2G
2G ialah singkatan untuk "teknologi telefon wayarles generasi kedua". Perbezaan utamanya dengan sistem-sistem telefon bimbit yang dahulu (kini digelar 1G) adalah bahawa 2G mempergunakan isyarat digital manakala 1G menggunakan isyarat analog. Perkhidmatan 2G seringnya dirujuk sebagai Perkhidmatan Komunikasi Peribadi (PCS: Personal Communications Service) di Amerika Syarikat.
Piawai teknologi 2G
[sunting | sunting sumber]Bergantung kepada jenis pemultipeksan yang digunakan, piawai teknologi 2G boleh dibahagikan kepada:
- Piawai berasaskan TDMA: Merangkumi GSM (berasal dari Eropah tetapi kini digunakan di seluruh dunia), iDEN, IS-136 (juga dikenali sebagai D-AMPS), dan PDC (hanya digunakan di Jepun); dan
- Piawai berasaskan CDMA: Termasuk IS-95 (juga dikenali sebagai cdmaOne) yang biasanya dirujuk secara mudah sebagai CDMA di Amerika Syarikat.
Mempergunakan isyarat digital untuk menghubungkan telefon bimbit dengan menara sel dapat meningkatkan muatan sistem menerusi dua cara yang utama:
- Pemampatan dan pemultipleksan data suara digital yang lebih berkesan melalui berbagai-bagai CODEC, berbanding dengan pengekodan suara analog; ini membenarkan lebih banyak panggilan dibuat dengan jumlah lebar jalur radio yang sama.
- Pengurangan pancaran kuasa radio dari telefon bimbit yang menyebabkan sel dapat dikecilkan lagi, dengan lebih banyak sel dapat dimasukkan ke dalam ruang yang sama.
Antara kelebihan panggilan telefon bimbit digital ialah pemasangan telinga melalui pengimbas radio tidak begitu mudah. Penggunaan isyarat digital juga membenarkan pengenalan perkhidmatan data digital seperti SMS dan e-mel.
Kelemahan
[sunting | sunting sumber]Kelemahan sistem 2G yang utama termasuk:
- Di kawasan terpencil, isyarat digital yang lebih lemah tidak berupaya mencapai menara sel.
- Berbeza dengan sistem analog, sistem digital mempunyai lengkung pereputan yang bercerancang. Walau bagaimanapun, ini memberikan kedua-dua kelebihan dan kelemahan. Di bawah keadaan yang baik, sistem digital akan berbunyi lebih baik daripada sistem analog, tetapi ia akan gagal sama sekali apabila keadaan bertambah buruk.
- Berbeza dengan sistem analog, sistem digital tidak boleh mempunyai dua atau lebih "klon" telefon bimbit yang memiliki nombor telefon yang sama. Sedangkan ini dapat mencegah penipuan, pengklonan dapat memberikan kelebihan dalam sesetengah keadaan yang sah. Misalnya, seseorang boleh membuat salinan sandar untuk telefon bimbitnya sebagai langkah keselamatan kalau-kalau adanya kerosakan atau kehilangan. Selain itu, dia juga boleh memasang telefon bimbit yang kedua secara tetap di dalam keretanya atau di bengkel terpencil. Dengan sistem digital, ini tidak lagi mungkin.
- Sedangkan panggilan digital biasanya tidak mempunyai elektrik statik dan hingar latar, pemampatan kehilangan yang digunakan oleh CODEC akan mengakibatkan pengurangan julat bunyi yang disampaikan. Dengan kata yang lain, kualiti nada suara seseorang yang bercakap ke dalam telefon bimbit digital akan dikurangkan walaupun suaranya adalah lebih jelas kepada penerima.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]