Pergi ke kandungan

Eseni

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lokasi Laut Mati

Eseni (bahasa Inggeris: Essenes) adalah nama bagi salah satu mazhab Yahudi yang hidup dan berkembang di tepi Laut mati sejak tahun 65-an SM hingga 70-an M. [1]

Maklumat tentang kumpulan ini terdapat di dalam naskah-naskah Laut Mati, walaupun di dalam naskah-naskah tersebut tidak pernah disebut mengenai nama Eseni. [2] Nama Eseni digunakan oleh Filo, Josephus, dan Plinius (sejarawan-sejarawan Yahudi dan Rom) untuk menyebut kelompok yang mempunyai banyak persamaan dengan kumpulan yang disebut di dalam naskah-naskah Laut Mati. [2] Kaum Eseni disebut juga komuniti Qumran sebab Qumran adalah nama tempat yang menjadi pusat kumpulan Yahudi tersebut, sebagaimana dikisahkan oleh naskah-naskah laut Mati. [3] Para ahli Perjanjian Baru cenderung menyamakan komuniti Qumran dengan kaum Eseni, atau menganggap Qumran sebagai pusat dari kumpulan-kumpulan Eseni lain yang berselerak di Palestin atau di luarnya. [3]

Kaum Eseni menganggap bahawa dunia telah menjadi sangat jahat dan kotor, sehingga mereka berupaya membentuk komuniti sendiri, di mana mereka boleh menjaga kesucian hidup mereka serta dilindungi dari dunia yang jahat. [4] Mereka percaya bahawa Allah akan segera campur jalannya dunia ini dan menetapkan pemerintahan Allah yang benar di dunia. [4] Kerana itulah, mereka membentuk komuniti yang mandiri di Qumran dan mempraktikkan hidup yang berasingan daripada dunia luar. [4]


Hubungan Kaum Eseni dengan Kumpulan Yahudi Lain-lain

[sunting | sunting sumber]

Kaum Eseni, sebagaimana kumpulan-kumpulan Yahudi lain, muncul sebagai respons terhadap konflik-konflik politik yang muncul, di mana identiti Yahudi sedang terancam oleh Helenisasi yang dilancarkan oleh penjajah Rom . [5] Akan tetapi, masing-masing kumpulan Yahudi tersebut memilih cara dan norma yang dianggap penting sehingga tidak jarang bertentangan satu dengan yang lain. [4] Kaum Eseni mempunyai pertentangan yang kuat terhadap kumpulan Farisi dan Saduki, di mana kumpulan Farisi dianggap oleh mereka kurang mengikuti hukum Taurat secara literer, sedangkan kaum Saduki dianggap sebagai pemimpin-pemimpin agama yang korup dan salah faham hukum Tuhan dalam menjalankan kultus Bait Suci. [4]

Kaum Eseni di Qumran

[sunting | sunting sumber]

Qumran terletak di kawasan dataran tinggi yang luas di dekat Laut Mati dengan dikelilingi gunung-gunung dan mata air di bahagian bawahnya. [2] Di situ komuniti Eseni mendirikan bangunan-bangunan yang sebenarnya telah mula dibina tahun 150 SM, ketika Yohanes Hirkanus sedang memerintah di Jerusalem dan kaum Saduki memegang kuasa. [2] bangunan-bangunan tersebut dirobohkan tahun 68 M pada masa pemberontakan Yahudi pertama oleh tentera Romawi , di mana bangunan-bangunan dibumi-hanguskan dan penghuninya diusir. [1] orang-orang Rom kemudian membina kembali bangunan-bangunan dan digunakan sebagai kompleks askar-askar. [1] Setelah sempat direbut oleh Bar Khokba pada pemberontakan kedua, akhirnya bangunan-bangunan tersebut menjadi serpihan saja selepas pemberontakan tersebut ditumpas. [1]

Fail:Dead Sea Scrolls map.jpg
Lokasi komuniti Qumran

Bangunan utama berbentuk empat persegi panjang, berlantai dua, saiz kasarnya 35 X 70 meter. [1] Salah satu sudutnya diperkuatkan menjadi bentuk sebuah menara pengawal dengan bilik-bilik gudang di bawahnya dan tiga bilik sempit di atasnya. [1] Di samping itu terdapat pelbagai bilik sempit dengan bangku-bangku sekeliling tembok. [1] Sebahagian besar bilik berfungsi sebagai bilik mesyuarat, dan salah satu bilik dilengkapi dengan meja-meja, bekas-bekas dakwat, dan baskom tempat cuci tangan bagi para ahli tulis. [1] Kemudian bangunan ini dilengkapi juga dengan ruang makan dan ruang menyimpan alat-alat makan. [1] Tata letak bangunan ini menunjukkan bangunan ini dipakai sebagai tempat tinggal suatu komuniti yang cukup besar. [1]

Ruang-ruang di bahagian Barat dari bangunan utama Qumran.

Pengajaran Kaum Eseni

[sunting | sunting sumber]

Keterangan mengenai pengajaran Kaum Eseni didapati dari dua dokumen penting, yakni buku Peraturan Persekutuan atau Petunjuk Disiplin, dan buku Peraturan Damsyik. [2] Para ahli berpendapat bahawa Peraturan Damsyik adalah pembangunan lebih lanjut dari Petunjuk Disiplin. [2]

Guru Kebenaran

[sunting | sunting sumber]

Akar dari kaum Eseni diduga berasal dari masa setelah pemberontakan Makabe, ketika pengharapan orang-orang beragama digoyahkan oleh sifat-sifat keduniawian raja-raja Hashmonayim. [1] Menurut Peraturan Damsyik, beberapa orang pencari kebenaran kemudian memperoleh pencerahan dari seorang "Guru kebenaran". Kerana itulah, sosok "Guru Kebenaran" ini terdapat di dalam tulisan-tulisan kaum Eseni dan di dalam kidung-kidung pujian yang menggambarkan kehidupan dan karya beliau. [1]

Guru Kebenaran digambarkan sebagai seorang yang berasal dari keluarga imam tahap tinggi Yahudi yang kemudian melihat dunia sekitarnya, iaitu adat istiadat Yahudi, telah dirosakkan dan umat Israel dianggap menyeleweng dari Allah. [1] Kemudian ia menjadi pendakwah pembela Taurat dan berjaya mengumpulkan sejumlah pengikut. [1] Ia mengecam orang-orang sezamannya beserta seluruh pemimpin-pemimpin agama. [1] Ia juga menelaah Kitab Suci dan dari situ membina peraturan-peraturan dan tafsiran-tafsiran baru yang kemudian diajarkan kepada murid-muridnya. [1] Persekutuan itu dianggap sebagai Israel yang benar, dan anggotanya dianggap sebagai "anak-anak terang". [1] Diduga bahawa setelah sang guru meninggal akibat penganiayaan, kemudian murid-muridnya mengundurkan diri dari kehidupan masyarakat umum dan mendirikan komuniti Qumran, di mana mereka terus menelaah Kitab Suci, mentaati peraturan-peraturan yang ketat, dan menantikan hari Tuhan, di mana Allah akan datang sebagai tanda kemenangan mereka. [1]

Taurat Bagi Israel Yang Baru

[sunting | sunting sumber]

Komuniti ini sangat memandang negatif kepada dunia yang dianggap telah dikuasai oleh kuasa jahat, sedangkan komuniti mereka adalah anak-anak terang yang menantikan Tuhan turun ke dunia untuk menghancurkan kuasa kegelapan. [1] Untuk menjaga kesucian diri selaku anak-anak terang, kaum Eseni melakukan pelbagai disiplin dan mengikuti peraturan yang ketat. [1] Beberapa peraturan tersebut adalah tidak dibenarkan memiliki barang milik peribadi, berjaga-jaga sepanjang malam, belajar bersama anggota lain, menyanyikan kidung-kidung, dan memanjatkan doa. [1] Sebagai penguatkuasa dari sistem ini, terdapat jabatan penilik, pemeriksa, dan hakim, serta imam-imam. [1]

Perang Terakhir

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan ini menafsirkan Kitab Habakuk dalam melihat sejarah dunia. [1] Ketika hari akhir akan datang, seorang nabi akan muncul untuk mengumumkan kedatangan hari tersebut. [1] Kemudian Allah akan mengutus dua orang mesias, yang satu seorang imam dan yang satu seorang askar. [1] Mesias imam dipandang sebagai Guru Kebenaran yang dihidupkan kembali dan diberikan kuasa, sedangkan mesias askar akan berasal dari garis keturunan Daud dan bertugas memimpin pasukan Allah dalam perang terakhir melawan kuasa kegelapan. [1] Keduanya akan memerintah umat Yahudi selaku umat Allah dan mengemaskini peraturan Israel. [1]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z aa (Indonesia) Lawrence E. Toombs. 1978. Di Ambang Fajar Kristian. Jakarta: BPK Gunung Mulia. Hal. 68.
  2. ^ a b c d e f S. Wismoady Wahono.1986. Di Sini Kutemukan. Jakarta: BPK Gunung Mulia. Hal. 335.
  3. ^ a b C. Groenen. 1984. Pengantar Ke Dalam Perjanjian Baru. Yogyakarta: Kanisius.
  4. ^ a b c d e (Inggeris) Bart D. Ehrman. 2004. The New Testament: A Historical Introduction to the Early Christian Writings. New York, Oxford: Oxford University Press. P. 39.
  5. ^ John Stambaugh, David Balch. 1997. Dunia Sosial Kristian Mula-Mula. Jakarta: BPK Gunung Mulia. Hal. 122.

Templat:Link GA