Pergi ke kandungan

Hikayat Amir Hamzah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hikayat Amir Hamzah susunan S. A, Dahlan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (Cetakan 1969.)

Hikayat Amir Hamzah dari Naskah A - DBP MSS 4, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hikayat Amir Hamzah menceritakan perihal kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam, iaitu Amir Hamzah, pada zaman sebelum dan awal kebangkitan Islam. Hikayat Amir Hamzah merupakan salah satu dari kisah hikayat yang disebut dalam Sejarah Melayu, semasa pertahanan Melaka dari serangan Portugis, hikayat ini dikatakan telah dibacakan bagi menaikan semangat pahlawan Melayu. Oleh itu ia jelas menunjukkan kehadirannya sebelum 1511 lagi. Dalam versi bercetak edisi 1987 terdapat 245,273 perkataan di dalamnya.

Kisah pada malam sesudah Feringgi melancarkan serangannya yang pertama ke atas Melaka, seperti yang tersebut di bawah ini
Maka Sultan Ahmad pun menghimpunkan orang, dan suruh berhadir senjata. Maka hari pun malamlah, maka segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu dibalai rong. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, Apa kita buat bertunggu dibalai rong diam-diam sahaja? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya. Maka kata Tun Muhammad Onta, benar kata tuan-tuan itu, baiklah Tun Indera Sagara pergi memohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya. Kerana Feringgi akan melanggar esok hari. Maka Tun Indera Sagara pun masuk mengadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkannya kebawah duli Sultan Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahi Hikayat Amir Hamzah, maka titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Sagara, katakan kepada segala anak tuan-tuan itu, hendak pun kita anugerahkan Hikayat Muhammad Hanafiah, takut tiada akan ada berani segala tuan-tuan itu seperti Muhammad Amir Hamzah pun padalah maka kita beri Hikayat Hamzah. Maka Tun Indera Sagara pun keluarlah membawa Hikayat Hamzah, maka segala titah Sultan Ahmad itu semuanya disampaikannya pada segala anak tuan-tuan itu, maka semuanya diam, tiada menyahut. Maka kata Tun Isap pada Tun Indera Sagara, persembahkan ke bawah duli yang dipertuan, seperti Muhammad Hanafiah, patik-patik itu adalah seperti hulubalang berani. Maka oleh Tun Indera Sagara segala kata Tun Isap itu semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Ahmad, maka baginda pun tersenyum maka titah Sultan Ahmad, benar katanya itu. Maka dianugerahi pula Hikayat Muhammad Hanafiah.

Menurut pendapat orang-orang yang ahli dalam lapangan kesusasteraan bahawa Hikayat Amir Hamzah ia­lah salinan daripada bahasa Parsi sungguh pun dalam bahasa 'Arab ada juga hikayat yang demikian. Hikayat Amir Hamzah adalah merupai sebuah buku yang tebal mengan­dungi 90 bab; di dalamnya meriwayatkan kisah keberanian dan kegagahan Sayyidina Hamzah mengepalai tentera Islam dalam peperangan menentang tentera-tentera kafir.

Seperti yang tersebut di dalam riwayatnya bahawa Amir Hamzah ialah bapa saudara kapada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu putera kepada Abdul Mutalib. Amir Hamzah di-katakan mulai menerima agama Islam sesudah dua tahun Rasulullah menerima walinya yang pertama dan telah ber­sama-sama mengikut Nabi Muhammad berhijrah (berpindah) ke Madinah.

Amir Hamzah adalah terkenal sebagai pahlawan Islam yang terbilang; keberanian dan jasa-jasanya di medan-­medan perang terutama sekali dalam peperangan Badar amatlah besar ertinya di sisi sejarah perkembangan agama Islam. Sayyidina Hamzah telah tewas tatkala melawan orang-orang kafir Makkah yang banyak bilangannya di­ kaki bukit Uhud, dekat Madinah. Maka kerana itu-Iah riwayat Amir Hamzah sentiasa dikenang oleh umat Islam; dan di dalam hikayatnya banyak pula diadakan tokok tambah oleh pengarangnya.

Hikayat Amir Hamzah ini selain daripada dalam Bahasa Melayu ada juga salinan-salinannya dalam bahasa Jawa, Sunda dan Bugis. Dalam bahasa Jawa hikayat ini terkenal dengan nama "Menak".

  • [Microfilm: NL 1886]. [1865?]. [S.l. : s.n.]. (RRARE 899.2302 HIK)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]



Senarai Kesusasteraan Melayu
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z