Cabak Boriken (burung)
Cabak Boriken | |
---|---|
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Aves |
Order: | Caprimulgiformes |
Keluarga: | Caprimulgidae |
Genus: | Antrostomus |
Spesies: | A. noctitherus
|
Nama binomial | |
Antrostomus noctitherus (Wetmore, 1919)
| |
Sinonim | |
Caprimulgus noctitherus (Wetmore, 1919) |
Cabak Boriken (Antrostomus noctitherus) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae yang ditemui di hutan semak kering pantai di kawasan setempat di barat daya Puerto Rico. Ia diperihalkan pada tahun 1916 daripada tulang yang ditemui di sebuah gua di utara tengah Puerto Rico dan satu spesimen kulit dari tahun 1888, dan dianggap telah pupus sehingga diperhatikan di alam liar pada tahun 1961. Populasi terkini dianggarkan sebagai 1,400-2,000 burung matang. Ia kini dikelaskan sebagai Terancam (EN) kerana tekanan daripada kehilangan habitat.
Pemerihalan
[sunting | sunting sumber]Panjangnya kira-kira 22–23 cm dengan berat 39-41 g. Seruannya ialah tubian nada "wip" pantas. Mirip sintang Antillen, buluannya berbelak hitam, perang, dan kelabu, yang berfungsi sebagai penyamaran semasa ia hinggap di tanah. Jantan mempunyai tekak hitam dengan garis mendatar nipis putih. Terdapat tompok putih di bahagian bawah ekornya yang kelihatan semasa penerbangan. Betina berwarna kuning pucat berbanding putih. Ia bermata hitam gelap besar, berparuh kelabu pendek, dan bertarsus kelabu. Seperti semua tukang, ia mempunyai bulu kejur di sekeliling paruhnya untuk membantu menangkap serangga dalam penerbangan.[2][3]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Ia pertama kali ditemui sebagai spesimen kulit tunggal yang ditemui di bahagian utara Puerto Rico pada tahun 1888, dan ditemui semula dan dikenalpasti dengan betul pada tahun 1916 apabila tulangnya ditemui di sebuah gua di utara Puerto Rico. Ia pada asalnya dianggap sudah pupus pada masa penemuannya. Pengesahan spesimen hidup hanya berlaku pada tahun 1961 di Hutan Kering Guánica.[2][3][4] Kajian terperinci tentangnya bermula pada tahun 1969.[3][5]
Taburan dan habitat
[sunting | sunting sumber]Ia berkemungkinan secara sejarah menduduki batu kapur lembap dan hutan pantai di utara Puerto Riko, sebagai tambahan kepada julat semasanya di batu kapur kering, kordilera rendah, dan hutan pantai kering. Ia kini kebanyakannya ditemui di hutan kering kanopi tertutup di tanah batu kapur dengan sampah daun yang banyak dan lantai bawah terbuka. Kepadatan yang lebih rendah terdapat di hutan semak terbuka.[1] Populasi setakat ini telah disahkan di tiga lokasi di barat daya pulau: Hutan Negeri Susua, Hutan Kering Guanika, dan Bukit Guayaniya.[3][5] Rakaman persarangan pertamanya di Hutan Negeri Marikao telah dilaporkan pada tahun 2005.[6]
Pemakanan
[sunting | sunting sumber]Ia memakan kumbang, rama-rama, dan serangga lain yang ditangkap ketika terbang.[1]
Pembiakan
[sunting | sunting sumber]Ia bersarang di atas tanah di bawah kanopi tertutup dan memerlukan lapisan daun yang banyak untuk memegang telur.[3][7] Bulan kemuncak untuk kegiatan bersarang ialah April–Jun.[7] Ia biasanya menelurkan 1-2 biji telur sesangkak, yang berwarna perang muda dengan tompok perang atau ungu yang lebih gelap.[3] Telurnya mempunyai tempoh pengeraman selama 18-20 hari dan dieram terutamanya oleh jantan.[3][6] Anaknya perang muda lelang[6] dan mula terbang kira-kira 14 hari selepas menetas.[3] Seperti kebanyakan burung yang bersarang di tanah, ia akan cuba mengalihkan perhatian bakal pemangsa untuk menjauhi sarangnya melalui penerbangan yang ketara dan menggetarkan sayapnya.[3] Ia mungkin bersifat wilayahan yang kekal.[1]
Status Pemuliharaan
[sunting | sunting sumber]Anggaran populasi membiaknya pada tahun 1962 ialah kurang daripada 100 pasangan.[5] Pada tahun 1968, ia ditambahkan ke senarai spesies terancam Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat dan Senarai Merah IUCN, di mana ia pada asalnya dikelaskan sebagai Terancam (T).[5][8] Ia telah dikemaskini kepada Terancam Genting (CR) pada tahun 1994, kemudian pula dikemaskini kepada Terancam (EN) pada tahun 2011, selepas populasinya dinilai sebagai kecil tetapi pada asasnya stabil. Anggaran terkini populasinya ialah 1,400-2000 burung matang, yang kira-kira sepadan dengan bilangan tahun 1984. Ia dilindungi secara sah di seluruh julatnya.[1]
Ia dianggap mengalami tekanan disebabkan kehilangan habitat akibat pembangunan bandar dan pengembangan pertanian, dan melalui pemangsaan oleh pemangsa yang diperkenalkan seperti cerpelai India kecil dan kucing liar, dan pemangsa asli seperti hantu.[1][3] Ada kemungkinan bahawa penebangan hutan secara besar-besaran yang berlaku pada akhir 1800-an dan awal 1900-an adalah sebab tukang tidak lagi ditemui di bahagian utara Puerto Riko.[5][7]
Mengurangkan kesan habitat ke atas tanah persendirian dan mengawal capaian awam ke hutan simpan semasa musim puncak bersarangnya telah dicadangkan sebagai teknik pengurusan pemuliharaan untuk spesies tersebut.[7]
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Dewasa dan anak
-
Ciri-ciri muka
-
Di habitat
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e f BirdLife International (2012). "Antrostomus noctitherus". IUCN Red List of Threatened Species. 2012: e.T22689809A40430002. doi:10.2305/IUCN.UK.2012-1.RLTS.T22689809A40430002.en.
- ^ a b Vilella, F. J. (2020). "Puerto Rican Nightjar (Antrostomus noctitherus)". Dalam Schulenberg, T. S. (penyunting). Birds of the World (ed. 1.0). Ithaca, NY, USA: Cornell Lab of Ornithology. doi:10.2173/bow.purnig1.01.
- ^ a b c d e f g h i j Oberle, Mark W. (2000). Puerto Rico's Birds in Photographs (ed. ke-2). Seattle, Washington: Editorial Humanitas. m/s. 77. ISBN 978-0965010412.
- ^ Gonzalez, Rafael Gonzalez (2010). Population estimation and landscape ecology of the Puerto Rican Nightjar (Tesis). Mississippi State University ProQuest Dissertations Publishing.
- ^ a b c d e Vilella, Francisco J.; Zwank, Philip J. (1993). "Geographic Distribution and Abundance of the Puerto Rican Nightjar (Distribución Geográfica y Abundancia del Guabairo Pequeño de Puerto Rico (Caprimulgus noctitherus)". Journal of Field Ornithology. 64 (2): 223–238. JSTOR 4513803.
- ^ a b c Delannoy, Carlos A. (2005). "First nesting records of the Puerto Rican Nightjar and Antillean Nighthawk in a montane forest of western Puerto Rico". Journal of Field Ornithology. 76 (3): 271–273. doi:10.1648/0273-8570-76.3.271.
- ^ a b c d Vilella, Francisco J. (2008). "Nest habitat use of the Puerto Rican Nightjar Caprimulgus noctitherus in Guánica Biosphere Reserve" (PDF). Bird Conservation International. 18 (4): 307–317. doi:10.1017/S0959270908007594.
- ^ Vilella, Francisco J. (1995). "Reproductive ecology and behaviour of the Puerto Rican Nightjar Caprimulgus noctitherus" (PDF). Bird Conservation International. 5 (2–3): 349–366. doi:10.1017/S095927090000109X.