Pergi ke kandungan

Edgar Allan Poe

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Edgar Allan Poe
Gambar daguerrotype jenis "Annie" milik Poe bertarikh 1849
Gambar daguerrotype jenis "Annie" milik Poe bertarikh 1849
LahirEdgar Poe
19 Januari 1809
Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat
Meninggal dunia7 Oktober 1849(1849-10-07) (usia 40)
Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat
Alma materUniversiti Virginia
Akademi Tentera Amerika Syarikat
PasanganVirginia Eliza Clemm Poe (1835–47; kematiannya)
Tandatangan

Edgar Allan Poe (/p/; nama asalnya Edgar Poe; 19 Januari 1809 – 7 Oktober 1849) adalah seorang penulis, editor serta pengkritik sastera dari Amerika Syarikat. Poe dikenali melalui karya-karya cerita pendek dan sajaknya, terutamanya dalam genre-genre misteri dan seram. Beliau dianggap sebagai tokoh utama dari gerakan Romantisme di Amerika Syarikat dan kesusasteraan negara tersebut secara keseluruhannya, dan beliau adalah salah satu penulis cerita pendek yang terawal di negara tersebut.

Karya-karya Poe telah dianggap umumnya sebagai pencetus genre fiksyen siasatan serta antara penyumbang utama genre fiksyen sains.[1] Beliau adalah penulis yang pertama di negara Amerika Syarikat yang cuba menyarakan hidupnya sendiri melalui penulisan, justeru dia hidup dalam keadaan yang begitu susah sepanjang kerjaya penulisannya.[2]

Awal hidup

[sunting | sunting sumber]

Poe dilahirkan di Boston kepada dua orang pelakon teater. Ayahnya meninggalkan keluarganya di 1810 manakala ibunya meninggal pada tahun berikutnya, menjadikan Edgar seorang yatim piatu. Edgar dijaga pasangan suami isteri yang bernama John dan Frances Allan dari Richmond, Virginia, meskipun pasangan tersebut tidak mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi.

John Allan dan Edgar berkali-kali berselisih atas hutang-piutang yang terkumpul disebabkan perjudian serta kos pembiayaan pendidikan Edgar. Poe menghadiri Universiti Virginia selama satu semester tetapi dia terpaksa berhenti kerana dia kekurangan wang. Poe bertengkar dengan Allan disebabkan masalah kewangan yang mereka hadapi, dan Poe lalunya mendaftarkan dirinya sebagai askar pada tahun 1827 dengan nama berbeza. Pada masa inilah Edgar memulakan kerjaya penulisannya dengan sebuah koleksi puisi bertajuk Tamerlane and Other Poems ("Tamerlane dan Puisi-Puisi Lain", 1827) yang tidak dikreditkan pada namanya.

Kerjaya penulisan

[sunting | sunting sumber]

Poe bertukar bidang kepada sastera dan menghabiskan beberapa tahun bekerja untuk jurnal-jurnal serta makalah sastera, di mana kerjanya menjadi terkenal kerana gaya kritikan sasteranya yang tersendiri. Pekerjaannya memaksanya berpindah-randah di antara beberapa kota, termasuk Baltimore, Philadelphia, dan New York City. Dia mengahwini sepupunya, Virginia Clemm, di Richmond pada tahun 1836.

Pada bulan Januari 1845, Poe menerbitkan puisi "The Raven" yang menjadikannya seorang penulis yang masyhur. Isterinya meninggal dunia disebabkan batuk kering dua tahun selepas cerpen itu diterbitkan. Dia telah merancang selama bertahun-tahununtuk menghasilkan sendiri jurnalnya sendiri yang bertajuk The Penn (kemudiannya The Stylus), meskipun dia meninggal sebelum ia sempat dihasilkan.

Poe meninggal dunia di Baltimore pada 7 Oktober 1849 ketika dia berusia 40 tahun; penyebab kematiannya tidak diketahui dan ramai orang yang mempunyai pendapat berbeza sama ada ia disebabkan oleh alkohol, kesesakan otak, taun, penyalahgunaan dadah, penyakit jantung, penyakit anjing gila, bunuh diri, batuk kering dan sebagainya.[3]

Legasinya

[sunting | sunting sumber]

Karya-karya Poe telah banyak mempengaruhi bidang kesusasteraan di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, tidak lupa juga dalam bidang-bidang khusus yang lain seperti kosmologi dan kriptografi. Karya-karya dan kehidupan Poe seringkali menjadi tumpuan sastera popular, muzik, filem-filem serta televisyen. Beberapa buah rumah turut digunakan sebagai muzium memeperingati Poe pada hari ini. Sebuah anugerah yang dipanggil "Anugerah Edgar" (bahasa Inggeris: The Edgar Awards ) diberikan untuk karya-karya yang terhebat dalam genre misteri.[4]

  1. ^ Stableford 2003, halaman 18–19
  2. ^ Meyers 1992, halaman 138
  3. ^ Meyers 1992, halaman 256
  4. ^ "The Edgar Awards". theedgars.com. Dicapai pada 14 Julai 2017. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]