Pergi ke kandungan

Enjin CVCC

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Enjin CVCC bagi kereta Honda Civic generasi pertama.

Enjin CVCC adalah enjin yang digunakan oleh Honda untuk model-model terawal Honda Civic. CVCC adalah kependekan bagi Compound Vortex Controlled Combustion (Pembakaran Terkawal Vorteks Majmuk). Mula diperkenalkan pada tahun 1975, teknologi CVCC membolehkan Honda melepasi piawaian emisi ketat di Amerika Syarikat (terutamanya di California) tanpa menggunakan penukar bermangkin. Enjin CVCC adalah salah satu bentuk enjin pengecasan berlapis (stratified charge) yang paling berjaya tanpa memerlukan sistem suntikan bahan api.

Bagaimana ia berfungsi

[sunting | sunting sumber]

Setiap silinder di dalam enjin CVCC mempunyai satu injap masukan, satu injap ekzos dan satu injap kecil tambahan yang berfungsi menyalurkan sebahagian kecil campuran udara-bahan api yang kaya ke palam pencucuh. Sementara itu pula, baki campuran udara-bahan api yang nipis disalurkan ke injap masukan. Semasa lejang kuasa, palam pencucuh membakar campuran udara-bahan api yang kaya itu terlebih dahulu memandangkan campuran yang kaya lebih mudah dibakar berbanding campuran yang nipis. Seterusnya, campuran yang kaya itu akan membakar baki campuran udara-bahan api yang nipis itu.

Secara keseluruhannya, jumlah nisbah udara-bahan api yang digunakan adalah lebih tinggi daripada takat stoikiometrik bagi pembakaran petrol (14.7:1), menjadikan enjin CVCC lebih menjimatkan minyak dan mengurangkan bahan cemar seperti karbon monoksida, hidrokarbon dan nitrogen oksida. Gabungan pembakaran campuran kaya yang sedikit dan campuran nipis yang banyak membolehkan enjin berjalan dengan lebih stabil.

Kelebihan enjin CVCC berbanding enjin pengecasan berlapis yang lain

[sunting | sunting sumber]

Enjin CVCC boleh digunakan dengan menggunakan karburetor tanpa memerlukan suntikan bahan api yang lebih mahal. Selain itu juga, enjin CVCC tidak memerlukan kesan pusaran semasa lejang masukan untuk memisahkan lapisan campuran kaya dan nipis, sebaliknya enjin CVCC hanya menggunakan bentuk kebuk pembakaran bagi memisahkan kedua-dua campuran udara-bahan api tersebut.

  • Setright, L. J. K. (1975). Some Unusual Engines. London: Mechanical Engineering Publications Limited.