Pusat Kebudayaan Islam Katowice
Pusat Kebudayaan Islam Katowice ڤوست کبوداياءن إسلام کاتوۏيتسى | |
---|---|
Maklumat am | |
Nama tempatan | Centrum Kultury Islamu w Katowicach |
Mula dibina | 2005 |
Dibuka pada | 2007 |
Maklumat pentadbiran | |
Imam | Abdelwahab Bouali (Imam Besar) |
Pengerusi | Abdelwahab Bouali |
Maklumat geografi | |
Negara | Poland |
Lokasi | 50A Jalan Warszawska, 40-010 Katowice, Poland |
Maklumat pembinaan | |
Gaya seni bina | Eropah Timur |
Bil. tingkat | 3 |
Laman sesawang | |
https://islam-katowice.pl | |
sunting |
Pusat Kebudayaan Islam Katowice (Bahasa Poland: Centrum Kultury Islamu w Katowicach) ialah sebuah institusi keagamaan yang dikendalikan oleh Liga Muslim Republik Poland cawangan Silesia, yang diasaskan pada 2007. Ia berpangkalan di Katowice-Śródmieście di 50a Jalan Warszawska.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Pusat Kebudayaan Islam Katowice telah diasaskan pada tahun 2007 atas inisiatif orang Islam yang tinggal di Wilayah Silesia.[1] Terdahulu, pada tahun 2005, sebuah rumah deretan tenemen telah dibeli daripada bandar tersebut untuk dijadikan sebagai pusat Islam. Sepanjang dua tahun, ia telah melalui pengubahsuaian sebelum siap untuk digunakan pada tahun 2007. Dahulunya, umat Islam dari Wilayah Silesia berjemaah di 36/16 Jalan Wojewódzka.[2]
Pusat Kebudayaan Islam Katowice dikendalikan oleh cawangan Silesia bagi Liga Muslim Republik Poland.[3] Imam dan pengarah Pusat Kebudayaan Islam Katowice setakat 2016 ialah Abdelwahab Bouali.[4] Beliau berasal dari Algeria dan memperoleh kepakaran dalam undang-undang dan teologi Islam di Institut Kemanusiaan dan Sains Islam di Paris. Beliau juga merupakan ahli aktif Persatuan Pelajar Islam. Beliau ke Katowice pada tahun 2007 atas jemputan Abduljabbar Koubaisa, yang juga bersama Pusat Kebudayaan Islam Katowice.[2]
Jemaah di Pusat Kebudayaan Islam Katowice datang dari pelbagai negara, termasuk Algeria, Tunisia, Turki, Syria, Afghanistan dan Iraq.[2] Sebilangan besar orang berkumpul di Pusat Kebudayaan Islam di Katowice semasa cuti Aidilfitri dan Aidiladha, kira-kira seramai 150 orang.[2]
Matlamat
[sunting | sunting sumber]Matlamat utama Pusat Kebudayaan Islam Katowice termasuk:
- menganjur ibadah agama seperti solat berjemaah, perayaan Aidilfitri, Aidiladha dan Ramadan, serta menguruskan perkahwinan dan pengebumian orang Islam,[1]
- mengeratkan silaturahim dan keimanan dalam kalangan penganut agama Islam, serta menyebarkan ilmu mengenainya dalam kalangan penganut agama lain,[1]
- menganjurkan kuliah, pelajaran untuk kanak-kanak dan remaja, kursus dan pengajian tentang Islam.[1]
- menganjurkan pertemuan dan acara untuk masyarakat Islam setempat.[1]
Ibu pejabat
[sunting | sunting sumber]Bangunan Pusat Kebudayaan Islam terletak di Katowice di 50a Warszawska Street, di daerah Śródmieście. Ia merupakan sebuah bangunan tiga tingkat, dengan dewan kuliah, dapur, ruang makan dan tandas di tingkat bawah, surau dan perpustakaan bahan bacaan Islam dalam bahasa Poland dan Arab di tingkat satu, dan tiga bilik kuliah dan pejabat ketua pusat di tingkat dua.[1] Di ruang solat terdapat jam elektronik yang menunjukkan waktu solat yang tepat, dan di atas lantai terdapat garisan yang menunjukkan arah kiblat. Di sudut ruang solat terdapat mimbar yang dibina menggunakan beberapa perabot tersedia.[2]
Pusat Kebudayaan Islam di Katowice juga menguruskan bangunan bersebelahan, yang bertujuan untuk pertemuan kebudayaan dan hiburan untuk golongan muda.[1]
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Ahli jemaah Pusat Kebudayaan Islam Katowice.
-
Dua orang ahli jemaah memasuki Pusat Kebudayaan Islam Katowice bagi menunaikan solat Jumaat.
-
Seorang ahli jemaah menunaikan solat sunat sebelah rak buku-buku keagamaan berbahasa Arab dan Poland.
-
Ruang wuduk masjid.
-
Laluan masuk dari Jalan Warszawska.
-
Ruang masuk Pusat Kebudayaan Islam Katowice.
-
Ahli jemaah Pusat Kebudayaan Islam Katowice.
-
Sebahagian ruang solat selepas tamat waktu sembahyang.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e f g "O Nas". islam-katowice.pl (dalam bahasa Poland).
- ^ a b c d e "Działania oddziału śląskiego Ligi Muzułmańskiej w RP promujące muzułmański dorobek kulturowy". www.laboratoriumkultury.us.edu.pl (dalam bahasa Poland). 2011.
- ^ "Centra Islamu". www.islam.info.pl (dalam bahasa Poland).
- ^ "Muzułmanie i chrześcijanie modlą się po sąsiedzku". plus.dziennikzachodni.pl (dalam bahasa Poland). 2016-03-25.