Istikhlaf
Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. |
Istikhlaf bererti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya (lalu menjadi imam) bagi menyempurnakan solat mereka, disebabkan keuzuran imam pertama itu.
Jika imam keluar daripada solatnya disebabkan berhadas, atau biarpun dengan tiada sebab, adalah diharuskan bagi salah seorang makmum menggantikannya.
- Hadis: "Ketika Nabi SAW sedang sakit tenat, datang Bilal untuk memberitahu Baginda tentang solat. Maka Nabi SAW menyuruhnya supaya mengatakan kepada Abu Bakar agar mengimami orang ramai. Saya berkata: "Abu Bakar adalah seorang lelaki yang penyedih dan jika dia berdiri mengambil tempatmu (solat), dia akan menangis dan tidak mampu membaca Al-Qur’an." Nabi SAW bersabda: "Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami solat." Saya pun mengatakan hal yang sama seperti di atas. Beliau (mengulangi perintah yang sama) pada ketiga atau keempat kalinya Baginda bersabda: "Kamu adalah (macam) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami solat." Maka Abu Bakar mengimami solat. Kemudian Nabi SAW datang dengan bantuan dua orang lelaki; seakan-akan baru saja aku melihat Baginda memijakkan kakinya ke tanah. Pada waktu Abu Bakar melihatnya, dia mencuba untuk berundur tetapi Nabi SAW memberi isyarat kepadanya untuk tetap solat. Abu Bakar berundur sedikit dan Nabi SAW duduk di sebelah kirinya. Abu Bakar memperdengarkan takbir kepada orang ramai." (HR Bukhari)
Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu adalah pengganti (khalifah/mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain. Jika imam itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan fatihah (ummiyan), atau orang bisu, atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah solat makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam.
Disyaratkan juga imam itu diganti oleh makmum yang berada di saf pertama betul-betul di belakang imam. (nota sampingan: makmum saf pertama di belakang imam adalah bertanggungjawab untuk menegur imam di kala kesilapan bacaan dan perbuatan solat dengan isyarat bacaan "Subhanallah")
Imam yang keluar itu hendaklah keluar dengan tertib, sekurang-kurangnya beralih ke kirinya jika tiada luang kosong untuk ia mundur. Kemudian makmum yang mengganti imam itu hendaklah pula maju ke hadapan dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah. Tempatnya yang kosong di saf hendaklah pula diisi oleh makmum lain, sama ada di sebelah atau di belakang, dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah.
Istikhlaf hendaklah dilakukan dengan serta-merta. Jika imam keluar daripada jemaah sedangkan makmum telahpun lanjut melakukan satu rukun, maka ditegah penggantiannya selepas itu. Juga ditegah penggantiannya jika makmum tersebut diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi‘li (perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). Sekiranya didapati tiada sesiapa yang maju menggantikan imam, maka makmum diperbolehkan mufaraqah (berpisah) dari berjemaah dan meneruskan solat bersendirian.
Tidak disyaratkan ke atas makmum dalam istikhlaf untuk berniat lagi untuk menjadi makmum, kerana mustakhlif (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang awal.
Cara Istikhlaf Dalam solat
[sunting | sunting sumber]Apabila seorang mustakhlif menggantikan imam dalam solat yang sama atau bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut di mana-mana rakaat pun kerana mustakhlif itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa kepada percanggahan.
Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar solat (mustakhlif bukan daripada kalangan makmum, dan terus masuk menjadi imam), maka menurut pendapat Imam Nawawi dan jumhur ulama adalah diharuskan istikhlaf dengan syarat mustakhlif tersebut menggantikan imam pada rakaat pertama, atau rakaat ketiga (pada solat yang empat rakaat) kerana tidak akan bercanggah dengan tertib makmum yang mengikutinya.
Jika berlaku percanggahan dalam tertib, maka tidaklah diharuskan istikhlaf. Contohnya ialah apabila seorang yang di luar solat mengganti imam pada rakaat kedua atau rakaat terakhir, dan dia (pengganti) itu akan bangun berdiri bagi rakaatnya yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyat awal (atau tahiyat akhir) di rakaat mereka.
Jika makmum yang masbuq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, jika makmum yang masbuq pada rakaat kedua dalam solat subuh, kemudian imam itu berhadas lalu diganti oleh makmum yang masbuq itu, maka makmum yang menggantikan itu hendaklah menjaga tertib imam pertama dengan menyambung perbuatan sebagaimana yang perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam solat subuh iaitu berqunut, duduk dan bertasyahud biarpun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat.
Selepas itu baharulah mustakhlif yang masbuq itu bangkit semula (tanpa salam) untuk menggenapkan solat dua rakaatnya, lalu berqunut lagi pada rakaat keduanya itu bagi dirinya sendiri sahaja (doa qunut bersendirian dan bukan qunut berjemaah). Para jemaah yang mengikuti mustakhlif yang masbuq tersebut ada dua pilihan pada tahiyyat akhir tadi iaitu sama ada berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) dan terus memberi salam, ataupun duduk menunggu mustakhlif itu dan memberi salam bersama-samanya.
Makmum-makmum masbuq yang bangkit semula untuk menyempurnakan solat mereka setelah sempurna solat berjemaah adalah diperbolehlah kepada salah seorang daripada mereka yang masbuq itu untuk maju ke hadapan menjadi imam dan makmum masbuq yang lain itu boleh mengikutinya. Istikhlaf sebegini adalah diharuskan kecuali dalam solat Jumaat kerana tidak harus mendirikan lagi solat Jumaat selepas selesai dikerjakannya.
Istikhlaf Dalam solat Jumaat
[sunting | sunting sumber]Apabila imam keluar selepas membaca dua khutbah dan sebelum mengangkat takbiratul ihram bagi solat Jumaat, adalah diharuskan menggantikannya jika mustakhlif itu juga turut menghadiri khutbah. Jika ia tidak menghadiri khutbah maka dia tidak diharuskan mengganti imam itu.
Jika imam keluar daripada solat selepas mengangkat takbiratul ihram pada rakaat pertama solat Jumaat dan sebelum rukuk di rakaat kedua, adalah harus dia diganti oleh mustakhlif yang bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah itu, kerana mustakhlif itu dikira tergolong dalam ahli Jumaat. Jika ia tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada solat, maka tidak diharuskan ia mengimamkan solat itu kerana dia tidak tergolong dalam ahli Jumaat.
Manakala jika imam itu keluar selepas rukuk dalam rakaat kedua solat Jumaat, imam tidak harus diganti oleh mustakhlif yang tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada jemaah. Akan tetapi jika mustakhlif itu bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah tetapi dia tidak bersama imam sebelum rukuk pada rakaat kedua (mustakhlif masbuq), maka difardhukan ke atas mustakhlif itu solat Zohor.
Makmum yang bersolat Jumaat diharuskan pula mengikuti mustakhlif yang difardhukan ke atasnya solat Zohor itu. Akan tetapi hendaklah mustakhlif itu menjaga tertib imam yang awal. Manakala makmum yang mengikutinya ada dua pilihan, antara memberi salam dengan niat mufaraqah atau makmum menunggu mustakhlif dan memberi salam bersamanya. Cara ini adalah yang lebih afdhal dilakukan.