Pergi ke kandungan

Sankaracharya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Sankara)

Adi Śaṇkaracharya (788 - 820 Masihi) - juga dikenali sebagai Sankaracharya, (Ādi) Śaṅkarācārya, Śaṅkara Bhagavatpāda, Śaṅkara Bhagavatpādācārya. Beliau merupakan salah seorang ahli falsafah dan teologi Hindu yang terkenal dari India. Doktrin Advaita Vedanta merupakan sumbangan utama Sankara.

Sankara bersama-sama pengikutnya

Penulisan Śaṇkara dalam bahasa Sanskrit telah memberikan asas yang kukuh untuk doktrin Advaita Vedanta. Beliau juga telah menulis ulasan-ulasan Upanishad, Brahma Sutras dan Bhagavad Gita (ketiga-tiga kitab ini dikenali sebagai Prasthanatraya). Penulisan Śaṇkara menentang ajaran-ajaran falsafah Mimamsa dan beberapa mazhab Samkhya dan mazbah Buddha.

Śaṇkara merantau di seluruh benua India untuk menyebarkan falsafahnya melalui perbincangan dan perdebatan dengan pemikir-pemikir lain. Beliau juga memberikan nafas baharu kepada kehidupan rahib atau Samnyasa dengan mengasaskan tradisi rahib Dashanami. Śaṇkara juga ialah pengasas empat biara utama yang memainkan peranan penting dalam perkembangan dan pembangunan semula Advaita Vedanta.

Sebarang percubaan untuk melakar riwayat Śaṇkara, menghadapi dua cabaran. Pertama, fakta-fakta yang tidak mencukupi. Kedua, biografi tradisionalnya penuh dengan pelbagai perkara ajaib yang sukar dipercayai atau dijelaskan secara rasional. [1]

Hampir ke semua biografi Śaṇkara bersetuju bahawa beliau hidup hanya selama 32 tahun. Namun, mengenai tarikh lahirnya, wujud beberapa percanggahan. Menurut satu pendapat, beliau lahir pada tahun 788 Masihi dan sesetengah pendapat lain pula menerima tahun 684 Masihi.[2]

Setakat ini, hampir 21 biografi tradisional Śaṇkara telah dikenalpasti. Dalam kalangan biografi ini, ŚaṇkaraVijaya oleh Anandagiri dan Śaṇkara Digvijaya oleh Mādhava-Vidyāraṇya dianggap sebagai yang paling sah dan diterima ramai.[3]

Riwayat Hidup

[sunting | sunting sumber]

Kelahiran

[sunting | sunting sumber]

Śivaguru dan Āryāmbā ialah suami isteri yang soleh dari kasta Nambūdiri. Mereka tinggal di Kālaḍī (di negeri Kerala) berdekatan sungai Pūrṇā. Selepas berdoa kepada Dewa Śiva di Vrṣabhācala, pada tahun 788 Masihi) mereka mendapat seorang anak lelaki. Mereka menamakannya sebagai Śaṇkara.

Śaṇkara mempunyai kecerdikan dan bakat yang luarbiasa. Ketika dia masih seorang kanak-kanak, dia telah mempelajari semua sastera agama. Ketika Śaṇkara berusia empat tahun, bapanya meninggal dunia. Āryāmbā seorang diri membesarkannya. Selepas menamatkan pendidikan Gurukula, Śaṇkara ingin menjadi seorang Sannyasin.

Pada suatu hari, Śaṇkara sedang bermandi di sungai Pūrṇā. Tiba-tiba seekor buaya menangkap kakinya. Āryāmbā yang berada di tebing sungai menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa di tempat itu. Apabila usahanya untuk melepaskan diri tidak berjaya, Śaṇkara meminta ibunya bahawa dia akan mati dengan tenang sekiranya dia dapat mengambil ikrar rahib ketika itu. (Ini dikenali sebagai Āturasaṃnyāsa, iaitu ikrar rahib yang diambil ketika saat kematian.) Āryāmbā tidak dapat menolak permintaan anak kesayangannya. Sebaik sahaja Śaṇkara melafazkan ikrar rahib secara mental, buaya itu melepaskannya dan menghilangkan diri.

Menurut sastera agama, seseorang yang terselamat selepas mengambil ikrar rahib mesti mengambil ikrar itu secara formal dan menjalani kehidupan rahib. Dengan keberatan, Āryāmbā mengizinkan anaknya untuk menjalani kehidupan rahib. Namun sebelum meninggalkan ibunya, Śaṇkara berjanji bahawa dia akan berada disamping ibunya ketika ibunya menanti ajalnya.

Kehidupan Rahib

[sunting | sunting sumber]

Demikian, ketika berusia lapan tahun, Śaṇkara menjadi seorang rahib. Seterusnya, Śaṇkara memulakan satu perjalanan yang jauh ke sisir sungai Narmada untuk berjumpa dengan Mahaguru Govinda Bhagavatpāda. Beliau merupakan seorang rahib terkenal zaman itu dan dipercayai sebagai jelmaan (Avatara) Ādiśesa. Govinda Bhagavatpāda dengan kesaktian yoganya telah mengetahui tentang kedatangan Śaṇkara. Beliau menerima Śaṇkara sebagai pelajarnya dan melatihnya dalam falsafah Advaita. Selepas pendidikan selama tiga tahun, atas arahan Mahagurunya, Śaṇkara bertolak ke Kāśī, pusat segala ilmu.

Śaṇkara memulakan asramanya di Kāśī dan mengajar falsafah Advaita Vedanta. Ramai pelajar-pelajar dari serata benua India berkumpul di asramanya. Beberapa orang dalam kalangan mereka menjadi pengikut setia Śaṇkara. Antaranya, Sanandana (kemudian dikenali sebagai Padmapāda) - salah seorang daripada empat pengikut utama Śaṇkara.

Antara peristiwa penting dalam hidup Śaṇkara yang berlaku di Kāśī ialah pertemuannya dengan Dewa Viśwanātha (Śiva) yang muncul sebagai seorang banjingan. Peristiwa ini menghapuskan saki-baki kejahilan Śaṇkara dan menjadikannya seorang Mahaguru yang tiada tandingan dan insan yang sempurna. Seterusnya, atas arahan Dewa Viśwanātha, Śaṇkara bertolak ke Badarīnātha, sebuah tempat suci di pergunungan Himālaya. Beliau membaiki semua sebuah kuil lama Nārāyan̩a dan memperkenalkan sistem pemujaan yang teratur. Di Badarīnātha juga Śaṇkara menghasilkan ulasan Brahmasūtras (dikenali sebagai Brahmasūtras Bhāṣya). Penulis asal karya Brahmasūtras, Muni Vyāsa sendiri dikatakan telah mengesahkan dan memuji ulasan Śaṇkara.

Lawatan ke Seluruh India

[sunting | sunting sumber]

Seterusnya, Śaṇkara bertolak ke India Selatan, mengalahkan dan menukar pendeta-pendeta falsafah lain seperti Maṇḍana Miśra. Śaṇkara juga berjaya menukar beberapa kumpulan Kāpālika di Śriīśaila (kini di negeri Andhra Pradesh) dan Gāṇapatya di Gokarṇa (di Karnataka) yang mengamalkan amalan-amalan yang keji.

Sementara itu, Śaṇkara mendapat tahu (dengan kuasa yoganya) bahawa ibunya sedang tenat. Seperti yang telah dijanjikannya, Śaṇkara melawat ibunya dan atas permintaan ibunya, Śaṇkara menyanyikan sebuah Stotra. Ibunya meninggal dunia dengan melihat rupa Maha Vīṣṇu. Apabila penduduk Kalaḍi memukaunya dan enggan membantunya melakukan upacara pembakaran jasad ibunya, Śaṇkara seorang diri melangsungkan upacara pembakaran jasad ibunya.

Selepas merantau di India Selatan dan mendapat dua orang pengikutnya, Hastāmalaka dan Toṭaka, Mahaguru Śaṇkara bertolak ke utara sehingga ke Kashmir. Selepas mengalahkan semua pendeta-pendeta daripada pelbagai mazhab, Śaṇkara menaiki takhta Ilmu, Sarvajñapīṭha di kuil Sarasvatī.

Śaṇkara berjaya menghidupkan semula agama Veda dengan penulisan dan propaganda luasnya mengenai prinsip-prinsip falsafah yang kukuh.

Tahun-tahun Terakhir

[sunting | sunting sumber]

Menurut kepercayaan popular, pada tahun 820 Masihi, ketika berumur 32 tahun, Śaṇkara telah memasuki sebuah gua bernama Dattātreyaguhā di Himālaya berdekatan Badarī dan hilang selama-lamanya. Menurut versi lain yang masih berterusan ialah, Śaṇkara telah menubuhkan sebuah lagi biara di Kāñcīpuram (di Tamil Nadu) bernama Kāmakoṭipīṭha dan di sana sehingga kematiannya. Kontrovesi mengenai ini tidak dapat diselesaikan kerana tiada bukti kukuh.

Falsafah Śaṇkara

[sunting | sunting sumber]

Advaita Vedanta

[sunting | sunting sumber]

Śaṇkara merupakan penaung hebat falsafah Advaita Vedanta. Menurut Śaṇkara, kebenaran asas atau realiti sebenar di sebalik alam yang penuh kepelbagaian ini ialah satu sahaja. Dalam bahasa Sanskrit, ini dikenali sebagai Advaita (bermaksud, 'tiada dua'). Realiti ini dipanggil sebagai Brahman. Disebabkan faktor Maya yang pelik dan tidak boleh dijelaskan, Brahman kelihatan seperti lebih daripada satu. Sama seperti, dalam keadaan sedikit gelap, seutas tali di atas jalan kelihatan seperti seekor ular, begitu juga, Maya melindungi keadaan sebenar Brahman (sebagai Sat-Chit-Ananda) dan menunjukkan-Nya sebagai dunia kepelbagaian ini. Namun, seperti mana apabila jalan diterangi cahaya, tali kelihatan seperti tali, begitu juga, Jnana atau ilmu menyingkirkan ilusi yang disebabkan oleh Maya. Maka, dunia yang kita lihat ialah sebenarnya suatu unjuran Maya ke atas Brahman.

Menurut Śaṇkara, dunia atau Alam Semesta tidak boleh dijelaskan dengan kepastian kerana ia sentiasa berubah. Dunia tidak boleh dikatakan sebagai wujud atau tidak. Sesuatu yang benar-benar wujud tidak boleh kemudiannya menjadi tidak wujud. Namun, setiap saat, ia sedang musnah, dan sesuatu yang baru lahir. Jadi, dunia wujud dan pada masa yang sama dunia tidak wujud. Macam mana sesuatu yang abadi boleh menjadi fana dalam masa yang sama? Bagi menjelaskan keadaan ini, Śaṇkara menggunakan terma 'Maya'. Alam Semesta ini bersifat Maya.[4] Dunia yang kita lihat ialah sebenarnya suatu unjuran Maya ke atas Brahman.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Aku'? Siapakah ‘Aku’? Jawapan kepada soalan ini ialah ‘Aku seorang yang cantik’, ‘Aku seorang peguam’, ‘Aku seorang kaya’, ‘Aku seorang India’ dan sebagainya. Manusia dengan salah mengenalpasti dirinya dengan jasadnya yang fana. Sankara membuktikan secara analisasi bahawa roh adalah sempurna. Aku bukan badan. Aku ialah Atman (roh). Aku mempunyai badan. Individu mempunyai tiga faktor iaitu badan, minda, dan ego atau diri. Badan dan minda sentiasa berubah. Ego atau diri tidak berubah kerana diri yang sama yang wujud sejak kelahiran hingga kematian seseorang individu. Perubahan bermaksud kematian sesuatu dan kelahiran sesuatu yang lain, peninggalan sesuatu dan kemasukan sesuatu yang lain, penamatan sesuatu dan permulaan sesuatu yang lain. Maka, 'tidak berubah' bermaksud tidak ada permulaan dan pengakhiran. Dalam kata lain, ‘tidak berubah’ bermaksud ‘abadi’. Sankara juga membuktikan bahawa sesuatu yang abadi juga adalah infinit. Demikian, Sankara membuktikan bahawa Atman adalah infinit dan abadi.[5]

Sankara juga membuktikan kesatuan roh. Tidak boleh ada dua infinit. Diri aku ialah Atman sebenar di sebalik semua badan dan minda.  Keadaan ini sama untuk semua hidupan. Hanya wujud satu Atman. Atman yang sama berada dalam semua hidupan. Ini ialah falsafah Advaita atau sistem monistik.  

Namun, selepas menjelaskan bahawa dunia ialah suatu ilusi, Śaṇkara menunjukkan cara untuk keluar daripada keadaan kejahilan ini. Apabila seseorang sedar bahawa dia berada dalam kejahilan, dia harus berusaha untuk keluar daripada keadaan itu dengan melakukan Sadhana atau disiplin kerohanian. Dengan memperolehi ilmu rohani, dia boleh menyedari dirinya sebagai Sat-Cit-Ananda atau Atman yang suci. Selepas memperolehi kesedaran rohani, badan mungkin terpaksa berfungsi selagi prarabdha karma wujud. Apabila prarabdha karma dihabiskan, orang itu akan mendapat Mukti apabila dia meninggal dunia. Seseorang yang telah menyedari Atman tetapi masih meneruskan hidupnya dipanggil sebagai Jivanmukta (yang bebas semasa hidup). Walaupun seorang Jivanmukta meneruskan dengan aktiviti-aktivitinya, reaksinya terhadap suka duka kehidupan telah berubah. Dia tidak lagi terpedaya dengan Maya.   

Sumbangan Śaṇkara

[sunting | sunting sumber]

Penulisan

[sunting | sunting sumber]

 Śaṇkara merupakan seorang penulis yang prolifik. Beliau telah meninggalkan banyak karya-karya yang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: Bhāṣya, Prakaraṇa, dan Stotra.

  •  Bhāṣya ialah eksposisi terperinci yang berasaskan kepada kitab-kitab asas falsafah Vedanta dan agama Hindu iaitu Brahmasutras, Upanishad dan Bhagavad Gita (dikenali sebagai Prasthānatraya). Beliau juga telah menulis ulasan Viṣṇusahasranāma (Mahābhārata, Anuśāsanparva, bab 149), Sanatsujātīya (Udyogaparva, bab 40-45) dan Lalitātriśatī.
  •  Prakaraṇa ialah karya-karya ringkas Advaita Vedānta. Antara karya yang popular ialah: Aparokṣānubhūti, Ātmabodha, Laghuvākyavṛtti, Upadeśasāhasrī, Vākyavṛtti, dan Vivekacūdāmaṇi.
  •  Stotra atau puisi-puisi suci oleh Śaṇkara ialah Ānandalaharī, Bhajagovindastotra, Dakṣināmūrtyaṣṭaka, Daśaślokī, Gopālāṣṭaka, Harimīḍestotra, Manīṣāpañcaka, Śivabhujaṅgaprayāta, Sopānapañcaka dan Viṣṇuṣaṭpadī.
  •  Selain ini, Śaṇkara juga dikatakan telah menghasilkan dua karya Tantra iaitu Prapañcasāra dan Saundaryalaharī.  

Dengan merantau ke seluruh benua India, Śaṇkara menghidupkan semula pembelajaran Veda.

Śaṇkara melakukan semua ini dan lebih lagi tanpa sedikit pun merendahkan martabatnya atau terpesong daripada prinsip kehidupan rahibnya. Hanya seorang Avatārapuruṣa (jelmaan Tuhan) dapat mencapai kejayaan yang mengagumkan ini.[6]

Memulakan Institusi Kerahiban Hindu

[sunting | sunting sumber]

Śaṇkara amat menekankan kemuliaan kehidupan rahib. Beliau sendiri telah menjadi seorang rahib pada usia yang muda. Pada zaman itu, pengaruh mazhab Mīmāṃsā yang mengutamakan upacara sembahyang dan korban amat berleluasa. Pengikut-pengikut mazhab Mīmāṃsā menjalani kehidupan berumahtangga dan memandang rendah pada rahib-rahib. Dalam lawatannya ke seluruh benua India, Śaṇkara berdepan dengan ramai pengikut-pengikut mazhab Mīmāṃsā dan mencabar amalan mereka. Beberapa orang seperti Mandana Misra selepas dikalahkan oleh Śaṇkara, melepaskan kehidupan keluarga mereka dan menjadi rahib.

Bagi memperkukuhkan institusi kerahiban, Śaṇkara sendiri memulakan empat buah biara (matha) di empat tempat iaitu di Purī (di negeri Orissa), Śṛṅgerī (di negeri Karnataka), Dvāraka (di negeri Gujarat) dan Badarī (di Uttar Pradesh). Beliau juga melantik empat orang pengikut utamanya sebagai ketua biara-biara ini. Demikian, Śaṇkara membentuk tradisi kerahiban yang berpanjangan untuk meneruskan dengan kerja-kerja yang telah dimulakannya. Rajah berikut menunjukkan butiran empat biara ini:

No. Nama Tempat Ketua Pertama
1 Śāradā Maṭha Śṛṅgerī Sureśvara
2 Kālikā Maṭha Dvārakā Hastāmalaka
3 Jyotir Maṭha Badarī Toṭaka
4 Govardhana Maṭha Purī Padmapāda
Daśanāmī-Sampradāya 
[sunting | sunting sumber]

Śaṇkara juga mengatur pengikut-pengikut rahibnya dalam sepuluh kumpulan dan memulakan tradisi kerahiban yang berterusan. Kumpulan rahib yang dimulakan oleh Śaṇkara dikenali sebagai Daśanāmī-Sampradāya iaitu:

Daśanāmī-Sampradāya Ciri-ciri utama
1. Purī Menandakan seseorang yang penuh dengan Ilmu Brahman. (Dianggap sebagai kumpulan rahib yang tertinggi.)
2. Araṇya Menandakan seorang rahib yang menetap di Aranya atau sebuah hutan, terputus daripada segala hal-ehwal dunia.
3. Āśrama Menandakan seorang rahib yang tinggal di sebuah biara (asrama) dan tanpa merantau ke sana sini.
4. Bhāratī Menandakan seseorang yang berilmu dan telah melepaskan segala beban.
5. Giri Menandakan seseorang yang kukuh seperti sebuah gunung (=Giri) atau seseorang yang tinggal di kaki Gunung.
6. Parvata Menandakan seseorang yang tinggal di kaki bukit dan mempunyai pengetahuan kuat akan sifat fana dunia.
7. Saraswatī Menandakan seseorang yang amat berpendidikan dan mahir dalam yoga.
8. Sāgara Menandakan seseorang yang telah menyelam ke dalam lautan Ilmu dan mengutip mutiara kebenaran.
9. Tīrtha Menandakan seseorang yang telah bermandi di pertemuan sungai-sungai Ilmu dan menyedari kebenaran ‘Tat Tvam Asi’ (‘Kau ialah Itu’)
10. Vana Menandakan seseorang yang telah melepasi semua tarikan nafsu dan tinggal dengan aman di hutan.

Keharmonian antara Agama-Agama

[sunting | sunting sumber]

Menurut Rgveda (1,164.46) 'Sat' atau Kebenaran (=Tuhan Yang Mutlak) ialah satu, tetapi para wali memanggil-Nya dengan pelbagai nama. Maka, dewa-dewi dalam agama Hindu ialah penjelmaan atau manifestasi Tuhan Yang Maha Esa atau disebut sebagai Brahman (atau Paramātman) dalam kitab-kitab suci Hindu. Namun, dengan peredaran masa, pelbagai mazhab dan kultus berkembang. Penganut-penganut mazhab-mazhab ini yang telah melupakan ajaran Veda dan falsafah Tuhan Yang Maha Esa, menjadi fanatik dan ada kalanya bermusuhan dengan penganut mazhab lain.

Bagi mengembalikan ajaran Veda dan membetulkan sikap penganut pelbagai mazhab yang fanatik, Śaṇkara memperkenalkan satu kaedah untuk menyatukan mereka. Hasilnya ialah bentuk pemujaan Pañcāyatana, iaitu penyembahan serentak lima dewa iaitu Viṣṇu, Śiva, Shakti, Gaṇesha dan Sūrya. Beliau menjelaskan bahawa semua dewa-dewi ini merupakan penjelmaan berlainan Brahman Yang Esa. Seseorang boleh meletakkan dewa kegemarannya di tengah-tengah dan empat dewa-dewa lain di empat penjuru untuk bersembahyang.

Mengenai Śaṇkara

[sunting | sunting sumber]

Menurut Dr Radhakrishnan: "Riwayat Śaṇkara memberikan gambaran yang amat bertentangan. Beliau seorang ahli falsafah, penyair, cendikiawan, wali, ahli mistik dan juga seorang pembawa reformasi agama. Beliau mempunyai pelbagai bakat berlainan sehingga jika kita cuba untuk memikirkan personalitinya, kita mendapat gambaran-gambaran berbeza. Dalam zaman remajanya, beliau penuh dengan cita-cita intelektual, seorang pembahas yang berani dan tidak mudah mengalah. Menurut pandangan lain, beliau seorang ahli politik yang bijak dan licik (lebih kepada patriot) yang cuba untuk membawa rasa perpaduan dalam kalangan rakyat. Bagi pendapat ketiga, beliau seorang ahli falsafah yang tenang yang terlibat dalam percubaan untuk mendedahkan percanggahan kehidupan dan pemikiran dengan kepastian yang tiada tandingan. Keempat, beliau seorang mistik yang menyatakan bahawa kita lebih mulia daripada apa yang kita tahu. Tidak ada ramai orang yang universal sepertinya."

Swami Vivekananda sering menekankan keperluan menggabungkan ilmu dan iman dan berkata bahawa kita memerlukan "akal Śaṇkara dan hati Buddha". Ketika mengajar falsafah Vedanta, beliau sering mengambil pendekatan Śaṇkara dan mengungkap di sana sini pandangan Ramanuja. Swami Vivekananda yang dianggap sebagai seorang pendukung terbaik falsafah Śaṇkara dalam zaman moden berkata bahawa "Śaṇkara ialah guru falsafah Vedanta yang terbaik." Swami Vivekananda berkata lagi, "Śaṇkaracharya telah menangkap irama Veda, nada kebangsaan. Sesungguhnya saya sentiasa membayangkan bahawa ketika muda beliau telah mempunyai sedikit pandangan seperti saya, dan beliau menghidupkan semula muzik purba seperti itu. Seluruh hasil kerjanya ialah cuma suatu denyutan keindahan Veda dan Upanishad-Upanishad."

Kritikan terhadap Śaṇkara

[sunting | sunting sumber]

Śuddādvaita ('Advaita Tulen')

Sistem falsafah Vallabhacharya (1481-1531 Masihi) dikenali sebagai Śuddādvaita atau falsafah Vedanta tulen. Vallabha tidak menerima falsafah Advaita Sankara sebagai tulen atau sepenuhnya advaita (ketidakduaan). Ini kerana Menurut Vallabha, Sankara menerima konsep maya iaitu suatu prinsip ilusi dan dengan itu menafikan ketidakduaan! Sebaliknya, Vallabha menerima maya sebagai kuasa sebenar yang sedia wujud dalam Brahman. Maka, tidak ada realiti kedua yang asing atau di luar Brahman. Dengan ini, Vallabha memanggil falsafahnya sebagai Śuddādvaita.

  • Pada tahun 1983, sebuah filem arahan G.V.Iyer bernama Adi Shankaracharya telah ditayangkan untuk pertama kali. Ia merupakan filem pertama yang diarahkan sepenuhnya dalam bahasa Sanskrit. Ke semua kerja Śaṇkara telah dipaparkan dalam filem ini. Filem ini juga telah memenangi Anugerah Filem Nasional India untuk kategori Filem Terbaik, Screenplay Terbaik, Cinematografi Terbaik dan Audiografi Terbaik.[7][1]
  • Dalam tahun 2013, satu lagi filem bernama Sri Jadguru Aadi Sankara arahan J.K.Bharavi dalam bahasa Telugu telah diterbitkan.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  2. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  3. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  4. ^ Swami Ramakrishnananda, The Message of Eternal Wisdom, mukasurat 9-10
  5. ^ Swami Ramakrishnananda, The Message of Eternal Wisdom, mukasurat 9-10
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, jilid 3, ms 197
  7. ^ 31st National Film Awards