Pergi ke kandungan

Castella

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Castella

Castella atau Kasutera (カステラ) adalah kuih jenis kek dari Jepun, berbentuk segi empat panjang yang diperbuat daripada gula, telur, tepung gandum, dan mizuame (gula cair dari pati). Castella terkenal sebagai kuih khas Nagasaki, walaupun kemungkinan besar berasal dari Sepanyol, dan dibawa ke Jepun oleh mubaligh Portugis pada abad ke-16.

Nama "Castella" berasal dari bahasa Portugis pão de Castella (roti dari daerah Castilla). Castella pada umumnya dijual dalam bungkusan kotak berbentuk segi empat panjang, dan disebut castella batang (sao castella). Selain itu, baby castella (castella berukuran mini dengan bentuk berbagai watak anime yang popular) banyak dijual di kaki lima ketika matsuri.

Mubaligh Portugis kononnya memperkenalkan castella kepada orang Jepun di Nagasaki pada akhir zaman Muromachi. Castella hanya dibuat dari telur ayam, tepung gandum dan gula. Bahan asas yang sederhana dan tidak menggunakan produk tenusu (mentega) menjadikan salah satu alasan castella terus disukai di Jepun hingga kini. Pada waktu itu, oven untuk memanggang castella belum wujud, sehingga teknik pembuatan alat pemanggang yang disebut tembi terus berkembang hingga ke zaman Edo.

Salah satu contoh castella yang tidak dipanggang dengan oven, melainkan api arang kayu dari atas dan bawah adalah castella yang dijual di Iwamura-chō, Ena, Gifu. Adonannya tidak menggunakan mizuame, dan loyangnya berbentuk segi empat panjang seperti castella moden.

Dari pusat pembuatan kuih di Edo dan Osaka, castella mula dikenali di seluruh Jepun, dan teknik pembuatan oven juga semakin berkembang. Di pertengahan zaman Edo, bentuk dan rasa castella dari Nagasaki sudah mirip dengan castella dari Nagasaki yang ada kini. Ciri khas castella dari Nagasaki adalah adunan yang menggunakan mizuame. Penggunaan mizuame untuk castella Nagasaki dimulakan sejak zaman Meiji dan terus bertahan hingga sekarang.

Resepi kuih castella mulai diletakkan dalam buku resep kuih dan masakan sejak zaman Edo, dan sering digunakan sebagai kuih pada upacara minum teh. Bahan asas yang bernutrien tinggi (telur, tepung gandum, dan gula) membuat castella dipercayai sebagai makanan berkhasiat yang mampu melawan penyakit seperti tuberkulosa. Kepercayaan ini membuatkan castella dihasilkan secara besar-besaran di pelbagai daerah di Jepun. Walaupun begitu, castella buatan rumah terus bertahan di Nagasaki hingga sekarang.

  • Castella Nagasaki
Adunan menggunakan mizuame dan permukaan kuih di bawah mempunyai pengumpulan gula. Kuih dipanggang dalam loyang besar berbentuk segi empat. Setelah masak, kuih dipotong menjadi bentuk panjang. Selain rasa asli, castella Nagasaki memiliki rasa lain, seperti rasa susu, teh hijau, coklat, dan keju.
  • Castella Tokyo (kama castella)
Kuih tidak menggunakan mizuame, dan keempat-empat sisi permukaan kuih berwarna coklat tua kerana masing-masing dipanggang dalam loyang yang terpisah.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]