Pergi ke kandungan

Temasek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Temasik)
Sebahagian peta Mao Kun dari buku Wubei Zhi yang dibuat berdasarkan peta-peta pelayaran abad ke-15 Cheng Ho, menunjukkan Temasek (淡馬錫) pada bahagian kiri atas.

Temasek (juga dieja Temasik; Hanacaraka: ꧋ꦡꦸꦩꦯꦶꦑ꧀꧈; Jawi: تماسيق; Hanzi: 單馬錫; Pinyin: Dānmǎxí; Pe̍h-ōe-jī: Tan-má-sek) merupakan nama awal tercatat bagi sebuah petempatan yang terdapat di kawasan moden Singapura. Nama ini muncul dalam sumber sastera awal Melayu dan Jawa, dan juga terjumpa dalam sumber Cina dinasti Yuan dan Ming sebagai Danmaxi (Cina: 單馬錫 atau 淡馬錫). Dua petempatan berlainan yang telah direkodkan di Temasek ialah Batu Berlayar (Cina: 龍牙門; pinyin: lóngyámén) dan Pancur (Cina: 班卒; pinyin: Bānzú). Kini, nama Temasek digunakan di Singapura dalam penamaan penghormatan-penghormatan kebangsaan dan juga institusi-institusi dan perbadanan-perbadanan tertentu.

Asal usul nama Temasek tidak diketahui dengan pasti. Terdapat usulan bahawa ia berasal dari perkataan 'tasik' (dengan imbuhan sisipan -em-) dengan memaksudkan "tempat dikelilingi laut", atau Bandar Laut.[1] Satu lagi usulan ialah nama tersebut mungkin berkaitan dengan raja Srivijaya, Maharaja Tan ma sa na ho.[2] Nama Temasek muncul sebagai Tumasik dalam puisi epik Jawa Kuno, Nagarakretagama yang ditulis pada 1356. Ia juga disebut sebanyak dua kali dalam Sejarah Melayu dan juga dalam karya Jawa, Pararaton. Temasek digambarkan dalam kisah pengembara Cina, Wang Dayuan yang datang ke pulau tersebut pada 1330 dan menulis tentang petempatan yang dipanggil Danmaxi, sebuah transkripsi nama Temasek. Dalam satu versi penceritaan Marco Polo tentang pengembaraannya, sebuah tempat bernama Chiamassie yang mungkin merupakan Temasek disebut dengan hubung kait dengan kerajaan Malayur.[2] Temasek juga berkemungkinan disebut dalam catatan Vietnam seperti Sach Ma Tich pada abad ke-14.[3]

Pada suatu masa pada abad ke-14, nama Temasek telah digantikan dengan Singapura, nama Melayu yang berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud "Bandar Singa". Menurut legenda, nama itu diberikan oleh Sang Nila Utama apabila beliau melawat pulau itu pada 1299 dan ternampak seekor binatang tidak diketahuinya dan diberitahu bahawa binatang itu merupakan singa. Walaupun nama Temasek tetap digunakan dalam catatan Cina untuk masa tertentu (contohnya dalam peta Mao Kun), dan juga dalam Sejarah Melayu, nama tersebut telah menjadi usang dan tidak muncul pada peta-peta dan dokumen-dokumen Eropah dari 1500 ke 1800.[4] Nama itu digunakan semula di zaman penjajahan dan zaman moden, dan kini diguna sebagai nama bagi institusi-institusi, perbadanan-perbadanan dan penghormatan-penghormatan kebangsaan di Singapura.

Walaupun sejarah awal Singapura dikaburkan oleh mitos dan legenda, beberapa kesimpulan boleh dibuat daripada bukti arkeologi dan daripada rujukan-rujukan kepadanya yang ditulis oleh pengembara. Ilmu arkeologi menunjukkan kewujudan petempatan perbandaran pada abad ke-14. Pada masa majunya, bandar itu mempunyai benteng dan parit yang besar; banyak bangunannya dibina dengan asas batu dan batu bata. Ketinggalan pasuan, duit syiling, permata dan artifak-artifak lain lama telah dijumpai, dengan banyak daripada artifak-artifak ini dipercayai telah diimport dari pelbagai kawasan Cina, India, Sri Lanka dan Indonesia. Perkara ini kadang-kala dipandang sebagai bukti kedudukan bandar itu sebagai sebuah pusat perdagangan. Sebuah laluan kelautan, sebahagian daripada Jalan Sutera, melalui Temasek.

Dari abad ke-7 hingga abad ke-13, pulau Singapura dikuasai oleh empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera. Hubungan diplomatik antara Temasek dan Vietnam berkemungkinan bermula pada abad ke-13.[3] Temasek merupakan bandar yang dikubui dan pusat perdagangan pada abad ke-14. Pada masa dinasti Yuan, dicatatkan bahawa duta-duta telah dihantarkan ke Batu Berlayar pada 1320 untuk memperoleh gajah jinak. Penduduk Batu Berlayar kemudian pulang pada 1325 dengan ufti dan perutusan perdagangan ke Cina.[5] Pada anggaran 1330, pengembara Cina Wang Dayuan melawat pulau tersebut dan menyebut dua petempatan berlainan di Temasek: Long Ya Men dan Ban Zu (sebuah transkripsi nama Melayunya "Pancur").[6] Dalam karyanya, Daoyi Zhilüe, Wang menggambarkan Long Ya Men sebagai dua bukit Temasek yang kelihatan seperti "gigi naga" yang di antaranya selat berlalu, dan menulis:

The fields are barren and there is little padi  ...  In ancient times, when digging in the ground, a chief came upon a jewelled head-dress. The beginning of the year is calculated from the [first] rising of the moon, when the chief put on this head-gear and wore his [ceremonial] dress to receive the congratulations [of the people]. Nowadays this custom is still continued. The natives and Chinese dwell side by side. Most [of the natives] gather their hair into a chignon, and wear short cotton bajus girded about with black cotton sarongs.

— Wang Dayuan, terjemahan Inggeris oleh Paul Wheatley.[7][8]

Padang-padangnya tandus dan terdapat sedikit padi  ...  Pada zaman purba, apabila menggali di tanah, seorang penghulu terjumpa sebuah hiasan kepala berpermata. Permulaan tahun dikira dari terbitan bulan [pertama], apabila penghulu memakai peralatan kepala ini dan memakai pakaian [istiadatnya] untuk menerima ucapan taniah [rakyat]. Kini, adat ini masih disambungkan. Orang tempatan dan orang Cina tinggal bersebelahan. Kebanyakan [orang tempatan] mengikat rambut masing-masing dalam gaya sanggul, dan memakai baju pendek kapas yang diikat dengan sarung hitam kapas.

— Wang Dayuan, terjemahan Melayu tidak rasmi oleh penyunting Wikipedia.

Wang selanjutnya sebut bahawa kayu laka dan timah merupakan barang keluaran di situ dan orang tempatan berdagang dengan orang Cina dari Quanzhou namun jong Cina yang sedang pulang berkemungkinan bertemu dengan lanun di situ yang serang dengan hingga dua ke tiga ratus perahu. Gambaran ini mungkin catatan pertama dikenal pasti tentang Orang Laut yang menduduki kawasan itu.

Pancur digambarkan bertapak di sebuah bukit yang difikirkan merupakan Bukit Larangan, kini terletak di belakang Batu Berlayar. Berbeza daripada mereka yang berada di Batu Berlayar yang terdedah kepada perlakuan pelanunan, penduduk Pancur digambarkan sebagai jujur. Mereka juga "memakaikan pendek rambut mereka, turut dengan serban satin dibrokedkan emas", dan pakaian kemerahan.[9][10] Puing kepada petempatan ini di bukit masih kelihatan pada awal abad ke-19 dan digambarkan oleh Residen John Crawfurd. Pada 1928, pelbagai serpihan ornamen yang ditentukan umurnya dari abad ke-14 ditemui di Bukit Larangan.[11] Wang juga melaporkan Siam menyerang parit perbandaran Temasek dengan lebih kurang 70 kapal beberapa tahun sebelum dia melawat tempat itu, dan bahawa bandar itu berjaya menahan serangan itu untuk sebulan.[12][13]

Sebaik abad ke-14, empayar Srivijaya merosot, dan Majapahit dan Kerajaan Ayutthaya menjadi dominan di kawasan itu dan sepanjang masa ini menuntut Temasek. Kakawin Nagarakretagama, dikarang pada 1365, menyenaraikan Tumasik sebagai negeri lindungan kepada Majapahit.[5] Sumber Portugis menandakan bahawa pada lewat abad ke-14, Temasek merupakan negeri lindungan Siam yang pemerintahnya dibunuh oleh Parameswara dari Palembang.[14] Parameswara diusir dari Palembang oleh Jawa selepas beliau mencabar Majapahit dengan mendirikan takhta singa yang melambangkan tuntutannya terhadap empayar Srivijaya.[15] Menurut sebuah kisah Portugis, Parameswara lari ke Temasek, dan lapan hari kemudian membunuh penghulu tempatan bergelaran Sang Aji yang bernama Sangesinga dalam versi kisah kemudian.[16] Telah diusulkan bahawa Temasek menukar namanya ke "Singapura" pada zaman ini dan bukan pada 1299 sepertimana ditandakan oleh legenda Sang Nila Utama yang dicerita dalam Sejarah Melayu.

Sumber Portugis menandakan bahawa Parameswara memerintah Singapura untuk lima tahun, dan kemudian diserang oleh Majapahit ataupun Siam, memaksakannya untuk beralih ke Melaka di mana beliau menubuhkan Kesultanan Melaka.[17] Singapura berada di bawah pengaruh Melaka pada abad ke-15 dan, selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis, berada di bawah pengaruh pengaruh Kesultanan Johor pula pada abad ke-16. Sebuah petempatan di situ akhirnya dibakar oleh Portugis pada 1613 dan pulau itu berada dalam kekaburan untuk dua ratus tahun kemudian sehingga abad ke-19 dengan kedatangan Sir Stamford Raffles.[18]

Penghormatan kebangsaan Singapura

[sunting | sunting sumber]

Dua penghormatan kebangsaan terpenting bagi republik itu dijudulkan Bintang Temasek dan Darjah Utama Temasek.

Institusi-institusi yang mengandungi "Temasek" di dalam nama institusi masing-masing termasuk:

  • Temasek Holdings
  • Maktab Rendah Temasek
  • Temasek Life Sciences Laboratory
  • Temasek Laboratories
  • Politeknik Temasek
  • Sekolah Rendah Temasek
  • Sekolah Menengah Temasek
  • Temasek Tower
  1. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 183–184. ISBN 978-9971695743.
  2. ^ a b Victor R Savage, Brenda Yeoh (15 Jun 2013). Singapore Street Names: A Study of Toponymics [Nama-nama Jalan Singapura: Sebuah Kajian Toponimi]. Marshall Cavendish. m/s. 381. ISBN 9789814484749.CS1 maint: uses authors parameter (link)
  3. ^ a b John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 181–182. ISBN 978-9971695743.
  4. ^ Peter Borschberg, penyunting (Disember 2004). Iberians in the Singapore-Melaka Area and Adjacent Regions (16th to 18th Century) [Orang Iberia di Kawasan Singapura-Melaka dan Kawasan Bersempadanan (Abad ke-16 ke Abad ke-18)]. Harrassowitz. m/s. 98–99. ISBN 978-3447051071.
  5. ^ a b Edwin Lee (15 Oktober 2008). Singapore: The Unexpected Nation [Singapura: Negara Tidak Dijangka]. Institute of Southeast Asian Studies. m/s. 1–2. ISBN 978-981-230-796-5.
  6. ^ John Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300_1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300_1800]. NUS Press. m/s. 216. ISBN 978-9971-69-574-3.
  7. ^ "島夷誌略: 龍牙門". Full original text: 門以單馬錫番兩山,相交若龍牙狀,中有水道以間之。田瘠稻少。天氣候熱,四五月多淫雨。俗好劫掠。昔酋長掘地而得玉冠。歲之始,以見月為正初,酋長戴冠披服受賀,今亦遞相傳授。男女兼中國人居之。多椎髻,穿短布衫。繫靑布捎。 地產粗降眞、斗錫。貿易之貨,用赤金、靑緞、花布、處甆器、鐵鼎之類。蓋以山無美材,貢無異貨。以通泉州之貨易,皆剽竊之物也。舶往西洋,本番置之不問。回船之際,至吉利門,舶人須駕箭稝,張布幕,利器械以防之。賊舟二三百隻必然來迎,敵數日。若僥倖順風,或不遇之。否則人為所戮,貨為所有,則人死係乎頃刻之間也。
  8. ^ Paul Wheatley (1961). The Golden Khersonese: Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. m/s. 82–83. OCLC 504030596.
  9. ^ Paul Wheatley (1961). The Golden Khersonese: Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. m/s. 83–84. OCLC 504030596.
  10. ^ "島夷誌略: 班卒". Full original text: 地勢連龍牙門後山,若纏若斷,起凹峯而盤結,故民環居焉。田瘠,穀少登。氣候不齊,夏則多雨而微寒。俗質,披短髮,緞錦纏頭,紅油布繫身。煮海為鹽,釀米為酒,名明家西。有酋長。地產上等鶴頂、中等降眞、木綿花。貿易之貨,用絲布、鐵條、土印布、赤金、甆器、鐵鼎之屬。 (There may be slight variations in different sources)
  11. ^ "The Archaeology". World of Temasek. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2017.
  12. ^ John Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800. NUS Press. m/s. 356. ISBN 978-9971-69-574-3.
  13. ^ "島夷誌略: 暹". Original text: 近年以七十餘艘來侵單馬錫,攻打城池,一月不下。本處閉關而守,不敢與爭。遇爪哇使臣經過,暹人聞之乃遁,遂掠昔里而歸。
  14. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 162–163. ISBN 978-9971-69-574-3.
  15. ^ C.M. Turnbull (30 Oktober 2009). A History of Modern Singapore, 1819–2005 [Sebuah Sejarah Singapura Moden, 1819–2005]. NUS Press. m/s. 21. ISBN 978-9971-69-430-2.
  16. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 155–156. ISBN 978-9971-69-574-3.
  17. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 155–163. ISBN 978-9971-69-574-3.
  18. ^ "Singapore – Precolonial Era" [Singapura – Zaman Prapenjajah]. U.S. Library of Congress. Dicapai pada 18 Jun 2006.