Donald Bailey
Sir Donald Coleman Bailey adalah pencipta Jambatan Bailey, satu sistem pembinaan jambatan pasang siap yang menggunakan bahan-bahan siap terbina dan boleh dipasangkan oleh anggota-anggota yang tidak mempunyai kemahiran khusus dalam pembinaan jambatan.
Donald Coleman Bailey di lahirkan pada 15 September 1901 di Rotherham, Yorkshire menuntut seketika di Universiti Sheffield dan mendapat latihan sebagai seorang jurutera awam. Selepas mendapat kelayakan profesioanlnya dri Universiti Sheffield, Donald Bailey bekerja dengan syarikat kereta api, tetapi dalam tahun 1929 dia menyertai Kementerian Pembekalan dan berkhidmat di Pusat Ujian Jambatan (Experimental Bridging Establishment). Donald Bailey bertugas sebagai seorang jurutera di Jabatan Perang British semasa Perang Dunia II.
Apabila perang meletus, Bailey sudah mempunyai idea untuk pembinaan satu jenis jambatan untuk kegunaan tentera. Dia mengemukakan idea untuk jambatan yang ringan tetapi kuat di satu persidangan dalam tahun 1940. Jambatannya boleh membawa beban yang berat dan dibuat menggunakan konsep pasang siap dengan kegunaan kekuda keluli yang siap dibina dan mempunyai bahagian-bahagian yang standard dan seragam. Panelnya juga dibuat dengan reka bentuk yang mudah dan boleh dipasang oleh mereka yang tidak mempunyai pengetahuan kejuruteraan.
Jambatan Bailey boleh dikuatkan dengan menambahkan bilangan kekuda yang digunakan, dan boleh menyeberangi rentangan yang luas dengan menggunakan pontun. Sebuah Jambatan Bailey merentangi Sungai Maas di negeri Belanda mempunyai rentangan 1,200 m.
Donald bailey diberikan anugerah OBE dalam tahun 1944 and diberikan anugerah yang membawa gelaran “Sir’ dalam tahun 1946. Dia dijadikan Timbalan Pengarah Pusat Ujian Kejuruteraan Tentera (Military Engineering Experimental Establishment) dalam tahun 1946, dan kemudiannya dilantik menjadi Pengarah pusat tersebut. Dalam tahun 1952, dia menjadi Timbalan Ketua Pegawai Sains di Kementerian Perbekalan.
Sir Donald meninggal dunia di Bournemouth, Dorset pada 5 Mei 1985.