Pergi ke kandungan

Kamikaze

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Seorang juruterbang kamikaze menerima arahan terakhirnya.

Kamikaze (Jepun: "angin ketuhanan") ialah istilah bahasa Jepun yang asalnya diberi kepada sebuah taufan yang menyelamatkan negara Jepun daripada serangan Empayar Mongol dengan menghancurkan seluruh armada Mongol pada abad ke-13. Dalam penggunaan antarabangsa, perkataan kamikaze membawa maksud pasukan tentera udara berani mati Empayar Jepun dan serangannya terhadap kapal-kapal Kuasa-Kuasa Bersekutu pada tahun-tahun terakhir Perang Dunia Kedua.

Ramai di kalangan masyarakat barat yang percaya bahawa istilah kamikaze digunakan oleh tentera Jepun untuk juruterbang, tetapi nama yang sebetulnya ialah tokubetsu kōgeki tai (特別攻撃隊, unit serangan khas), atau singkatannya tokkōtai (特攻隊). Pasukan juruterbang serangan berani mati Tentera Laut pula dipanggil shinpū tokubetsu kōgeki tai (神風特別攻撃隊, Unit Serangan Khas Angin Ketuhanan). Pihak penterjemah Amerika Syarikat tersalah catat transkripsi tulisan kanji bagi shinpū (神風) sebagai kamikaze. Maka larisnya penggunaan istilah kamikaze, sehingga diterima oleh masyarakat Jepun selepas perang.

Kiyoshi Ogawa, juruterbang kamikaze yang menyerang kapal induk pesawat udara USS Bunker Hill (lihat gambar di kanan).
Kapal USS Bunker Hill diserang oleh Ogawa (lihat gambar di kiri) dan seorang lagi pejuang kamikaze berhampiran pulau Kyūshū pada 11 Mei 1945. 372 dari 2,600 orang anak kapalnya terkorban.

Setelah menyerang Pearl Harbor pada 7 Disember 1941, Tentera Laut dan Tentera Udara Jepun mengalami kekalahan demi kekalahan dalam beberapa pertempuran penting seperti di Midway dan Laut Filipina, lebih-lebih lagi banyak kehilangan kapalnya (termasuk hampir semua kapal induk pesawat udara), beratus-ratus pesawat pejuang, dan keguguran ramai sekali juruterbang handalannya. Sektor perindustrian Jepun kekurangan sumber dan kurang berada berbanding perindustrian Amerika Syarikat. Oleh demikian, Amerika Syarikat lebih cepat menggantikan kapal dan pesawat yang hilang dengan yang baru, padahal Jepun pula cuma mampu membuat sebilangan kecil, itupun mutunya tidak memuaskan. Pada tahun 1943-44, tentera Berikat semakin mara ke arah Jepun. Dalam Pertempuran Laut Filipina pada 19-20 Jun 1944, tentera Jepun terpaksa berundur ke Filipina.

Pada 15 Julai, Pulau Saipan (di Kepulauan Mariana Utara) ditawan oleh angkatan tentera Berikat, lantas memudahkan Tentera Udara Amerika Syarikat menyerang Jepun dengan menggunakan pesawat pengebom B-29 Superfortress. Setelah jatuhnya Saipan, para komander tentera Jepun sedar bahawa pihak Berikat seterusnya akan cuba menawan Filipina yang amat bernilai kerana terletak di antara lapangan minyak Asia Tenggara dan Jepun. Sekiranya kehilangan Filipina, pihak Jepun akan mengalami kekurangan bahan api untuk kapal-kapalnya. Pada 17 Oktober, tentera Berikat mula menyerang Filipina dalam Pertempuran Teluk Leyte.

Naib Laksamana Takijiro Onishi bertanggungjawab terhadap Tentera Udara Jepun di Manila. Beliau memahami bahawa adalah mustahil untuk memenangi pertempuran kerana kekurangan pesawat dan juruterbang terlatih. Oleh sebab itu, beliau memutuskan untuk menubuhkan sebuah angkatan penyerang berani mati, iaitu Unit Serangan Khas yang terdiri daripada sekumpulan 24 orang pelatih juruterbang yang bersukarela menyertai misi. Angkatan ini disusun atur menjadi empat kumpulan, iaitu Unit Shikishima, Unit Yamato, Unit Asahi, dan Unit Yamazakura. Keempat-empat namanya dipetik dari serangkap puisi berunsur patriotik karya pemuisi klasik Motoori Norinaga yang berbunyi begini:

敷島の
大和心を
人問はば
朝日に匂ふ
山桜花

Shikishima no
Yamato-gokoro wo
hito towaba,
asahi ni niou
yamazakura bana

Barang siapa yang bertanyakan
sanubari Yamato (Jepun Sejati)
dari Shikishima,
balasnya bunga ceri pergunungan
yang harum pada sinaran pagi.

USS Columbia diserang oleh kamikaze pada 6 Januari 1945.
Kamikaze menyerang Columbia, menyebabkan 13 anak kapal terkorban dan 44 lagi cedera.

Sungguhpun tentera Jepun dikalahkan di pertempuran Teluk Leyte, namun Angkatan Serangan Khas pula mengukir kejayaan besar. Serangan kamikaze sulung dilakukan terhadap kapal laksamana Tentera Laut Diraja Australia, iaitu HMAS Australia, yang meragut nyawa 30 kelasi termasuklah Kaptennya Emile Dechaineux, serta menyebabkan ramai lagi tercedera, pada 21 Oktober 1944.[1] Menjelang 26 Oktober, 47 buah lagi kapal Berikat terkena serangan kamikaze, kebanyakannya mengalami kerosakan teruk, ataupun karam seperti kapal induk pesawat AS USS St. Lo.[2]

Kejayaan awal ini meyakinkan para pemimpin tentera Jepun agar meneruskan serangan kamikaze, maka ramai lagi juruterbang yang dikerah untuk menjadi pejuang kamikaze. Sepanjang bulan-bulan seterusnya, sebanyak 2,000 lebih pesawat melakukan serangan sedemikian. Apabila simpanan pesawat Jepun semakin berkurangan, maka dihasilkannya model-model bermutu rendah untuk misi-misi ini. Misalnya, Nakajima Ki-115 Tsurugi diperbuat daripada kayu dan dilengkapi enjin lama yang terpakai. Selalunya, peralatan pendaratan digugurkan oleh juruterbang selepas berlepas supaya boleh digunakan oleh pesawat lain, memandangkan juruterbang akan mengakhiri hayatnya dalam pesawatnya. Selain itu, juga dirancangkan rancangan-rancangan serangan berani mati seumpamanya, termasuk bom roket bermanusia (Ohka) dan torpedo kapal selam (Kaiten).

Kemuncak kegiatan serangan kamikaze bertarikh 6 April hingga 25 Mei 1945, di Pertempuran Okinawa, atau "Operasi Kikusui" ("bunga kekwa terapung"), yang mana tujuh gelombang serangan dilancarkan dengan lebih 1,500 buah pesawat kamikaze. Disebabkan tempoh latihan yang begitu singkat dan barisan pesawat yang kurang bermutu hasilnya, maka juruterbang kamikaze dijadikan sasaran mudah untuk juruterbang Berikat yang jauh lebih berpengalaman, apatah lagi lebih kukuh pesawatnya. Namun begitu, pejuang kamikaze yang terlepas dari tembakan pembinasa pesawat dan serangan pesawat pejuang musuh berjaya menyebabkan kerosakan besar pada armada Berikat. Sungguhpun kuasa Berikat memenangi pertempuran, namun banyak sekali kapal dan tentera yang kehilangannya akibat serangan kamikaze. Pada akhir pertempuran, sekurang-kurangnya 21 buah kapal AS dikaramkan oleh pejuang kamikaze, di samping juga beberapa lagi buah kapal pihak Berikat yang lain, serta puluhan lagi yang rosak teruk.[3]

Beratus-ratus lagi pesawat kamikaze dibina untuk mempertahankan Jepun dari serangan terakhir. Bagaimanapun, berikutan penyerahan kalah Jepun pada 15 Ogos selepas diserang oleh bom atom di bandaraya Hiroshima dan Nagasaki diikuti perisytiharan perang oleh Kesatuan Soviet, tiada sebuah pun yang sempat digunakan.

Kesan terpenting serangan kamikaze adalah menimbulkan rasa ketakutan di kalangan tentera Berikat. Apabila kapal-kapal Amerika Syarikat memasuki pertempuran-pertempuran terakhirnya, para anak kapalnya amat menggeruni kedatangan pasukan pejuang kamikaze. Pada penghujung Perang Dunia II, Tentera Laut Jepun telah mengorbankan 2,525 orang pejuang kamikaze, manakala Tentera Udaranya pula keguguran 1,387 orang. Mengikut perangkaan kerajaan Jepun, misi-misinya berjaya mengaramkan 81 buah kapal dan merosakkan 195 buah lagi, di samping juga mendakwa bahawa serangan-serangan kamikaze inilah yang menjadi punca 80% kematian tentera Berikat pada tahun-tahun penutup peperangan.

Sumber-sumber Amerika Syarikat pula mendakwa bahawa tidak sebanyak kapal yang berjaya dikaramkan oleh pejuang kamikaze seperti yang didakwa oleh pihak Jepun. Apapun, mereka setuju bahawa kesan kerosakannya sungguh mendalam. Mengikut sumber Tentera Udara A.S., penyerang kamikaze mengaramkan 34 kapal Tentera Laut, merosakkan 368 kapal lain, membunuh 4,900 orang anak kapal, dan mencederakan 4,800 orang lagi.[4] Dalam buku World War II keluaran tahun 2004, sejarawan Wilmott, Cross & Messenger menyatakan bahawa lebih 70 kapal A.S. "dikaramkan atau dibinasakan" oleh kamikaze.[5]

Kepercayaan kamikaze

[sunting | sunting sumber]
Pelajar perempuan sekolah tinggi melambai-lambaikan dahan pokok ceri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para juruterbang kamikaze dalam Pertempuran Okinawa, pada 12 April 1945.

Ramai juruterbang kamikaze yang menawarkan diri mereka sebagai sukarelawan untuk misinya, lazimnya berusia semuda 18 dan 24 tahun. Mereka percaya bahawa mati sambil menumbangkan musuh-musuh Jepun dan Maharajanya ialah kematian yang mulia sekali, begitulah rukun yang diamalkan sejak zaman samurai yang menitikberatkan rasa bertanggungjawab dan ketaatan. Kefahaman ini digelar Giri ("Kewajipan"), iaitu sebahagian tatakelakuan pahlawam Jepun sejak Zaman Pertengahan, iaitu Bushido. Ramai pemuda mengorbankan diri dengan rela hati kerana kepercayaan inilah serta cinta mereka kepada ibu pertiwi merupakan perkara-perkara terpenting bagi mereka. Buku panduan juruterbang tokkōtai menyeru para pejuang agar tidak memejam mata, jika tidak tersasar pula. Dalam detik-detik terakhir sebelum berhempas, juruterbang seharusnya melaungkan seruan "Hissatsu!" (必殺, "Serangan genting!") sekuat hati.[6][7]

Selain kerelaan demi negara, ramai lagi yang berbuat demikian gara-gara tekanan sosial. Sesiapa yang tidak menawarkan diri boleh dianggap sebagai pengecut dan pembawa aib. Terdapat sebilangan juruterbang profesional yang diarah agar melakukan serangan berani mati kerana harus taat kepada arahan dan bukannya demi kehormatan. Salah seorang juruterbang kamikaze terawal, Leftenan Yukio Seki, menulis yang berikut selepas nyaris dipaksa agar menawarkan diri:

Masa depan Japan menjadi tidak tentu jika terpaksa mengorbankan salah seorang juruterbang terhandalnya. Saya tidak akan menyertai misi ini demi Maharaja atau Empayar... (sebaliknya) kerana saya menerima arahan.[8]

Sebelum bertempur, para pejuang menjalani upacara khusus yang mana mereka meminum sake dan memakan bebola nasi, selepas itu dikurniakan pingat dan pedang katana. Mereka memakai cekak rambut yang berlukis matahari terbit, dan sennibari (tali pinggang seribu jahitan) yang dihasilkan oleh seribu wanita yang setiap satunya menyumbangkan satu jahitan.[9] Selalunya, mereka membawa bersama surat ucapan doa yang ditulis oleh saudara-maranya.[10] Mengikut legenda, juruterbang muda yang menjalani misi kamikaze selalu terbang ke arah barat daya dari Jepun melalui Gunung Kaimon yang tingginya 922 meter. Para pejuang berani mati ini berpaling ke belakang untuk memandang gunung itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada tanahair. Mengikut satu lagi kisah, para pejuang kamikaze menaburkan bunga-bunga daru udara ketika berlepas untuk misi terakhir mereka. Sesetengah tempat, seperti bukit-bukau berhampiran lapangan terbang Kikajima, dikatakan disaluti timbunan bunga bunga biru yang mekar pada awal bulan Mei ketika itu.[11]

Sebilangan anggota tentera terpenting yang terselamat daripada peperangan mengecam rancangan kamikaze bertahun-tahun kemudian. Saburo Sakai, seorang juruterbang handalan zaman perang berkata:

Kamikaze merupakan serangan mengejut, menurut taktik peperangan zaman lampau kami. Serangan mengejut boleh berjaya sekali, mungkin dua atau tiga kali, tetapi siapalah yang sebegitu bodoh sehingga mengulang-ulang serangan yang sama selama sepuluh bulan? Maharaja Hirohito pasti menyedarinya, dan sewajarnya baginda bertitah agar berhenti."
  1. ^ Dunn, Richard L. "First Kamikaze? Attack on HMAS Australia". J-aircraft.com. Dicapai pada August 30, 2007.
  2. ^ Toland, John (1970). The Rising Sun: The Decline and Fall of the Japanese Empire 1936-1945. Random House. ISBN 978-0-8129-6858-3. m/s. p. 567. |pages= has extra text (bantuan)
  3. ^ "Casualties: U.S. Navy and Coast Guard Vessels, Sunk or Damaged Beyond Repair during World War II, 7 December 1941-1 October 1945". Naval Historical Center. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-02. Dicapai pada August 30, 2007.
  4. ^ Hallion, Richard P. "Precision weapons, power projection and the revolution in military affairs". United States Air Force Historical Studies Office. Dicapai pada August 30, 2007.
  5. ^ Wilmott, H. P. (2004). World War II. Dorling Kindersley. ISBN 0-7566-0521-0. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  6. ^ Ohnuki-Tierney, Emiko (2006). Kamikaze Diaries - Reflections of Japanese Student Soldiers. University of Chicago Press. ISBN 978-0-226-61951-4. m/s. pp. 1-11. |pages= has extra text (bantuan)
  7. ^ "The Kamikaze files: Manual". Daniel Ford. Dicapai pada August 30, 2007.
  8. ^ Axell, Albert (2002). Kamikaze: Japan’s suicide gods. New York: Longman. ISBN 0-582-77232-X. m/s. p. 16. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan); |pages= has extra text (bantuan)
  9. ^ Hobbes, Nicholas (2003). Essential Militaria. Atlantic Books. ISBN 978-1-84354-229-2.
  10. ^ Hobbes, Nicholas (2003). Essential Militaria. Atlantic Books. ISBN 978-1-84354-229-2.
  11. ^ Kosaka, Jiro (1985). Kyō ware ikite ari (dalam bahasa Japanese). Shinchosha. ISBN 978-4-10-358401-8.CS1 maint: unrecognized language (link)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]