Pergi ke kandungan

HMS Petard

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
HMS Petard
Kerjaya RN Ensign
Jenis Kapal Pembinasa
Kelas "P"
Nombor Pennant G 56
Pembina Vickers Armstrong (Newcastle-on-Tyne, U.K.) : Vickers Armstrong (Barrow-in-Furness, U.K.)
Dipesan 20 Oktober 1939
Lunas Diletakkan 26 Disember 1939
Dilancarkan 27 Mac 1941
Tarikh Ditauliahkan 15 Jun 1942
Sejarah Dijadikan besi sekerap di Bo-ness dalam bulan Jun 1967.
Nama Sebelum HMS Persistent

HMS Petard adalah sebuah kapal pembinasa dari kelas “P”. HMS petard berkhidmat untuk Tentera Laut Diraja British semasa Perang Dunia II. Kapal ini menggunakan nombor pennant G56. Sebelum dinamakan Petard, kapal ini menggunakan nama HMS Persistent.

Pada 30 Oktober 1942, kapal selam Jerman U-559 ditenggelamkan di Laut Mediterranean 70 batu daripada Port Said pada kedudukan 32º30'N, 33º00'E selepas diburu selama 16 jam oleh 4 buah kapal pembinasa British HMS Pakenham, HMS Petard di bawah pimpinan Lt Cdr Mark Thornton, HMS Hero dan frigat HMS Dulverton dengan bantuan sebuah kapal terbang Shorts Sunderland dari no. 47 Skuadron Tentera Udara Diraja British. Pemerintah U-559 memutuskan untuk melubangtenggelamkan kapal selamnya yang sudah mengalami kerosakan teruk. U-559 timbul berhampiran dengan H.M.S. Petard dan anak-anak kapalnya diambil sebagai tawanan perang oleh HMS Petard.

Semasa U-559 tenggelam, Leftenan Tony Fasson dan kelasi Colin Grazier, berenang dari HMS Petard menuju kapal selam U-559 untuk mencuba mendapatkan mesin pengekodan Enigma daripada kapal selam tersebut. Tommy Brown yang ketika itu berumur 16 tahun menyusul dalam sebuah perahu penyelamat. Dengan Brown berdiri di atas menara mengarah pandu, Fasson dan Grazier menghulurkan mesin Enigma kepada Brown. Dengan hanya beberapa ketika sebelum kapal selam itu meletup, Fasson dan Grazier tidak keluar dari kapal selam tersebut sebaliknya masuk semula untuk mengambil dan mengeluarkan buku kod, papan kekunci dan dokumen kepada Brown, sehinggalah kapal selam itu tenggelam menyebabkan mereka berdua terbunuh.

Tony Fasson dan Colin Grazier diberikan anugerah keberanian George Cross untuk jasa mereka pada hati itu. Brown pula diberikan anugerah George Medal (Brown bukan anggota Tentera Laut, tetapi pekerja NAAFI dan ditugaskan di atas HMS Petard sebagai pembantu kantin).

Pada 15 Disember 1942 Petard bersama-sama Vasilissa Olga menenggelamkan kapal selam Itali Uarsciek (620 tons) di selatan Malta. Pada 4 Mei 1943, HMS Petard bersama-sama HMS Nubian dan HMS Paladin menenggelamkan kapal pengangkut Campobasso (3566 BRT) dan kapal torpedo Itali Perseo (652 tons) yang menjadi kapal pengiring di luar pantai Kelibia, Tunisia.

Semasa perkhidmatannya., HMS Petard berjaya menenggelamkan 3 buah kapal selam, terdiri daripada sebuah kapal selam Jerman, sebuah kapal selam Itali dan sebuah kapal selam Jepun. Setiap satu pertempuran melibatkan pertempuran hebat yang melibatkan banyak kemalangan jiwa. Selepas perkhidmatan di laut Mediterranean, HMS Petard dihantar ke Timur Jauh yang berpangkalan di Sri Lanka. Semasa berkhidmat, anak-nak kapalnya diberikan anugerah 2 George Cross, 1 George Medal, 2 anugerah Distinguished Service Order, 4 anugerah Distinguished Service Cross, 6 anugerah Distinguished Conduct Medal (Pingat Pekerti Terpilih) dan beberapa kali Dipuji Dalam Laporan “(Mentioned In Dispatches)”.

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]
  • Capturing Enigma: How HMS Petard Seized the German Naval Codes oleh Stephen Harper
  • Seizing the Enigma: The Race to Break the German U-boat Codes 1939-1943 oleh David Kahn
  • FIGHTING DESTROYER: THE STORY OF HMS PETARD oleh Connell, G.G