Pergi ke kandungan

Imbasan Ekonomi Malaysia - 2007

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Berikut merupakan ringkasan mengenai ekonomi Malaysia pada tahun 2007:

3 Januari 2007 – Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada hari pertama dagangan dalam Tahun Baru 2007 dengan penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) melepasi paras 1,100 mata.

IKKL meningkat sebanyak 20.85 mata untuk ditutup pada 1,117.09 berikutan minat pelabur terhadap saham-saham mewah, terutamanya perladangan.

4 Januari 2007– Bumiputra-Commerce Holdings Bhd. (BCHB) mengumumkan penjualan 49 peratus kepentingannya dalam anak syarikat milik penuhnya, Commerce Life Assurance Bhd. dan Commerce Takaful Bhd. selain kesemua pegangan dalam Commerce Assurance Bhd., pada harga RM990 juta.

Aviva Asia Pte Ltd. telah menawarkan untuk membeli 49 peratus kepentingan Commerce Life dan Commerce Takaful pada harga RM500 juta, manakala perniagaan insurans am, Commerce Assurance akan dijual kepada Allianz Group pada harga RM490 juta.

11 Januari 2007 – Bank Negara Malaysia (BNM) terpilih sebagai Bank Pusat Terbaik dalam Undian Bank-bank Islam Terbaik 2006 anjuran Islamic Finance.

BNM memperolehi lebih daripada separuh undi berdaftar bagi kategori tersebut, manakala Bank Pusat Bahrain menduduki tempat kedua.

11 Januari 2007 – Synergy Drive Sdn. Bhd. menamakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Bhd., Datuk Ahmad Zubir Murshid sebagai bakal ketua pegawai eksekutifnya.

Synergy Drive adalah syarikat khas yang dibentuk oleh CIMB Investment Bank bagi cadangan penggabungan Sime, Golden Hope Plantations Bhd. dan kumpulan syarikat Kumpulan Guthrie Bhd.

12 Januari 2007 – Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi Majlis Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) bagi penggal tahunan 2007.

Dr. Zeti adalah pengerusi keempat Majlis IFSB itu dan Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah bagi perhimpunan agung dan mesyuarat majlis IFSB, pada bulan Mac 2007.

17 Januari 2007 – Proton mempamerkan buat pertama kali kereta Satria Neo yang mempunyai tiga pintu, bersama-sama dengan kereta model lainnya di Pertunjukan Kereta Brisbane di Melbourne pada tahun ini.

Ini merupakan kali kedua Proton menyertai pertunjukan itu untuk melancarkan kesemua model keretanya di pasaran Australia, selepas menyertai pertunjukan di Queensland pada tahun 2003.

19 Januari 2007 – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion untuk melaksanakan 190 program utama bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini.

Jumlah tersebut tidak termasuk pembiayaan pinjaman berjumlah RM51 bilion, yang dijangka diberikan oleh institusi kewangan.

24 Januari 2007 - Synergy Drive Sdn. Bhd. (Synergy Drive) memeterai perjanjian penjualan perniagaan dengan Sime Darby Bhd., Golden Hope Plantations Bhd. dan Kumpulan Guthrie Bhd. untuk membentuk syarikat perladangan terbesar di dunia hari ini.

Perjanjian yang dimeterai lebih awal daripada tarikh akhirnya pada 29 Januari ini (2007), menyaksikan syarikat yang ditubuhkan khas itu, Synergy Drive membeli kesemua perniagaan ketiga-tiga syarikat berkenaan dan lima anak syarikat mereka, termasuk aset dan liabiliti.

25 Januari 2007 – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatat keuntungan sebelum cukai melepasi paras RM1 bilion dalam suku pertama kewangan berakhir pada 30 November 2006.

Prestasi ini didorong terutamanya oleh kadar tarif baru dan pertumbuhan permintaan pesat bekalan elektrik.

31 Januari 2007 - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) menawarkan lima juta tiket tambang murah bagi destinasi dalam negara dan negara-negara ASEAN dengan diskaun harga tambang sehingga 70 peratus, sempena promosi jualan tahunan Malaysia Airline Travel Fair (MATF).

Tiket-tiket tambang murah yang dibeli sepanjang MATF itu sah laku selama tujuh bulan bagi perjalanan dari 24 Februari hingga 13 September tahun ini.

1 Februari 2007 – Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATS) mengambil alih Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor daripada Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB).

Ia melibatkan urus niaga bernilai RM80 juta dan akan menjadikannya sebagai Pusat Logistik Asia.

2 Februari 2007 – Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) hari ini melonjak ke paras tertinggi hampir 10 tahun dengan kemasukan besar-besaran dana asing secara berterusan.

IKKL ditutup pada 1,209.48 mata, naik 20.13 mata berbanding hari sebelumnya.

5 Februari 2007 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen yang tinggi sebanyak 5.15 peratus bagi tahun 2006, berbanding lima peratus pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, kenaikan kadar dividen itu adalah hasil peningkatan pendapatan yang diperolehi daripada pelaburannya.

6 Februari 2007 – Ringgit mencatat peningkatan nilai tertingginya dalam tempoh sembilan tahun iaitu pada paras 3.4955 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS$1).

Paras tertinggi itu dicatat semasa urus niaga pada sebelah pagi, sebelum ditutup melepasi paras halangannya pada RM3.50 berbanding AS$1.

7 Februari 2007 - Jumlah dagangan di Bursa Malaysia melonjak kepada 2.347 bilion saham iaitu paras tertinggi dalam sejarah.

Peningkatan ini disebabkan oleh minat pelabur-pelabur institusi terhadap kaunter-kaunter mewah dan kaunter-kaunter berharga rendah.

9 Februari 2007 – Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pusingan kelima dan terakhir di Kota Kinabalu terus menemui jalan buntu ekoran kegagalan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenainya.

Penolong Wakil Perdagangan AS bagi Asia Pasifik, Barbara Weisel berkata, banyak isu sensitif yang memerlukan kedua-dua pihak untuk terus berbincang mengenainya.

13 Februari 2007 – Tabung Haji mengumumkan kadar bonus bagi tahun 2006 sebanyak 4.75 peratus kepada kira-kira 5.2 juta pendepositnya, peningkatan sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun 2005.

Bonus yang membabitkan pembayaran sebanyak RM634 juta itu adalah yang tertinggi sejak enam tahun lalu.

16 Februari 2007 – Raja gula, Robert Kuok Hock Nien disenaraikan sebagai 40 individu terkaya di Malaysia, menurut majalah Malaysian Business. Beliau menewaskan pesaing terdekat, T. Ananda Krishnan, pemilik Maxis Communications Bhd.

16 Februari 2007 – Salah seorang pengasas Bank Bumiputra, Datuk K. Mushir Ariff Dr. Sir Kamil Mohd. Ariff, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles di Kuala Lumpur malam tadi akibat sakit jantung.

22 Februari 2007 – Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (BTMU) melabur RM1.335 bilion dalam Bumiputra-Commerce Holdings Bhd. (BCHB) melalui cadangan penempatan saham ekuiti.

Perjanjian langganan ekuiti saham yang dimeterai itu melibatkan penempatan 117 juta saham baru BCHB pada harga RM11.41 sesaham.

23 Februari 2007 – Tempoh perkhidmatan bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Leo Moggie sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dilanjutkan setahun lagi.

Pelanjutan tempoh perkhidmatan itu berkuat kuasa 12 Mac ini.

23 Februari 2007 – Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengumumkan khidmat Datuk Abdul Wahid Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM dilanjutkan untuk tiga tahun lagi berkuat kuasa 1 Julai 2007.

Abdul Wahid mula berkhidmat sebagai CEO Kumpulan pada 1 Julai 2004.

26 Februari 2007 – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mencatat keuntungan RM626.6 juta, laba tertinggi dalam sejarah penubuhannya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

Bank itu turut mengumumkan dividen 15 peratus membabitkan peruntukan sebanyak RM298.5 juta kepada lebih 750,000 ahli, mulai hari ini.

1 Mac – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan ahli-ahli lembaga pengarahnya dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dilantik sebagai Pengerusi KWAP.

Katanya, seramai 10 orang lagi telah dilantik sebagai Ahli Majlis, antaranya ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Ibrahim Mahaludin Puteh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun, Akauntan Negara Malaysia, Datuk Mohd. Salleh Mahmud dan Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Bhd., Mohd. Izzaddin Idris.

2 Mac – Australia dan New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) akan memegang ekuiti sebanyak 24.95 peratus dalam AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) dengan termeterainya perjanjian muktamad masing-masing dengan AHB dan AmcorpGroup Bhd. (Amcorp) hari ini.

Di samping itu, Kumpulan AmBank dan ANZ juga telah memeterai perjanjian bagi penyediaan perkhidmatan teknikal dan pengurusan oleh ANZ kepada AmBank Group, kata AmBank Group dalam satu kenyataan.

8 Mac – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memenangi bida untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan milik Utama Banking Group Bhd. (UBG) sebanyak 32.8 peratus dalam RHB Capital Bhd.

KWSP dipilih oleh UBG selepas ia menaikkan tawaran pengambil alihannya daripada RM2.201 bilion kepada RM2.252 bilion.

13 Mac – Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) melakar kejayaan lagi apabila lapangan terbang kemegahannya, Lapangan Terbang KL (KLIA) di Sepang mengukuhkan kedudukannya sebagai lapangan terbaik dunia bagi kategori 15-25 juta penumpang setahun menerusi anugerah Perkhidmatan Kualiti Lapangan Terbang 2006 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Dalam kategori itu, Lapangan Terbang San Diego, Amerika Syarikat dan Lapangan Terbang Zurich, Switzerland masing-masing menerima anugerah tempat kedua dan ketiga pada satu majlis yang diadakan sempena Forum Perniagaan dan Triniti ACI, anjuran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

17 Mac – Sebanyak 2,000 tiket percuma disediakan syarikat penerbangan komuniti pertama Malaysia, FireFly yang dilancarkan hari ini bertujuan memperkenalkan perkhidmatannya kepada orang ramai.

Tiket tersebut bagaimanapun terhad untuk penerbangan pada bulan April sahaja.

20 Mac – Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memendekkan tempoh kelulusan 60 peratus permohonan pengecualian pelaksanaan tawaran awam mandatori (MGO) kepada sehari berbanding 21 hari sebelum ini, berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan SC, kelulusan yang lebih pantas itu hanya bagi permohonan terbitan sekuriti baru, pemilikan baki saham sesebuah syarikat yang belum dimiliki oleh individu ataupun apabila sesebuah syarikat membeli saham pengundian syarikat mereka sendiri.

21 Mac – Tan Sri Dr. Arshad Ayub menerima Anugerah Mutiara Budi, iaitu pengiktirafan tertinggi Kementerian Kewangan, atas jasa besar beliau dalam merangka dasar-dasar kewangan negara, perancangan ekonomi, perusahaan pertanian dan pembangunan wilayah sejak tiga dekad lalu.

Arshad, 79, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah begitu sinonim dengan pembangunan institusi pendidikan profesional Melayu terawal iaitu Kolej Mara sebagai Pengetua sebelum menjawat Pengarah Pertama dari 1967 hingga 1975 selepas dinaik taraf menjadi Institut Teknologi Mara.

26 Mac – Sebuah lagi bank Islam asing, Asia Finance Bank Bhd. (AFB) yang diketuai oleh konsortium Qatar Islamic Bank memulakan operasinya.

Bank tersebut merupakan bank Islam asing ketiga beroperasi di negara ini, selepas Kuwait Finance House (M) Bhd. (KFHB) dan Bank Al Rajhi Malaysia.

26 Mac – Affin Investment Bank Bhd. (Affin Investment) mengumumkan pelantikan Maimoonah Mohamed Hussain sebagai Pengarah Urusannya yang baru berkuat kuasa hari ini.

Affin Investment dalam kenyataannya di sini berkata, Maimoonah, 49, sebelum ini memegang jawatan Pengarah Pasaran Modal & Hutang Affin Bank Bhd.

27 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Pusat Kewangan Qatar(QFCRA) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Dubai (DFSA) bagi mewujudkan hubungan kerjasama membangunkan kewangan Islam dalam tiga bidang.

Antara bidang itu ialah kerjasama dalam membina upaya dan pembangunan modal insan dalam kewangan Islam, saling bekerjasama dalam pembangunan kewangan Islam antarabangsa dan ke arah mengharmonikan prinsip Syariah dan inisiatif penggalakkan strategik

29 Mac – Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), pengurus dana milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengekalkan kadar agihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana di bawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Kesihatan, ASG-Pendidikan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac ini.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, para pemegang dana ASG-Kesihatan akan menerima agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit, ASG-Pendidikan sebanyak 6.50 sen sementara ASG-Persaraan menerima 6.25 sen seunit.

29 Mac - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) memeterai perjanjian perkongsian kod dengan South African Airways (SAA) di Johannesburg, Afrika Selatan sebagai sebahagian strategi pusat dan jaringan peringkat antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukannya di benua Afrika.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala berkata, dengan perjanjian itu, penumpang SAA akan menggunakan pesawat MAS untuk penerbangan dari Johannesburg ke beberapa negeri di Malaysia dan bandar-bandar besar di negara serantau termasuk Jakarta, Denpasar, Manila, Bangkok dan Phuket, mulai 1 Jun ini.

2 April – Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFHMB) dipilih sebagai ‘Bank Islam Terbaik Malaysia’ dengan Pengarah Urusannya, Datuk K. Salman Younis turut diisytiharkan sebagai ‘Individu Terbaik Kewangan Islam’.

Dalam Tinjauan Bank Islam Terbaik 2006 yang dijalankan oleh laman web terkemuka global, www.islamicfinancenews.com, KFHMB turut meraih anugerah ‘Bank Islam Baru Terbaik’ dan ‘Bank Islam Terbaik di Kuwait’.

3 April – Bolton Bhd. melantik Ketua Eksekutif kumpulannya, Datuk Muhamad Azman Yahya, sebagai Pengerusi Eksekutif berkuatkuasa mulai 15 Mac, berikutan persaraan Tan Sri Lim Yan Hai sebagai pengerusi.

Selain perubahan dalam keanggotaan lembaga pengarah dan pengurusan, struktur pegangan pelaburan sekarang ini akan turut berubah kepada struktur korporat bersepadu.

6 April – Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB), bank Islam pertama di negara ini mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM165.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama berakhir pada 31 Disember 2006 berbanding kerugian sebanyak RM43.2 juta sebelumnya.

Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, hasil kewangan itu adalah yang terbaik pernah dicapai sejak dibelenggu masalah kewangan sejak tahun 2005.

8 April – MK Land Holdings Bhd. mengumumkan pelantikan Datuk P Kasi sebagai Pengarah Urusan menggantikan Tan Sri [[Mustapha Kamal yang melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun, pengasas dan peneraju syarikat hartanah itu, Mustapha, 58 akan memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif dalam syarikat berkenaan.

16 April – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.37 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007, rekod tertinggi sejak tujuh tahun lalu.

25 April – Kabinet hari ini bersetuju untuk menyerahkan perkhidmatan penerbangan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang kini dikendalikan oleh Fly Asian Xpress Sdn. Bhd. (FAX) kepada Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, perkhidmatan tersebut akan dikendalikan oleh Firefly, syarikat penerbangan milik penuh MAS.

27 April – Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Polisi Semalaman pada 3.5 peratus, tidak berubah sejak April tahun lalu.

11 Mei 2007– Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengemas kini nama syarikat dan web dalam Senarai Amaran badan itu, hari ini mengeluarkan tiga syarikat dan lima laman web, yang sebelum ini menjalankan kegiatan yang disifatkan melanggar undang-undang sekuriti.

Ketiga-tiga syarikat yang dikeluarkan daripada senarai itu ialah Lamp Berger dan Matrix Cash, dan Jai Network Sdn. Bhd., tetapi SC mengekalkan Jai Network System Sdn. Bhd. dalam senarai tersebut kerana kedua-duanya adalah syarikat berbeza, manakala laman web yang dikeluarkan ialah Gold Quest/Quest International (www. goldquest.com), Quest International (www. goldquest.com), Quest (www.quest.net), Solid Group (www.solidworldwide.org) dan www.32505.com.

Pada masa yang sama, laman web SC (www.sc.com.my) menyenaraikan satu lagi laman web dalam Senarai Amaran tersebut iaitu ABFund (www.abfund.us).

13 Mei 2007– Tujuh syarikat milik kerajaan (GLC), yang memiliki kepentingan dalam Maxis Communications Bhd. (Maxis) bakal menerima ‘durian runtuh’ lebih RM7 bilion berikutan pembelian syarikat telekomunikasi itu oleh tokoh korporat terkenal, T. Ananda Krishnan.

GLC terbabit ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Holdings Bhd., ValueCap Sdn. Bhd. (Valuecap) dan Misc GLIs.

21 Mei 2007 – Bursa Malaysia Bhd. dan penyedia indeks pelaburan global, Kumpulan FTSE hari ini melancarkan Indeks Syariah Hijrah, pertama seumpamanya di dunia bagi menarik pelabur antarabangsa melabur di pasaran modal tempatan.

Indeks berkenaan juga boleh digunakan untuk produk pelaburan berteraskan Syariah seperti Dana Exchange Traded (ETFs).

6 Jun 2007– Pengarah Urusan Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Datuk Seri Idris Jala dipilih menjadi ahli lembaga pengarah International Air Transport Association berkuat kuasa hari ini hingga tahun 2010.

Idris merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih menganggotai persatuan itu dalam tempoh 63 tahun, bersama-sama 30 peneraju syarikat penerbangan lain termasuk Air France, Qantas dan Singapore Airlines.

22 Jun 2007– Suruhanjaya Sekuriti hari ini menyekat akses ke atas dua lagi laman web, iaitu www.danafutures.com dan www.planet. time.net.my/KLCC/danafutures, yang menawarkan skim pelaburan tidak sah.

26 Jun 2007 – Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa pemegang kad kredit bakal menikmati kadar faedah lebih rendah sebanyak 15 dan 17 peratus setahun sekiranya membuat bayaran balik pinjaman minimum tepat pada masanya bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 hingga 12 bulan, secara berturut-turut mulai 1 Julai 2008.

Mereka yang lewat membuat bayaran balik minimum itu akan dikenakan bayaran tambahan satu peratus daripada jumlah baki tertunggak atau RM10, yang mana lebih tinggi.

Pada masa ini, pemegang kad dikenakan faedah 18 peratus setahun dan mereka yang lewat dikenakan bayaran tambahan satu peratus daripada jumlah bayaran balik minimum atau RM5 yang mana lebih tinggi.

30 Jun 2007– Tokoh perniagaan Johor, Syed Ali Alattas dipilih sebagai Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) setelah menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dalam perebutan satu lawan satu.

Pasukan pilihannya juga menyapu bersih semua jawatan iaitu Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan lima ahli Majlis Eksekutif DPMM (MED).

4 Julai – Malaysia merupakan penerbit sukuk terbesar dunia menguasai 67 peratus daripada jumlah yang belum ditebus, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, negara juga mempelopori bon berdaulat Islam itu di peringkat antarabangsa apabila melancarkan sukuk pertama bernilai RM2,040 juta (AS$600 juta) pada Jun 2002.

3 Julai 2007– Exim Bank of China, Bank Pembangunan Malaysia dan Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian pinjaman berjumlah AS$800 juta (RM2.7 bilion) untuk projek jambatan kedua Pulau Pinang hari ini.

Pinjaman berkenaan merupakan yang terbesar pernah diberikan oleh China untuk satu projek di negara luar, termasuk kadar faedah sebanyak tiga peratus selama 20 tahun.

9 Julai 2007 – Tempoh jawatan Datuk Azizan Abd Rahman sebagai Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dilanjutkan dua tahun lagi, berkuatkuasa 1 Julai ini setelah memegang jawatan itu sejak Julai 2005.

18 Julai 2007– Permodalan Nasional Bhd. hari ini mencatat rekod apabila kesemua 500 juta unit tambahan Amanah Saham Malaysia (ASM) yang mula dijual hari ini, habis dalam masa 39 minit.

Sebanyak 22,816 pelabur berjaya membeli ASM di semua cawangan dan ejen PNB yang dibuka serentak mulai pukul 9.30 pagi dengan purata setiap pelabur memperoleh 21,000 unit.

30 Julai 2007– Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan pelan terperinci pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Alor Star, Kedah yang bakal menjadi antara teras utama agenda pembangunan kerajaan.

30 Julai 2007– Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan tiga jenis syiling peringatan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50.

Syiling-syiling itu yang dikeluarkan dalam emas, perak dan emas nordik itu dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, di sini hari ini.

3 Okt. – Kabinet hari ini meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM141 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bagi membangunkan Taman Botani Negara, Shah Alam, yang dulunya dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cherakah.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata, pada masa ini semua masalah berkaitan dengan status tanah sudah selesai selepas kerajaan negeri bersetuju memberikan pajakan selama 60 tahun ke atas kawasan seluas 817 hektar kepada kementerian.


5 Okt. – Malaysia berada pada kedudukan antara 20 ekonomi utama dunia yang menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI), demikian menurut Kajian Prospek Pelaburan Dunia 2007-2009 FDI yang diumumkan hari ini.

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad) berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-14, di hadapan Indonesia yang berada pada tangga ke-15 dan Singapura yang berada satu kedudukan di bawahnya. Lima negara Asia Tenggara kekal menjadi destinasi menarik FDI.

7 Okt. – Dubai World yakin dengan potensi pusat maritim bernilai AS$5 bilion (RM17.06 bilion) yang akan dibangunkan di Johor Selatan bersama-sama MMC Corporation Bhd., sebuah kumpulan utiliti dan prasarana.

“Kami begitu yakin dengan pusat maritim yang akan dibina dengan rakan kongsi kami, MMC. Gabungan pengalaman dan rangkaian global kami (dengan MMC) akan membolehkan kami menghasilkan projek yang boleh memberi manfaat kepada peserta industri, Taman Logistik Zon Bebas dan yang pastinya, melengkapkan inisiatif pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar Kerajaan Malaysia,” kata Pengerusinya, Sultan Ahmed Sulayem dalam satu kenyataan.

26 Okt. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan sistem baru bagi mengira dividen akaun pencarum berdasarkan ‘kiraan harian’ atau ‘daily rest’ pada tahun ini.

Formula pengiraan jumlah dividen pencarum mengikut sistem baru itu berkuat kuasa pada Januari tahun ini. Formula baru itu adalah seperti berikut: (1/365 x kadar dividen x RM caruman).

29 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan.

Di bawah pembangunan ECER, 227 projek akan dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan wilayah itu untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk Pahang, Terengganu, Kelantan dan daerah Mersing di Johor.

12 Nov. – Malaysia dan Pakistan menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk memulakan pengurangan tarif bagi barangan dan pemansuhan perkhidmatan dan pelaburan berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Perjanjian Kerjasama Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) itu ditandatangani di Kuala Lumpur, merupakan perjanjian pertama Malaysia dengan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Rafidah Aziz dan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Tahir Mahmood Qazi.

13 Nov. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah dianugerahkan sebagai Pengawal Selia Dana Islam Terbaik pada majlis penganugerahan tertinggi dana Islam di Dubai.

Pengerusinya, Datuk Zarinah Anwar berkata, anugerah julung- julung kali diadakan itu diterimanya bagi mengiktiraf segala usaha badan tersebut membangunkan industri pengurusan pelaburan Islam dan pasaran kewangan Islam Malaysia.

16 Nov. – Sekretariat bagi Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memulakan operasi dan berpusat di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan ECER, segala pertanyaan dan maklumat mengenai perkara yang berkaitan dengan wilayah tersebut serta pelan pembangunan ekonominya bolehlah diajukan kepada sekretariat tersebut.

19 Nov. – Kerajaan akan menarik balik spektrum 2.5 dan 3.5 gigahertz (GHz), yang pada mulanya diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi secara percubaan, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Beliau berkata, ini adalah berikutan keputusan kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada akses keupayaan bagi gelombang mikro seluruh dunia (WiMax), generasi ketiga (3G) dan jalur lebar gentian ke rumah sebagai platform untuk mempertingkatkan perkembangan jalur lebar di negara ini.

20 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan Sime Darby Bhd. diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek kabel dasar laut bagi menyalur tenaga elektrik dari Empangan Bakun merentasi Laut China Selatan ke Semenanjung.

Projek kabel dasar laut itu dipercayai melibatkan kos lebih RM7 bilion.

20 Nov. – Pengarah Eksekutif Kanan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood dianugerahkan sebagai ‘Individu Paling Cemerlang Dalam Sumbangan Kepada Kewangan Islam’ oleh Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2007 (KLIFF).

Anugerah itu merupakan kali pertama diberikan oleh KLIFF kepada individu yang telah diiktiraf sumbangannya kepada industri kewangan Islam.


22 Nov. – Industri aeroangkasa Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM1.66 bilion melibatkan pembangunan sejumlah 24 projek berkaitan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM680 juta merupakan FDI, manakala selebihnya (RM980 juta) adalah pelaburan domestik.

22 Nov. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) meluluskan penubuhan Credit Agricole Asset Management (Credit Agricole) sebagai syarikat pengurus dana asing di bawah skim khas.

Skim khas itu diwujudkan di bawah Pelan Induk Pasaran Modal.

29 Nov. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak lapan sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2007.

Kadar itu meningkat sebanyak 1.70 sen seunit berbanding 6.30 seunit tahun lalu

1 Dis. – Walaupun China dan India terus menjadi pilihan utama, namun Malaysia kini dipilih menduduki kedudukan ke-16 daripada 25 destinasi pelaburan langsung asing (FDI) utama dunia.

China ialah destinasi nombor satu FDI di dunia, diikuti India. Tiga negara ASEAN lain turut berada dalam senarai itu - Singapura di tempat ketujuh, Vietnam ke-12 dan Indonesia tempat ke-21, demikian menurut kajian yang dikeluarkan oleh perunding pengurusan strategik global, A.T. Kearney.

12 Dis. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan lapan inisiatif baru dalam usaha menarik kemasukan syarikat asing sama ada untuk penyenaraian kali pertama atau penyenaraian berganda di Bursa Malaysia.

Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar berkata, inisiatif itu juga bertujuan menjadikan Bursa Malaysia sebagai destinasi utama penyenaraian bagi syarikat domestik.

21 Dis. – Bank Negara Malaysia (BNM) merancang memperkenalkan reka bentuk baru untuk semua wang kertas dan duit syiling yang digunakan di negara ini, secara berperingkatperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang mulai dari sekarang.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, langkah itu adalah kerana wang kertas dengan reka bentuk yang ada sekarang telah digunakan dalam pasaran sejak 12 tahun lalu.

24 Dis. – Persekutuan Akauntan ASEAN (AFA) telah memilih Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, sebagai Naib Presiden AFA.

Presiden Institut CPA Brunei Darussalam, Pengiran Moksin, dipilih sebagai Presiden AFA, katanya.

26 Dis. – Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mencecah paras tertinggi baru hari ini berikutan kebimbangan keluaran mungkin berkurangan sebanyak 18 peratus, kata para peniaga.

Bulan kontrak Mac 2008 naik RM50 untuk ditutup kepada paras tertinggi baru pada RM3,080 setan mengatasi paras ketinggian RM3,068 setan pada 26 November.


27 Dis. – Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit bagi skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan tahun ini meningkat sebanyak 0.75 sen berbanding 5.50 sen tahun lalu.

28 Dis. – Harga saham di Bursa Malaysia hari ini mencecah paras tertinggi baru pada 1,447.04 mata pada hari terakhir urus niaga minggu ini, menjelang penutup tirai tahun 2007.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) hari ini naik 9.22 mata atau 0.64 peratus berbanding semasa ditutup semalam pada 1,437.82.


Pautan luar

[sunting | sunting sumber]