École française d'Extrême-Orient
École française d'Extrême-Orient ("Institut kajian Timur Jauh Perancis", singkatan: EFEO) ialah sebuah institut penyelidikan Perancis yang mengkhususkan dalam pengajian Oriental. Pada awalnya ia dikenali sebagai "Misi Arkeologi ke Indochina" pada tahun 1898. Namanya ditukar kepada "Institut Kajian Timur Jauh" pada 20 Januari 1900. Institut ini bertanggungjawab dalam penyelidikan dan ekskavasi arkeologi di seluruh pelusuk Indochina. Ibu pejabatnya yang pertama ditubuhkan di Saigon, Vietnam pada tahun 1900. Pada tahun 1902, ibu pejabatnya dipindahkan ke Hanoi. Disebabkan peperangan, pada tahun 1957, ia dipindahkan pula ke Phnom Penh, Kemboja. Pada tahun 1975, ia sekali lagi dipindahkan ke Paris. Kini, ia diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Perancis, dan memiliki 17 pusat penyelidikan di 12 negara di serata benua Asia.
Selama lebih dari seratus tahun kewujudannya, institut ini telah mencapai banyak kejayaan dalam pengajian Oriental. Jurnal penyelidikan rasminya Bulletin de l'École française d'Extreme-Orient, sering muncul dalam senarai buku rujukan, dan artikel tentang arkeologi dan sejarah Asia.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Era Kolonial di Indochina
[sunting | sunting sumber]Institut kajian ini diasaskan secara rasmi pada tahun 1900, hasil sokongan dari Akademi Epigrafi dan Sastera (Académie des Inscriptions et Belles-Lettres) dan kerajaan kolonial Perancis di Indochina. Motif penubuhannnya adalah kerana, Akademi Epigrafi dan Sastera sangat berminat untuk menghantar para penyelidik ke Asia, sementara kerajaan kolonial Indochina memerlukan satu badan khusus untuk mempelajari dan memulihara warisan budaya di Indochina.[1]
Pada tahun 1902, ibu pejabat EFEO dipindahkan ke Hanoi dengan tugas utamanya ialah ekskavasi arkeologi, pengumpulan dokumen tulisan tangan, dan penyelidikan tentang etnografi, bahasa dan sejarah Asia, dari India hingga ke Jepun. Sejak tahun 1907, EFEO juga terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan seni bina di Angkor. Dengan matlamat yang besar dalam bidang Sains, EFEO membina perpustakaan dan muzium, yang kini menjadi Muzium Sejarah Vietnam. Selain itu, EFEO juga menubuhkan banyak muzium lain di Danang, Saigon, Hue, Phnom Penh dan Battambang. EFEO juga menyumbang ramai sarjana utama dalam bidang pengajian Oriental seperti Paul Pelliot, Henri Maspero, Paul Demieville, Louis Finot, George Coedes, Henri Parmentier dan Paul Mus.[1]
Selepas 1945
[sunting | sunting sumber]Tahun 1945 menandakan permulaan fasa baru bagi EFEO. Tidak terjejas dengan peperangan yang berlaku, para saintis masih bekerja dengan kerajaan-kerajaan nasional untuk melaksanakan projek-projek di Asia Tenggara seperti kajian tentang Buddhisme, bahasa, sastera dan etnografi. Ekskavasi arkeologi dan pemuliharaan di Angkor juga masih diteruskan. Namun pada tahun 1957, institut ini terpaksa meninggalkan Hanoi. Kemudian pada tahun 1975, ia terpaksa meninggalkan Phnom Penh pula.[2]
Bagaimanapun, EFEO telah menubuhkan banyak cawangan di Asia. Sejak tahun 1955 di India, kerjasama ahli-ahli EFEO dengan "Pusat Perancis di Puducherry" (Institut Français à Pondichéry, IFP), telah melibatkan diri dalam penyelidikan seni dan sastera di Selatan India. Pusat di Puducherry kemudiannya menubuhkan satu cawangan di Pune. Pada penghujung 1950-an, satu lagi pusat telah ditubuhkan di Jakarta yang mengkhususkan dalam kajian agama dan arkeologi monument budaya. Sejak 1968, pusat Hobogirin di Jepun telah dibuka untuk memberi fokus tentang sejarah Buddhisme Cina dan Jepun. Beberapa tahun kemudian, satu lagu pusat tentang Buddhisme dibuka di Chiang Mai, Thailand. Antara sarjana EFEO yang terkenal pada masa ini ialah; Jean Filliozat yang mengkaji tentang India, Rolf Stein yang mengkaji tentang China dan Tibet, Bernard Philippe Groslier yang mengkaji tentang arkeologi Angkor, Charles Archaimbault yang mengkaji tentang etnografi, dan Maurice Durand yang mengkaji tentang Vietnam.[2]
Kini
[sunting | sunting sumber]Selepas konflik politik di Asia Tenggara berakhir dan kestabilan mula dicapai, EFEO kembali ke Indochina dan melakukan kolaborasi dengan saintis tempatan. Pertamanya, pada tahun 1990 di Kemboja, institut ini meneruskan kerja-kerja ekskavasi di Angkor. Tiga tahun kemudian, EFEO kembali ke Laos. Seterusnya di Hanoi, di mana pusat EFEO dibuka lengkap dengan sebuah perpustakaan, yang melakukan kajian tentang sejarah dan antropologi. Pusat ini juga menerbitkan sebuah jurnal tentang monumen budaya.[3]
Selepas Hanoi, EFEO terus membuka lebih banyak lagi cawangan di Hong Kong, Kuala Lumpur, Taipei, Tokyo, Seoul dan akhirnya di Beijing pada tahun 1997. Seiring dengan perkembangan kawasan geografi penyelidikan EFEO, ia juga mengembangkan juga ruang lingkup kajiannya kepada isu-isu kontemporari seperti demografi di Indochina, kajian perdagangan di India, perkembangan agama di China, Korea, Thailand, Indonesia, dan lain lain lagi. Pada kurun ke-21, institut ini terus melibatkan diri dalam program-program kerjasama antarabangsa yang berkaitan dengan kajian tentang Asia.[3] Pada tahun 2007, EFEO memainkan peranan utama dengan beberapa lagi institut lain menubuhkan "Konsortium Eropah untuk kajian luar berkaitan Asia (European Consortium for Asian Field studies, ECAF).[4]
Pusat-pusat
[sunting | sunting sumber]Sehingga tahun 2008, termasuk ibu pejabatnya di Paris, EFEO memiliki 17 pusat di 12 negara.[5]
|
|
Aktiviti dan kajian saintifik
[sunting | sunting sumber]Pada penghujung kurun ke-19, kajian tentang Asia telah mengalami beberapa perubahan. Pembangunan pesat sains telah menyebabkan penggunaan kemudahan-kemudahan penyelidikan yang baru. Pendekatan metodologi yang baru juga telah mengubah kaedah pengendalian bahan-bahan sejarah di Asia. Selain itu, pengkajian struktur dan epitaf bagi menyelidiki etnologi dan bahasa-bahasa memerlukan para sarjana berada di Asia.[6] Pengumpulan dan pemuliharaan artifak dan dokumen juga memerlukan kaedah pengendalian yang kompleks, serta institusi khusus dalam bidang tersebut.
Pada tahun 1898, seorang sarjana Perancis terkenal di India telah menghantar cadangan projek pembinaan Sekolah Perancis Chandannagar yang mengguna pakai kaedah saintifik terbaru, namun tidak menerima sebarang maklum balas dari pihak berkuasa.[6] Paul Doumer kemudiannya cuba menghidupkan semula projek ini, namun beliau mencadangkannya di Indochina. EFEO kemudiannya menjadi pusat penyelidikan pertama yang beroperasi menggunakan kaedah terbaru.[6] Misi EFEO pada peringkat awalnya terdiri dari dua perkara penting: kajian tentang arkeologi dan bahasa sastera di Indochina; serta menyumbang kepada para sarjana tempatan di rantau tersebut dan negara-negara jiran yang lain seperti India, China dan Malaysia.
Pada tahun 1898, EFEO hanya wujud sebagai sebuah piagam misi arkeologi di Indochina, dan Louis Finot merupakan pengarahnya yang pertama. Pada 1899, apabila berada di Saigon, beliau memulakan penubuhan institut ini hasil dari sokongan kerajaan kolonial Perancis di Vietnam. Usaha mengkaji sejarah Asia adalah sangat sukar dan memerlukan para sarjana EFEO mencari pendekatan yang lain dari kaedah mengkaji sejarah Eropah. Ini kerana, menurut Finot, sejarah di Eropah direkodkan bersama urutan peristiwa dan tarikh, dan disimpan dengan baik. Ini berbeza dengan sejarah beberapa negara Asia seperti Kemboja, kebanyakan teks sejarah tulisan tangan tidak terpelihara dengan baik dan tidak mampu bertahan menghadapi peperangan, cuaca dan aspek-aspek lain. Inkripsi-inskripsi di atas batu bersurat juga sukar dibaca samada disebabkan hakisan, litupan fungus, ataupun sudah retak dan musnah. Maka, para sarjana EFEO terpaksa melakukan kajian dengan mengaitkan struktur seni bina purba bersama dengan kajian teks lama.[6]
Kejayaan pertama EFEO di Indochina ialah pengumpulan 100 karya dan 300 risalah dalam Bahasa Khmer. Pada tahun 1900, institut ini mengeluarkan edisi pertama Kajian tentang Syiling An Nam. Selepas tahun pertama, empat jurnal EFEO (satu untuk setiap tiga bulan) dikeluarkan dengan 75 muka surat dan 431 fotograf dan ilustrasi tiga peta.[6] Antara bidang kajian terawal EFEO termasuklah: agama, seni bina Cham, cerita dongeng Vietnam, arkeologi Laos dan kebudayaan Kemboja. Dalam koleksi terawalnya juga terdapat artikel-artikel kajian tentang Chian dan Jepun. Pada tahun 1902, Seraphin Couvreur telah memperkenalkan satu sistem perumian untuk Tulisan Cina. Sistem ini hampir menyerupai sistem Pinyin, dan digunakan dengan meluas sehingga pertengahan kurun ke-20.[7]
Selama bertahun-tahun penglibatannya dalam penyelidikan, EFEO telah melakukan banyak ekskavasi di Asia Tenggara dan mengumpul banyak koleksi artifak dan dokumen sejarah. Berdasarkan polisi yang diguna pakai EFEO untuk memulihara artifak, kebanyakan artifak ini mengalami nasib yang berbeza-beza. Seawal tahun 1930, pemindahan keluar artifak-artifak ini dari negara asalnya telah dikritik oleh akhbar-akhbar Perancis. Contohnya, pada bulan Januari 1943, 23 tong seberat 8 tan yang dipenuhi hasil ukiran purba Kemboja telah dihantar di muzium-muzium EFEO di Tokyo. Bagaimanapun, terdapat juga artifak-artifak yang dipulangkan kembali oleh EFEO. Contohnya pada 3 November 1942, EFEO menghadiahkan kepada Raja Kemboja satu ukiran dinding sepanjang 10 meter, kini diletakkan di Istana Diraja di Phnom Penh.[8] Ketika EFEO mahu meninggalkan Vietnam pada tahun 1957, dokumen-dokumen di perpustakaannya dibahagikan mengikut bahasa, dokumen yang ditulis dalam bahasa Eropah menjadi hak milik EFEO, sementara dokumen dalam bahasa tempatan menjadi hak milik kerajaan nasional Vietnam. Bagaimanapun, banyak artifak dan dokumen sejarah telah dihantar ke Paris oleh EFEO. Koleksi sejarah Asia Tenggara di Muzium Guimet adalah sangat besar, hasil operasi EFEO pada awal kurun ke-20.[9]
Dalam dunia sains, EFEO mencipta pencapaian yang sangat hebat. Meskipun ia melakukan penyelidikan di banyak negara, EFEO memberi fokus yang tinggi kepada sesetengah kebudayaan sahaja. Disebabkan itu, ia menjadi tempat yang ideal sebagai institut penyelidikan yang khusus. Selama lebih seratus tahun beroperasi, institut ini menjadi tempat latihan wajib bagi seorang sarjana orientalis Perancis.[6]
Sistem perumian EFEO
[sunting | sunting sumber]Sistem perumian EFEO mempunyai beberapa persamaan dengan sistem Wade-Giles dan Hanyu Pinyin. Pada zaman moden, ia digantikan oleh Hanyu Pinyin.
Perbezaan di antara ketiga-tiga sistem perumian ditunjukkan di dalam jadual berikut:
IPA | EFEO | WG | Pinyin |
---|---|---|---|
p | p | p | b |
pʰ | p' | p' | p |
t | t | t | d |
tʰ | t' | t' | t |
k | k | k | g |
kʰ | k' | k' | k |
ts | ts | ts | z |
tsʰ | ts' | ts' | c |
tʂ | tch | ch | zh |
tʂʰ | tch' | ch' | ch |
tɕ | k/ts | ch | j |
tɕʰ | k'/ts' | ch' | q |
ɕ | s/h | hs | x |
w | ou/w | w | w |
j | i/y | y | y |
ɤ | ö/é | o/ê | e |
ɚ | eul | êrh | er |
z̩ | eu | û | i |
ʐ | e | ih | i |
y | u | ü | ü/u |
u | ou | u | u |
ən | en | ên | en |
ɤŋ | eng | êng | eng |
iɛ | ie | ieh | ie |
iɤʊ | ieou/iou | iu | iu |
iɛn | ien | ien | ian |
uo | ouo | o/uo | o/uo |
uaɪ | ouai | uai | uai |
ueɪ | ouei | ui | ui |
uan | ouan | uan | uan |
uən | ouen | un | un |
yœ | iue | üeh | üe/ue |
yɛn | iuen | üan | üan/uan |
yn | iun | ün | ün/un |
iʊŋ | ioung | iung | iong |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b EFEO - Les années indochinoises. Diakses pada 15-02-2009
- ^ a b EFEO - Le redéploiement. Diakses pada 15-02-2009
- ^ a b EFEO - L’EFEO au XXIe siècle. Diakses pada 15-02-2009
- ^ EFEO - Quarante prestigieuses institutions signent. Diakses pada 15-02-2009
- ^ EFEO - Les centres de l'EFEO à Paris et en Asie. Diakses pada 15-02-2009
- ^ a b c d e f Christiane Pasquel Rageau - Bulletin d’informations de L’Association des Bibliothécaires Français. N.0140, Ier Trimestre 1989.
- ^ Juliette Salabert - Faux et usage de faux, Sur le bilinguisme chinois de René Leys[pautan mati kekal]. Diakses pada 15-02-2009.
- ^ Singaravélou, Pierre (1999). L'Ecole française d'Extrême-Orient, ou, L'institution des marges, 1898-1956. Harmattan. m/s. 263. ISBN 2738481558.
- ^ Muzium Guimet - Asie du Sud-Est. Diakses pada 15-02-2009