Pergi ke kandungan

Dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak di Malaysia atau lebih lazim dikenali sebagai dasar doktor kontrak merupakan sebuah dasar yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan Malaysia sejak 2016 sebagai langkah kemasukan pegawai-pegawai perubatan baharu ke dalam sistem penjagaan kesihatan negara serta alam pekerjaan secara am. Sungguhpun begitu, dasar ini mendapat tentangan oleh beberapa pihak, terutamanya persatuan-persatuan buruh serta pegawai perubatan negara yang menyifatkan dasar itu tidak berkesan, malah berpotensi melemahkan lagi sistem penjagaan kesihatan negara akibat dasar pengambilan pegawai yang gagal.

Latar belakang dan sejarah

[sunting | sunting sumber]

Dalam usaha penswastaan prasarana-prasarana utama negara oleh kerajaan Mahathir Mohamad pada 1990-an, sistem pendidikan tinggi juga dibuka kepada pihak swasta lalu menggalakkan penubuhan institut-institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara serta memudahkan pemberian kelulusan kursus perubatan. Namun begitu, dasar ini menyebabkan penghasilan jumlah graduan bidang perubatan yang terlalu ramai berbanding dengan kapasiti sistem kesihatan negara.[1] Oleh itu, pada 2016, dasar doktor kontrak diusulkan oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak dalam belanjawan negara 2017,[2] dan bermula pada Disember apabila Menteri Kesihatan Dr. S. Subramaniam mengumumkan 2,600 lantikan pegawai perubatan atau doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dibuat secara kontrak.[3]

Sistem doktor kontrak terdiri daripada kontrak pekerjaan selama lima tahun oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang terdiri daripada dua tahun pegawai perubatan siswazah (housemanship) dan 2 tahun sebagai pegawai sebenar, dan ditambah setahun lagi sebagai pegawai "apungan". Menurut dakwaan para pegawai terlibat, pihak JPA berhak menamatkan kontrak tersebut pada bila-bila masa.[3] Sebuah gred pekerjaan khas diperkenalkan bagi para pegawai kontrak, yakni U41, berbeza dengan U44 bagi pegawai tetap. Gaji yang diperoleh para pegawai sedikit lebih rendah, iaitu RM364 kurang menurut Persatuan Perubatan Malaysia pada 2019.[4]

2020-an: Pandemik COVID-19 dan hartal pekerja

[sunting | sunting sumber]

Sebagai langkah menanangi pandemik COVID-19 di Malaysia, pihak kerajaan pada April 2020 meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di bawah KKM untuk tempoh enam bulan untuk menjamin kelangsungan sistem kesihatan negara.[5] Selain itu, gred para pegawai perubatan kontrak juga dinaikkan agar semakin setaraf dengan gaji pegawai perubatan tetap,[5] sungguhpun ada dakwaan bahawa tiada peningkatan gaji diberikan.[6][7]

Menjelang lima tahun selepas pelaksanan dasar doktor kontrak, kontroversi doktor kontrak menjadi ketara pada Jun 2021 ketika para pegawai kesihatan mengugut untuk menjalankan suatu hartal (mogok buruh) bermula 26 Julai di seluruh negara untuk menuntut penghentian dasar dan penyelesaian masalah penyerapan para pegawai perubatan ke dalam sistem kesihatan negara. Hal ini berlaku susulan kenyataan oleh Menteri Kesihatan Adham Baba yang dilihat menyokong dasar doktor kontrak serta mendukung pelantikan probumiputera yang bersifat disktriminatif.[8] Susulan itu, dasar kontrak ini diutarakan semula sebagai perbicangan dalam kabinet untuk mencari penyelesaian.[9] Selain itu, pihak kerajaan membuka satu kontrak khas selama setahun daripada Disember.[10] Dalam beberapa hari sebelum mogok, para pegawai perubatan kontrak mula meletak jawatan atas kekecewaan dan kemarahan dengan masa depan pascakontrak mereka yang tidak menentu.[11] Sebagai usaha mengurangkan tekanan oleh para pegawai, pihak kerajaan pada 22 Julai mengurangkan tempoh pekerjaan mandatori daripada 24 ke 18 bulan; maknanya para pegawai kontrak diberi kelonggaran untuk tamat bekerja selepas bulan ke-18.[12]

Isu dan kesan

[sunting | sunting sumber]

Masalah utama yang diutarakan berkenaan dasar ini ialah nasih para pegawai kerajaan selepas kontrak lima tahun tamat memandangkan tiada dasar yang jelas bagi penyerapan para pegawai perubatan menjadi pegawai yang tetap.[3] Berdasarkan kenyataan oleh Menteri Kesihatan Adham Baba pada Mei 2021, hanya kira-kira 3% (789 orang) pegawai perubatan kontrak yang berjaya dilantik sebagai pegawai perubatan tetap daripada kira-kira 32 ribu orang pegawai terlibat.[3] Selain itu, beberapa lagi isu turut diutarakan termasuk gaji yang tidak setimpal, masalah cuti pekerja dan peluang melanjutkan pelajaran untuk menjadi pakar perubatan khusus.[13]

Kesan utama dasar pelantikan sebegini ialah ancaman pengurangan pegawai kesihatan negara. Hal ini ketara bagi para pelajar jurusan perubatan luar negara yang lebih berkeputusan untuk menyambung pelajaran di negara luar berbanding di Malaysia akibat ketidaktentuan yang terbit daripada dasar ini.[14] Masalah kekurangan doktor pakar di Malaysia juga menjadi ancaman yang diperkatakan dalam isu dasar ini.[15]

Dengan itu, penyerapan pegawai berkontrak secara automatik merupakan kaedah yang paling lazim yang diutarakan oleh pelbagai pihak sebagai alternatif dasar ini.[16] Walau bagaimanapun, kos pegurusan pegawai perubatan dijangka menjadi kekangan buat kerajaan dengan jangkaan kos dijangka meningkat daripada RM1.9 bilion (2019) ke RM2 bilion setahun apabila penyerapan automatik dilaksanakan. Sungguhpun begitu, para pakar menyatakan bahawa ini dapat diselesaikan dengan meningkatkan belanjawan terhadap sektor kesihatan secara am.[17]

  1. ^ "Contract medical officers' strike: What is it all about?". Malaysiakini (dalam bahasa Inggeris). 29 Jun 2021. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  2. ^ "Bajet 2017: Ucapan penuh PM Najib". Astro Awani. 21 Oktober 2016. Dicapai pada 21 Julai 2021. Kesembilan: Kerana kekangan jawatan tetap, Kerajaan mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016.
    Untuk makluman,… hampir 2,600 doktor yang sebelum ini tidak dapat penempatan housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship secara kontrak. Harapnya, berita ini akan membawa khabar gembira kepada mereka dan keluarga.
  3. ^ a b c d Ibrahim, Hamdi (7 Julai 2021). "ULASAN | Masalah doktor kontrak hanya nanah dari lutut yang lama bengkak". Malaysiakini. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  4. ^ Davasagayam, Kevin (14 November 2019). "MMA wants equal pay for govt doctors". The Sun Daily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Julai 2021.
  5. ^ a b "Kontrak Perkhidmatan 2,070 Pegawai Perubatan, Pergigian Dan Farmasi Disambung Enam Bulan – Dr Adham". UMNO Online. 15 April 2020. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  6. ^ Jia Jun, Chieng (3 Julai 2021). "Open Letter to the Editor-in-chief of Codeblue: Doctors Are Human Too". doktorkontrak.wordpress.com. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  7. ^ Supramani, Shivani (26 Mac 2021). "Contract medical officers deserve increment that commensurates with new positions: Cuepacs". CUEPACS (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Julai 2021.
  8. ^ Ubaidi, Naseeha (2 Julai 2021). "HARTAL: Amukan Doktor Kontrak Terpinggir". doktorkontrak.wordpress.com. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  9. ^ BERNAMA (30 Jun 2021). "Isu Doktor Kontrak KKM Dibawa Ke Mesyuarat Jemaah Menteri – Dr Adham Baba". UMNO Online. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  10. ^ Carvalho, Martin (6 Julai 2021). "Health Ministry offers one-year, one-off contract to junior doctors". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Julai 2021.
  11. ^ "Doctors quitting, giving 24 hours' notice, says group". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 20 Julai 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-21. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  12. ^ K., Parkaran (22 Julai 2021). "Docs can leave govt service after 18 months now". 24 Julai 2021 (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-22. Dicapai pada 2021-07-24.
  13. ^ Ahmad, Sophia (27 Jun 2021). "Hartal Doktor Kontrak, Polemik Tanpa Kesudahan Sektor Kesihatan". Getaran. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  14. ^ Hoe Chai, Dominic Lau (9 Julai 2021). "Diharapkan Isu 'Doktor Kontrak' Ada Jalan Penyelesaian Terbaik". Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  15. ^ Mohd. Ali, Khairul (1 Julai 2021). "Mogok doktor: 'Berlaku adil kepada mereka'". Utusan Malaysia. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  16. ^ "Serap semua doktor kontrak ke perkhidmatan kerajaan, kata DAP". Free Malaysia Today. 27 Jun 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-06-27. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  17. ^ "KKM Perlu Peruntukan Tambahan, Doktor Kontrak Perlu Diserap". Ekonomi Rakyat. 16 Julai 2021. Dicapai pada 21 Julai 2021.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]