Pergi ke kandungan

Haji Yahya Taha

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Yahya bin Toha)
Tuan Guru

Haji Yahya Taha
Kelahiran
Yahya bin Muhamad Taha

1906 (1906)
Kampung Pisang, Kupang, Baling, Kedah
Meninggal dunia1959 (berumur 52–53)
Kampung Hangus, Kupang, Kedah
Terkenal keranamenentang komunis dan mengasaskan sekolah pondok Madrasah Khairiyah, Kedah

Tuan Guru Haji Yahya Taha ialah seorang ulama dan penetang komunis[1] di Malaysia. Beliau ialah pengasas sekolah pondok di Kupang, Kedah, Madrasah Khairiyah atau Pondok Kampung Pisang.[2]

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Haji Yahya Taha atau nama sebenarnya Yahya bin Muhamad Thaha bin Idris dilahirkan pada 1906 di Kampung Pisang, Kupang, Baling, Kedah. Datuknya, Idris berasal dari Pattani. Ibunya ialah Hajar binti Abdullah yang turut berketurunan dari keluarga asal Pattani.[3]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Beliau mula mendapat pendidikan awal pengajian al-Quran di rumah saudara belah ibunya, Awang Besar bin Saman. Kemudian beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Awang Besar di Kampung Jerai. Setelah itu, beliau belajar di Sekolah Melayu Sik sehingga darjah tiga. Semasa di Sik, beliau tinggal di pondok Tuan Guru Haji Yaakub Abdurrahman di Kampung Kemelung, Sik, Kedah. Beliau turut belajar dipondok tersebut selama 6 tahun. Kemudian beliau bersamaibu dan saudaranya, Awang Besar merantau ke Mekah, dan menetap selama 12 tahun.

Membuka pondok

[sunting | sunting sumber]

Pada 1935, Haji Yahya kembali ke Tanah Melayu.[4] Beliau mula membuka kelas pengajian di rumahnya. Akibat daripada sambutan masyarakat, penduduk setempat mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah sekolah pondok khas untuk beliau mengajar pada 1937.[5] Sekolah ini kemudiannya dikenali dengan Pondok Kampung Pisang atau Madrasah Khairiyah. Pondok ini terus berkembang sehingga berlakunya Perang Dunia Kedua. Pengajian di pondok initerhenti seketika ekoran kedatangan Jepun, namun kembali beroperasi pada pertengahan 1943.

Sebelum 1951, Madrasah Khairiyah menumpukan pengajian umum di sebelah malam dan pagi Jumaat sahaja. Kemudian ia telah memperkenalkan pengajian berstruktur di sebelah siang dan digabungkan dengan pengajian umum di sebelah malam.[5]

Haji Yahya terlibat dalam penentangan terhadap komunis dan bergiat dalam gerakan politik Islam.

Menentang komunis

[sunting | sunting sumber]

Semasa pemberontakan komunis di Tanah Melayu, Sekolah Melayu Kupang telah menjadi markas komunis dan telah menyebabkan gangguan di kampung sekitar. Haji Yahya dan rakannya Haji Ahmad JP telah mengetuai perarakan menghalau komunis dengan laungan kuat takbir dan tahlil dan berhenti di Masjid Kupang yang terletak bertentangan dengan sekolah tersebut. Di masjid itu, mereka bertakbir dan bertahlil dengan kuat sehingga menggerunkan pihak komunis dan akhirnya melarikan diri.[6]

Meninggal dunia

[sunting | sunting sumber]

Haji Yahya Taha meninggal dunia pada Jun 1959 dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang, Kedah.

  1. ^ "3 Ulama Digeruni Komunis : Pejuang Yang Tidak Didendang". tzkrh.com (dalam bahasa Inggeris). 2018-09-15. Dicapai pada 2024-11-05.
  2. ^ Noorazura Abdul Rahman (22 Jun 2022). "Pelajar tetap dididik walaupun 'buta' al-Quran". BH. Dicapai pada 5 November 2024.
  3. ^ "Yahya b. Muhammad Taha b. 'Idris, Tuan Guru Haji (1906-59)". Center for Patani Studies (dalam bahasa Inggeris). 2015-02-08. Dicapai pada 2024-11-05.
  4. ^ "Hj Yahya Toha". Dicapai pada 5 November 2024.
  5. ^ a b "Pengajian Hadis di Institusi Pondok: Satu Kajian di Daerah Baling, Kedah" (PDF). Dicapai pada 5 November 2024.
  6. ^ Haniffa, Mohamed Ali (2023-06-23). "The Japanese Occupation and The Role of Religious Leaders in Raising National Awareness in Malaya: Pendudukan Jepun dan Peranan Agamawan Dalam Membangkitkan Kesedaran Bangsa di Tanah Melayu". Perspektif Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan (dalam bahasa Inggeris). 15 (1): 1–12. doi:10.37134/perspektif.vol15.1.1.2023. ISSN 2462-2435.