Pergi ke kandungan

29 Februari (filem)

Ini adalah rencana baik. Klik di sini untuk maklumat lanjut.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

29 Februari
PengarahEdry Abdul Halim
Penulis
  • Amir Hafizi
  • Edry Abdul Halim
Lakon layarEdry Abdul Halim
Dihasilkan oleh
Dibintangi
SinematografiMohd Noor bin Kassim
Muzik olehEdry Abdul Halim
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehKRU Studios
Tarikh tayangan
  • 30 Ogos 2012 (2012-08-30) (Malaysia, Singapura & Brunei)
Masa tayangan
104 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 3.5 juta[1]
Pecah panggungRM 0.37 juta

29 Februari merupakan sebuah filem drama fantasi muzikal Malaysia 2012"[2] keluaran KRU Studios yang diuar-uarkan sebagai filem stereoskopik 3D buatan Malaysia yang pertama.[3] Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang lahir pada tarikh keramat tahun lompat 29 Februari, dan oleh itu hanya dimakan usia empat tahun sekali, maka dirinya teramat lambat menua berbanding orang lain.

Filem ini merupakan arahan kedua Edry Abdul Halim selepas Magika[1], dibintangi oleh Remy Ishak dan Jojo Goh. Filem ini keluar dalam bentuk 3D dan 2D digital di 79 buah pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 30 Ogos 2012.[4] Filem ini telah memenangi tiga dari dua belas pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-25.

Pada suatu malam di lewat abad ke-19, Halim bin Kasim (Riz Amin), seorang pekerja kerajaan penjajah British, dan isterinya, Sakinah (Dian P. Ramlee) menyaksikan sebutir tahi bintang di langit. Halim ingin membuat hajat, tetapi Sakinah memesannya supaya mengingati adat Melayu dan tidak terbawa-bawa oleh budaya penjajah.

Pada pagi 29 Februari 1896, Halim mendapat khabar bahawa Sakinah sudah bersalin, lalu bergegas pulang dari tempat kerja ke rumah untuk menyambut kelahiran anak lelaki mereka. Halim selaku bapa menamai cahaya matanya Budi. Tanpa disangka, gara-gara lahir pada tarikh yang hanya jatuh empat tahun sekali, Budi hanya meningkat umur setahun setiap empat tahun, seolah-olah terkena sumpahan.

Kesan 'sumpahan' tersebut kian lama kian ketara, apalagi pada tahun 1941, Budi yang sepatutnya berumur 45 tahun masih kelihatan seperti kanak-kanak yang baru berumur belasan tahun. Dia sukar bergaul dengan kanak-kanak yang 'sebaya' dengannya yang tahu dan gerun akan keistimewaan Budi. Pada akhir tahun 1941, Jepun menyerang Tanah Melayu, menyebabkan Budi kehilangan kedua-dua ibu bapa yang dipenggal kepala oleh penjajah baru atas dasar "Asia untuk orang Asia" kerana didapati bersubahat dengan British.

Sekitar peristiwa Pengisytiharan Kemerdekaan pada tahun 1957, Budi (Remy Ishak) yang berada di tengah-tengah usia remaja sedang menjual bakul rotan bersama rakan serumah anak yatim, Razak (Izzue Islam) yang cacat penglihatan. Ketika bertembung dengan seorang peragut beg, Budi jatuh cinta pada mangsa ragut itu, iaitu Ho Lai Lai @ Lily (Jojo Goh).

Cinta berputik antara Budi (Remy Ishak) dan Lily (Jojo Goh).

Perasaan cinta yang berputik di antara Budi dan Lily dizahirkan dalam bentuk temu janji di tepi tasik serta kunjungan ke bekas tempat kediaman lamanya, diserikan lagi dengan lagu-lagu senandung cinta gubahan Budi sendiri buat Lily. Akan tetapi, hubungan cinta ini tidak disenangi oleh kerabat keluarga Lily, terutama sekali bapanya, En. Ho (Chew Kin Wah); lebih-lebih lagi dalam cubaan menyampaikan hadiah dan bunga kepada Lily hari jadi pada tahun 1965, kehadiran Budi menyebabkan upacara pertunangan Lily dengan tunang pilihan keluarganya, Alex menjadi kucar-kacir.

Semenjak itu, Budi berusaha membaik pulih hubungannya dengan Lily dengan mendapat restu bapanya, tetapi akhirnya gagal setelah En. Ho menepis cincin Budi sampai sumbing. Lily nekad untuk meninggalkan keluarganya, menyebabkan bapanya pergi melawan Budi di rumah anak yatimnya, sehingga Budi sendiri dihalau oleh tuan rumah anak yatim itu. Peluang untuk Budi bertemu semula dengan Lily kian tipis, sehinggalah pada Peristiwa 13 Mei 1969, En. Ho datang menyorok di dalam kedai gunting yang dikunjungi oleh Budi dan sempat menyampaikan khabar bahawa Lily sudah berpindah ke Pulau Pinang. Budi juga mendapat khabar bahawa Razak sudah meninggalkan rumah anak yatimnya. Khabar ini mendorong Budi untuk berpindah ke Pulau Pinang.

Puluhan tahun sudah berlalu, namun hajat menemui Lily tidak kesampaian juga. Pada tahun 1985, sewaktu baru meningkat usia likuran tahun, Budi nyaris-nyaris bertemu dengan Razak yang sudah lanjut usia dan uzur dek semput.

Pada tahun 2012, sewaktu umurnya hampir 30 tahun, Remy selaku pemilik kedai bunga menyimpan hasrat untuk membuka semula rumahnya sebagai rumah kebajikan. Pergi mengejar salah seorang pekerjanya, Arif (Muniff Isa) yang akhir-akhir ini selalu datang lambat ke tempat kerja, sehingga ke Hospital Pulau Pinang di mana dia bertemu dengan bilik wad yang bertanda nama Ho Lai Lai. Rupa-rupanya, Arif merupakan anak saudara kepada Lily yang sudah lanjut usia dan nazak kerana menghidap barah peringkat akhir.

Pertemuan semula yang menyayat hati ini menjatuhkan Budi ke dalam satu kemelut peribadi yang mana dia harus berhadapan dengan 'sumpahan' lanjut usia empat tahun sekali yang membuatnya mengimbau kembali penderitaan yang dialaminya setelah kehilangan terlalu ramai orang yang tersayang kerana usianya yang panjang. Walaupun demikian, Budi dapat menanganinya dan bermesra dengan Lily yang tua dan uzur itu selama-lama yang mampu.

Pada pagi Hari Kemerdekaan ke-55, Budi bangun dari tidur dalam menderita setelah termimpi akan bayang-bayangan yang menggerunkan bahawa dirinya dan Lily akan ditimpa malang, namun tubuhnya sendiri sudah menghadapi masalah kesihatan. Dengan rasa tidak sabar, Budi berlari ke arah hospital untuk bertemu semula dengan Lily buat kali terakhir, sehingga terpaksa mengganggu perarakan Hari Kemerdekaan. Malang tidak berbau, Budi dilanggar oleh sebuah kereta yang pernah dibayangkannya dalam mimpi hingga cedera parah, lalu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang di mana dia sempat bertentang mata dengan Lily di atas pengusung dan cuba menghulurkan cincin yang sumbing, tetapi menghembuskan nafas terakhir di tengah jalan. Sebentar kemudian, riwayat Lily pun tamat.

Kematian Budi menyebabkan kedai bunganya terpaksa ditutup. Arif mendapat khabar dari peguam yang mewakili mendiang Lily bahawa Budi pernah mewariskan harta kepada Lily, maka Arif selaku pewaris tunggal harta Lily berhak untuk menuntut warisan Budi. Oleh itu, Arif memanfaatkan peluang ini untuk merasmikan sebuah rumah anak yatim baru di rumah lama Budi itu sebagai tanda kenangan buat Budi.

Penerbitan

[sunting | sunting sumber]

Dengan menelan belanja RM 3.5 juta (termasuk promosi), kerja penggambaran 29 Februari dijalankan selama 40 hari sekitar lewat tahun 2011 di pelbagai lokasi, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Taiping.[5]

Dalam usaha kedua mengarah filem selepas Magika, Edry Abdul Halim menekankan ketepatan sejarah. Jelas beliau, "Cabaran utama saya tentunya dari segi fakta sejarah, yang mana tak boleh salah dan tak boleh nak songsangkan sejarah. Sebagai contoh babak 13 Mei dan perang Jepun itu merupakan satu fakta jadi kita tak boleh tipu."[1] Ketepatan peralihan fesyen pakaian dan rambut mengikut peredaran zaman turut dititikberatkan.[6] Lebih-lebih lagi, Edry mendapati bahawa hujan turun di Kuala Lumpur pada pagi Hari Pengisytiharan Kemerdekaan 1957, maka beliau menyelitkan sedutan hujan dalam babak yang berkenaan.[6] Usaha pembikinan ini turut memanfaatkan bahan-bahan filem arkib yang dibaikpulih oleh Filem Negara.[7] Biarpun banyak dimasukkan unsur sejarah, Edry menjelaskan bahawa filem 29 Februari langsung bukan filem patriotik.[8]

Filem 29 Februari dirakam dalam bentuk 3D stereoskopik. Jelas Edry lagi, beliau berdepan dengan kesukaran teknikal stereoskopik 3D sewaktu penggambaran yang memerlukan dia bekerja sekali ganda, termasuk penggunaan dua kamera sepanjang penggambaran yang mana salah satunya bertindak sebagai kesan khas untuk paparan 3D.[9] Tambahnya lagi, "Menerusi penggunaan teknologi 3D ini semuanya perlu diteliti kerana ianya nampak detail. Bayangkan kita menggunakan 3D untuk mempamerkan emosi dan ia bukanlah satu tugas yang mudah."[1]

Penampilan sulung Jojo Goh dalam sesebuah filem berbahasa Melayu mendatangkan cabaran yang besar buat bekas peserta Miss Astro Chinese International Pageant ini. Jelas beliau, "Walaupun memainkan watak berbangsa Cina, namun saya tidak ingin berbahasa Melayu dengan pelat. Saya hendak menuturi bahasa kebangsaan dengan kata-kata dan pelat yang betul supaya penonton tidak berasa janggal mendengar perbualan saya dengan watak Remy Ishak."[5]

OST 29 Februari
Runut bunyi oleh
Pelbagai Artis
Dilancarkan pada2012
TempatMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
GenreRunut bunyi
BahasaBahasa Melayu Malaysia Sunting nilai ini di Wikidata
SyarikatKRU Records
PengarahEdry bin Abdul Halim Sunting nilai ini di Wikidata
PenerbitKRU Sunting nilai ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Album runut bunyi rasmi 29 Februari dikeluarkan di pasaran pada 27 Jun 2012, terbitan KRU Records. Ia memuatkan empat buah lagu yang dinyanyikan di dalam filem itu, serta empat buah skor babak dan satu versi instrumental bagi lagu Kelip-Kelip.[2]

No.TajukPenyanyiMasa
1."Babak #1 “Temu Janji”"
2."Cahaya Mata"S. Masroni
3."Babak #2 “Harijadi”"
4."Jagalah Diri"Jaclyn Victor
5."Babak #3 “Keindahan Senja”"
6."Kelip-Kelip"Remy Ishak
7."Babak #4 “Maafkan Lily”"
8."Seperti Dulu"Forteen
9."Babak #5 “Sumpahan”"
10."Kelip-Kelip (instrumental)"


Rata-rata ulasan mengenai filem ini ialah positif. Peter Chai[10] yang mengulas 29 Februari versi 3D dari portal perfileman Cinema Online memberikan 3/5 bintang dengan memuji kebijaksanaan Edry selaku sutradara yang mengaitkan kehidupan peribadi seseorang watak dengan peristiwa-peristiwa bersejarah negara, serta keserasian sesama watak Remy dan Jojo dalam babak-babak cinta, tetapi merasakan bahawa hasil kerja stereoskopik 3D kurang mantap dan hanya dimanfaatkan dari awal hingga kemuncak cerita.

Miss Ayu[11] dari portal hiburan Gua.com.my turut memberi filem ini skor 3/5 dengan memuji penggunaan teknologi 3D dan kesan khas yang berjaya menimbulkan "kedalaman" visual yang cukup membanggakan, tetapi mengeluh bahawa kelemahan utama filem ini merupakan "garapan idea penceritaan yang masih lemah", rasa peralihan zaman yang kurang menjadi, serta babak-babak cinta yang tidak cukup menyentuh hati.

Mohd al-Qayum Azizi[7] dari mStar pula memuji penerapan filem-filem arkib dalam filem ini walaupun tidak sempurna, kemampuan Edry "memanipulasi tentang tarikh tersebut dengan mewujudkan satu khayalan kepada penonton dan mengajak mereka berfantasi mengenai keunikan tarikh itu".

Pencapaian

[sunting | sunting sumber]
Anugerah Kategori Penerima Keputusan
Festival Filem Malaysia ke-25 Filem Terbaik Edry Abdul Halim Tercalon
Lakon Layar Terbaik Tercalon
Skor Muzik Asal Terbaik Tercalon
Penyunting Terbaik Muhamad Hafizan Abd Malek Tercalon
Sinematografi Terbaik Mohd Noor Mohd Kassim Tercalon
Penataan Bunyi Terbaik Megat Sazali Rohimi Tercalon
Pereka Kostum / Busana Terbaik Hasnan Yaacob Menang
Penataan Seni Terbaik Mazalan Zulkifli Tercalon
Lagu Tema Terbaik "Jagalah Diri"- Jaclyn Victor Tercalon
Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Izzue Islam Menang
Pelakon Harapan Wanita Terbaik Jojo Goh Menang
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Muhammad Naim Daniel Baharin Tercalon
Anugerah Blockbuster Astro ke-2 2013 Anugerah Filem Terhebat Edry Abdul Halim Tercalon
Anugerah Tuan Direktor Terhebat Tercalon
Anugerah Drama Muzikal Terhebat Tercalon
Anugerah Lagu Tema Terhebat "Jagalah Diri"- Jaclyn Victor Tercalon
Anugerah Hero Baru Terhebat Izzue Islam Menang
Anugerah Heroin Baru Terhebat Jojo Goh Tercalon
Anugerah Skrin 2013 Pelakon Wanita Terbaik Jojo Goh Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Remy Ishak Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Izzue Islam Tercalon
Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Jojo Goh Tercalon
  1. ^ a b c d Edry KRU Arahkan Filem 3D Pertama Di Malaysia, Murai.com.my, 28 Okt 2011. Dicapai pada 2 Sep 2012.
  2. ^ a b Album Soundtrack Runut OST 29 Februari, Sensasi Selebriti, 27 Jun 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  3. ^ FEBRUARI 3D RELEASED TODAY IN MALAYSIA Diarkibkan 2018-08-08 di Wayback Machine, Stereoscopy News, 30 Ogos 2012. Dicapai pada 2 Sep 2012.
  4. ^ TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2012, Finas.gov.my. Dicapai pada 2 Sep 2012.
  5. ^ a b Jojo talks "29 Februari", Cinema.com.my, 30 Ogos 2012. Dicapai pada 2 Sep 2012.
  6. ^ a b Edry: '29 Februari' not 'Benjamin Button'[pautan mati kekal], theSun, 16 Ogos 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  7. ^ a b Kejayaan 3D Melalui Fantasi ’29 Februari’ Diarkibkan 2012-09-19 di Wayback Machine, mStar, 30 Ogos 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  8. ^ '29 Februari' Tiada Kaitan Dengan Patriotik[pautan mati kekal], mStar Online, 29 Ogos 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  9. ^ 29 Februari filem 3D Melayu pertama Diarkibkan 2012-06-26 di Wayback Machine, Utusan Online, 28 Apr 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  10. ^ 29 Februari, CinemaOnline. Dicapai pada 3 Sep 2012.
  11. ^ 29 Februari, Cerita Cinta Atau Usia Budi? Diarkibkan 2012-08-31 di Wayback Machine, gua.com.my, 30 Ogos 2012. Dicapai pada 3 Sep 2012.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]