Labu dan Labi
Labu dan Labi | |
---|---|
Pengarah | P. Ramlee |
Penulis | P. Ramlee S. Kadarisman |
Lakon layar | S. Kadarisman |
Cerita oleh | S. Kadarisman |
Dihasilkan oleh | Vee Meng Shaw |
Dibintangi | M. Zain P. Ramlee Udo Omar |
Disunting oleh | H.R. Narayanan |
Muzik oleh | P. Ramlee |
Tarikh tayangan |
|
Negara | Singapura |
Bahasa | Melayu |
Labu dan Labi merupakan filem komedi Melayu yang diarah dan dilakonkan oleh P. Ramlee. Filem ini mengisahkan tentang Labu dan Labi, dua orang gaji kepada usahawan kain yang kedekut iaitu Haji Bakhil, dengan angan-angan mereka yang besar. Filem ini digayakan seperti pementasan pantomim dengan saduran lawak jenaka dan watak yang kadang-kala bercakap terus dengan penonton. Filem ini mempunyai turutan sequel iaitu filem Nasib Si Labu Labi.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Labu (M. Zain) dan Labi (P. Ramlee) adalah orang gaji Haji Bakhil (Udo Omar), seorang tua yang sangat kedekut dengan isterinya yang penyabar dan setida serta anak perempuan mereka yang cantik, Manisah (Mariani). Kedua-dua Labu dan Labi sering dimarahi, dimaki dan dipaksa melakukan hukuman kanak-kanak iaitu ketuk-ketampi oleh Haji tetapi tetap bertahan untuk bekerja dengannya kerana masing-masing dalam diam telah jatuh hati kepada Manisah.
Satu malam apabila mereka berdua hendak tidur di beranda rumah Haji Bakhil seperti biasa, mereka berdua memulakan cerita tentang angan-angan masing-masing.
Kelab malam
[sunting | sunting sumber]Labi bercerita sekiranya mereka mewah dan mempunyai pekerja sendiri. Labi berangan yang dia adalah majistret yang ingin ke kelab malam untuk berjumpa dengan Labu, yang berangan juga menjadi seorang doktor. Dalam angan-angan ini, Haji Bakhil (yang dalam babak ini belum pergi haji) muncul sebagai pelayan untuk mengambil pesanan mereka (dan Labi membalas dendam dengan turut menengking kepadanya). Labu dan Labi kemudiannya menyaksikan persembahan Saloma dan kumpulan Panca Sitara yang turut disertai suaminya, P. Ramlee dengan nyanyian lagi "Bila Larut Malam". Kemudian, Aziz Sattar yang turut mengacarakan malam itu mempersembahkan peragaan fesyen dan salah satu modelnya ialah Sarimah.
Selepas persembahan, Labu menuju ke belakang pentas untuk menemui Sarimah di bilik persalinannya, tetapi ketika dia berbual dengan Sarimah, Labi muncul dengan tujuan yang sama. Labu dan Labi mula bertelagah, dan pertelagahan mereka terlalu kuat hingga mengejutkan Haji Bakhil yang menjerit menyuruh mereka kembali tidur.
Tarzan Malaya
[sunting | sunting sumber]Sementara itu, Labu berkata yang dia tidak mahu tinggal di bandar malah ingin tinggal di hutan (tetapi disindir Labi, "Nak jadi Sang Rajuna Tapa?"). Labu berkata dia ingin menjadi Tarzan yang boleh memerintah segenap haiwan di hutan (kecuali babi hutan). Dia berangan yang dia seorang Tarzan Melayu dengan memakai keris. Dalam babak ini, Haji Bakhil menjadi Chita, sepupu Haji Bakhil iaitu seekor monyet tak berekor. Ketika Labu menyediakan sambal belacan kerana bosan dengan buah, Labi muncul sebagai harimau yang juga tidak berekor. Labi ingin memakan Labu dan perlawanan bermula hingga kali ini, Haji Bakhil muncul dan memarahi mereka.
Di wild-west
[sunting | sunting sumber]Setelah diam kembali, Labu bertanyakan Labi sama ada dia suka atau tidak tinggal di hutan. Labi mengatakan dia lebih suka menjadi koboi yang boleh tangkap penjahat dan banyak ganjaran. Dia berangan yang dia seorang sherif manakala Labi menjadi Jesse Labu, adik bongsu Jesse James. Haji Bakhil sekali lagi muncul dan kini dia menjadi cucu Haji Bakhil yang menjadi pelayan bar (dengan meminjam uniform dapur Labu). Labu dan Labi memulakan perlawanan tembakan dan bunyi pistol dari mulut mereka membangunkan sekali lagi bos mereka. Haji Bakhil mengarahkan mereka bangun awal dan bekerja awal-awal pagi sebagai denda.
Makan JACK
[sunting | sunting sumber]Pagi esoknya, Labu ke hutan menjadi kayu api seperti yang disuruh Haji Bakhil. Ketika itu, dia terlihat sekumpulan lelaki yang mencurigakan memasuki satu bilik rahsia di dalam bukit kecil. Selepas orang itu pergi, Labu memasuki bilik tersebut dan menemui sejumlah harta yang banyak di situ (kebarangkalian dicuri). Labu mengambil harta itu dan menghilangkan diri.
Di rumah Haji Bakhil, mereka bersedih kerana kehilangan Labu. Walau bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan kemunculan rombongan peminangan Labu terhadap Manisah. Haji Bakhil (yang ketika ini diketahui nama penuhnya iaitu Haji Bakhil bin Lebai Kedekut) menolak pinangannya dan Labu berjumpa dengan seorang bomoh untuk menyihir Manisah, menyebabkan dia tidur dan tidak bangun-bangun. Labu menghantar pesanan yang dia akan menyembuhkan Manisah sekiranya Haji Bakhil menerima pinangannya.
Setelah menyaksikan perkara tersebut, Labi menemui seorang pendeta yang memberikannya batu hikmat, yang apabila dicelupkan ke dalam air akan menyebabkan air tersebut menjadi ubat kepada semua penyakit dan sihir. Labi mengunakan batu tersebut untuk menyembuhkan Manisah. Haji Bakhil gembira lalu membenarkan Labi mengahwini Manisah.
Pada hari perkahwinan, Labu datang ke rumah Haji Bakhil dan mengenakan jampi yang menyebabkan semua tertidur. Walau bagaimanapun, Labi tidak dipengaruhi jampi dan menggunakan batu hikmat untuk membangunkan Manisah pula. Labu memasuki rumah untuk menculik Manisah tetapi Labi menghalangnya dan pergaduhan bermula hingga Labu mengambil kapak lalu menetak ke kepala Labi.
Tetapi semua itu ditunjukkan bahawa mimpi dan Labu sebenarnya menghentak bantal di kepala Labi. Labu masih tidak sedar dengan lamunannya walaupun di simbah air oleh Haji Bakhil. Labu yang masih keliru antara mimpi dan kenyataan, memarahi Haji Bakhil. Manisah muncul di jendela meminta Labi mengeluarkan basikalnya tetapi Labu menyambar jendela dan memujuk Manisah meninggalkan Labi dan mengahwininya. Manisah yang berasa aneh mengatakan yang Labu masih bermimpi dan kini Labu baru sedar.
Haji Bakhil, yang masih marah dengan mereka berdua yang mengganggu tidurnya sepanjang malam menghukum mereka untuk ketuk ketampi.
Barisan pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- M. Zain sebagai Labu bin Kundur
- P. Ramlee sebagai Labi Bin Kura Kura & P. Ramlee (babak kelab malam)
- Udo Omar sebagai Haji Bakhil bin Lebai Kedekut (majikan labu dan labi)
- Mariani sebagai Manisah binti Haji Bakhil
- Rahimah Alias sebagai isteri Haji Bakhil
Pelakon pembantu
[sunting | sunting sumber]- Shariff Dol sebagai Pembantu Labu
Penampilan khas
[sunting | sunting sumber]- Nyong Ismail sebagai Bomoh
- M. Babjan sebagai Pendeta Gua
- Saloma sebagai Dirinya Sendiri (Penyanyi lagu Bila Larut Malam & Singapura Waktu Malam)
- Aziz Sattar sebagai Dirinya Sendiri (Pengacara Kelab Malam)
- Sarimah Ahmad sebagai Dirinya Sendiri (Peragawati)
- Ahmad C sebagai Penyanyi Kumpulan Pancha Sitara
- Sarawan Singh
- Kassim Masdor
Runut
[sunting | sunting sumber]- "Yang Mana Satu Idaman Kalbu" nyanyian Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma
- "Bila Larut Malam" nyanyian Puan Sri Saloma & Pancha Sitara
- "Singapura Waktu Malam" nyanyian Puan Sri Saloma