Budaya primitif
Budaya primitif dalam teks dan perbincangan antropologi yang lebih lama ialah budaya yang tidak memiliki sebarang tanda pembangunan ekonomi atau kemodenan yang utama. Misalnya, ia tidak mempunyai sebuah bahasa bertulis atau teknologi maju, dengan penduduknya terpencil pada jumlah yang terhad. Istilah ini digunakan oleh penulis Barat untuk memerikan budaya-budaya asing yang ditemui oleh penjajah dan peneroka Eropah.
"Budaya primitif" juga merupakan judul sebuah karya utama yang ditulis oleh Edward Burnett Tylor, "pengasas antropologi". Dalam buku itu, dia mentakrifkan agama sebagai "animisme" yang ditakrifkannya pula sebagai "kepercayaan kepada roh" menerusi rujukan kepada agama orang asli sezaman dan agama yang lain. Satu ciri pembatas budaya primitif lagi, menurutnya, ialah masa lapang yang lebih banyak, berbanding dengan masyarakat yang lebih kompleks.[1]
Banyak ahli sosiologi dan penulis lain yang awal menggambarkan budaya-budaya primitif sebagai mulia — orang gasar mulia — dan mempercayai bahawa kekurangan teknologi bersama-sama ekonomi mereka yang kurang bersepadu menjadikan mereka sebagai contoh-contoh unggul kepada gaya hidup manusia yang betul. Antara pemikir ini ialah Jean-Jacques Rousseau yang paling seringnya dikaitkan dengan gagasan orang gasar mulia berdasarkan bukunya, Discourse on Inequality (Syarahan tentang Ketaksamaan), dan Karl Polanyi yang di dalam bukunya, The Great Transformation (Perubahan Agung), memuji pengaturan ekonomi masyarakat-masyarakat primitif sebagai ideal dan kurang menjejaskan, berbanding dengan ekonomi pasaran. Kepercayaan bahawa budaya primitif adalah ideal seringnya diperihalkan sebagai primitivisme; cabang-cabang teori ini termasuk komunisme primitif dan anarko-primitivisme.
Banyak penulis tersebut menganggap bahawa orang-orang asli sezaman dan budaya mereka sebanding dengan manusia-manusia awal dan budaya mereka. Sesetengah orang kini masih membuat andaian itu, dengan ahli-ahli antropologi Zaman Victoria mempercayai bahawa budaya sezaman yang primitif mengekalkan keadaan yang tidak berubah sejak "Zaman Batu", Zaman Paleolitik, atau Zaman Neolitik. Perkataan "primitif" berasal daripada bahasa Latin, "primus" yang membawa pengertian "pertama".
Andaian ini telah dibidas kerana kelompok pemburu-pengumpul dan pertanian pindah telah mengembangkan inovasi seperti dengan budaya-budaya bertamadun "moden", berbanding dengan masyarakat-masyarakat awal. Inovasi kebudayaan mereka adalah dalam bidang istiadat, seni, kepercayaan, tatacara dalam upacara keagamaan, dan tradisi yang biasanya tidak meninggalkan sebarang artefak kebudayaan, alat, atau senjata.
Walaupun kepercayaan terhadap "orang gasar mulia" masih tidak lenyap, memerihalkan sesuatu budaya sebagai primitif kini kekadang dianggap sebagai kesat. Oleh itu, penggunaan istilah tersebut, khususnya dalam bidang akademik, telah berkurang. Survival International, sebuah pertubuhan hak asasi manusia, sedang berkempen untuk penghapusan sepenuhnyanya istilah itu [2] dan telah berjaya memujuk sesetengah akhbar mengelakkan penggunaannya.[3]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Bacaan tambahan
[sunting | sunting sumber]- Stanley Diamond, In Search of the Primitive, Transaction Publishers,U.S. 1987, ISBN 087855582X
- Adam Kuper, The Reinvention of Primitive Society. Transformations of a Myth , Taylor & Francis Ltd. 2005, ISBN 0415357616
- Joseph Campbell, The Masks of God: Primitive Mythology, Viking, 1959; reissued by Penguin, 1991 ISBN 978-0140194432
- Joseph Campbell, The Historical Atlas of World Mythology, vols. I and II, Harper and Row 1988, 1989.
Nota dan rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Farb, Peter (1968). Man's Rise to Civilization As Shown by the Indians of North America from Primeval Times to the Coming of the Industrial State. New York City: E. P. Dutton. m/s. 28. LCC E77.F36.
Sungguhpun teori-teori yang diajar dalam kajian sosial sekolah tinggi secara tradisi, kebenaran ialah: lebih primitif sesuatu masyarakat, lebih santai cara hidup mereka.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-09-13. Dicapai pada 2009-09-12.
- ^ http://www.survival-international.org/news/4274