Pergi ke kandungan

Gear basikal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Sebelum terciptanya basikal keselamatan pada akhir kurun ke-19, basikal dengan roda hadapan yang besar menjadi popular. Tangkai engkol kaki basikal berkenaan terletak terus di bahagian roda hadapan dan saiz roda hadapan menjadi penentu utama kelajuan maksimum basikal berkenaan.

Sungguhpun demikian, saiz roda yang terlalu besar menjadikan basikal sedemikian agak berbahaya serta sukar ditunggang oleh penunggang yang bertubuh kerdil. Oleh demikian, basikal keselamatan dicipta pada tahun 1885 dan basikal tersebut adalah basikal pertama yang menggunakan pacuan rantai dan gegancu. Sejak itu, basikal keselamatan mula menjadi piawaian kepada reka bentuk basikal moden.

Basikal BMX serta basikal lumba bergegancu tetap hanya mempunyai satu nisbah gear sahaja, iaitu pacuan lebih (kurang gerakan kaki diperlukan untuk kelajuan yang lebih tinggi). Dengan itu, penunggang dapat menunggang dengan pantas di jalan raya yang rata serta apabila menuruni bukit dengan hanya memerlukan daya yang sama seperti daya yang diperlukan oleh pejalan kaki biasa. Namun demikian, penunggang akan menghadapi kesukaran untuk mendaki bukit memandangkan daya l yang diperlukan adalah lebih tinggi daripada daya yang diperlukan oleh seorang pejalan kaki biasa. Oleh itu, sistem gear basikal boleh ubah direka bagi semua keadaan jalan.