Pergi ke kandungan

Hikayat Aceh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Hikayat Acheh)

Hikayat Aceh merupakan salah satu kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu. Pengarangnya tidak diketahui. Ia adalah antara yang masih terselamat sehingga hari ini. Hikayat Aceh mengisahkan penguasaan Aceh di bawah Iskandar Muda dan dipercayai mula dikarang selepas penabalan Iskandar Muda iaitu 1607 dan sebelum akhir abad ke-17, apabila karya ini diketahui oleh mubalih Belanda, Leidekker.[1] Ia termasuk dalam perpustakaan Melayu yang terkandung nama-­namanya di dalam daftar Werndly dalam T.M. 1736. Isi buku ini merupa­kan ringkasan sejarah sahaja dan bahasanya tiada hidup yakni tidak seperti bahasa yang terkandung di dalam buku Sejarah Melayu.

Kandungan

[sunting | sunting sumber]

Hikayat Acheh itu mula-mulanya meriwayatkan kisah mulai daripada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim di­ Acheh Utara, baginda ini dalam T.M. 1525 telah memberontak melawan Maharaja yang berkerajaan di negeri Pasai, akhirnya Sultan Ibrahim dapat mengalahkan Kerajaan Pasai itu. Maka semenjak masa itulah pusat pemerintahan di Pasai itu telah berpindah ke Acheh dan kekuasaannya semakin berkembang.

Kekuasaan Acheh telah sampai ke­puncak kebesarannya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (T.M. l606-1636), se­bilangan besar negeri-negeri dalam Pulau Perca itu ter­takluk ke bawah perintahnya, demikian juga negeri-negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu termasuklah negeri Johor. Kemudian di sebutkan pula sesudah Melaka jatuh ke tangan Feringgi berulang-ulang kali negeri itu telah di­serang oleh angkatan perang Acheh dan ada kalanya ber­bulan-bulan pula negeri Melaka itu dikepong.

Seterusnya diriwayatkan bahawa Sultan Iskandar pernah mengesyor­kan kapada Sultan Agung Mataram yang menguasai seluruh Jawa dan Madura dan pada masa itu sedang menentang kekuasaan Belanda di Jakarta supaya bersetuju bekerjasama melawan kekuasaan asing itu, tetapi syor Sultan Acheh itu telah di tolak oleh Sultan Agung Mataram. Sultan Iskandar Mahkota Alam tiada mempunyai putera melainkan puteri-puteri belaka, seorang di antara menantu baginda itu telah menggantikan baginda di atas takhta Kerajaan Acheh dengan gelaran Sultan Iskandar Thani.

Sesudah pemerintahan baginda itu Acheh telah di perintah bergilir-gilir oleh empat orang raja perempuan. Pada zaman itulah pula Kerajaan Acheh beransur-ansur lemah hingga beberapa buah negeri yang takluk kepada­nya melepaskan diri masing-masing

Kehilangan kesusteraan Melayu

[sunting | sunting sumber]

Banyak hasil kesusteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskah-naskah kesusasteraan Melayu yang berasal dari zaman Hindu dahulu, kerana ia dianggap tidak sesuai dengan kepercayaan Islam.[2], [3]

Selain itu, kerana istana raja menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya musnah binasa dimakan api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansor Shah seperti tersebut kisahnya di dalam buku Sejarah Melayu[4], selain peristiwa istana Sang Nila Utama yang juga terbakar.[5]

Selain itu, dengan kejatuhan kerajaan Melaka,[6] banyak kehilangan naskah-naskah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka kalah ditawan oleh Portugis. Banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas). Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.[7]

Selain itu, berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British.[8] Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai-bagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah dikumpulkan oleh Stamford Raffles.[9]

Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Adapun perpustakaan lama Melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, antaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tidak termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain daripada itu, ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.[10]

Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah di dalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada Stamford Raffles,[11] kerana ada tersebut di dalam buku yang bernama “Raffles“ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai-bagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudahpun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih dihargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran. Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang telah disimpan ke dalam peti-peti oleh munsyi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen.

Pada masa kini Hikayat Aceh menjadi salah satu sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan untuk penyelidikan ia boleh didapati di Iskandar, T. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. (R 959.81 ISK) / Iskandar, T. (1959). De Hikajat Atjeh. ‘s-Gravenhage: Nederlandsche Boek-en Steendrukkerij V. H. H. L. Smits.(RCLOS 992.1 ISK) Penth, H. (1969). Hikajat Atjeh: Die erzahl.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Iskandar, T. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. (R 959.81 ISK) / Iskandar, T. (1959). De Hikajat Atjeh. ‘s-Gravenhage: Nederlandsche Boek-en Steendrukkerij V. H. H. L. Smits.(RCLOS 992.1 ISK)

Penth, H. (1969). Hikajat Atjeh: Die erzahl


Senarai Kesusasteraan Melayu
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z