Di mana, Dari mana, dan Yang mana
'Di mana', 'dari mana', dan 'yang mana' adalah frasa-frasa bahasa Melayu asli. Bagaimanapun, penggunaannya hanya mengambil bentuk pertanyaan, umpamanya:
- Di mana Yosri?
- Dari mana Yosri datang?
- Yang mana itu Yosri?
Tetapi ketiga-tiga frasa itu sering dipergunakan sebagai keterangan penghubung (bahasa Inggeris: relative adverb), termasuk juga dalam buku-buku teks, sehingga banyak orang menganggap kesemuanya itu betul belaka, lalu menjadikannya contoh bahasa yang baik. [1]. Kesilapan-kesilapan itu sebenarnya mencerminkan pengaruh ayat bahasa Inggeris. Sesiapa sahaja yang tidak kuat penguasaan terhadap aturan bahasa Melayu dengan mudah akan terpengaruh dan mengambil jalan mudah menggunakan where, from where, dan which sebagai di mana, dari mana, dan yang mana. [2]
Kesalahan yang biasa berlaku
[sunting | sunting sumber]Di mana
[sunting | sunting sumber]Berikut adalah kesalahan yang biasa berlaku, dengan pembetulannya:
- Hotel di mana saya tinggal terbakar semalam.
- Pembetulan: Hotel tempat saya tinggal terbakar semalam.
- Dia lahir di tengah-tengah kota di mana pertembungan nilai berlaku.
- Pembetulan: Dia lahir di tengah-tengah kota, tempat pertembungan nilai berlaku.
- Organisma itu mungkin dalam keadaan di mana organisma itu tidak mendapat makanan dari luar.
- Pembetulan: Organisma itu mungkin dalam keadaan tidak mendapat makanan dari luar.
- Di mana gamet terpaksa merentas salur, perjalanannya dibantu oleh bendalir-bendalir pelincir yang dirembeskan oleh sel-sel salur itu.
- Pembetulan: Di tempat gamet terpaksa merentas salur, perjalanannya dibantu oleh bendalir-bendalir pelincir yang dirembeskan oleh sel-sel salur itu.
- Suatu garis lengkung tekanan isi padu adalah dalam bentuk pv n = c, di mana c adalah satu pemalar.
- Pembetulan: Suatu garis lengkung tekanan isi padu adalah dalam bentuk pv n = c, dengan c adalah satu pemalar.
Dari mana
[sunting | sunting sumber]- Tali air banyak dibina, dari mana sawah-sawah mendapat bekalan air.
- Pembetulan: Tali air banyak dibina untuk membekalkan air kepada sawah-sawah.
- Proses itu mula-mulanya melibatkan penerimaan bahan dari mana rembesan dijadikan.
- Pembetulan: Proses itu mula-mulanya melibatkan penerimaan bahan yang merupakan rembesan.
- Kita hendaklah menuntut ilmu, dari mana kita dapat menghadapi cabaran hidup.
- Pembetulan: Kita hendaklah menuntut ilmu supaya kita dapat menghadapi cabaran hidup.
Yang mana
[sunting | sunting sumber]- Pembunuhan sel-sel perumah, yang mana sel-sel tersebut adalah satu sifat serangan parasit, dijayakan oleh rembesan enzim yang dikeluarkan oleh parasit.
- Pembetulan: Pembunuhan sel-sel perumah yang menjadi satu sifat serangan parasit dijayakan oleh rembesan enzim.
- Sekiranya terdapat dalam kontrak mana-mana satu pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus, maka kontrak itu tidak akan dibatalkan.
- Pembetulan: Sekiranya terdapat dalam kontrak mana-mana satu pelaburan mudarabah yang modalnya dijamin oleh pihak pengurus tidak akan lupus, maka kontrak itu tidak akan dibatalkan.
- Dia merancang untuk menawarkan percutian dan hiburan yang mewah kepada salah seorang naib presiden syarikat pelanggan, yang mana ia akan melanggar peraturan syarikat pelanggan tersebut.
- Pembetulan: Rancangannya untuk menawarkan percutian dan hiburan yang mewah kepada salah seorang naib presiden syarikat pelanggan akan melanggar peraturan syarikat pelanggan tersebut.