Pergi ke kandungan

Joko Tingkir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Joko Tingkir atau Mas Karèbèt ialah sultan Pajang, sebuah wilayah yang kini terletak di bahagian barat daya Kota Surakarta. Dikenali dengan nama kebesaran Sultan Hadiwijaya, beliau juga dikenali sebagai Adipati Pajang sebelum menjadi Sultan.


Biografi ringkas

[sunting | sunting sumber]

Riwayat Joko Tingkir boleh didapati daripada Babad Tanah Jawi yang menceritakan bahawa beliau merupakan seorang pemuda dusun yang berasal dari Desa Tingkir (kini sebahagian Kota Salatiga). Beliau memohon untuk menjadi seorang perajurit di Demak dan oleh kerana kesaktiannya, kerjayanya sebagai perajurit melejit. Setelah melalui perjuangan yang pasang surut, Joko Tingkir akhirnya berkahwin dengan Ratu Mas Cempa, puteri Sultan Trenggana, penguasa ketiga Kesultanan Demak Bintara. Selanjutnya, beliau diberikan kekuasaan untuk memimpin daerah Pajang semasa Demak diperintah oleh Sunan Prawoto, saudara iparnya.

Ketika Sunan Prawoto dibunuh pada tahun 1561, Arya Penangsang (cucu Raden Patah melalui Pangeran Seda Lepen) mengambil alih takhta. Hal ini menimbulkan pertikaian kerana yang berhak untuk naik takhta ialah isteri Jaka Tingkir.

Jaka Tingkir yang amat berkuasa dari segi politik menuntut diri sebagai penguasa Pajang dengan gelaran "Sultan Hadiwijaya". Kerana hasrat Arya Penangsang untuk menyingkirkan semua keturunan Raden Patah demi memastikan takhtanya ke atas Demak, Joko Tingkir meminta bantuan menantunya, Sutawijaya, putera Ki Ageng Pemanahan. Sutawijaya sanggup membantu, asalkan beliau diberikan separuh wilayah Mentaok (di sebelah tenggara kota Yogyakarta kini) apabila misinya berjaya. Oleh itu, selepas kejayaan Sutawijaya, Joko Tingkir memberikan hak itu kepadanya pada tahun 1568. Demak menjadi sebuah kadipaten di bawah Pajang, dengan Arya Pengiri (putera Sunan Prawata) menjadi adipati.

Kadipaten Mataram yang diasaskan oleh Sutawijaya di Hutan Mentaok berkembang pesat, bahkan lama-kelamaan menjadi sekuat Pajang sehingga Sutawijaya enggan mengakui kekuasaan Pajang. Oleh itu, timbullah pertikaian antara Sultan Hadiwijaya dan Sutawijaya. Sepulang daripada suatu pertemuan di Mataram pada tahun 1587, Sultan Hadiwijaya mangkat, akibat jatuh dari gajah. Maka kesempatan ini diambil oleh Sutawijaya untuk mengumumkan Mataram sebagai pemegang kekuasaan ke atas Pajang. Dengan itu, berakhirlah zaman Pajang. Pajang selanjutnya hanya menjadi sebuah kadipaten di bawah Mataram, dengan adipati Raden Benawa (putera Hadiwijaya yang juga merupakan ipar Sutawijaya).