Behrang Ulu
Behrang Ulu terletak lebih kurang 12 km ke utara dari Tanjung Malim, melalui Bandar Proton (Proton City) dan 7 km ke arah barat dari pekan Behrang atau Behrang Stesen dan lebih kurang 25 km ke selatan dari Slim River di Negeri Perak.
Behrang Ulu merangkumi perkampungan-perkampungan di bahagian hulu Sungai Behrang yang mengalir ke Sungai Bernam. Secara fizikal terdapat dua kawasan utama iaitu Behrang Ulu Batu 7 dan Behrang Ulu Batu 8. Kawasan Behrang Ulu Batu 7 pula terbahagi kepada Kampung Baru Behrang Ulu dan Kampung Sungai Sekiah. Terdapat dua perkampungan masyarakat asli iaitu Kampung Cinggong yang terletak lebih kurang 1 kilometer ke timur dari Behrang Ulu Batu 8 dan Kampung Chinaen yang terletak dia antara Behrang Ulu dan Behrang Stesen.
Kawasan ini terletak di sebelah barat kaki Banjaran Titiwangsa dan ke barat daya dari Gunung Liang yang merupakan kawasan agak tinggi dan berlembah dan masih diliputi hutan yang menyebabkan hawa di kawasan ini agak sejuk terutama di sebelah malam menyebabkan pembentukan kabus-kabus yang tebal.
Sungai-sungai yang mengalir adalah masih bersih dan segar walaupun kerja-kerja pembinaan terutama di hulu Sungai Sekiah sedikit sebanyak telah mengganggu aliran dan ekosistem di dalam sungai tersebut dan yang berkaitan dengannya.
Pada amnya sungai-sungai di kawasan ini adalah cabang atau cawangan kepada Sungai Bernam yang menjadi sempadan antara negeri Perak dan Selangor. Dua antara sungai utama di kawasan ini iaitu Sungai Sekiah dan Sungai Behrang telah diluruskan bagi mengelak dari terjadinya kejadian banjir berdekatan dengan Kampung Sungai Sekiah. Aliran baru yang yang lari dari aliran asalnya menyebabkan sungai-sungai ini cetek dan sempit di bahagian ini.
Banyak sungai lain yang mengalir di dalam kawasan ini. Sungai Behrang yang mengalir melalui Behrang Ulu ini mempunyai beberapa anak sungai atau cawangan seperti Sungai Sekiah (Kampung Sungai Sekiah adalah terletak dia antara pertemuan Sungai Sekiah dan Sungai Behrang) dan juga Sungai Dara yang melalui Batu 8. Sungai-sungai ini pula mempunyai cabang anak sungai yang lain seperti Sungai Keroh, Sungai Jerenang, Sungai Perabu, Sungai Perangin dan banyak lagi.
Pada era 80-an, industri pembalakan adalah industri yang penting di kawasan ini terutama di hulu Sungai Sekiah akan tetapi kerajaan telah menamatkan kontrak pembalakan ini. Walau bagaimanapun kesan pembalakan ini masih dapat dilihat dan dirasai di mana ia telah sedikit sebanyak mencemari ekosistem hutan, haiwan dan sungai. Bagaimanapun ia masih terkawal dan tidak terlalu merosakkan ekosistem yang menyebabkan kepupusan haiwan dan pokok.
Sumber ekonomi utama adalah pertanian terutama getah. Terdapat banyak dusun buah-buahan sebagai sumber pendapatan bermusim seperti durian, manggis, langsat dan petai. Dengan permodenan dan pembangunan kawasan dan minda banyak yang terlibat dengan sektor industri di kawasan Proton City.
Penduduk Melayu di kawasan ini adalah terdiri dari kalangan etnik Mandailing, Minang, Rokan, Selayang, Rawa, Kampar dan lain-lain terutama penduduk di Kampung Sungai Sekiah dan Batu 8 manakala di Kg Baru Behrang Ulu atau digelar orang tempatan "POS" (sebutan PORST dalam telo masyarakat tempatan) didiami oleh majoriti Kaum Cina dan India. Manakala masyarakat orang Asli pula tinggal di Kampung Chinggong dan Chinaen.