America's Next Top Model, Musim 11
America's Next Top Model, Musim 11 | |
---|---|
Format | Realiti |
Pencipta | Tyra Banks |
Dibangunkan oleh | Ken Mok Kenya Barris |
Negara asal | Amerika Syarikat |
Bilangan episod | 13 |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Tyra Banks Ken Mok Daniel Soiseth |
Tempoh siaran | 60 minit |
Penyiaran | |
Saluran asal | The CW |
Siaran asal | 3 September, 2008 – 19 November, 2008 |
Kronologi | |
Mengikuti | Musim 10 |
Diikuti oleh | Musim 12 |
Pautan luar | |
Laman sesawang |
America's Next Top Model, Musim 11 adalah merupakan musim kesebelas America's Next Top Model dan merupakan musim kelima daripada rancangan tersebut yang disiarkan di stesen The CW. Slogan komersil untuk musim ini ialah 'Feel The Love'.[1] Separuh daripada episod dalam rancangan ini telah dijalankan di Los Angeles, sebelum dijalankan semula di New York seperti pada musim lalu. Destinasi antarabangsa untuk musim ini ialah Amsterdam, Belanda.
Musim ini memperkenalkan bilangan peserta seramai 14 orang seperti pada musim 3, 4 dan 10. Pemenang bakal diwakili oleh agensi model terkemuka Elite Model Management, memenangi kontrak $100,000 bersama CoverGirl kosmetik, dan menjadi penghias muka hadapan majalah Seventeen serta liputan sebanyak enam muka surat di majalah tersebut.
Musim ini juga turut melakarkan sejarah apabila seorang peserta transgender bernama Isis King telah menyertai ujibakat dan terpilih sebagai salah seorang 14 finalis dalam rancangan ini. Penyertaan Isis turut disokong oleh Neil Giuliano, Presiden GLAAD dan disifatkan sebagai "peluang sama rata yang tidak diperoleh sebelum ini".[2]
Pemenang pada musim ini ialah McKey Sullivan, 19 tahun, yang berasal daripada Lake Forest, Illinois.
Rumusan Episod
[sunting | sunting sumber]The Notorious Fierce Fourteen
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 3 September 2008
Seramai 33 orang semifinalis dibawa ke San Fernando Valley, California, dan mereka bertemu Alpha J dan Beta J (Jay Manuel dan Miss J) di institut cereka "Institut Teknologi Top Model". Di dalamnya, kesemua mereka melalui pengimbasan badan secara bersiri dan juga analisis cara berjalan di atas pentas peragaan. Kemudiannya, Tyra-bot (Tyra Banks) bertemu dengan kesemua semifinalis dan sesi temuduga akhirnya dijalankan. Dalam pada itu, Isis mendedahkan identitinya yang sebenar bahawa dia merupakan seorang transgender, dan pengakuannya amat mengejutkan ramai peserta. Setelah sesi temuduga berakhir, hanya 20 orang semifinalis yang dipilih untuk mara ke peringkat seterusnya.
Kesemua 20 orang semifinalis tersebut kemudiannya menjalani sesi penggambaran mereka yang pertama iaitu bergaya di dalam pakaian plastik "cat" berwarna biru metalik. Setelah perbincangan dan penilaian terakhir, 14 finalis akhirnya dipilih.
Top Model Inauguration
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 3 September 2008
14 finalis yang terpilih dibawa ke Los Angeles, California. Setelah menetap di rumah agam mereka pada musim ini, Isis menjadi topik perbualan di kalangan mereka tentang jantina Isis yang sebenar.
Keesokan harinya, kesemua peserta melawati "Magic Castle", kelab persendirian untuk ahli silap mata, di mana Nigel, Paulina, Mr. Jay dan juga Miss Jay muncul sebagai tetamu undangan untuk temuduga peribadi bersama kesemua peserta satu demi satu.
Sesi penggambaran pada minggu ini menyaksikan kesemua peserta bergaya untuk menggambarkan pelbagai kenyataan tentang isu-isu politik yang berbeza, seperti berikut:
Peserta | Isu Politik |
---|---|
Analeigh | Kesihatan |
Brittany | Ketenteraan |
Clark | Birokrasi |
Elina | Dasar Luar Negeri |
Hannah | Senjata Nuklear |
Isis | Kebebasan Peribadi |
Joslyn | Pengangguran |
Lauren Brie | Pendidikan |
Marjorie | Imigrasi |
McKey | Alam Sekitar |
Nikeysha | Pengklonan |
Samantha | Ekonomi |
ShaRaun | Keselamatan Tanah air |
Sheena | Tenaga |
Sewaktu penilaian, gambar Marjorie mendapat pujian. Gambar Isis, Elina, Joslyn serta Brittany juga mendapat pujian daripada juri. Walaupun McKey menghasilkan gambar yang menarik, dia disarankan supaya tidak terlalu menggunakan kepakarannya dalam bidang tinju dalam setiap gambar yang bakal dihasilkannya.
Semasa proses penyingkiran, sebuah pembaharuan dilaksanakan - peserta yang mendapat panggilan pertama oleh Tyra akan disiarkan gambarnya di dalam rumah agam sebagai foto digital selama seminggu, dan Marjorie merupakan peserta pertama yang mendapat keistimewaan tersebut. Para juri tidak berpuas hati dengan gambar ShaRaun serta sikap yang ditunjukkan olehnya semasa sesi temuduga. Dia akhirnya ditempatkan di kedudukan dua terbawah bersama Nikeysha, yang terlalu banyak memberikan alasan. Namun, kekurangan potensi yang ketara pada diri ShaRaun menyebabkan dia disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Nikeysha Clarke & ShaRaun Brown
- Tersingkir: ShaRaun Brown
- Jurugambar: Mike Rosenthal
- Penampilan istimewa: Ed Alonzo, Christian Marc, Sutan
- Top Model in Action: Toccara Jones (Musim 3)
The Ladder of Model Success
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 10 September 2008
Kesemua peserta bertemu dengan jurulatih dan model peliuk badan, Benny Ninja dan Bree Robertson, untuk pelajaran tentang penggayaan badan yang sulit di dalam lingkungan tiub fabrik. Cabaran pada minggu ini mengkehendaki para peserta untuk menggayakan barangan kemas dan beg tangan rekaan Tarina Tarantino. Sungguhpun kebanyakan daripada mereka menampilkan gaya yang kekok, namun gaya yang ditampilkan oleh Sheena mendapat kritikan. Elina dipilih sebagai pemenang cabaran, dan dia memenangi sebuah beg tangan yang dipenuhi dengan barangan kemas.
Sekembalinya di rumah agam, Isis menyuntik hormon ke dalam badannya untuk membantu peralihan jantinanya. Elina pula berpeluang mengucup Clark dalam permainan Truth or Dare. Bahang ketegangan mula terasa apabila Hannah menolak Isis ketika berada di dalam jakuzi. Perbuatan Hannah dikecam oleh segelintir peserta yang mengatakan dia adalah seorang yang bersifat perkauman.
Sesi penggambaran pada minggu ini menyaksikan kesemua peserta beraksi di atas tangga tali di mana gambar yang dihasilkan akan digabung dengan gambar belon udara panas secara digital. Lauren Brie, Elina dan Joslyn mendapat pujian kerana mempamerkan aksi yang menarik manakala Nikeysha, Clark, Hannah dan Isis gagal untuk memberikan aksi mereka yang terbaik.
Sewaktu panel, Sheena menafikan bahawa payudaranya adalah palsu. Namun, dia kemudiannya kembali mengakui bahawa dia pernah membuat pembesaran payudara. Gambar Lauren Brie mendapat pujian daripada para juri dan dinobatkan sebagai salah satu gambar yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah rancangan ini. Penampilan Isis yang bersahaja dan gambar fokus yang tidak mengilhamkan menyebabkan dia berada di kedudukan dua terbawah bersama Nikeysha, yang gagal menghasilkan gambar yang menarik serta sikapnya yang suka mencelah. Para juri merasakan Isis lebih layak untuk mara ke peringkat seterusnya dan Nikeysha menjadi peserta kedua yang disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Isis King & Nikeysha Clarke
- Tersingkir: Nikeysha Clarke
- Jurugambar: Mike Ruiz
- Penampilan istimewa: Benny Ninja, Tarina Tarantino, Bree Robertson, Christian Marc, Sutan
- Top Model in Action: Shannon Stewart (Musim 1)
You're Beautiful, Now Change
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 17 September 2008
Tyra muncul di rumah agam para peserta untuk makan malam, dan kemudiannya mengumumkan bahawa perubahan imej akan dilaksanakan pada keesokan harinya. Tidak seperti musim-musim yang lepas, para peserta tidak diberitahu akan perubahan imej yang diberikan kepada mereka sehinggalah perubahan imej tersebut selesai.
Selepas itu, kesemua mereka dibawa ke Wal Mart untuk cabaran mekap CoverGirl di mana mereka dikehendaki untuk merekodkan komersil selama 30 saat tanpa sebarang skrip. Komersil Hannah disifatkan sebagai yang terbaik, dan dia memenangi sebuah tempat yang disediakan di laman web CoverGirl dan kad hadiah Wal Mart bernilai $1000.
Minggu ini, kesemua peserta mengambil bahagian di dalam sesi penggambaran yang bertemakan ala-ala Sports Illustrated yang menampilkan pakaian dalam rekaan Susan Holmes. Untuk menambahkan lagi tekanan kepada mereka, Susan Holmes menghadirkan diri di sesi penggambaran tersebut, dan Jay Manuel tidak memberikan sebarang tunjuk ajar dan kritikan kepada mereka.
Semasa penilaian, Elina mendapat pujian daripada para juri berkenaan dengan rupa parasnya yang dianggap sebagai "racially ambiguous". Minggu ini, Analeigh berada di kedudukan dua terbawah bersama Brittany disebabkan kegagalannya untuk menggunakan potensi yang dimilikinya sebagai seorang peluncur profesional. Walau bagaimanapun, Brittany menjadi peserta yang ketiga disingkirkan kerana kelihatan begitu komersil secara berterusan dalam gambar-gambar yang dihasilkannya.
- Dua kedudukan terbawah: Analeigh Tipton & Brittany Rubalcaba
- Tersingkir: Brittany Rubalcaba
- Jurugambar: Russell James
- Penampilan istimewa: Susan Holmes, Neil Weisberg, Amanda George, Sutan, Christian Marc, Kiyah Wright, Kristin Barker
- Top Model in Action: Lisa Jackson (Musim 9)
Fierce Eyes
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 24 September 2008
Para peserta menerima latihan cara jalan pentas peragaan daripada J. Alexander di lorong boling. Keesokan harinya, mereka menyertai pertunjukan pentas peragaan Jeremy Scott, dengan dua kejutan. Pertama, mereka akan berjalan di atas pentas dengan mata yang ditutupi dengan kain jarang, dan kedua, seorang peserta akan disingkirkan selepas pertunjukan pentas peragaan tersebut.
Samantha mengangkat pakaiannya ketika berada di hujung pentas peragaan walaupun telah dimaklumkan supaya tidak berbuat sedemikian. Hannah menjadi peserta yang disingkirkan selepas pertunjukan tersebut kerana memiliki cara jalan yang paling teruk. Dia adalah merupakan peserta kedua yang disingkirkan di luar panel, setelah Magdalena Rivas daripada Musim 3. Persembahan Joslyn yang begitu gah pada pertunjukan itu menyebabkan dia dipilih sebagai pemenang cabaran, sekaligus memenangi sesi penggambaran untuk majalah Seventeen yang dikongsinya bersama Isis dan Sheena.
Sesi penggambaran pada minggu ini diadakan di kolam di rumah agam para peserta. Nigel Barker menangkap gambar mereka satu demi satu sebaik sahaja mereka bergaya dengan separuh daripada wajah mereka berada di dalam air. Sesi penggambaran ini memberikan penekanan kepada mata para peserta. Ramai daripada mereka menerima pujian, namun Elina, Isis dan Joslyn terpaksa bergelut untuk memberikan gambar yang terbaik.
Ketika penilaian, Samantha telah ditegur oleh Jeremy Scott, yang mengingatkan bahawa kelakuannya di pentas peragaan disifatkan sebagai satu penghinaan. Dia akhirnya ditempatkan di kedudukan dua terbawah bersama Isis yang dikritik kerana terlalu bimbang akan pakaian dalamnya ketika sesi penggambaran dan juga kerana memiliki mata yang kuyu di dalam gambarnya. Walau bagaimanapun, Samantha diberikan peluang kedua dan Isis sebaliknya disingkirkan.
- Peserta yang tersingkir diluar panel juri: Hannah White
- Dua kedudukan terbawah: Isis King & Samantha Potter
- Tersingkir: Isis King
- Jurugambar: Nigel Barker
- Penampilan istimewa: Jeremy Scott, Ann Shoket, Kira Plastinina, Sutan
- Top Model in Action: Chantal Jones, (Musim 9)
Natural Beauty
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 1 Oktober 2008
Kesemua peserta bertemu Paulina di sebuah gudang kosong di mana mereka belajar untuk mengenakan pakaian bersaiz besar tetapi pada masa yang sama kelihatan anggun dan bergaya. Selepas itu, setiap daripada mereka diberikan sejenis kain untuk diubahsuai mengikut kreativiti masing-masing. Samantha ditegur kerana mengubah ukur bentuk kain yang diberikan kepadanya, dan kreativiti McKey menyebabkan dia dipilih sebagai pemenang cabaran dan sekaligus mendapat 50 foto tambahan untuk sesi penggambaran yang akan datang.
Sekembalinya di rumah agam, perasaan tidak tenteram yang dinyatakan oleh Marjorie mencetuskan sedikit konflik di antara dia dengan peserta lain. Sesi penggambaran pada minggu ini memerlukan para peserta untuk menggambarkan pelbagai bencana alam yang sering berlaku di Los Angeles, seperti berikut:
Peserta | Bencana Alam |
---|---|
Analeigh | Taufan Santa Ana |
Clark | Ketiadaan Elektrik |
Elina | Gempa Bumi |
Joslyn | Tanah Runtuh |
Lauren Brie | Ribut Salji |
Marjorie | Kesesakan Lalulintas |
McKey | Peningkatan Suhu |
Samantha | Banjir Kilat |
Sheena | Ribut Pasir |
Di panel, kesemua peserta mendapat pujian daripada para juri sungguhpun Lauren Brie dinasihati untuk tidak terlalu bergantung harap pada kecantikan rupa paras di dalam gambarnya. Walau bagaimanapun, gambar sederhana yang dihasilkan oleh Clark dan Joslyn menyebabkan mereka berada di kedudukan dua terbawah. Para juri merasakan bahawa prestasi Joslyn semakin merudum dan prestasi Clark yang tidak konsisten dianggap sebagai mendukacitakan. Namun, personaliti Joslyn yang lebih tegar menyebabkan Clark disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Clark Gilmer & Joslyn Pennywell
- Tersingkir: Clark Gilmer
- Jurugambar: Brian Edwards
- Penampilan istimewa: Christian Marc, Anda & Masha
- Top Model in Action: Eugena Washington (Musim 7)
The Fiercee Awards
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 8 Oktober 2008
Minggu ini, kesemua peserta di bawa ke studio penggambaran dan mereka bertemu Tyra Banks untuk sesi pelajaran tentang bagaimana untuk mendapatkan gaya mereka yang tersendiri. Lauren Brie ternyata menghampakan Tyra kerana menampilkan gaya yang cantik tetapi "kosong" manakala Tyra tertarik dengan gaya tersendiri Marjorie yang mendapat inspirasi daripada "Hunchback of Notre Dame". Tyra akhirnya memaklumkan kesemua peserta bahawa sesi tersebut adalah merupakan cabaran, dan Marjorie telah diumumkan sebagai pemenang. Dia memilih Analeigh untuk berkongsi hadiah rantai berlian jenama Rafinity yang berjumlah hampir $12,000.
Peserta | Gaya Tersendiri |
---|---|
Analeigh | Peluncur Ais yang Memberontak |
Elina | Peragawati Terkenal |
Joslyn | Profil |
Lauren Brie | Peluncur Ombak |
Marjorie | Hunchback of Notre Dame |
McKey | Peninju |
Samantha | Tangan |
Sheena | Tarian Budaya |
Untuk sesi penggambaran pada minggu ini, kesemua peserta di bawa ke Teater Orpheum di pusat bandar Los Angeles untuk menggambarkan pelbagai peristiwa malang di majlis anugerah yang diinspirasikan daripada Fiercee Award yang dianjurkan oleh Tyra di dalam rancangannya, The Tyra Banks Show. Marjorie dan Analeigh memberikan persembahan mereka yang terbaik manakala Elina menghadapi masalah untuk menzahirkan emosinya.
Peserta | Peristiwa Malang |
---|---|
Analeigh | Pewawancara yang penuh sikap |
Elina | Ucapan penghargaan yang terlalu emosional |
Joslyn | Bintang lain yang memakai gaun yang sama |
Lauren Brie | Tergelincir di atas tangga |
Marjorie | Menggunakan tandas dalam gaun |
McKey | Yakin akan menang, tetapi tidak |
Samantha | Tidak dapat membaca kad kerana cahaya terang |
Sheena | Bintang lain terpijak gaun |
Ketika penilaian, beberapa kekurangan dalam gambar mereka menyebabkan Lauren Brie dan Sheena ditempatkan di dua kedudukan terbawah. Namun, personaliti Sheena yang lebih tegar menyelamatkannya dan Lauren Brie menjadi peserta yang disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Lauren Brie Harding & Sheena Sakai
- Tersingkir: Lauren Brie Harding
- Jurugambar: Mike Rosenthal
- Penampilan istimewa: Jim De Yonker, Kiyah Wright, Ann Mangini, Sutan, Christian Marc
- Top Model in Action: Danielle Evans (Musim 6)
Top Model 11 Confidential
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 15 Oktober 2008
Episod ini adalah merupakan episod imbauan yang menunjukkan beberapa insiden yang tidak pernah disiarkan sebelum ini, termasuklah Samantha tidak memiliki katil di awal pertandingan, pertengkaran di antara Elina dengan Sheena tentang aktivis haiwan, McKey memasak untuk kesemua peserta disebabkan dia berasa terasing, Sheena keguguran rambut ketika perubahan imej, Nikeysha rap, makan malam di Red Pearl Kitchen di Hollywood, dan juga satu serangan lebah.
- Top Model in Action: Nicole Linkletter (Musim 5)
Now You See Me, Now You Don't
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 22 Oktober 2008
Kesemua peserta menerima latihan daripada adik-beradik Aswirl Twins tentang bagaimana untuk memperagakan pakaian dan aksesori dengan baik. Ia diikuti dengan cabaran di mana mereka dikehendaki untuk memakai pakaian ketat hijau untuk menyembunyikan badan mereka melalui skrin hijau ketika memperagakan pakaian rekaan Petro Zillia, dan dinilai oleh Ann Shoket. Elina dipilih sebagai pemenang cabaran dan sekaligus berpeluang untuk muncul di majalah Seventeen edisi musim cuti bersama Analeigh dan Marjorie.
Sekembalinya di rumah agam, Elina dan Sheena terbabit dalam pertengkaran yang berkisar sama ada Elina adalah seorang yang hipokrit kerana muncul di majalah edisi musim cuti sedangkan dia adalah seorang atheis.
Hari berikutnya, kesemua peserta bertemu Whitney Thompson, pemenang Musim 10 untuk komersil CoverGirl. Mereka diberikan 5 peluang untuk merakamkan komersil, dan mereka juga dikehendaki untuk membaca ayat mereka yang dipaparkan di skrin teleprompter. Ketika sesi komersil berjalan, Joslyn mendapati dirinya tidak sihat dan terpaksa bergelut untuk menjalani komersil tersebut.
Di panel, Tyra memberikan cabaran kepada para peserta untuk berjalan menggunakan kasut yang diperbuat daripada kayu, dan seterusnya mengumumkan destinasi antarabangsa musim ini iaitu Amsterdam. Namun, seorang daripada peserta akan disingkirkan terlebih dahulu. Komersil Analeigh mendapat pujian daripada Tyra dan diiktiraf sebagai komersil CoverGirl terbaik dalam sejarah rancangan ini. Sheena juga mendapat pujian di atas personalitinya yang memukau di dalam komersilnya. Namun begitu, komersil Elina mendapat kritikan kerana dia kelihatan terlalu mengawal diri dan Joslyn dimaklumkan bahawa komersilnya kelihatan palsu. Mereka ditempatkan di kedudukan dua terbawah. Joslyn diberitahu bahawa dia adalah seorang yang cekal, membuatkan dia percaya bahawa dia tidak tersingkir. Tetapi Tyra mendedahkan gambar Elina, sekaligus memaklumkan Joslyn bahawa Joslyn akan tetap cekal sungguhpun disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Elina Ivanova & Joslyn Pennywell
- Tersingkir: Joslyn Pennywell
- Pengarah komersil: Frank Ockenfels
- Penampilan istimewa: Whitney Thompson, James St. James, Nony Tochterman, Ann Shoket, Christian Marc, Sutan, Ron Harris, Richard Harris, Elyssa Traub
- Top Model in Action: Jaslene Gonzalez (Musim 8)
Planes, Trains and Slow Automobiles
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 29 Oktober 2008
Ketika para peserta tiba di Belanda, mereka dikehendaki untuk mencari rumah mereka secara berpasangan berpandukan oleh beberapa tugasan secara bersiri. Elina dan Samantha menjadi pasangan terpantas dan memenangi 50 foto tambahan untuk dikongsi. Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Red Light District untuk cabaran kedua secara berpasangan, kali ini bergaya di hadapan tingkap galeri dengan memperagakan pakaian rekaan pelbagai pereka fesyen. Sungguhpun Marjorie dipuji, McKey dan Samantha dipilih sebagai pemenang dan mereka berpeluang untuk muncul di beberapa pertunjukan fesyen sebagai model ketika Minggu Fesyen.
Untuk sesi penggambaran minggu ini, kesemua peserta bergaya dalam gaun koture abad ke-17 di atas bot. McKey, Analeigh dan Marjorie mendapat komen positif, manakala Samantha menggunakan foto tambahannya untuk mendapatkan gambar yang lebih baik. Sheena masih mendapat kritikan kerana menampilkan gaya yang dianggap seksi, dan Elina sebaliknya tidak mempedulikan Jay disebabkan dia terlalu fokus.
Di panel, Samantha dikritik kerana pakaiannya namun dipuji kerana gambar yang dihasilkannya, manakala personaliti Marjorie yang kelihatan tidak begitu selesa disalahanggap oleh Daphne. Analeigh dan McKey mendapat pujian daripada juri, manakala Sheena dan Elina sekali lagi ditempatkan di kedudukan dua terbawah; Sheena dikritik disebabkan persembahannya yang tidak konsisten dan dia tidak dapat mengawal gaya dan wajahnya di dalam gambar, manakala Elina dikritik kerana gambarnya yang kelihatan kaku, dan juga penampilannya di panel yang tidak memberangsangkan. Namun, disebabkan gambar-gambar terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini, Elina diberikan peluang kedua untuk kali yang kedua, dan Sheena sebaliknya disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Elina Ivanova & Sheena Sakai
- Tersingkir: Sheena Sakai
- Jurugambar: Andy Tan
- Penampilan istimewa: Daphne Deckers, Jan Taminiau, Carlo Wijnands, Edwin Oudshoorn, Bas Kosters, Mariette Hoiting, Sutan, Christian Marc
- Top Model in Action: Katarzyna Dolińska (Musim 10)
The Final Five
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 5 November 2008
Cabaran pada minggu ini menyaksikan kesemua peserta bertemu dengan lima pereka fesyen yang telah ditetapkan dengan menggunakan bot. Marjorie sesat dan dia gagal untuk mengawal emosinya. Sungguhpun dia berjaya bertemu dengan dua pereka fesyen, tidak seorang daripada pereka fesyen tersebut berhasrat untuk mengambil Marjorie dalam pertunjukan fesyen. McKey berjaya bertemu dengan empat pereka fesyen dan kesemua pereka fesyen tersebut berhasrat untuk mengambilnya dalam pertunjukan fesyen. Sungguhpun demikian, McKey disingkirkan daripada cabaran tersebut kerana dia lewat selama lima minit untuk kembali semula ke agensi. Analeigh diumumkan sebagai pemenang cabaran, dan dia memenangi pakaian hasil rekaan daripada kelima-lima pereka fesyen yang mereka temui berjumlah $18,000.
Minggu ini, Tyra muncul sebagai jurugambar dan menangkap dua jenis gambar daripada kesemua peserta - gambar pertama bertemakan wajah yang bersih dan bersahaja, dan gambar kedua bertemakan stail fesyen dan glamor. Marjorie terpaksa bergelut untuk mendapatkan gambar yang terbaik pada sesi penggambaran pertama. Namun sewaktu penggambaran sesi kedua, dia berjaya menghasilkan gambar yang terbaik. Elina pula dikritik kerana kelihatan terlalu mengawal pergerakannya. Samantha dan McKey pula berjaya memberikan persembahan yang terbaik dalam kedua-dua sesi penggambaran.
Di panel, gambar-gambar yang dihasilkan oleh Samantha mendapat pujian daripada juri dan dia mendapat panggilan pertama daripada Tyra. Elina dan Marjorie ditempatkan di kedudukan dua terbawah kerana mereka mempunyai masalah dengan diri masing-masing - Marjorie terlalu gemuruh setiap masa, dan Elina terlalu mengawal pergerakan badannya. Akhirnya, setelah tiga kali berada di kedudukan dua terbawah secara berturut-turut, Elina disingkirkan dan Marjorie diberi peluang untuk mara ke minggu seterusnya.
- Dua kedudukan terbawah: Elina Ivanova & Marjorie Conrad
- Tersingkir: Elina Ivanova
- Jurugambar: Tyra Banks
- Penampilan istimewa: Frederick Koster, Pearl Macnack, Marlies Dekkers, Monique Collignon, Hans Ubbink, Mart Visser, Christian Marc, Sutan
- Top Model in Action: Mollie Sue Steenis-Gondi (Musim 6)
Good Times & Windmills
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 12 November 2008
Keempat-empat peserta yang tinggal bertemu dengan Paulina Porizkova untuk sesi pelajaran iaitu bergaya dengan pelbagai benda yang berlainan. Kemudiannya, mereka diberikan cabaran ujibakat untuk komersil pendek yang memerlukan mereka untuk mengucup seorang model lelaki Mark Vanderloo. Marjorie dipilih sebagai pemenang dan dia menerima baucer membeli-belah bernilai $10,000 di G-Star, yang dikongsinya bersama Analeigh. Petang itu, Marjorie mengajak kesemua lelaki yang membawa mereka sewaktu bertemu dengan para pereka fesyen pada episod lepas untuk datang ke rumah agam mereka dan berhibur.
Sesi penggambaran minggu ini dijalankan di luar kota Dutch, berlatarkan kincir angin dan diikuti dengan mekap dan dandanan rambut yang dramatik. Sekali lagi, Analeigh dan McKey memberikan persembahan yang terbaik manakala Samantha dan Marjorie terpaksa bergelut untuk menghasilkan gambar yang terbaik. Sewaktu sesi penilaian, Samantha mendapat kritikan disebabkan penampilannya yang tidak profesional dan juga kerana memiliki filem yang tidak konsisten secara keseluruhan, walapun dia menghasilkan beberapa gambar yang menarik. Marjorie turut menerima kritikan kerana kehilangan daya tarikan dalam usahanya untuk berkelakuan lebih tenang sehingga kehilangan personaliti, dan dia akhirnya disingkirkan.
- Dua kedudukan terbawah: Marjorie Conrad & Samantha Potter
- Tersingkir: Marjorie Conrad
- Jurugambar: Barrie Hullegie
- Penampilan istimewa: Richard Gorodecky, Mark Vanderloo, JM Van Tilburg, Sutan, Ann Shoket
- Top Model in Action: Kim Stolz (Musim 5)
America's Next Top Model Is...
[sunting | sunting sumber]Tarikh disiarkan: 19 November 2008
Ketiga-tiga finalis yang tinggal menerima Tyra Mail yang memaklumkan mereka bahawa mereka akan merekodkan komersil CoverGirl pada keesokan hari. Setibanya mereka di lokasi, mereka mendapat tahu bahawa komersil tersebut akan dijalankan di atas bot mengelilingi bandar Amsterdam, dan pada masa yang sama mereka juga dikehendaki untuk melakonkan babak "kucup-curi" di akhir komersil. Komersil Samantha disifatkan sebagai kurang bertenaga manakala Analeigh gagal untuk mengingati ayat yang perlu disebutnya sehinggakan dia terpaksa dibantu untuk mengucapkan ayatnya. McKey menghasilkan komersil yang terbaik, dan kemudiannya ketiga-tiga peserta menjalani sesi penggambaran iklan bercetak CoverGirl bersama Jim De Yonker.
Di panel, McKey menerima pujian yang berterusan daripada para juri tentang komersil CoverGirl serta iklan bercetak yang dihasilkannya, dan gambarnya turut disifatkan sebagai gambar seorang "model" yang sebenar daripada ketiga-tiga peserta yang tinggal. Samantha dan Analeigh ditempatkan di kedudukan dua terbawah; Analeigh disebabkan kegagalannya untuk memberikan ekspresi muka dan gaya badan yang konsisten, dan juga kerana tidak mengingati ayatnya, manakala Samantha disebabkan kegagalannya untuk mempamerkan personalitinya yang begitu komersil di dalam kamera. Analeigh disingkirkan dengan Tyra memaklumkannya bahawa dia akan mampu menempah pelbagai kempen fesyen. Dua finalis yang tinggal seterusnya bertemu dengan Ann Shoket untuk sesi penggambaran kulit hadapan majalah Seventeen, di mana kedua-dua mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang.
Samantha dan McKey bergandingan dengan pemenang Musim 10, Whitney dan pemenang Musim 4 Holland's Next Top Model Ananda Marchildon, di pertunjukan fesyen di Amsterdam yang bertemakan kisah dongeng. Kedua-dua mereka menunjukkan persembahan yang baik melalui cara jalan mereka yang konsisten, walaupun mereka dikritik kerana tidak memberikan persembahan yang terbaik. Kedua-dua portfolio Samantha dan McKey ditinjau kembali, dan kesemua juri sedia maklum akan peningkatan prestasi mereka daripada awal pertandingan sehingga akhir. Kedua-dua portfolio mereka disifatkan sebagai sama hebat; penampilan McKey yang kelihatan sebagai seorang model profesional, kebolehannya dalam komersil, serta gaya jalan yang menarik perhatian begitu mempesonakan para juri, manakala Samantha juga turut menerima pujian kerana daya tarikan komersil yang dimilikinya serta gambar-gambarnya yang menggambarkan fesyen terkini yang pernah dihasilkannya sepanjang pertandingan. Mereka kemudiannya dipanggil semula, dan Tyra mengumumkan McKey sebagai pemenang Musim 11.
- Dua kedudukan terbawah: Analeigh Tipton & Samantha Potter
- Tersingkir: Analeigh Tipton
- Dua finalis akhir: McKey Sullivan & Samantha Potter
- America's Next Top Model: McKey Sullivan
- Jurugambar: Jim De Yonker, Nigel Barker
- Pengarah komersil: Jay Manuel, Elyssa Traub
- Penampilan istimewa: Whitney Thompson, Ananda Marchildon, Addy van den Krommenacker, Sutan, Ann Shoket
- Top Model in Action: Anya Kop (Musim 10)
Para peserta
[sunting | sunting sumber](umur dicatat mengikut waktu pertandingan)
Mengikut urutan penyingkiran
[sunting | sunting sumber]- Brittney "ShaRaun" Brown, 18, daripada Chicago, Illinois
- Nikeysha Clarke, 19, daripada The Bronx, New York
- Brittany Rubalcaba, 19, daripada Henderson, Nevada
- Hannah White, 19, daripada Fairbanks, Alaska
- Isis King, 22, daripada Prince George's County, Maryland
- Clark Gilmer, 19, daripada Pawleys Island, South Carolina
- Lauren Brie Harding, 20, daripada Charlottesville, Virginia
- Joslyn Pennywell, 23, daripada Lucky, Louisiana[3][4]
- Sheena Sakai, 21, from Harlem, New York[5] [6]
- Elina Ivanova, 18, daripada Seattle, Washington[7]
- Marjorie Conrad, 19, daripada San Francisco, California[8]
- Analeigh Tipton, 19, daripada Sacramento, California[9]
- Samantha Potter, 18, daripada Woodland Hills, California[10] (Naib Juara)
- Brittany "McKey" Sullivan, 19, daripada Lake Forest, Illinois[11] (Pemenang)
Rumusan
[sunting | sunting sumber]Carta penyingkiran
[sunting | sunting sumber]Urutan | Episod | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | |||
1 | Sheena | Marjorie | Lauren Brie | Elina | Clark | Samantha | Marjorie | Analeigh | McKey | Samantha | Analeigh | McKey | McKey | |
2 | Analeigh | Isis | Elina | Lauren Brie | Analeigh | Analeigh | Analeigh | Sheena | Analeigh | McKey | McKey | Samantha | Samantha | |
3 | Nikeysha | McKey | Joslyn | Samantha | Lauren Brie | McKey | McKey | Samantha | Marjorie | Analeigh | Samantha | Analeigh | ||
4 | Marjorie | Joslyn | Marjorie | McKey | Sheena | Elina | Samantha | Marjorie | Samantha | Marjorie | Marjorie | |||
5 | Samantha | Elina | McKey | Sheena | McKey | Marjorie | Elina | McKey | Elina | Elina | ||||
6 | Elina | Samantha | Samantha | Joslyn | Marjorie | Lauren Brie | Joslyn | Elina | Sheena | |||||
7 | Brittany | Brittany | Sheena | Marjorie | Joslyn | Sheena | Sheena | Joslyn | ||||||
8 | McKey | Sheena | Hannah | Clark | Elina | Joslyn | Lauren Brie | |||||||
9 | ShaRaun | Analeigh | Clark | Isis | Samantha | Clark | ||||||||
10 | Hannah | Clark | Brittany | Hannah | Isis | |||||||||
11 | Lauren Brie | Lauren Brie | Analeigh | Analeigh | Hannah | |||||||||
12 | Isis | Hannah | Isis | Brittany | ||||||||||
13 | Clark | Nikeysha | Nikeysha | |||||||||||
14 | Joslyn | ShaRaun |
- Perserta yang memenangi cabaran
- Peserta yang memenangi dua cabaran
- Perserta yang memenangi cabaran dan disingkirkan
- Peserta yang disingkirkan
- Peserta yang menjadi pemenang pertandingan
- Peserta yang disingkirkan di luar panel juri
- Pada episod 1, 20 orang peserta yang terpilih telah dikurangkan menjadi 14 untuk mara ke pertandingan yang sebenar. Namun, urutan panggilan ini tidak menunjukkan prestasi mereka pada minggu tersebut.
- Pada episod 5, Hannah White telah disingkirkan di luar panel juri kerana memiliki cara jalan yang tidak memberangsangkan pada cabaran minggu tersebut.
- Episod 8 adalah merupakan episod imbauan.
- Pada episod 10 terdapat dua cabaran. Elina dan Samantha memenangi cabaran pertama, manakala McKey dan Samantha memenangi cabaran kedua.
Perubahan imej
[sunting | sunting sumber]- Brittany: Rambut palsu panjang bergelombang
- Analeigh: Dicelup warna perang
- Clark: Dicelup warna coklat
- Elina: Rambut palsu kerinting berwarna merah terang
- Hannah: Rambut pendek coklat kehitaman dan ditambah rambut hadapan
- Isis: Rambut palsu panjang berwarna coklat gelap
- Joslyn: Rambut palsu panjang bergelombang
- Lauren Brie: Dicelup warna perang platinum
- Marjorie: Dicelup warna coklat
- McKey: Dipotong pendek dan dicelup warna hitam
- Samantha: Dipotong pendek
- Sheena: Diterangkan dengan perang gelap
Panduan Sesi Penggambaran
[sunting | sunting sumber]- Episod 1: Pakaian Plastik "Cat" Biru Metalik (Ujibakat)
- Episod 2: Isu-isu Undian Politik bertemakan Seksi
- Episod 3: Bergaya di atas Tangga Tali
- Episod 4: Penggambaran Pakaian Dalam Malibu
- Episod 5: Mata di atas paras Air
- Episod 6: Bencana Alam Los Angeles
- Episod 7: Situasi Malang di Majlis Anugerah
- Episod 9: Komersil CoverGirl
- Episod 10: Wanita Kurun Ke-17 di atas Kapal
- Episod 11: Bersahaja; Dramatik
- Episod 12: Kincir Angin
- Episod 13: Iklan Bercetak CoverGirl; Muka Hadapan Majalah Seventeen
Barisan Juri
[sunting | sunting sumber]- Tyra Banks
- J. Alexander
- Nigel Barker
- Paulina Porizkova
Statistik
[sunting | sunting sumber]- Jumlah peserta: 14
- Peserta paling berumur: Joslyn Pennywell, 23 tahun
- Peserta paling muda: Elina Ivanova, Samantha Potter & ShaRaun Brown, kesemuanya 18 tahun
- Peserta paling tinggi: McKey Sullivan, 6'0" (183 cm)
- Peserta paling rendah: Isis King, 5'7" (170 cm)
- Peserta yang paling kerap memenangi cabaran secara berturut-turut: Elina Ivanova & Samantha Potter, kedua-duanya 2 kali
- Peserta yang paling banyak memenangi cabaran: Elina Ivanova, 3 kali
- Purata min Top 3 (tidak termasuk ujibakat dan panel juri terakhir): McKey Sullivan - 3.09, Samantha Potter - 3.82, Analeigh Tipton - 4.27
- Purata median Top 3 (tidak termasuk ujibakat dan panel juri terakhir): McKey Sullivan - 3, Samantha Potter - 3, Analeigh Tipton - 2
- Peserta yang paling banyak memiliki panggilan pertama: Analeigh Tipton, Marjorie Conrad, McKey Sullivan & Samantha Potter, kesemuanya 2 kali
- Peserta yang paling kerap menduduki kedudukan dua terbawah secara berturut-turut: Elina Ivanova, 3 kali
- Peserta yang paling banyak menduduki kedudukan dua terbawah: Elina Ivanova & Samantha Potter, 3 kali
- Peserta yang disingkirkan di luar panel juri: Hannah White
- Peserta yang tidak pernah menduduki kedudukan dua terbawah: McKey Sullivan
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ “America’s Next Top Model” Musim 11 Gambar Promosi Diarkibkan 2012-07-08 di Wayback Machine 11 Ogos, 2008.
- ^ EKSKLUSIF: Peserta Transgender Bertanding dalam Top Model. Us Weekly. 13 Ogos 2008. Retrieved 13 Ogos 2008.
- ^ http://www.msnbc.msn.com/id/24425209/
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-08-19. Dicapai pada 2008-08-18.
- ^ Genegabus, Jason. ‘ America’s Next Top Model’ finalist has Hawaii roots Diarkibkan 2008-09-09 di Wayback Machine. Honolulu Star Bulletin. August 21, 2008. Retrieved August 23, 2008.
- ^ "We Ain’t Ready for This Yellow Fever" Diarkibkan 2008-09-14 di Wayback Machine. AsianWeek. Retrieved on 2008-09-15.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-06. Dicapai pada 2008-09-09.
- ^ Morris, Sarah. Students Share the Importance of Hair Diarkibkan 2008-10-22 di Wayback Machine. Golden Gate Press. March 3, 2007. Retrieved September 17, 2008.
- ^ http://www.alejandragaribay.com/
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-01. Dicapai pada 2008-09-01.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-12. Dicapai pada 2008-09-04.