapa 'masak', mencungkil isi menggunakan alat khas iaitu pencungkil kelapa (yang dibuat oleh kaum ibu), memilih isi kelapa yang sudah 'masak', membakar tempurung untuk menguwap isi kelapa yang belum 'masak', menumbuk isi kelapa menggunakan alat dipanggil 'antan' di dalam guni jut sehingga padat, menjahit guni, menimbang kelapa dalam guni, mengangkut kelapa dalam guni dengan motorsikal ke jeti dan menjual melalui bot ke Bagan Datuk atau Sungai Dulang.

Aktiviti lain termasuk menanam koko, kopi,  cengkih, sayur sayuran,  mengusahakan (mengoyak) pucuk nipah,  dan berniaga kedai runcit. Tetapi pada tahun 1980an, ramai yang bertukar kepada penanaman  kelapa sawit. Sebilangan kecil penduduk  bekerja sebagai nelayan di Sungai Perak menggunakan pancing,  jala dan pukat.

Penduduk kampung ini, sehingga penghujung tahun 1979, masih ramai, kira kira lebih daripada 30 buah rumah tetapi mulai awal tahun 1980an ramai penduduk sama ada berpindah ke kampung Sungai Besar, Hujung Rintis atau ke Felcra Changkat Lada dan Seberang Perak.

Pada tahun 1970an dan 1980an, aktiviti sukan penduduk kampung adalah bola sepak dan sepak takraw. Dahulunya terdapat satu gelanggang sepak takraw berhadapan dengan tapak surau sekarang. Pada tahun 1970an, kampung ini mempunyai satu pasukan bola sepak yang kuat dan pernah menjuarai pertandingan bola sepak di peringkat kampung Sungai Besar. Aktiviti sukan tradisional termasuk main gasing, main layang layang, guli batu (guli pitek), tagan getah, polis entri, bedong, kombat, hoki menggunakan kayu dari buluh dan bola lembut, seremban, rondas dan lain lain.

Seorang penduduk kampung Sungai Nibong pernah mewakili negeri Perak dalam bola sepak.

Kini penduduk kampung Sungai Nibung tinggal kurang sepuluh keluarga dan kebanyakkan mereka telah menjalankan aktiviti seharian bersama penduduk kampung Sungai Besar.