Hikayat Hang Tuah (Noor Suraya)
Umum | |
---|---|
Pengarang | Noor Suraya |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Genre | Cereka Epik |
Penerbitan | |
Penerbit | JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd. |
Tarikh penerbitan | 2012 |
Jenis media | Cetak Kulit keras |
Halaman | 376 |
Kawalan kewibawaan | |
ISBN | ISBN 978-967-0201-74-6 Invalid ISBN |
Hikayat Hang Tuah ialah sebuah buku olahan semula Hikayat Hang Tuah yang asal oleh Noor Suraya ditujukan khas untuk pembaca golongan muda. Penulis cuba memperkenalkan semula hikayat Hang Tuah yang kian dilupakan oleh generasi baru. Beliau berpendapat perlunya diperbaharui penulisan hikayat ini agar dapat menarik lebih ramai golongan khususnya golongan muda menghayati semula kisah yang menarik ini.[1]
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Cerita Hang Tuah ini sesuai untuk orang muda serta sesuai juga siapa sahaja yang ingin menyelami hikayat Melayu yang masyhur ini. Cerita ini ditulis dalam bahasa yang ‘lebih remaja’ dan kontemporari untuk disesuaikan dengan umur kumpulan sasarnya. Terdapat lebih kurang 200 gambar berwarna-warni mengiringi epik ini. Kronologi peristiwa dalam siri ini adalah hasil adaptasi daripada Hikayat Hang Tuah (yang diperkenalkan oleh Kassim Ahmad, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka). Cerita ini bermula daripada zaman Hang Tuah masih kecil sewaktu Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Bentan. Di sana dia bersahabat dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka sentiasa belayar ke pulau-pulau berhampiran di samping belajar ilmu mempertahankan diri. Selain menolong bapanya Hang Mahmud, Hang Tuah juga dihantar untuk mempelajari bahasa dengan guru-guru bahasa. Hang Tuah seorang yang terang hati, dia dapat menguasai 12 bahasa pada usia mudanya.
Pada suatu hari Hang Tuah dan kawan-kawannya keluar ke laut dan mereka bertembung dengan lanun. Hasil kebijaksanaan dan ketangkasan mereka, Hang Tuah dan kumpulannya berjaya kalahkan lanun. Mereka juga telah membantu Bendahara yang menghadapi orang mengamuk. Ekoran daripada dua peristiwa penting itu, kedudukan Hang Tuah semakin cerah sebagai hamba raja pada mulanya.
Selepas dewasa Hang Tuah dijadikan ‘orang kanan’ Melaka, dia berkhidmat terus dengan Raja Melaka dengan mendapat gelar Laksamana Tun Tuah. Hang Tuah ditugaskan meminang Raden Emas Ayu anak Raja Majapahit ekoran kegagalan Raja Melaka mengahwini Tun Teja, anak Bendahara Inderputera (Pahang). Hasrat Raja Melaka berjaya dan urusan peminangan pun berlangsung. Lalu dalam pertunjukan pertikaman dengan perajurit diraja di Majapahit; Hang Tuah berjaya mendapatkan keris Taming Sari. Keris ini telah memberi pengiktirafan Hang Tuah sebagai seorang hulubalang yang terhormat.
Bagaimanapun, sewaktu Sultan Melaka melangsungkan perkahwinannya dengan Raden Emas Ayu pelbagai ancaman dilakukan oleh Patih Gajah Mada untuk menguji ketangkasan Hang Tuah dan kawan-kawannya. Antaranya mengupah seorang perajurit untuk mencuri keris Taming Sari. Bagaimanapun Hang Tuah dapat menghadapi semuanya dengan cemerlang. Sebenarnya, Majapahit tidak mahu perkahwinan antara puteri mereka dengan Raja Melaka berlangsung dengan alasan tidak mahu puteri itu dibawa tinggal di Melaka.
Cerita ini berakhir dengan zaman kejatuhan Kota Melaka pada puak Peringgi pada tahun 1511. Dari sudut sedihnya, Hang Tuah pernah bertikam dengan sahabatnya Hang Jebat. Pertikaman itu membawa pada kematian Hang Jebat.
Isi kandungan
[sunting | sunting sumber]Buku ini memampatkan 27 bab cerita asal Hikayat Hang Tuah menjadi hanya 10 subtajuk sahaja iaitu:
- Hang Tuah Lima Bersaudara
- Hebatnya, Hang Tuah!
- Taming Sari Milik Melaka!
- Helah Patih Gajah Mada
- Amuk Hang Tuah Bersaudara
- Ancaman Megat Panji Alam
- Huru-hara di Melaka
- Jebat Derhaka!
- Raja Adil, Raja Disembah!
- Robohnya Kota Melaka
Buku ini diserikan dengan 200 gambar warna-warni, pantun, peribahasa serta dilengkapkan dengan glosari, rujukan, peta dan kata-kata Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh di belakangnya. Jumlah halamannya ialah 376. Kulitnya mengekalkan ciri-ciri tempatan yang mana adanya daun sirih serta gambar keris Taming Sari dan busana Melayu.JS Adiwarna menerbitkan Hikayat Hang Tuah dengan gaya bahasa yang lebih kontemporari tetapi tetap mengekalkan akar bahasa, cerita dan tradisi Melayunya.
Manuskrip asal Hikayat Hang Tuah adalah sebuah Warisan Dunia 2001 yang mendapat pengiktirafan UNESCO dalam program Memory of the World:
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Hikayat Hang Tuah by Noor Suraya (JS Adiwarna, 2012) Diarkibkan 2013-07-30 di Wayback Machine. TheMalaysianReader.com
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Hikayat Hang Tuah (Noor Suraya) Diarkibkan 2013-09-15 di Wayback Machine