Pergi ke kandungan

Kampung Bestari Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Bestari Jaya (dahulunya dikenali dengan nama Kampung Berjuntai Tin) adalah sebuah penempatan berbilang kaum yang terletak di Bestari Jaya (Batang Berjuntai), dalam Daerah Kuala Selangor. Majoriti penduduknya adalah keluarga Melayu. Ia adalah sebuah penempatan yang dahulunya merupakan kuarters pekerja yang disediakan oleh syarikat perlombongan Berjuntai Tin Dredging Berhad. Sehingga kini bekas para pekerja lombong dan ahli keluarga mereka masih menetap disitu walaupun operasi perlombongan disitu telah ditamatkan pada bulan Mac 1994. Kawasan yang kaya dengan bijih timah telah mula berkurang, harga timah dunia pula berterusan menyusut selain baki rizab timah yang ada adalah dalam konsentrasi yang rendah menyebabkan operasi perlombongan sudah tidak lagi ekonomikal kepada syarikat hingga menyebabkan kerugian.[1]

Pada suatu masa dahulu kesemua rumah yang terdapat disitu mempunyai saiz serta rekabentuk yang hampir sama dan sekata (mengikut gred pekerja). Tapi kini penduduk disitu telah mula melakukan renovasi dan membuat penambahan struktur menjadikan lebih besar serta berbeza berbanding dahulu. Hanya beberapa buah rumah masih mengekalkan ciri dan rekabentuk struktur asalnya (termasuklah rumah yang telah ditinggalkan kosong).

Kampung Bestari Jaya dihubungkan dengan laluan sama ke Universiti Selangor (UNISEL) tapi dipisahkan oleh sebuah bulatan yang mana jika anda memilih arah jam 9 anda akan terus ke pintu utama UNISEL, sebaliknya Kampung Bestari Jaya adalah pada arah jam 3.

Kampung Berjuntai Tin mula dibina pada sekitar tahun 1940an setelah Berjuntai Tin Dredging Limited bersama Pacific Tin Consolidated Corp memulakan operasi perlombongannya secara besar-besaran di Batang Berjuntai. Kampung Pasifik Tin (Pacific Tin) juga diwujudkan oleh syarikat Pacific Tin di Batang Berjuntai bagi menempatkan para pekerjanya. Terdapat juga syarikat perlombongan lain yang turut beroperasi disitu antaranya ialah Syarikat Senky Dredging Sdn Bhd. Setelah kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging berhenti dari beroperasi pada penghujung 1993, sebahagian besar pekerja memilih untuk terus menetap disitu sehingga kini. Pada tahun 1998, Kampung Berjuntai Tin ditukar namanya kepada Kampung Berjuntai Jaya[2]. Pada sekitar awal 2000an, ditukar pula menjadi Kampung Berjuntai Bestari terutamanya setelah Kerajaan Negeri Selangor membuka UNISEL. Kali terakhir ialah pada tahun 2006 iaitu setelah Sultan Selangor secara rasmi berkenan untuk menamakannya sebagai "Kampung Bestari Jaya" (setahun awal sebelum Batang Berjuntai ditukar namanya menjadi Bestari Jaya). Nama itu kekal sehingga kini.

Berjuntai Tin Dredging Berhad

[sunting | sunting sumber]

Syarikat Berjuntai Tin Dredging adalah merupakan syarikat pengeluar timah terbesar di Malaysia. Syarikat ini bertanggungjawab menyediakan kuarters perumahan kepada pekerjanya sehingga tertubuhnya Kampung Berjuntai Tin yang kini dikenali dengan nama Kampung Bestari Jaya. Syarikat itu juga merupakan syarikat perlombongan yang terbesar pernah beroperasi kerana memiliki dan mengoperasikan sehingga 9 buah kapal korek dalam suatu masa bagi melombong bijih disekitar Batang Berjuntai. Pada akhir tahun 80an sebuah darinya (nombor 6) pernah terbabit dalam kemalangan kecil yang hampir menenggelamkannya. Terdapat sehingga 13 buah kapal korek secara keseluruhan pernah beroperasi di lombong-lombong sekitar Batang Berjuntai, dua (2) darinya adalah milik Pacific Tin Consolidated Corp manakala selebihnya milik Syarikat Senky Dredging Sdn Bhd.

Berjuntai Tin Dredging Bhd adalah syarikat pengeluar tunggal kasiterit terbesar di Malaysia dan menyumbang 5% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran timah negara.[3] Malaysia Mining Corporation (MMC) pernah memiliki sehingga 28.6% kepentingan dalam Berjuntai Tin Dredging[3](kini dilupus).

Pasaran Timah dunia jatuh pada 1983 namun meningkat sedikit pada 1988 - 1989. Dengan terjadinya kemerosotan yang berterusan dalam harga bijih timah dunia bermula dari 1991, syarikat cuba membuat perubahan dalam aktiviti pengeluaran dengan menggantung operasi kapal-kapal korek yang beroperasi di lombong-lombong yang mencatat hasil jumlah bijih timah yang rendah selain melakukan pemotongan perbelanjaan namun pada 1993 syarikat masih tidak dapat beroperasi dengan menguntungkan kerana, harga timah dunia jatuh kepada harga terendah dan syarikat itu tiada pilihan selain terpaksa menghentikan operasi perlombongan oleh kapal-kapal koreknya.[3]

Akhirnya, operasi kapal korek Berjuntai Tin Dredging (BTD) iaitu kapal korek nombor 2, 3, dan 7 diberhentikan daripada aktiviti perlombongan pada 1 Disember 1993. Menjelang Januari 1994, Berjuntai Tin Dredging telah mengikuti jejak Syarikat Senky Dredging dengan berhenti sepenuhnya dari menjalankan operasi perlombongan bijih timah[3] menjadikan Perangsang Pasifik Sdn Bhd (Pacific Tin) satu-satunya syarikat yang masih meneruskan operasi salah satu dari kapal koreknya di Batang Berjuntai sebelum akhirnya terpaksa juga dihentikan pada 1995.

Pada tahun-tahun berikutnya Berjuntai Tin Dredging Berhad telah menempuh tahun-tahun yang sukar dan bertukar perniagaan dengan menceburi sektor pelaburan.[4] Syarikat terpaksa mencairkan aset-aset miliknya termasuklah melupuskan kapal-kapal korek untuk mendapatkan aliran tunai.

Namun pada 1998, harga timah naik semula. Pada bulan Mac 1999, MMC melalui Berjuntai Tin Dredging Berhad telah mengaktifkan semula kapal korek terakhir Berjuntai Tin Dredging iaitu kapal korek nombor 3 (yang masih belum dijual) di Batang Berjuntai bagi melombong semula rizab timah melalui pajakan perlombongan sebelum ini seperti termaktub dalam kontrak perjanjian bersama Kerajaan Negeri yang telah ditandatangani pada pertengahan 80an yang akan tamat pada 2001. Sebanyak 98.37 metrik tan padu bijih timah telah berjaya dilombong dari Mac melalui laporan tahun berakhir 31 Januari 2000,[5] manakala sebanyak 117.01 metrik tan pula pada tahun berakhir 31 Januari 2001.

Operasi kapal korek berkenaan ditutup pada Januari 2001 untuk pemeriksaan dan pembaikan menyeluruh. Kontrak singkat melombong baru selepas itu dimetrai antara Kerajaan Selangor dan Berjuntai Tin Dredging Berhad seluas 36.42 hektar bagi diusahakan oleh kapal korek nombor 3 yang akan berakhir pada tahun 2004. Operasi disambung semula pada bulan Julai 2001. Walau bagaimanapun, operasi kapal korek berkenaan telah digantung semula pada November 2001 ekoran harga timah yang rendah. Operasinya tidak pernah disambung semula selepas itu. Pengeluaran timah padu oleh kapal korek berkenaan bagi tahun berakhir 30 April 2002 adalah sebanyak 20.19 tan metrik sahaja. Atas faktor-faktor yang dinyatakan diatas, syarikat itu memilih untuk meninggalkan terus sektor perlombongan. Kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging dan yang terakhir di Batang Berjuntai itu akhirnya telah dijual pada pertengahan 2002.[6] [7]

Pada sekitar 2002 juga syarikat telah mengembangkan bentuk perniagaan utamanya dari sektor pelaburan kepada sektor pembuatan berasaskan getah dengan menghasilkan sarung tangan getah untuk pasaran dalam dan luar negara[6]. Sebelumnya cubaan syarikat untuk menjadi syarikat pemaju hartanah tidak berjaya setelah syarikat gagal mengambil alih sebuah syarikat pembinaan. Syarikat mengalami pertukaran pemegang saham.

Pada 30 Mac 2004, syarikat Berjuntai Tin Dredging Berhad telah melakukan penjenamaan semula dengan menukar namanya menjadi Integrated Rubber Corporation Berhad.[4] Pada bulan Ogos 2015 pula, sekali lagi syarikat telah menukar namanya menjadi Comfort Gloves Berhad. Syarikat itu kini berpangkalan di Taiping, Perak. [8]

Lihat Juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ https://thediggings.com/mines/usgs10207093
  2. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2013-11-02. Dicapai pada 2016-07-25.
  3. ^ a b c https://thediggings.com/mines/usgs10207093
  4. ^ a b http://listofcompanies.co.in/integrated-rubber-corporation-berhad/
  5. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2007-10-30. Dicapai pada 2016-07-25.
  6. ^ a b "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-09-18. Dicapai pada 2016-07-25.
  7. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2017-09-06. Dicapai pada 2017-09-06.
  8. ^ http://www.bloomberg.com/research/stocks/snapshot/snapshot.asp?capId=874039