Aminudin Mansor
Dr. Aminudin Mansor PhD (lahir 3 Jun 1951) yang juga dikenali dengan nama penanya Ami Masra adalah seorang penyair dan penulis tanah air yang karya-karyanya sering mendapat tempat dalam media massa.[1]
Dr. (PhD) Aminudin Mansor | |
---|---|
Kelahiran | 3 Jun 1951 |
Nama lain | Ami Masra |
Pendidikan | Doktor Falsafah (PhD) Persuratan Melayu |
Pusat pendidikan | Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia |
Pekerjaan | Penulis Malaysia |
Tahun aktif | 1960-an sehingga kini |
Terkenal kerana | Sebagai teks Sayembara Hari Puisi Kebangsaan GAPENA |
Karya | Setitis Darah di Semantan |
Anugerah | Tokoh Karyawan Sepanjang Hayat Darul Makmur |
Laman web rasmi | facebook.com/ami.masra |
Latar Belakang
[sunting | sunting sumber]Aminudin Mansor dilahirkan pada 3 Jun 1951 di Kerdau, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau (1958-1963), kemudian meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh dan Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh (1964-1968). Beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru (1970-1971) dan mengambil Diploma Kewartawanan dari Universiti Singapura (1971) di bawah bimbingan Zabha, wartawan Utusan Melayu.[2] Aminudin seterusnya melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), meraih Sarjana Sastera dan PhD dalam bidang Persuratan Melayu pada tahun 2008.
Kerjaya Penulisan
[sunting | sunting sumber]Minat menulisnya dipupuk sejak di maktab perguruan dan tidak pernah berhenti menulis hingga kini. Karya-karyanya sering tersiar di majalah-majalah seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Sarina, Mastika, dan Jelita.
Beliau menyertai Dewan Persuratan Melayu Pahang sebagai ahli seumur hidup sejak tahun 1970 dan telah mengikuti bengkel penulisan di bawah bimbingan tokoh-tokoh terkenal seperti Tan Sri A. Samad Ismail, Pak Sako, Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, dan SN Usman Awang. Pada tahun 1976, beliau menubuhkan Grup Pemuisi DPMP Temerloh dan Grup Teater DPMP Temerloh.
Pendidikan Lanjutan dan Kerjaya Akademik
[sunting | sunting sumber]Beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia (1987-1990) dengan pengkhususan dalam pendidikan, Bahasa Melayu, dan Sastera. Beliau juga telah mengikuti kursus-kursus tambahan seperti “Pendidikan Islam”, “Islam dan Masyarakat”, dan “Tamadun Islam”.
Pada tahun 2001, beliau memperoleh Sarjana Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tesis bertajuk "Kajian Estetika Sajak-Sajak Penyair A. Latiff Mohidin". Tesis ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai buku kajian dan ilmiah. Pada tahun 2008, beliau memperoleh PhD dalam Persuratan Melayu dari UKM dengan tesis “Meneliti Akal Budi dalam Pantun dan Sajak”.
Kerjaya dan Pengalaman Profesional
[sunting | sunting sumber]Aminudin Mansor memulakan kerjayanya dengan menjadi Setiausaha Dewan Pemuda Masjid Pahang (DPMP) Temerloh dari 1974 hingga 1987, dan kemudiannya Setiausaha DPMP Pahang dari 1980 hingga 1987 di bawah pimpinan Yang Di Pertua DPMP Dato Tengku Alaudin Abd. Majid dan Sahmad Malaya. Pernah menjadi hakim sajak di peringkat Negeri Pahang dan peringkat kebangsaan.
Beliau telah berkhidmat sebagai pendidik selama 35 tahun di lebih 10 buah sekolah di Pahang dan Selangor, termasuk menjawat jawatan sebagai Guru Besar di SK Jenderak dan Guru Cemerlang serta Guru Pakar Bahasa Melayu dan Sastera Melayu di SMK Subang Utama, Subang Jaya.
Beliau juga merupakan penulis bebas dan kolumnis untuk beberapa penerbitan seperti Harian Metro, Sinar Harian, dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga terlibat sebagai Panel Penasihat Editorial Majalah PELANCAR terbitan ANGKASA.
Karya-Karya Penting
[sunting | sunting sumber]Beliau telah menulis lebih daripada 3,000 rencana dan esei yang banyak menumpukan kepada penulisan dalam bidang pendidikan Islam, psikologi Islam, politik, sosial, budaya, sejarah, bahasa, dan sastera. Antara buku tulisannya termasuk:
- Kumpulan Sajak Pasir Rawa (1987)
- Sajak-Sajak A. Latiff Mohidin Kajian Estetika (2011)[3]
- Akal Budi Melayu Dalam Pantun dan Sajak (2012)[4]
- Telaga Akliah (2014)[5]
- Di Ladang Ilmu (2015)[6]
- Gurindam Jiwa Penawar Duka (2018)
- Tasbih Kasih (2018)
- Kisah Kasih (2019)[7]
- Gurindam Rindu Cetusan Kalbu (2021)[8]
Anugerah dan Penghargaan
[sunting | sunting sumber]Aminudin Mansor telah menerima pelbagai anugerah termasuk:
- Anugerah Puisi Sejarah Nasional Tempat Ketiga (1991)
- Anugerah Khidmat Cemerlang (2002, 2007)
- Anugerah Tokoh Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (2004)
- Anugerah Tokoh Budaya Pahang (2002, 2004)
- Anugerah Karyawan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Pahang (2004)
- Anugerah Tokoh Puisi Peringkat Negeri Pahang (2023)
- Anugerah Tokoh Karyawan Sepanjang Hayat dalam majlis Hadiah Sastera Darul Makmur Kali ke-2 (2024)[9]
Penghargaan Karya Sastera
[sunting | sunting sumber]Beliau pernah memenangi pelbagai hadiah sastera antaranya termasuklah:
- Hadiah Sastera Utusan Public Bank bagi kategori puisi (1987) dan 1989)
- Hadiah Puisi Kebangsaan Esso/ GAPENA (1991) "Setitik Darah di Semantan"
- Hadiah Puisi Kebangsaan Shahpadu/ GAPENA (1992) dengan puisinya "Pesan Pahlawan di Semantan"
- Hadiah Sayembara Puisi Perpaduan Negara (1995)
- Hadiah Utama Puisi Hari Guru Peringkat Negeri Selangor (1998)
- Hadiah Pantun Budi Bahasa Jelita (2007)
- Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengara Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka (2007)
- Puisi Hadiah Sastera Berunsur Islam XII (2009)
- Hadiah Utama Rencana Exxon Mobil Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2013)
- Hadiah Sajak 50 Tahun GAPENA (2022)
- Hadiah Puisi Eceran bertajuk "Polos Bolos" yang disiarkan oleh Dewan Sastera Bil. 1 Tahun 2020 (2024)
Kini
[sunting | sunting sumber]Kini, Aminudin Mansor terus menulis sebagai penulis bebas dan menyumbang kepada pelbagai penerbitan, dengan fokus pada esei dan rencana berkaitan sastera, budaya, bahasa, pendidikan, dan sosial masyarakat.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Tarikan puisi Ami Masra | KLiK". www.klik.com.my. Dicapai pada 2024-06-13.
- ^ Manan, Rasoul (2024-06-01). "Ami Masra Karyawan Sepanjang Hayat Dewan Persuratan Melayu Pahang". Dewan Sastera. Dicapai pada 2024-06-13.
- ^ Mansor, Aminudin (2011). Sajak-sajak A. Latiff Mohidin: kajian estetika. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 978-983-46-0699-2.
- ^ Mansor, Aminudin (2012). Akal budi Melayu dalam pantun dan sajak. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. ISBN 978-967-942-998-5.
- ^ "Kumpulan Puisi : Telaga akliah / Ami Masra".
- ^ "Kumpulan puisi remaja : Ladang ilmu / Ami Masra".
- ^ "Kumpulan Sajak : Kisah Kasih / Ami Masra".
- ^ "KUMPULAN GURINDAM: GURINDAM RINDU CETUSAN KALBU". JendelaDBP. Dicapai pada 2024-06-13.
- ^ "KERAJAAN NEGERI KOMITED DOKONG USAHA PENGGIAT SASTERA | Pahang Media" (dalam bahasa Inggeris). 2024-05-31. Dicapai pada 2024-06-13.