Pergi ke kandungan

Dukun Doktor Dani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dukun Doktor Dani
PengarahSabri Yunus
PenulisSabri Yunus
Dihasilkan oleh
  • Najwa Abu Bakar (eksekutif)
  • Milya Irwani Roslan
  • Syahrul Imran Shariffudin
  • Syahid Johan
Dibintangi
SinematografiMohd Shah Faizul
Disunting olehRazaisyam Rashid
Syarikat
penerbitan
Balang Rimbun
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
28 Julai 2016
Masa tayangan
109 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM800,000
Pecah panggungRM68,601.29

Dukun Doktor Dani (juga dikenali sebagai Dukun Dr. Dani) merupakan sebuah filem komedi Malaysia 2016 arahan Sabri Yunus. Dalam filem sulung arahannya, Sabri turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan beliau sendiri turut berlakon. Ia dibintangi oleh Taufik Batisah, Amerul Affendi, Raysha Rizrose, Yus Jambu dan Fasha Sandha. Filem ini ditayangkan pada 28 Julai 2016.

Mengisahkan tentang Doktor Dani (Taufik Batisah), seorang doktor muda yang baru sahaja mendapat kerja di sebuah hospital. Dia yang menjalani pembedahan pesakit pertamanya teruja dengan pengalaman tersebut. Tapi malangnya pembedahan tersebut gagal dan pesakit meninggal dunia. Dia memutuskan untuk berhenti kerja dan tidak mahu lagi menjadi seorang doktor. Tegasnya dia tak mahu jadi pembunuh dan meletakkan jawatan. Dani pulang ke kampung halamannya dan keputusan tersebut benar-benar mengecewakan ibunya, Mak Siti (Khatijah Tan) yang berhabis duit membiayai pembelajarannya dahulu. Ibunya begitu marah dan tidak setuju dengan tindakan Dani dan meminta Doktor Lily (Fasha Sandha) memujuk semula Dani untuk menjadi doktor semula.

Dani akhirnya ke rumah Dukun Sudin dan melihat sendiri kehidupan dukun yang tidak terurus. Mereka sepakat untuk bekerjasama selepas itu. Dia akhirnya berniaga di hadapan rumah Dukun Sudin menjual barang-barang yang diperlukan pesakit yang datang ke rumah tersebut. Menariknya, khidmat dukun tersebut semakin laris dan mendapat ramai pelanggan. Keadaan mula berubah apabila Dukun Sudin tiba-tiba meninggal dunia. Dani terpaksa mengambil alih tugas sebagai dukun. Masalah Dani semakin rumit apabila ibunya, Mak Siti pula jatuh sakit. Sebagai doktor, Dani tahu sakit yang dideritai ibunya. Dia tidak akan menggunakan cara dukun Dani membawa ibunya ke Kuala Lumpur. Selepas pemeriksaan doktor, nyatalah ibu Dani menderita sakit yang sama seperti pesakit yang meninggal dunia di tangannya dahulu. Dani berperang dengan dilema dan akhirnya dia bersetuju untuk melakukan pembedahan kepada ibunya sendiri.

Penerbitan

[sunting | sunting sumber]

Dukun Dr. Dani diarahkan dan ditulis oleh Sabri Yunus, ia merupakan filem sulung arahannya dan beliau sendiri turut berlakon.[1] Ia diterbitkan oleh Balang Rimbun Produksi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Astro Shaw. Filem ini menjalani penggambaran di Kampung Nenasi, Pekan, Pahang dan Kuala Lumpur selama 22 hari.[2]

Penyanyi Singapura, Taufik Batisah diberikan peranan utama sebagai Dr. Dani;[3] beliau ditemui oleh Sabri semasa Taufik menjadi juri Maharaja Lawak Mega 2014.[4] juara Dewi Remaja 2014/15, Raysha Rizrose memegang watak sebagai Fikha, Raysha dipilih semasa menghadiri sesi ujibakat yang dijalankan oleh Astro Shaw seminggu sebelum dinobatkan sebagai Dewi Remaja. Dukun Doktor Dani ialah penampilan sulung Taufik dan Raysha dalam bidang lakonan.[5] Filem ini juga merupakan filem terakhir lakonan Yus Jambu sebelum kematiannya pada November 2015; Yus diberikan watak yang lebih serius.[6] Fasha Sandha dan Amerul Affendi turut menjayakan filem ini. Kos pembikan dianggarkan berjumlah RM800,000.[1]

Keluaran dan sambutan

[sunting | sunting sumber]

Dukun Dr. Dani ditayangkan pada 28 Julai 2016, ia diiklankan sebagai sebuah filem wajib tonton.[7]

Ulasan positif dan bercampur-campur diberikan kepada filem ini. Tahir Alhamzah dari New Straits Times memuji usaha keras sulung Sabri sebagai pengarah filem, beliau berkata: "...beliau (Sabri Yunus) meletakkan pengalaman luas dalam teater dan industri hiburan tempatan untuk digunakan dengan baik di sini."[8] Aqmar Mustaza dari Sinar Harian melihat Dukun Doktor Dani sebagai sebuah filem yang dimanfaatkan dengan mesej dan pengajaran. Beliau berkata dalam ulasannya: "...menonton filem ini bukan hanya sekadar ketawa dan lupa, tetapi ada sesuatu untuk difikirkan dan diteladani."[9] Mohd Al-Qayum Azizi dari mStar Online berkata: "... dari segi sudut teknikal, pemilihan lokasi dan sinematografi yang ditampilkan juga cukup mengagumkan dan jujurnya filem ini tidak mengecewakan,".[10]

  1. ^ a b Ridzuan Abdul Rahman (27 Julai 2016). "Bahan lama dalam filem pertama". Harian Metro. Dicapai pada 28 Julai 2016.
  2. ^ Syed Mussaddad Syed Mahdi (23 Ogos 2015). "Dukun Doktor Dani uji Sabri Yunus". Utusan Malaysia. Dicapai pada 18 Julai 2016.
  3. ^ "Taufik lakon filem Dukun Doktor Dani". Berita Harian Singapura. 27 Julai 2016. Dicapai pada 28 Julai 2016.
  4. ^ Angelin Yeoh (11 Ogos 2016). "Taufik Batisah is the cure in Dukun Doktor Dani". Star2. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-18. Dicapai pada 28 Ogos 2016.
  5. ^ "Pertama kali ke layar perak". Kosmo!. 31 Julai 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-18. Dicapai pada 1 Ogos 2016.
  6. ^ N. Faizal Ghazali (28 Julai 2016). "Dukun Doktor Dani ubati rindu peminat Yus Jambu". Malaysiakini. Dicapai pada 28 Julai 2016.
  7. ^ "4 sebab wajib tonton Dukun Doktor Dani". Astro Gempak. 29 Julai 2016. Dicapai pada 1 Ogos 2016.
  8. ^ Tahir Alhamzah (6 Ogos 2016). "Trauma of a doctor". New Straits Times. Dicapai pada 11 Ogos 2016.
  9. ^ Aqmar Mustaza (30 Julai 2016). "Dukun Doktor Dani sarat mesej dan pengajaran". Sinar Harian. Dicapai pada 11 Ogos 2016.
  10. ^ Mohd Al-Qayum Azizi (1 Ogos 2016). "Persamaan dan perbezaan Dukun Doktor Dani". mSTAR Online. Dicapai pada 11 Ogos 2016.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]