Permaisuri Siti Aishah
Permaisuri Siti Aishah | ||
---|---|---|
Raja Permaisuri Agong XI | ||
26 April 1999 – 21 November 2001 | ||
Pertabalan | 23 September 1999 | |
Negeri | Selangor | |
Pendahulu | Tunku Ampuan Najihah | |
Pengganti | Tengku Fauziah | |
Tengku Permaisuri Selangor ke-2 | ||
24 Oktober 1998 – 25 April 1999 | ||
Pertabalan | 24 Oktober 1998 | |
Pendahulu | Tengku Ampuan Rahimah | |
Pengganti | Tengku Permaisuri Norashikin | |
Sultan | Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah | |
Kelahiran | 18 November 1971 | |
Kuala Lumpur |
Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah (Jawi: ڤرمايسوري سيتي عائشه ; lahir Siti Aishah binti Abdul Rahman; 18 November 1971). Baginda berasal dari Kuala Lumpur. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Gurney, kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA, kampus Kota Bharu, Kelantan dalam bidang perbankan.
Dengan kehendak Allah yang menentukan jodoh pertemuan, maka pada 3 Mei 1990, baginda telah dipertemukan jodoh dengan DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Sejurusnya sahaja perkahwinan, baginda telah dikurniakan gelaran YTM Che Puan Besar Selangor.
Pada 20 Jun 1994, baginda telah dikurniakan Bintang Kebesaran Negeri Sarawak. Sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Yang Ke-70 pada 8 Mac 1996, baginda telah dikurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) oleh DYMM Sultan Selangor.
Selepas kemangkatan DYMM Almarhumah Tengku Ampuan Rahimah pada tahun 1993, Negeri Selangor Darul Ehsan tidak berpermaisuri sehingga tahun 1998. Pada 24 Oktober 1998, baginda telah dimashyurkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor dengan gelaran DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Siti Aishah.
Pada 26 April 1999, baginda telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong setelah suaminya dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XI. Sewaktu tempoh menjawat gelaran tersebut, baginda menggunakan gelaran KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XI Tuanku Siti Aishah.
Seri Paduka Baginda Tuanku juga merupakan penaung kepada Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Selangor, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Selangor, BALKIS Negeri Selangor, Persatuan Pandu Puteri Negeri Selangor, Persatuan Jantung Hatiku dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Baginda memanfaatkan masa lapangnya dengan membaca buku, memasak dan bermain golf. Selain daripada itu, baginda juga gemar memandu kereta dan mengumpul buku-buku. Jika ada masa dan kesempatan baginda suka melancong ke luar negeri bagi menambahkan pengalaman dan pengetahuan.