Abdul Ghani Minhat
Maklumat peribadi | |||
---|---|---|---|
Nama penuh | Abdul Ghani bin Minhat | ||
Tarikh lahir | 23 Disember 1935 | ||
Tempat lahir |
Kampung Solok, Rantau, Negeri Sembilan, British Malaya (kini Malaysia) | ||
Tarikh kematian | 28 September 2012 | (umur 76)||
Tempat kematian | Kuala Lumpur, Malaysia | ||
Posisi permainan | Penyerang | ||
Kerjaya Senior* | |||
Tahun | Pasukan | Kmcln | (Gol) |
1955-1968 | Selangor FA | ||
Pasukan kebangsaan | |||
1956-1963 | Malaysia | ||
Pasukan diurus | |||
1969 1970-1973 1983-1985 |
Malaysia Selangor FA Selangor FA | ||
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik |
Tan Sri Datuk Abdul Ghani bin Minhat PSM PJN DSSA DIMP AMN (23 Disember 1935 – 28 September 2012) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah mewakili pasukan Piala Malaysia Selangor pada tahun 1950-an sehinggalah penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan Malaysia. Beliau pernah dihantar FAM untuk menjalani sesi latihan di Eintracht Frankfurt, Jerman. Beliau digelar sebagai Raja Bola di atas kehebatannya di padang dan merupakan salah seorang lagenda bola sepak Malaysia.
Beliau banyak menyumbangkan tenaga sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor walaupun berasal dari Negeri Sembilan. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu.[1] Allahyarham pernah merangkul Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Kebangsaan pada 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan.[2] Beliau juga merupakan pemain Asia pertama yang mencapai 50 gol untuk pasukan kebangsaan lelaki di pentas antarabangsa pada 15 Disember 1961 dan pemain ke-5 di dunia yang mencapai 50 gol untuk pasukan kebangsaan.[3][4]
Keluarga
[sunting | sunting sumber]Abdul Ghani dilahirkan pada 23 Disember 1935 di Rantau, Negeri Sembilan. Beliau berkahwin dengan Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nik Abdul Halim, Nik Salwani, Nik Sarina dan Nik Mohd Hanif.[5]
Kerjaya bola sepak
[sunting | sunting sumber]Kerjaya Datuk Ghani Minhat bermula pada tahun 1945 di sekolah Princess Road (kini Sekolah Kebangsaan Raja Muda) ketika berusia 10 tahun. Ketika mewakili sekolah Princess Road, beliau beraksi dengan berkaki ayam. Dua tahun selepas itu, Ghani mewakili Sekolah St. John Kuala Lumpur. Pada tahun 1951, bakat beliau diperhatikan oleh beberapa orang pegawai polis yang kemudiannya menghadiahkan but pertama beliau.
Ketika berusia 17 tahun, beliau terpilih untuk beraksi bersama pasukan Depot Polis yang beraksi dalam Liga Selangor. Beliau beraksi di posisi sayap kiri walaupun berkaki kanan. Peluang ini digunakan beliau untuk menggilap kemahiran menyepak menggunakan kedua-dua belah kaki. Pada tahun 1955, Ghani Minhat terpilih untuk bersama skuad Selangor dan membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun berikutnya buat kali pertama selepas 6 tahun setelah menewaskan Singapura 2-1.
Pada tahun 1956, Ghani beraksi buat kali pertama bersama Malaysia. Penampilan pertamanya bersama Malaysia sangat menakjubkan apabila menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2. Tahun berikutnya, beliau menjaringkan gol pertama skuad negara dalam kejohanan sulung Pestabola Merdeka hasil sepakan dari 40 meter menentang Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Padang TPCA, Princess Road. Namun skuad negara pulang hampa apabila gagal membawa pulang piala Pestabola Merdeka. Kehampaan itu berjaya ditebus pada tahun 1958 apabila membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.
Ghani kemudian membantu skuad negara mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1959. Beliau kemudian mendapat gelaran Raja Bola dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), gelaran yang kemudiannya digunakan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada beliau. Beliau melengkapkan hatrik kejuaraan Pestabola Merdeka skuad negara setelah berkongsi kejuaraan bersama Korea Selatan pada 1960. Pada tahun ini juga, Ghani mencipta rekod jaringan yang kekal sehingga ke hari ini apabila menjaringkan 9 gol menentang Negeri Sembilan menjadikan jumlah jaringan beliau 34 gol dalam 9 perlawanan. Setahun selepas itu, Ghani bersama skuad negara meraih pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Yangon, Myanmar). Beliau juga membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962.
Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad lagenda Merah Kuning (Selangor) menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang 18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Beliau kemudiannya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan Pulau pinang dengan jaringan 6-2.
Pada tahun 1967, Ghani membantu Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1. Beliau bersara dari bola sepak pada tahun 1968 setelah membantu Selangor buat kali kelapan dalam kariernya menjuarai Piala Malaysia. Tambah menarik Selangor berjaya membenam Pulau Pinang 8-1 dalam perlawanan akhir. Beliau menamatkan karier sebagai pemain dengan nota cemerlang apabila berjaya menjaringkan lebih 100 gol dalam peringkat kebangsaan dan negara.
Beliau kemudian dihantar ke Jepun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghadiri kursus kejurulatihan. Selepas itu, beliau dilantik untuk menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan dalam satu kejohanan di Tokyo. Beliau kemudian menjadi jurulatih pasukan kesayangannya Selangor pada tahun 1970 dan pada 1971 beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala Malaysia dalam dua gelanggang berbeza iaitu sebagai pemain dan jurulatih. Beliau sekali lagi membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 3-1 pada 1972. Beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai jurulatih kerana ingin menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan.
10 tahun kemudian, Ghani kembali menjadi jurulatih Selangor menggantikan Chow Kwai Lam namun hanya bertahan selama tiga musim selepas gagal membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia pada musim 1985 meskipun berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Pahang 3-1 pada musim 1984 dan kembali ke bidang perniagaan. Pada tahun 2004, beliau kembali menabur bakti kepada Selangor. Kali ini sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau kemudian mengundurkan diri dari bola sepak Selangor dan beralih ke negeri kelahirannya sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.
Meninggal dunia
[sunting | sunting sumber]Pada hari Jumaat, 28 September 2012, Tan Sri Abdul Ghani meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), akibat mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22. Antara pemain bola sepak kebangsaan yang hadir ialah Dato' Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, dan Azlan Johar.
Abdul Ghani meninggalkan isteri Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, 67, dan empat anak, dua lelaki, Nik Abdul Halim, 42, Nik Mohd. Hanif, 37 dan dua wanita, Nik Salwani, 40 dan Nik Sarina 38, berserta tiga orang cucu perempuan, Nik Nurulhanna, 13, Nik Marisa,, 11 dan Nik Sophea 7.
Anugerah
[sunting | sunting sumber]Sebagai Pemain
[sunting | sunting sumber]Antarabangsa
[sunting | sunting sumber]- Juara Pesta Bola Merdeka 1958, 1959, 1960
- Pingat Emas Sukan SEAP 1961
- Pingat Gangsa Sukan Asia 1962
- Tempat ke-2 Kejohanan Kelab Asia 1967
Kebangsaan
[sunting | sunting sumber]- Juara Piala Malaysia sebanyak 7 kali: 1956, 1959, 1961, 1962, 1963, 1966, 1968
- Gelaran Raja Bola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor
Sebagai Jurulatih
[sunting | sunting sumber]- Juara Piala Malaysia 1971, 1972, 1984
Individu
[sunting | sunting sumber]- - Ahli Mangku Negara (A.M.N.) (1967)[6]
- - Panglima Jasa Negara (2009)[7]
- - Panglima Setia Mahkota Malaysia (2012)[8]
- - Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) bagi gelaran Dato'
- - Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) bagi gelaran Dato'
- - Perintah negeri Pulau Pinang - Pingat Jasa
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "'Raja bola M'sia' ditawar bermain di Liga EPL pada 1962". Malaysiakini. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-30. Dicapai pada 28 September 2012.
- ^ Raja Bola, Abdul Ghani Minhat meninggal dunia Diarkibkan 2012-09-30 di Wayback Machine Utusan Malaysia (29 September 2012). Diperoleh pada 1 Oktober 2012.
- ^ Mamrud, Roberto (30 March 2021). "Abdul Ghani Minhat – Goals in International Matches". Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 June 2021. Dicapai pada 30 March 2021.
- ^ "Peristiwa 28 September 2012" (dalam bahasa Malay). Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 July 2023. Dicapai pada 28 September 2022 – melalui Facebook.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "The King of Football", Dato’ Hj Abd Ghani Minhat Diarkibkan 3 Jun 2010 di Wayback Machine, OCM Sports Museum and Hall of Fame
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2019-06-25.
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2019-06-25.
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2019-06-25.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Abdul Ghani Minhat di selangorfc.com Diarkibkan 2008-05-17 di Wayback Machine