Mas sejemput
Kuih mas sejemput merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis yang dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti kuih jala mas, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza.
Kuih mas sejemput disediakan dengan kuning telur yang dipukul sehingga naik sedikit dan diceduk ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya dijemput dengan tangan kepada bentuk akhir.
Kuih mas sejemput mempunyai bentuk yang khusus dan berlainan, seperti tiga segi beropol. Ia biasanya hanya disediakan untuk perayaan istimewa seperti peminangan, perkahwinan dsb. Ini disebabkan cara membuatnya yang cerewek dan hanya menggunakan kuning telur menyebabkan kos yang tinggi. Biasanya ia dihasilkan bersama kuih tahi itik kerana untuk tidak membazir putih telur yang baki.
Asal
[sunting | sunting sumber]Kuih mas sejemput ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu. Pada masa dahulu, ia biasanya dikhaskan bagi hidangan raja dan kaum bangsawan. Ini disebabkan kos penghasilan yang mahal dan cara menghasilkannya yang rumit. Sehingga kinipun, dikalangan orang biasa ia terhad pada peristiwa istimewa, terutama sebagai hantaran pada acara perkahwinan, atau pertunangan.
Nama
[sunting | sunting sumber]Nama mas sejemput mungkin diambil dari warnanya yang kuning keemasan dan cara menghasilkannya, dengan setiap satu dibentuk (jemput/kepit) dengan tangan. Secara tradisi, dalam kebudayaan Melayu tradisi, warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja-raja sahaja.
Penyebaran
[sunting | sunting sumber]Kuih mas sejemput ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu yang sudah biasa dan mempunyai banyak hidangan kuih yang manis-manis belaka. Oleh kerana kos pembuatan yang tinggi, ia tidak banyak dijual begitu sahaja, dan biasanya mas sejemput yang bermutu perlu ditempah lebih awal, dan biasanya hanya ditempah bagi acara istimewa. Ia lebih popular sebagai hidangan pengantin kerana kandungan kuning telur dan gula yang tinggi dikatakan sebagai pemberi tenaga yang baik.
Kuih mas sejemput kurang popular dinegeri lain di Malaysia, disebabkan rasanya yang amat manis. Ia mempunyai rasa berspan yang disira dalam air gula. Sebagaimana jala mas, ia dihidangkan secara atas darat (tidak berkuah) dan dihias.
Dalam budaya popular
[sunting | sunting sumber]Kuih mas sejemput kurang dikenali dikalangan golongan muda kerana ia tidak dijual secara meluas. Kebanyakan orang hanya dapat melihatnya semasa majlis perkahwinan. Ia juga tidak sesuai untuk dijadikan sebagi makanan petang atau ringan kerana rasanya yang amat manis. Oleh itu cita rasanya terhad pada golongan tertentu sahaja.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]